webnovel

Serangan Bayangan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas Pejuang Gunung Buas itu keluar, sebelum sempat Shi Feng menelitinya, ia sudah melemparkan Kapak Pemecah Gunung yang berat tiada tandingannya. Kapak itu terbang seperti roket, mendekati Shi Feng dengan sekelip mata.

Semuanya berlaku dengan sangat pantas, secara tiba-tiba. Jika dia seorang pemain biasa dalam situasi ini, kepalanya mungkin sudah bercerai daripada badanny sebelum sempat melakukan apa-apa.

Namun, Shi Feng tidak selemah pemain biasa. Dia menghunus Bilah Neraka dengan sangat pantas, dan sewaktu kapak itu hampir sahaja terkena pada lehernya, dia terus Menangkis kapak berbahaya yang sedang terbang itu.

Pelanggaran antara kapak gergasi itu dengan pedang panjangnya tidak menghasilkan sebarang percikan, namun satu bunyi letupan yang terhasil.

Seluruh badan Shi Feng melayang ke belakang melebihi jarak sepuluh ela.

Berikutan itu, kapak gergasi yang melantun itu tercacak atas tanah, jauh terbenam ke dalam bumi. Jatuhan itu mengakibatkan bumi bergegar. Dari situ dia dapat melihat betapa beratnya kapak gergasi ini. Lebih-lebih lagi, Pejuang Gunung Buas yang seakan bersahaja melontarkan kapak gergasinya membuatkan situasi bertambah gerun.

Kekuatan seperti itu mustahil hanya satu Tahap lebih tinggi berbanding Penengkar Gunung Buas yang biasa.

Selepas mendarat, Shi Feng dengan segera menggunakan Mata Pemerhati terhadap raksasa baru itu.

[Pahlawan Gunung Buas] (Elit Istimewa)

Tahap 10

HP 3500/3500

Shi Feng terus memahami kekuatan Pahlawan Gunung Buas selepas melihat nombor yang dipamerkan itu. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia terus berpusing ke belakang dan lari.

Kelakar. Berhadapan secara terus dengan Elit Istimewa Tahap 10 boleh dipanggil kerja gila. Selepas berjumpa Elit Istimewa dalam Hutan Cahaya Bulan, para pemain tidak perlu mengambil tahu samada mereka mampu membunuhnya atau tidak, sebaliknya boleh atau tidak mereka lari daripada mereka.

Pahlawan Gunung Buas itu jauh lebih kuat berbanding Pejuang Gunung Buas yang biasa sebanyak lebih daripada dua kali ganda. Bukan sahaja dalam Kekuatan, malah kelajuan dan kelenturannya turut bertambah dengan sangat banyak. Tidak mudah untuk mempermainkannya seperti Pejuang Gunung Buas yang lain. Jika Shi Feng tidak sempat menggunakan Tangkis untuk bertahan daripada kapak gergasi tadi, walaupun dia menahannya dengan Bilah Neraka sekali pun, dia tentu akan mati. Jurang kekuatan mereka terlalu besar.

Walaupun Shi Feng berniat untuk melarikan diri, Pahlawan Gunung Buas tidak akan membenarkan penceroboh melarikan diri dengan mudah. Ia menggunakan Rempuhan untuk mengejar Shi Feng, mengutip kembali kapak gergasi yang tercacak itu dalam perjalanan. Cara ia mengambil senjata itu seolah-olah dia mengutip daun, dengan mudah sekali.

Melihat Pahlawan Gunung Buas itu menggunakan Rempuh, Shi Feng tahu dia tidak mampu bertahan lagi. Dia memusingkan badannya ke belakang di tengah-tengah udara, menghalakan hujung bilahnya pada Pahlawan Gunung Buas itu.

Pengikat Neraka!

Dengan sekelip mata, Pahlawan Gunung Buas yang sedang meluru ke arahnya itu diikat oleh rantai hitam pekat. Ia langsung tidak mampu bergerak, dan hanya boleh merenung pada Shi Feng sahaja.

Shi Feng tidak berani untuk berada di situ lama-lama. Dia mengaktifkan Langkah Angin, meninggalkan kawasan kem itu dengan pantas dan menghilangkan diri dalam hutan batu.

Dengan tambahan kelajuan daripada Langkah Angin, Pahlawan Gunung Buas itu tidak berpeluang untuk menangkap Shi Feng.

