86 Semua Berambus, Biar Aku Nampak Hebat!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Mahaguru Altar bergerak ke sebelah biarawan Barat itu dan membuka telapak tangannya untuk menyerang sekali lagi!

'Selagi jiwa biarawan Kaukasia ini dapat dimakan oleh roh hantu milik aku, sudah cukup untuk Ku You pulih dari keadaan lemahnya,' Mahaguru Altar berfikir sendirian.

Kekuatan biarawan Barat itu telah mencapai Alam Enam Bukaan Lompatan Pintu Naga Tahap Satu, kemudian ditambah pula dengan pencapaian yang luar biasa dan kuasa mulianya. Untuk hantu ini, dia bagaikan sedang memakan sekeping daging yang membolehkan manusia menjadi abadi. Khasiat yang diperoleh dari memakan jiwa biarawan ini sangat tinggi. Selagi Hantu Jeneral Ku You boleh memakan jiwa biarawan ini, ia akan mempunyai peluang untuk naik ke satu tahap alam!

'Aku tidak boleh biarkan biarawan ini terlepas.' 

Walaupun racun di badan Mahaguru Altar membuatkan dia bertambah lemah, dia tetap perlu menewaskan biarawan Barat ini!

Telapak tangan Mahaguru Altar sekali lagi memukul badan biarawan itu dengan qi sejati yang merembes keluar dari tangannya. Pukulan sekuat ini sudah cukup untuk membuat lubang pada badan biarawan itu.

"Bang!" Walau bagaimanapun, apabila tangannya menyentuh badan biarawan itu, bunyi hentakan logam dapat didengari.

Dia hanya melihat jubah biarawan itu menggelembung seperti sebiji bola yang dipam dengan angin yang melindungi tubuh badan di sebalik jubah itu. Beratus-ratus baris kitab suci muncul dari jubah itu yang menyebabkan lapisan kilauan logam mengalir pada jubah yang nampak biasa ini.

Jubah yang nampak biasa ini ialah khazanah ajaib pertahanan dan telah berjaya menyekat pukul tapak tangan Mahaguru Altar! Qi sejati yang diseru dan pendinding perisai yang diukir di dalamnya telah melemahkan setiap pukulan tapak tangan yang dilemparkan kepadanya.

Biarawan Barat itu tidak mendapat apa-apa kecederaan pada dirinya.

Laluan hidup yang para pertapa inginkan ialah hidup yang panjang. Oleh sebab itu, mereka menghargai hidup yang mereka lalui sekarang ini secara umumnya.

Bagi individu yang melalui jalan ini, hanya dengan kekal hidup dapat memberikan mereka kesempatan untuk menjalani kehidupan yang panjang. Mereka tidak mempunyai apa-apa lagi jika mereka mati!

Sebagai seorang pertapa, kenapa dia tidak mempunyai khazanah mempertahankan diri ajaib pada tubuhnya?

Dia tidak terkecuali daripada mendapatkannya walaupun dia seorang lelaki dari tanah asing!

Jubah pada tubuh biarawan Barat itu bukan sahaja dapat mempertahankan pemiliknya, tetapi ia juga boleh mengawal suhu permukaan badan secara automatik. Kos pengeluarannya juga tidak tinggi. Satu barangan yang hebat untuk harga yang rendah.

Segala-galanya masih berfungsi dengan baik kecuali satu kecacatan kecil. Pendinding pertahanan jubah ini memerlukan pengaktifan secara manual dari biarawan Barat.

Oleh itu, apabila Mahaguru Altar melancarkan serangan menyelinap ke atasnya, dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk bertindak. Pertahanan pada jubah itu tidak dapat diaktifkan. 

Mahaguru Altar mengerutkan dahi dan mendengus dengan dingin kerana serangan tapak tangannya tidak memberikan kesan yang kuat. "Aku akan pastikan kau mati!"

Saat Mahaguru Altar sedang bercakap, telapak tangannya berubah menjadi cengkaman kuku. 'Cakaran Hantu Pemarah' yang akan dilontarkan olehnya itu sangat berguna untuk memecahkan tenaga qi pelindung dan memperkuat pertahanan. Mahaguru Altar meluru ke arah jubah biarawan itu.

Walau bagaimanapun... cakarannya itu hanya mampu mencakar udara!

Biarawan Barat tidak duduk dan menunggu saat kematiannya. Setelah dia mengalami serangan menyelinap dan terjatuh ke lantai, dia memakan pil penyembuhan secara diam-diam. Sekarang, dia telah mengumpulkan kekuatan yang cukup untuk melarikan diri.

Sewaktu jubahnya membentuk bebola pertahanan, kedua-dua tangannya menampar lantai dan tubuhnya melayang seperti bola getah. Walaupun posturnya tidak nampak anggun, kelajuannya akan membuat orang ramai yang melihatnya terkelu lidah.

Cakaran dari Mahaguru Altar dikeluarkan selepas biarawan itu bertindak.

