webnovel

Dia Terlalu Licik

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Rong Anna memeluk Rong Rui dan menangis. "Tolong jaga Mama dan Papa saya. Kamu juga jangan lupa pulang ke rumah. Mama Papa kamu sangat rindukan kamu."

"Baik," jawab Rong Rui sambil menepuk-nepuk belakang Rong Anna. Dia meleraikan pelukan itu lalu mengeluarkan dompetnya dan mengambil beberapa wang kertas. "Tak banyak, tapi simpan dan guna baik-baik."

Rong Anna mengambilnya dengan air mata yang berlinangan di pipi. "Jaga diri!"

"Saya harap kita dapat jumpa nanti, Anna," kata Rong Rui dengan mata yang sedikit kemerahan. "Kamu akan sentiasa jadi adik saya." Selepas itu dia menoleh ke arah Bo Xiao. "Jaga dia baik-baik."

"Pasti." Bo Xiao mengangguk lalu menghampiri mereka dan menarik tangan Rong Anna. "Mari pergi, kita akan tertangkap kalau terus bertangguh. Saya langsung tak sangka si Li Sicheng jahanam itu punya rancangan sebegitu licik." 

"Sepupu, kalau kamu mampu, bantu saya balas dendam!" kata Rong Anna. "Saya amat percayakan dia dan tak sangka dia akan permainkan kami. Dia terlalu licik!"

"Okey, saya akan cuba yang terbaik." Rong Rui memandang Rong Anna dan keberatan untuk melepaskan sepupunya itu pergi, tetapi tetap berkata, "Pergilah, jangan tunggu lama lagi."

Rong Anna dan Bo Xiao mengangguk. Rong Rui mengalihkan keretanya dan memberi laluan untuk mereka pergi. Dia berasa tenang melihat kereta sport itu meluncur pergi. Selepas memadamkan putung rokoknya dan menyalakan yang baru, Rong Rui memusingkan keretanya dan memandu pulang ke rumah.

Apabila dia tiba di rumahnya, Cheng You sudah tertidur dan anak mereka yang diletakkan di dalam buaian juga turut tidur.

Rong Rui menghampiri isterinya lalu mencium wajah itu sebelum bibirnya bergerak perlahan ke bibir Cheng You. Cheng You memalingkan wajahnya dan mengerang lalu terjaga. "Banyaknya kamu hisap rokok. Pergi berus gigi!" Kemudian Cheng You melihat jam loceng di atas meja sisi. Dia terkejut melihat jam menunjukkan sudah pukul lima pagi. "Kamu baru balik? Mana kamu pergi?"

Rong Rui menggeliat tanpa menghiraukan kemarahan Cheng You lalu duduk di atas katil itu dan memeluk isterinya. "Ada urusan penting."

"Urusan apa? Kenapa kamu merokok banyak sangat?" Cheng You menolaknya tetapi Rong Rui langsung tidak bergerak. "Kamu susah hatikah?"

Rong Rui memeluk Cheng You lebih erat lalu berbisik, "Mood saya semakin baik bila lihat kamu." Sepantas kilat bibirnya telah berada di bibir Cheng You.

Cheng You memukul suaminya. "Bau rokok terlalu kuat. Anak kita masih kecil, jangan bagi dia terhidu. Pergi mandi!"

"Baik, ibu kepada anak saya!" Rong Rui bangun, tetapi kemudian mendekatkan wajah mereka. "Satu lagi ciuman."

Cheng You cuba menyepaknya. "Pergi!"

Walau bagaimanapun, Rong Rui melarikan diri dengan pantas dan kaki Cheng You tidak sempat menyentuhnya. Cheng You mendengar bunyi suaminya ketawa bangga kemudian bunyi pintu bilik air ditutup. Riak wajahnya yang marah bertukar senyuman. Mereka telah berhubungan selama lebih empat tahun dan berkahwin selama setahun, jadi Rong Rui telah berusia lebih dari 30 tahun. Tetapi lelaki itu menjadi semakin tidak matang dari sehari ke sehari dan membuatkannya pening.

"Sedih betul. Kenapa saya perlu jaga dua orang budak kecil seorang diri…"

*****

[Ekspres Pagi Kingstown: Pada jam 9.51pm semalam, enam geng pengedar dadah terbesar berjaya ditumpaskan dan sejumlah besar dadah dan senjata api berjaya disita. Dalang di sebaliknya ialah Cik Tang, pengarah urusan syarikat TL iaitu sebuah syarikat domestik terkenal yang telah bankrap baru-baru ini. Sumber dalaman memaklumkan Tang mempunyai hubungan yang rapat dengan Tang Zhenghao, seorang penjenayah penipuan ekonomi yang dikehendaki polis pada empat tahun lalu. Hasil siasatan mendapati identiti sebenar Cik Tang ialah Tang Mengying yang telah melarikan diri dari Hospital Sakit Jiwa Kingstown beberapa tahun yang lalu.]

Next chapter