webnovel

Su Qianci memandang Yu Lili dengan serius dan berkata, "Kamu tahu kan bagaimana saya waktu kita bersekolah. Dulu kamu selalu warnakan rambut dengan pelbagai warna. Kalau kamu warnakan rambut kamu merah, saya pun akan warnakan rambut saya merah. Kalau kamu warnakan kuning, saya juga akan warnakan kuning. Kalau kamu warnakan hijau, saya pun turut gunakan warna sama. Kamu masih ingat?"

Yu Lili tersenyum sebaik terkenang masa lalu itu dan mengangguk. "Waktu itu saya hanya warnakannya dengan warna lembut supaya mudah dicuci. Sebelum sekolah memeriksa, saya dah cuci rambut saya. Tapi kamu masih kekalkan rambut berwarna itu. Akhirnya cikgu disiplin bawa kamu ke pejabat dan suruh kamu warnakannya hitam kembali…" Yu Lili ketawa mengingat kejadian masa lalu itu. "Macam mana kamu boleh begitu bodoh? Mana ada orang ubah warna rambut setiap hari? Hahaha…" 

Su Qianci memuncungkan bibir dan berkata dengan marah, "Berani kamu cakap begitu? Kamu yang buatkan saya terseksa waktu itu. Selepas saya warnakan rambut saya hitam kembali, ia dah rosak teruk. Rambut saya mula gugur dengan banyak dan membuatkan saya sangat hodoh."

"Hahaha…"

"Tapi saya sangat suka dan kagumi kamu. Disebabkan ramai orang sukakan kamu, saya juga belajar dari kamu. Kamu angkuh dan suka mengarah, tapi kamu tetap terkenal di kalangan pelajar. Saya cuba tiru gaya kamu tapi saya dibenci oleh mereka… Sakit hati betul bila teringat waktu itu…" Ketika itu ramai orang mengetawakannya dan mengatakan dia cuba meniru Yu Lili.

"Kamu bodoh betul!" Yu Lili tersenyum gembira. Senyumannya bersinar seperti bintang-bintang.

Su Qianci turut ketawa. "Kamu sangat cantik dan disayangi ramai. Kenapa kamu kagum dengan saya? Saya dari dulu lagi sangat kagum dengan kamu, Lili. Bukan saya saja, malah ramai orang kagum dan juga cemburu dengan kamu, contohnya Liu Anan dan Lin Wanting. Dulu mereka selalu cuba kenakan kamu, tapi kamu selalu dapat mengenakan mereka kembali. Ramai rakan sekelas kita yang sokong kamu dan cakap kamu lakukan perkara yang betul. Saya tak akan pernah dapat lakukan apa yang kamu lakukan. Kamu dah sempurna, kenapa perlu kagumi saya?"

Yu Lili memandang riak wajah Su Qianci dengan fikiran yang sedikit bingung.

Benarkah? Rupa-rupanya ketika saya sedang mengagumi Qianqian, dia juga mengagumi saya.

Kesedihan dan kekecewaannya seakan hilang dan Yu Lili bertukar ceria. Dia memandang wanita cantik dan berseri di hadapannya lalu tersenyum penuh ikhlas. "Terima kasih, Qianqian." 

Mendengar kata-kata itu, Su Qianci turut memandang Yu Lili sambil tersenyum lembut dan berkata, "Mari kita makan."

Selesai makan, Su Qianci membawa Yu Lili ke hotel yang didudukinya.

Su Qianci dan Li Sicheng menyewa suite di tingkat teratas hotel itu. Hanya ada dua suite di tingkat teratas hotel lima bintang itu, satu di bahagian utara dan satu lagi di bahagian selatan.

Su Qianci dan Yu Lili membawa banyak barang. Disebabkan Yu Lili amat keletihan, dia hanya membawa satu pertiga daripada barang-barang itu. Su Qianci membawa selebihnya. Selepas tiba di tingkat teratas itu, dia membawa Yu Lili ke suite di bahagian selatan. Yu Lili menyangka Su Qianci akan mengeluarkan kad untuk masuk ke suite itu, tetapi sebaliknya Su Qianci menekan loceng pintu. Selepas loceng itu berbunyi beberapa kali, kedengaran bunyi tapak kaki seseorang dari dalam.

Yu Lili mendapat firasat buruk lalu berundur perlahan. Pintu itu terbuka. Ou Ming muncul dengan wajah yang kelihatan letih. Kolar bajunya terbuka dan tubuhnya yang tinggi bersandar pada pintu, kelihatan malas dan santai. Namun lelaki seperti ini amat menarik perhatian wanita.

Mata berwarna kuning kemerahannya tertumpu kepada Yu Lili. Sebaik menyedari pandangan Ou Ming, jantung Yu Lili terus berdegup kencang. Kemudian dia menoleh ke arah Su Qianci dan bertanya, "Qianqian, boleh saya tidur dengan kamu malam ini?"