53 Belilah Jika Kamu Suka

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Tak mengapa. Guna kad saya."

Lin Wanting mengangguk dan tersenyum gembira. "Baik, terima kasih Qianci."

"Sama-sama. Kita kawan bukan?"

Su Qianci mengukir senyuman, tetapi matanya seperti punya maksud tersirat. Selepas dia membayar aiskrim, mereka berjalan-jalan di dalam pusat membeli belah itu. Lin Wanting yang sedang memegang aiskrim berasa seperti sudah mendapat kembali duit yang dibayar untuk minuman di kafe, dan Su Qianci kembali berada dalam kawalannya. Lin Wanting tahu Su Qianci selalu memberikan barang secara percuma. Sewaktu sekolah menengah, ketika Su Qianci masih lagi miskin, dia akan memberikan semua wangnya kepada Lin Wanting setelah dipujuk rayu dengan kata-kata manis. Jadi apabila dia sudah kaya sekarang…

Lin Wanting memikirkan cara untuk menyuruh Su Qianci membelikannya sehelai baju. Mana-mana pakaian di dalam plaza ini berharga tidak kurang daripada seratus ribu. Jika Su Qianci memberikan dia pakaian dengan percuma, jadi perjalanan Lin Wanting tidak sia-sia. Sambil berfikir tentang rancangannya, Lin Wanting memegang lengan Su Qianci dan berbual mesra dengannya.

Plaza ini sememangnya sebuah pusat membeli belah yang istimewa di Kingstown kerana harganya yang sangat tinggi.

Su Qianci tahu apa yang sedang difikirkan oleh Lin Wanting tetapi tidak menunjukkan apa-apa reaksi di wajahnya. Su Qianci terus berjalan dan secara tidak sengaja masuk ke dalam kedai mewah tempat Tang Mengying selalu membawanya pergi pada kehidupan lepas. Pakaian-pakaian di dalam kedai tersebut bukan sahaja mahal, tetapi terlalu matang. Almari pakaian Su Qianci penuh dengan pakaian daripada jenama ini, kesemuanya gelap dan kelihatan matang. Lin Wanting terpegun apabila melihat kemewahan pakaian di kedai itu. Gaun-gaun di situ kesemuanya panjang dan cantik.

"Cantiknya!" luah Lin Wanting.

Su Qianci tersenyum sinis melihat tingkah laku Lin Wanting. Dia sendiri telah memberikan reaksi yang sama pada kali pertama dia masuk ke kedai itu. Dia telah terpukau dengan keindahan pakaian yang ada dan tidak ambil tahu sama ada ia sesuai dengan usia dan perwatakannya. Malang sekali, dia membeli kesemua pakaian yang disyorkan oleh Tang Mengying. Kelakuan Lin Wanting sama persis dirinya yang dahulu, dan Su Qianci hampir dapat melihat dirinya sendiri dalam Lin Wanting.

Li Wanting kelihatan seperti tidak layak untuk berada di tempat itu. Sebelum Su Qianci sempat berkata apa-apa, Lin Wanting telah meluru masuk ke dalam kedai tersebut. Ketika dia berjalan masuk, pembantu-pembantu kedai langsung tidak berganjak. Namun, sebaik sahaja Su Qianci mengekorinya masuk, salah seorang daripada mereka segera menyapa Su Qianci.

Lin Wanting terus mengambil sehelai baju hitam. Ia sangat cantik dan kelihatan berat. Dia cuba memakainya lalu berpusing-pusing dan tersenyum, "Bagaimana?"

Su Qianci mengangguk. "Cantik."

Tetapi pakaian itu sebenarnya kelihatan sangat matang. Ia membuatkan gadis berusia dua puluh tahun itu seperti sudah tiga puluh tahun. Namun, itulah yang dimahukan oleh Su Qianci. Pada kehidupan lalu, Lin Wanting telah menganiayai dirinya, jadi tidak salah baginya untuk membalasnya kembali. Pembantu kedai datang dengan pantas untuk memuji dan membuatkan Lin Wanting tersangat gembira.

"Belilah jika kamu suka."

Lin Wanting mengangguk. Dia sangat menyukai pakaian tersebut. Jahitan dan rekaannya adalah sesuatu yang dia tidak pernah lihat sebelum ini. Dia juga tidak pernah membayangkan akan dapat memakai sesuatu seperti ini. Pembantu kedai tersebut sangat peramah. Tetapi, ayat terakhir daripadanya telah membuatkan Lin Wanting sangat terkejut.

"Baju ini tidak begitu mahal. Cuma RM288,000 sahaja. Ia amat sesuai untuk kamu!"

avataravatar
Next chapter