Dua puluh saat kemudian...

"Akhirnya berjaya melepaskan diri." Shi Feng berpaling untuk melihat ke belakang, lalu melihat Pahlawan Gunung Buas itu telah berpusing ke belakang dan kembali pulang ke dalam kemnya. Sewaktu itu, Shi Feng menghelakan nafas lega. Jika ia terus mengejarnya, Langkah Angin Shi Feng pasti sudah tamat tempoh.

Nasibnya betul-betul malang. Terdapat seekor Elit Istimewa dalam kawasan kem. Dalam kehidupannya yang lepas, tiada satu pun kem raksasa yang dijaga oleh Elit Istimewa. Cuma raksasa Elit biasa sahaja. Shi Feng berasa rugi kerana kehilangan Peti Harta Karun Besi-Misteri.

Ketika ini, sistem komunikasi Si Hitam tiba.

"Abang Feng, kesemua ahli kumpulan sudah mencapai Tahap 4. Tambahan pula, kami mendapat banyak bijih, peralatan, dan buku kemahiran. Semua orang sudah mempelajari beberapa teknik baru, dan kekuatan kami telah banyak meningkat. Malangnya, kelajuan kami menaikkan tahap dengan memburu Gnome menjadi semakin perlahan. Bila abang akan datang ke sini untuk membawa kami masuk ke dalam Mod Neraka Hutan Maut? Semangat berlawan kami sedang membara sekarang, dan kami hanya tunggu arahan daripada abang," Si Hitam berkata sambil tertawa.

"Kamu semua sudah capai Tahap 4?" Shi Feng berfikir, cuba memikirkan tugasan seterusnya untuk Si Hitam dan yang lain. Selepas berfikir dalam-dalam, Shi Feng teringat satu tempat yang bagus, "Si Hitam, kamu semua boleh hentikan buruan dan kembali semula ke bandar untuk mengemas beg. Pergi ke kawasan Tahap 5, Hutan Daun Merah. Ikut petunjuk ini dan buru Serigala Hutan. Daging Serigala dan Kulit Serigala merupakan bahan yang baik. Lebih banyak kamu dapatkan, lagi bagus, kerana semua dapatan itu boleh dijual, menebalkan dompet kamu."

Dengan potensi Si Hitam dan yang lain, memburu Serigala Hutan menjadi satu tugasan yang mudah. Perkara ini benar apabila melihat pada peralatan Si Hitam. 400 HP raksasa boleh lenyap dengan hanya tiga Panah Gelap. Lagipun, lokasi yang Shi Feng berikan tadi merupakan Sarang Serigala. Kadar hidup semula di sana sangat cepat, dan di kawasan itu juga ada tanah tinggi untuk Si Hitam dan yang lain bertapak. Selagi Cola dan Salji Sepi menghalang dengan kemas laluan naik ke tanah tinggi itu, ahli kumpulan jarak jauh boleh memberikan kemusnahan dengan mudah. Lebih-lebih lagi, Haiwan Buas1 takut dengan api, dan mendapat kemusnahan tambahan apabila terkena serangan berunsurkan api. Satu Api Neraka boleh menghapuskan segerombolan serigala. Kelajuan menaikkan tahap pasti bertambah sekurang-kurangnya 60% ke 70%.

"Terbaik! Kami telah bosan memburu Gnome sahaja. Kami akan segera ke sana selepas mengemas beg kami," Si Hitam dengan gembiranya bersetuju. Semakin ramai pemain yang mula bergerak ke lokasi mereka untuk memburu Gnome sekarang. Sebagai tambahan kepada mereka yang sudah Bertahap 4, kecekapan menaikkan tahap akan sentiasa berkurangan. Mereka tentunya teruja mendapat lokasi baru untuk memburu.

"Kawan-kawan, siap sedia! Kita tidak perlu bersaing dengan mereka lagi. Mari kita main di tempat yang baru," Si Hitam berkata kepada ahli kumpulan yang lain selepas memutuskan panggilan tadi.

Semua orang pun berhenti berlawan raksasa dengan sewaktu mendengar kata-kata Si Hitam tadi. Mereka beredar dari tempat ini dengan gembira sekali bersama-sama Si Hitam.