Pada masa yang sama, tubuh biarawan itu melantun dari gerabak ini. Dalam sekelip mata, dia sudah terbang melintasi jarak sejauh tiga gerabak.

Selagi salah satu pintu gerabak boleh dibuka, dia akan dapat melepaskan diri.

"Hari yang malang," biarawan Barat bergumam kepada dirinya sendiri.

Musuhnya itu mempunyai qi sejati dari Mahaguru Agung Tahap Dua. Jika dia cuba berlawan dengan musuh itu secara terburu-buru, dia pasti akan tewas sepenuhnya tanpa peluang untuk terus hidup. Daripada semua perancangan dan strategi yang telah dibuat, mundur ialah pilihan paling sesuai buatnya pada masa sekarang. Selagi dia dapat melepaskan diri dari cengkaman pertapa jahat ini, dia dapat mengumpulkan sekumpulan pertapa lama dan datang untuk membalas dendam bagi serangan telapak tangan yang dia terima hari ini.

Saat dia sedang melantun, biarawan itu kembali ke gerabak Song Shuhang.

Semua penumpang terkejut sambil melihat ke arah biarawan itu kerana mereka tidak faham mengapa dia tiba-tiba kembali.

Lagi satu, kenapa tubuhnya mengembang seperti bola?

Pada masa ini, buat apa biarawan Barat ini menghabiskan masa melawan musuhnya? Dia berguling dan berdiri saat kedua-dua gelang jubah di badannya mengeluarkan dua aliran gas putih dan jubahnya kembali menjadi bentuk yang asal.

Tidak lama selepas itu, dia berlari ke arah pintu dan mengetuk pemegang manual. Dia menggunakan kekerasan untuk memutar pemegang dan membuka pintu.

"Kepada sesiapa yang tidak mahu mati, keluar dari gerabak ini cepat!" biarawan Barat itu menjerit ke arah penumpang.

Dia tidak mempunyai masa untuk menjelaskan dan tidak peduli jika semua penumpang dapat mendengar suaranya atau tidak. Walau apa pun, dia telah melakukan tugasnya dan tidak peduli sama ada mereka mahu percaya cakapnya atau tidak.

❄❄❄ 

Song Shuhang dan keluarga loli itu berdiri berdekatan dengan pintu kabin.

Loli itu telah menyorok di belakang ayahnya sambil memegang tangan ibunya.

Ibu muda itu menggunakan bahasa Mandarin yang keras dan bertanya. "Patutkah kita semua... keluar dari gerabak ini?"

Lelaki berbaju putih itu mengangguk dan berkata, "Mari kita keluar dari sini!"

Sebelum ini, mereka telah menyaksikan biarawan Barat itu menghilangkan sihir ilusi dan beberapa orang daripada mereka percaya dia seorang biarawan tua. Walaupun dia seorang lelaki dari tanah asing, semua itu tidak penting.

Lelaki berbaju putih itu merasakan dia masih muda dan dia tidak mahu mati. Oleh itu, dia memutuskan untuk mendengar kata-kata biarawan itu dan keluar dari gerabak itu dengan cepat.

"Adik, mari kita keluar dari sini bersama-sama." Dia bercakap kepada Song Shuhang.

Bagaimanapun, Song Shuhang menggelengkan kepalanya dengan lembut. "Sudah terlambat…"

"?" Lelaki berbaju putih itu memandangnya dengan hairan.

Song Shuhang mengecilkan matanya sambil jari-jemarinya menggenggam tiga azimat pada tangannya. Tadi, ketika biarawan Barat itu membuka pintu gerabak secara manual, dia tahu yang semuanya sudah terlambat. Dia yang berada dalam keadaan berwaspada dapat merasakan dalam masa tiga saat setelah biarawan itu masuk ke gerabak kereta apinya, tenaga negatif dari hantu mengikuti dia.

Apabila biarawan Barat itu menutup pertahanan jubahnya dan cuba membuka pintu kabin secara manual, tenaga negatif hantu itu telah menyelubungi keseluruhan gerabaknya. Sihir ilusi telah dilemparkan ke seluruh gerabak tanpa disedari sesiapapun.

Biarawan Barat itu menyangka yang dia sudah membuka pintu kabin, tetapi sebenarnya, dia hanya memegang pemegang pintu tergantung dalam kabin itu dan memutarnya. Pintu kereta itu tidak terbuka.

"Tinggallah dengan saya, dan jangan pergi." Song Shuhang bercakap kepada lelaki berbaju putih dengan lembut dan menarik dua azimat dengan tenang. Dia mengambil 'Azimat Pedang' dan 'Azimat Perisai', kemudian meletaknya di dalam poket supaya mudah untuk dia menariknya pada bila-bila masa.

Satu susuk tubuh yang berwajah pucat memasuki gerabak dengan perlahan sambil bercakap dan menyeringai dengan dingin. "Kau tidak akan terlepas dari tangan aku, biarawan."

Wajah biarawan itu berubah secara drastik saat dia menyebut 'Oh tak guna!' dalam hatinya.

