735 Lelaki Selalu Dahagakan Wajah Baru

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ini membuatkan Su Qianci berasa amat kecewa. Akhirnya dia sudah tidak dapat bersabar. Dia mengambil telefon bimbitnya dan menghubungi Li Sicheng. Ketika ini jam sembilan pagi di Maldives. Li Sicheng mengambil masa yang lama untuk menjawab panggilan itu.

Suara Li Sicheng kedengaran mengantuk seakan baru terjaga daripada tidur. Suaranya dalam dan perlahan seperti biasa. "Apa yang berlaku?" Ayat pertama yang keluar dari mulutnya bukanlah 'helo', bukan 'sayang', bukan 'Puan Li', tetapi 'apa yang berlaku'.

Sebaik mendengar soalan itu, mata Su Qianci terus menjadi hangat dan bergenang. Suaranya seakan tersekat oleh sesuatu dan dia berasa pedih.

"Li Sicheng," panggil Su Qianci dengan sedikit teresak. Dia tidak memanggil sayang atau Encik Li, tetapi Li Sicheng. Dia jarang memanggil nama penuh suaminya. Ini ialah petanda dia sedang marah atau anginnya tidak baik. 

Walau bagaimanapun, Li Sicheng hanya menjawab dengan suara mengantuk, "Ya."

Hati Su Qianci terasa pedih. Nampaknya Li Sicheng tidak perasan… atau sengaja berpura-pura tidak perasan. Su Qianci cuba menenangkan dirinya dan bertanya, "Apa yang kamu sedang buat?"

"Tidur."

"Kamu ke mana untuk trip perniagaan?"

"Dublin."

Dublin, ibu kota Ireland. Li Sicheng mengatakan akan membawanya ke Ireland untuk majlis perkahwinan besar-besaran. Tapi… tapi… Sekarang Li Sicheng pergi seorang diri dan meninggalkan dirinya dan anak-anak mereka di Maldives. Kenapa? Su Qianci merasakan hatinya pedih dan mahu menangis. Tuhan sahaja yang tahu asalkan Li Sicheng memberinya penjelasan, dia boleh menipu dirinya sendiri dan percaya kepada suaminya itu. Tetapi sekarang… dia berasa amat tidak keruan. Apa beza sikapnya sekarang dengan wanita lain yang selalu menyiasat suami mereka? 

Kedua-dua mereka terdiam dalam suasana yang janggal.

Kedengaran hentaman lembut di sebelah sana dan suara Li Sicheng masih perlahan dan mengantuk. Dia berkata, "Sekarang jam empat pagi di sini. Saya mengantuk."

Su Qianci merasakan hatinya teramat pedih. Tanpa berkata apa-apa, dia terus memutuskan talian. Ketika itu juga dia mendapati air mata sudah bergenangan di matanya. Sebaik sahaja matanya berkelip, air mata terus menuruni pipinya. Perasaannya amat kacau-bilau.

Percutian yang telah ditunggu-tunggunya telah menjadi tidak bermakna disebabkan ketiadaan Li Sicheng. Lebih-lebih lagi suaminya itu langsung tidak memberi apa-apa penjelasan mahupun menghubunginya. Su Qianci berasa tidak berdaya.

Ketiga-tiga anaknya sedang bermain bola bersama sekumpulan kanak-kanak lain. Mereka berlari-lari dengan riang terutama Li Jianyue. Ketawa riang Li Jianyue dapat didengar dari jauh. Su Qianci memerhatikan anak-anaknya lalu menenangkan dirinya. Dia membuka forum ibu yang selalu dibukanya tetapi tidak pernah membuat apa-apa hantaran di situ.

Laman web forum itu diwujudkan oleh Lu Yihan. Jumlah penggunanya agak ramai dan Su Qianci telah dijadikan moderator di ruangan gosip.

Su Qianci menekan pada 'hantaran baru' dan menaip, "Apa situasi yang menyebabkan lelaki bosan kepada isterinya?"

Hantaran itu terus mendapat banyak komen.

[Ibu beruang]: Wah moderator akhirnya buat hantaran! Banyak situasinya. Contohnya, isterinya dah jadi hodoh, tubuhnya sudah tidak mantap, kulitnya sudah tidak halus, atau disebabkan mereka dah lama berkahwin. Tiada sebab tertentu untuk lelaki berasa bosan sebenarnya.

[Wanita mengandung yang besar]: Jika cinta sudah tiada, bermakna ia tiada. Lelaki selalu dahagakan wajah baru dan mudah bosan!

[Tiada wajah]: Wahai moderator, dalam keadaan ini, mungkin ia hanya kerana kamu tolak permintaan dia dan buatkan dia berasa bosan. Jadi pergilah cari orang lain dan hati-hati.

avataravatar
Next chapter