5 Nasib Baik Masih Perempuan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Alat pembelajaran baru saja mahu gembira kerana Ling Lan tidak menyalahkannya, kemudian terdengar soalan Ling Lan. Kegembiraannya berakhir dan dia menjelaskan dengan segera, 'Kamu telah tidur selama dua hari dua malam tanpa sebab. Ibu kamu terlalu banyak menangis sehingga dia tidak mahu makan kerana risau. Mereka buat keputusan kalau kamu tidak bangun esok, mereka akan hantar kamu ke hospital. Apa yang saya tahu, menghantar kamu ke hospital akan mendatangkan banyak masalah kepada mereka. Saya merasakan ada sesuatu yang tak kena jadi saya cepat-cepat kejutkan kamu.'

Ling Lan terkejut. Dia tidak boleh dimasukkan ke hospital! Bagaimana jika teknologi di sini dapat mengesan alat yang sedang bersembunyi dalam mindanya ini? Jika mereka tahu tentang alat ini, Ling Lan mungkin akan dijadikan bahan uji kaji. Dia perlu pastikan perkara ini tidak berlaku.

Demi keselamatan serta kebebasannya, Ling Lan membuat keputusan untuk tidak menahan diri lagi. Dia membenarkan tekaknya terbuka dan mula memekik untuk memberi isyarat kepada orang yang memerhatikannya yang dia sudah terjaga.

Sebenarnya Ling Lan cuma ingin menghasilkan bunyi yang perlahan, mungkin mengagah-agah ataupun raungan kecil saja tetapi suara yang terkeluar dari tekaknya sangat kuat ...

Suara keanak-anakan itu hampir lesap kerana ketakutan. Dia teragak-agak bertanya, 'Perlukah kamu menjerit dengan begitu tragik sekali?'

Terkejut dengan kekuatan dan emosi jeritannya itu, Ling Lan membalas dengan malu-malu, 'Tak boleh tahan. Badan saya lapar…'

Kalah pada kemahuan badannya, Ling Lan merasakan semua harapannya hilang. Habislah imejnya sebagai bayi yang comel. Sebenarnya dia memang ingin menjadi bayi yang comel, berkelakukan baik, menawan hati dan menjadi buah hati kepada ibu bapa barunya. Namun, nampaknya rancangan itu kini lesap.

Ini kerana walau macam mana sekalipun, bayi yang menangis dengan begitu menakutkan ini tidak mungkin boleh dianggap comel ...

Tangisan bertenaga Ling Lan mengejutkan orang yang sedang berehat di sebelahnya. Lang Luofeng terkejut dan segera bangun mendukung anaknya sambil mamerhatikan anaknya dengan mata yang gembira, tetapi juga terkejut dan takut.

Anaknya akhirnya sudah jaga! Tetapi tangisannya yang amat sayu itu menimbulkan rasa bimbang. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengannya?

Doktor yang bertugas bergegas masuk dari bilik sebelah. Setelah melakukan pemeriksaan terperinci, kesimpulannya adalah Ling Lan cuma lapar.

Lan Luofeng melihat Ling Lan menyusu dan dia merasakan hatinya kembali lega.

Setelah kenyang dan muka kemerah-merahan akibat meminum wain ...er, susu, Ling Lan akhirnya bertenaga kembali untuk melihat dunia di sekeliling untuk pertama kali.

Dia berada di dalam bilik tidur yang besar, sungguh besar sehinggakan Ling Lan tidak dapat melihat keseluruhan bilik itu hanya dengan memusingkan kepala kecilnya.

Warna dalam bilik itu kelihatan lembut dan menarik. Tiada warna yang terang dan menyilaukan. Salah satu perkara yang Ling Lan perasan, katil tempat dia dan ibunya berbaring itu agak besar. Ruang yang masih kosong di atas katil itu membolehkan dia berguking-guling beberapa kali. Itupun kalau dia boleh berguling.

Tiada kabinet di hujung kepala katil seperti di dunia silamnya, tetapi terdapat beberapa objek logam diletakkan di penjuru bilik itu. Bentuk objek itu pelik dan kelihatan seperti robot pada pandangan Ling Lan.

Dalam jarak penglihatan Ling Lan, dia tidak dapat melihat sebarang almari atau perabot lain. Maksudnya langsung tidak ada perabot lain yang dapat dilihatnya selain katil itu.

Ling Lan tidak berfikir panjang soal ini. Lagipun sudah sepuluh ribu tahun berlalu, siapa tahu bagaimana kemajuan yang ada di dunia ini? Selagi dia terus hidup, dia pasti dapat mengetahui jawapan yang dia perlukan. Dia tidak perlu tergesa-gesa.

Terdapat seorang lagi wanita tua di dalam bilik itu, seorang wanita tua yang berdiri memerhatikan ibunya. Ling Lan memandangnya dengan penuh rasa ingin tahu dan mendapati wanita itu mempunyai wajah yang baik tetapi serius dan nampaknya sangat teliti dengan keperluan ibunya. Mungkin dia bukan orang tua dalam keluarga ini, tetapi pekerja yang sudah lama berkhidmat.

Keadaan ini melegakan hati Ling Lan. Ini bermakna keluarga di mana dia dilahirkan ialah keluarga yang kaya, jadi dia tidak perlu risaukan tentang kehidupan sehariannya. Sewaktu di dunia silamnya, dia harus menghadapi kekecewaan dan kesusahan disebabkan kekurangan wang akibat penyakitnya. Dia lega kerana dia tidak perlu mengahdapi itu semua di dunia ini.