Dia menghalakan tangannya ke arah pintu yang terbuka itu. Dalam pandangannya, pintu itu telah dibuka dan landasan kereta api berada di luar. Tetapi apa yang dia sentuh hanyalah dinding yang sejuk.

'Alamak, nampaknya aku masih terkena ilusi!'

"Kau masih mahu larikah? Masih ada banyak lagi gerabak di belakang kita dan kau boleh terus berlari. Aku tidak terburu-buru." Mahaguru Altar menyeringai dingin dan merapatkan jarinya.

Empat hantu yang marah keluar dari tangannya dan memusnahkan semua kamera pengawasan di dalam gerabak.

Tidak lama selepas itu, separuh badan jeneral hantu itu masuk ke dalam kereta. Ilusi yang telah lama digunakan itu meletus dan menyelubungi semua penumpang.

Ketakutan ditunjukkan di mata semua penumpang dan satu demi satu penumpang mula pengsan.

"Tak guna!" biarawan berteriak dengan marah kerana dia tidak dapat melarikan diri.

Jubah lebarnya itu bergetar ketakutan dan alu Vajra melorot keluar kemudian terjatuh di tangannya.

'Aku perlu pertaruhkan semua itu!

'Walaupun aku mati, aku perlu buat lelaki ini cedera teruk.'

Ketika itu, saat penumpang-penumpang pengsan satu demi satu, lelaki berbaju putih, ibu muda dan anak kecil itu menunjukkan wajah terkejut ketika mereka pengsan. Para penumpang telah mengalami pelbagai seksaan yang menakutkan dalam ilusi dan menghasilkan tenaga negatif yang tulen seperti seram dan ketakutan.

Sekiranya keadaan ini berterusan, pihak Jeneral Hantu Ku You akan dapat menyerap lebih banyak tenaga negatif dan menjadi lebih kuat. Dengan kecederaan yang biarawan itu sedang alami, dia akan ditewaskan dengan mudah.

Jika dia tidak mempertaruhkan semua kekuatannya pada masa ini, dia tidak akan mempunyai peluang untuk bebas dari pertarungan ini.

Biarawan Barat itu mengambil nafas panjang saat qi dan darah pada Bukaan Mata, Hidung, Telinga dan Mulutnya bergema dengan qi dan darah di dalam Bukaan Jantungnya.

Dia menggunakan qi dan darah badannya untuk sementara waktu bagi menahan kecederaan belakangnya daripada menjadi lebih buruk. Biarawan itu mencengkam alu Vajra dengan kedua tangannya sambil mengambil langkah ke depan. Pada masa ini, dia telah menaikkan auranya ke tahap tertinggi!

Dia melakukan beberapa perkiraan. Dia hanya mempunyai kekuatan untuk satu atau dua serangan.

"Argh!" biarawan Barat itu melompat saat kedua-dua tangannya menaikkan alu Vajra dan meluru ke arah Mahaguru Altar dengan sepenuh tenaga.

Inilah cara untuk menggunakan alu sebagai senjata. Gunakan kekuatan sepenuhnya. Semua kaedah lain tidak berguna.

"Haha, kau yang sudah hampir mati itu nampak sangat menyelerakan. Hebat!" Mahaguru Altar tidak cuba mengelak kerana Jeneral Hantu Ku You di belakangnya menghulurkan kedua tangannya yang berubah menjadi cakaran kuku hantu besar sambil melindungi Mahaguru Altar dengan rapat.

Alu Vajra biarawan itu bertembung dengan cakaran kuku hantu besar itu, tetapi hanya satu percikan api halus dihasilkan.

Jeneral Hantu Ku You yang sedang beransur-ansur pulih itu mempunyai kekuatan Tahap Kedua.

Serangan biarawan Barat tidak membahayakan lawannya, tetapi sebaliknya menyebabkan biarawan itu tercampak ke dinding gerabak kerana anjalan yang dihasilkan oleh kuasa cakaran kuku hantu. Dengan serangan itu, kecederaan belakangnya menjadi semakin teruk.

"Dengan memakan kau, Ku You pasti akan dapat memecahkan tahap alamnya sekarang. Masanya sudah tiba untuk aku mendapat nasib yang lebih baik!" Mahaguru Altar melemparkan senyuman jahat.

"Bedebah," biarawan Barat mengetap giginya dan berasa putus asa.

Sekarang ini, semua penumpang di dalam kabin telah hampir pengsan sepenuhnya, kecuali seorang pemuda bertubuh kecil di tengah-tengah gerabak.

Pemuda itu menunjukkan ekspresi wajah yang tenang dan tubuhnya mengeluarkan aura yang luar biasa.

Satu saat kemudian, anak muda itu tiba-tiba tersenyum. Selepas itu, dia menarik sebuah loket dari belakang dan menyentapnya dengan mudah.

"Ding!"

Bunyi tajam dan jelas bergema dari loket itu.

Bunyinya kedengaran lembut juga...

avataravatar
Next chapter