webnovel

Perkahwinan Kita Telah Rasmi Ddn Sempurna

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng memandangnya sekilas dan berkata, "Kamu nak Atuk tahu kita sedang bergaduh?"

"Saya…" Tapi mereka memang sedang bergaduh!

Belum sempat Su Qianci menjawab, Li Sicheng menyambung, "Kamu tahu kenapa Atuk nak datang tinggal di sini?"

"Kenapa?"

"Atuk suka makan gula-gula, tapi disebabkan dia ada darah tinggi, ayah tak benarkan dia makan. Jadi dia putuskan untuk lari dari rumah."

Su Qianci terkejut. "Betulkah?"

"Kamu boleh tanya Atuk sendiri."

Kalau dia tanya, pasti Atuk tidak akan mengaku… Atuk dah terlalu tua untuk berperangai kebudak-budakan, tetapi… Apabila melihat riak wajah Li Sicheng yang serius, Su Qianci tidak percaya lelaki itu akan berbohong kepadanya. Li Sicheng melihat wajah Su Qianci yang masih ragu-ragu dan menyambung memindahkan barang-barang Su Qianci ke bilik tidur utama.

"Tunggu dulu!" Su Qianci sakit hati dengan perbuatan Li Sicheng. "Saya akan pindahkannya sendiri. Saya nak tidur di bilik tetamu."

Mendengar kata-kata itu, Li Sicheng berhenti dan berpaling ke arah Su Qianci. "Kenapa? Kamu akan buat Atuk susah hati."

"Saya pasti Atuk akan faham."

"Apa yang dia perlu faham? Kamu nak beritahu dia pasangan sejoli ini sedang bergaduh?"

Pasangan sejoli… Wajah Su Qianci kemerahan ketika dia menghentakkan kakinya dan menjerit, "Kita bukan pasangan sejoli!"

Li Sicheng mencebikkan bibirnya dan berkata, "Dah tentulah kita pasangan sejoli. Jangan lupa perkahwinan kita rasmi dan dah disempurnakan dengan persetubuhan."

"Kamu…" Su Qianci terkedu, wajahnya merah padam seperti udang yang dibakar. Sudah tentulah perkahwinan mereka rasmi. Tetapi bagaimana lelaki itu boleh menyebut "disempurnakan dengan persetubuhan" tanpa sedikit pun rasa malu? Su Qianci agak terkejut dengan ketebalan muka Li Sicheng.

"Baiklah," Li Sicheng mencubit hidung Su Qianci dan berkata, "Atuk akan sampai kejap lagi. Kita perlu buat dia rasa selesa di sini."

Su Qianci yang berasa malu bercampur marah turun ke tingkat bawah bersama begnya. Li Sicheng yang bersalah… tetapi lelaki itu membuatkan seolah-olah dia yang bersikap tidak munasabah. Sungguh tidak tahu malu!

"Ahhhh!" Su Qianci tersangat marah sehingga melemparkan begnya ke arah pintu.

Li Xun terkejut apabila melihat beg itu ketika dia mahu masuk ke dalam rumah.

Dia mengutip beg itu dan berjalan masuk dengan senyuman, lalu melihat Su Qianci yang sedang marah. "Kenapa? Kamu nampak marah."

Sebaik melihat Atuk, kemarahan Su Qianci mula reda dan dia memanggil, "Atuk."

Di belakang Kapten Li, seorang lelaki muda sedang membawa beg atuk ke dalam rumah. Tetapi apa yang menghairankan, angin Atuk kelihatan baik-baik sahaja…

Su Qianci berasa hairan dan bertanya, "Atuk, betulkah Atuk lari dari rumah?"

Kapten Li kebingungan. "Atuk? Lari?"

Mata Su Qianci terkebil-kebil. Ketika dia baru sahaja mahu bertanya lebih lanjut, satu suara kedengaran di belakangnya. "Ayah buatkan Atuk marah, jadi Atuk datang cari cucu dia untuk dapatkan ketenangan. Atuk, itu sebabnya Atuk lari, kan?"

Atuk kelihatan seperti baru memahami sesuatu dan terus mengangguk. "Betul apa Li Sicheng cakap…"

Lidah Su Qianci kelu. Apa maksud Atuk… Adakah itu bukan perkara sebenar?