Ketika ini, Ling Lan masih lagi belum sedar, kadang kala dilahirkan dalam keluarga yang kaya boleh membawa kekecewaan dan kesusahan yang lebih hebat. Tetapi itu cerita lain, tak perlu kita bincangkan sekarang.

Setelah selesai memerhatikan keadaan sekelilingnya, Lin Lang memandang ibunya yang baring di sebelahnya sambil tersenyum lembut dan memegang tangan kecil Ling Lan. Ibunya sangat cantik. Walaupun Ling Lan perempuan, dia tetap memandang wanita itu dengan penuh terpesona.

Ling Lan berasa gembira dengan keadaan ini kerana tiada orang mahu kelihatan biasa-biasa. Kecantikan ibunya bermaksud dia juga akan membesar dengan wajah yang cantik. Walaupun dia mungkin tidak jelita seperti ibunya, dia masih akan jadi cukup cantik untuk menarik perhatian orang.

Pada ketika itu, seorang lelaki pertengahan umur, mungkin berumur 40 atau 50 tahun, berjalan ke arah katil. Itulah penjaga keluarga mereka, Ling Qin. Dia berdiri dengan hormat di sebelah katil dan berkata kepada Lan Luofeng.

"Puan, segalanya telah diuruskan dengan pihak kerajaan dan tentera. Dalam masa sebulan, pihak Persekutuan akan secara rasminya menguruskan hak mewarisi Tuan Muda Ling Lan." Nada Ling Qin bersungguh. Jika boleh, dia lebih mahu melihat Tuannya, iaitu ketua keluarga itu hidup untuk menjaga Puan dan Cik Muda. Bukan keadaan yang menyebabkan Cik Muda perlu menjalani kehidupan yang tidak normal.

Cik Muda Ling Lan? Ling Lan mendengar namanya dan semangatnya bertindak balas. Jadi di dunia ini ada budak lelaki yang berkongsi nama yang sama dengannya? Bercakap tentang nama... dia masih tidak tahu namanya di dunia ini.

Setelah mendengar berita yang disampaikan oleh Ling Qin, mata Lan Luofeng menjadi merah dan air matanya mengalir. "Ling Xiao pasti gembira dengan khabar ini."

Reaksi Lan Luofeng menyebabkan wanita tua itu menggelabah dan dengan susah payah dia akhirnya dapat menenangkan Lan Luofeng.

Lan Luofeng menyapu air matanya. Dia tahu dia perlu mengawal kesedihannya. Dia tidak boleh jatuh. Peningglan Ling Xiao dan bayinya Ling Lan memerlukan perlindungannya. Walaupun Ling Lan berjaya mewarisi segala hak Ling Xiao, namun masih banyak lagi bahaya yang menanti Ling Lan sepanjang dia membesar kelak. Lan Luofeng tahu dia tidak boleh leka.

Lan Luofeng tunduk untuk mencium pipi Ling Lan. "Ling Lan, anakku, maafkan ibu. Mulai saat ini, kamu ialah Tuan Muda dalam keluarga Ling. Kamu hanya boleh menjadi Tuan Muda dalam keluarga Ling!" Perasaan bersalah menghantui Lan Luofeng kerana dia perlu memaksa anaknya tetapi keazaman dalam jiwanya juga tidak boleh dipatahkan.

Kata-kata Lan Luofeng menyebabkan Ling Lan kelam kabut. Tuan Muda Ling Lan? Saya? Apa? Saya dilahirkan semula sebagai budak lelaki? Tidak, tidak,tidak. Saya mesti tersalah dengar ...

Mungkin Lan Luofeng telah memaksa dirinya sejak dua hari lepas kerana memikirkan Ling Lan, jadi dia terus terlena sebaik selesai berkata-kata.

Sementara itu, apabila wanita tua itu berpaling untuk melakukan sesuatu, Ling Lan perlahan-lahan menggerakkan tangannya ke bawah untuk memegang celah kakinya...

Rata! Hati Ling Lan segera tenang.

Nasib baik saya masih perempuan, katanya dalam hati. Tanpa anggota tambahan di bawah itu, dia tidak perlu hidup dalam keanehan dan kekeliruan sama ada dia lelaki atau perempuan. Dia juga tidak perlu serabut memikirkannya.

Sudah tentu Ling Lan juga gembira kerana dia masih boleh menggunakan nama Ling Lan. Lagipun dia telah dipanggil dengan nama itu selama lebih daripada dua puluh tahun, jadi agak sukar untuk dia menerimanya kalau namanya tiba-tiba ditukar.

Namun begitu, kegembiraannya tidak bertahan lama apabila digantikan dengan perasaan cemas.

Jika panggilan 'Tuan Muda' mempunyai maksud yang sama seperti di dunia silamnya, maka dia mungkin dalam masalah besar. Pasti ada sebab yang tidak dapat dielakkan yang memaksanya untuk berpakaian dan menampilkan dirinya sebagai lelaki.

Perasaan bersalah di mata ibunya sangat jelas. Namun, ibunya masih memilih jalan ini. Maksudnya situasi ini sangat teruk sehinggakan Ling Lan tidak mempunyai pilihan lain selain menjadi lelaki untuk menyelamatkan keadaan.

avataravatar
Next chapter