Li Sicheng langsung tidak takut dengan ugutan itu. Dia hanya ketawa kecil lalu berbisik, "Marilah, tendang saya."
Su Qianci melepaskan tumbukan namun tangannya segera ditangkap oleh Li Sicheng. Suaminya itu memulas lengannya lalu menahannya pada almari itu. Li Sicheng menghidu leher Su Qianci lalu ketawa kecil sebaik menyedari beberapa lapisan bedak yang disapu isterinya.
Wajah Su Qianci bertambah kemerahan lalu dia menolak suaminya dengan kuat sambil cuba menyepaknya. "Berhenti ketawa! Ini semua disebabkan kamu!"
Mata Li Sicheng bertukar dalam. Dia memegang wajah Su Qianci lalu terus mencium isterinya itu dengan sepenuh hati. Lututnya ditekan di antara paha Su Qianci dan dia memeluk isterinya erat tanpa mahu melepaskannya. Su Qianci kelihatan sedikit gerun lalu menolak Li Sicheng dan menggeleng.
Li Sicheng tersenyum dan menggigit bibir isterinya. "Tukarlah pakaian."
Su Qianci menolak Li Sicheng dengan wajah kemerahan lalu mengambil baju panjang bercorak bunga yang berwarna hijau muda dari almari. Kemudian dia berjinjing bagi mencari pakaian dalam di bahagian atas almari itu. Tetapi belum sempat menemuinya, satu tangan yang besar terlebih dahulu mengambilnya. Li Sicheng bertanya, "Cari ini?"
Su Qianci mengambilnya lalu menolak Li Sicheng. "Pergilah, saya nak tukar pakaian!"
"Tak mahu pergi. Ada sesuatu pada tubuh kamu yang saya belum lihat?" Usik Li Sicheng sambil mengangkat keningnya. "Bukan saja lihat, malah saya dah sentuh dan cium semuanya. Kenapa kamu malu?"
Wajah Su Qianci bertambah kemerahan sebaik mendengar kata-kata itu. Dia menolak Li Sicheng dengan marah lalu masuk ke bilik air bersama pakaian untuk disalin.
Li Sicheng hanya ketawa melihat isterinya berlalu ke bilik air. Dia menjumpai sepasang selipar di dalam almari kasut dan meletakkannya di atas lantai. Ketika tunduk, tanpa sengaja Li Sicheng menjumpai pakaian dan kasut-kasut lamanya yang masih berada di situ. Ketika dia menghilangkan diri, waktu itu musim bunga dan kebanyakan bajunya berlengan panjang. Jelas semua pakaiannya telah dijaga dengan baik. Kesemuanya masih kelihatan baru. Kebanyakan pakaian itu ialah sut dan kemeja formal, malah tali leher juga masih tersusun dengan kemas. Hati Li Sicheng berasa hangat dan pandangannya bertukar lembut. Apabila dia menoleh ke belakang, Su Qianci sudah siap berpakaian dan baru sahaja keluar dari bilik air.
Baju panjang tanpa lengan itu membuatkan Su Qianci kelihatan ayu. Rambutnya yang panjang hingga paras pinggang dibahagi dua dan membuatkan kecantikannya semakin menyerlah. Su Qianci melihat selipar yang diletakkan di atas lantai lalu menyarungnya dan berkata, "Mari pergi."
"Okey."
Pasangan itu keluar bersama-sama ke ruang tamu. Liu Sao yang sudah pernah melalui semua itu amat bertimbang-rasa dengan langsung tidak memandang atau bertanya apa-apa kepada mereka.
Li Jianqian, Li Jianyue dan Li Mosen sedang duduk di sofa ruang tamu sambil masing-masing menggalas beg kecil dan menjilat gula-gula. Gula-gula Li Jianyue paling besar. Sebaik melihat ibu bapanya keluar, Li Jianyue menjilat sekali gula-gula itu dan terus turun dari sofa dengan riang sebelum berlari ke arah mereka. "Mama, Papa! Kita boleh pergi sekarang?"
Li Sicheng mendukung anaknya itu dan mengelap tepi mulutnya yang berlengas. Kemudian dia berbisik, "Selepas Mama makan baru kita pergi. Kalau Mama tak sarapan nanti Mama lapar."
Mata gadis kecil itu terkebil-kebil sebelum dia menggesa ibunya, "Mama pergi sarapan!"
"Tak apa. Saya boleh makan di sana." Su Qianci berjalan ke arah pintu sambil memimpin tangan Li Mosen dan Li Jianqian. "Jom."
Liu Sao memberikan sebotol yogurt kepada Su Qianci. "Minum ini dulu sebagai alas perut."
Su Qianci mengambil yogurt itu dan mengucapkan terima kasih. Kemudian dia menoleh ke arah anak-anaknya. "Jom pergi berkelah!"
"Berkelah!" jerit Li Jianyue sambil melambai-lambai menggunakan gula-gulanya.