Kumpulan Elit nampak pemergian Si Hitam dan rakannya yang lain, muka mereka menampakkan satu ekspresi yang gembira. Semakin berkurang pemain yang berada di sini untuk bersaing mendapatkan kawasan untuk menaikkan tahap yang berharga ini. Mereka mengutuk kebodohan kumpulan Si Hitam dalam diam. Kini, para pemain sedang memenuhi seluruh Lembah Bulan Gelap. Bagaimana kelajuan menaikkan tahap di lokasi lain lebih laju berbanding di kawasan ini?

Pada masa yang sama, baru sahaja Shi Feng bersedia mencari Pejuang Gunung Buas yang lain, dia ternampak satu masalah daripada perbualan dengan Si Hitam sebentar tadi.

Mustahil untuk dia membunuh Pahlawan Gunung Buas sendirian, tetapi dia boleh sahaja menyelamatkan diri. Namun, tidak semestinya dia perlu membunuh Pahlawan Gunung Buas baru dia boleh mendapatkan Peti Harta Karun Besi-Misteri.

Selagi ada orang dapat mengumpan Pahlawan Gunung Buas, dia boleh masuk dan buka Peti Harta Karun.

Memikirkan hal ini, Shi Feng melihat pada Bilah Neraka dengan satu senyuman terukir di wajahnya.

Seperti sangkaannya, Serangan Bayangan merupakan kemahiran yang berkuasa.

Selepas itu, Shi Feng sekali lagi pergi ke kem Gunung Buas. Dia mengaktifkan Serangan Bayangan, diri penduanya muncul di hadapan.

Diri penduanya itu memiliki semua kemahiran Shi Feng. Hal ini sudah memadai untuk menahan Pahlawan Gunung Buas untuk tempoh masa selama lebih dua puluh saat. Dengan masa dua puluh saat itu, Shi Feng dapat membuka Peti Harta Karun itu dan mengambil keluar semua barangan yang berada di dalamnya.

Shi Feng mengeluarkan Skrol Kelajuan dan Skrol Tukar Bentuk, memberikannya kepada diri pendua itu. Skrol Tukar Bentuk itu dapat menukar bentuk raksasa bawah Tahap 15 kepada seekor kambing selama 4 saat. Namun, tempoh berkesan kepada seekor Elit Istimewa akan berkurang dengan banyak. Walaupun, ia sudah memadai selagi mana dapat membantu mengganggu Rempuhan Pahlawan Gunung Buas.

Selepas mengaktifkan Skrol Kelajuan, diri pendua Shi Feng terus pergi ke dalam rumah stor untuk mengumpan Pahlawan Gunung Buas.

Seperti yang dijangka, senario seperti yang sebelum ini berulang kembali, dan pendua itu menggunakan Tangkisan untuk menahan kapak gergasi yang dilontarkan itu. Ia kemudiannya menggunakan Rempuhan pada penduanya itu. Diri penduanya segera menggunakan Skrol Tukar Bentuk, dengan sekelip mata menukarkan Pahlawan Gunung Buas menjadi seekor kambing putih yang kecil.

Pahlawan Gunung Buas itu kembali ke bentuk asal kurang daripada satu saat. Dia kemudiannya mengejar pendua Shi Feng itu, yang masuk jauh ke dalam hutan batu. Kelajuan Pahlawan Gunung Buas lebih pantas sedikit berbanding pendua itu, tetapi pendua Shi Feng menggunakan Langkah Angin, kelajuan dan jarak antara mereka kian bertambah.

Pada jarak yang jauh, Shi Feng melihat Pahlawan Gunung Buas yang keluar daripada kawasan kem. Dia ketawa, lalu menggunakan Langkah Angin untuk bergegas masuk ke dalam rumah stor.

Kali ini, tiada seekor raksasa pun yang hadir untuk mengganggu dia masuk ke dalam rumah stor. Shi Feng mula naik ke tingkat atas untuk mencari Peti Harta Karun Besi-Misteri, segera membukanya.

1 saat... 2 saat...

Garisan muat turun untuk Peti Harta Karun masih dalam proses, menyebabkan Shi Feng sedikit gelisah. Waktu diri penduanya untuk mengganggu sangat terhad. Selain Peti Harta Karun Besi-Misteri, terdapat satu lagi Peti Harta Karun Gangsa dan tiga lagi Peti Harta Karun Biasa. Masa itu emas. Jika dia membuka Peti Harta Karun sekarang, mustahil untuk dia mengumpan harimau keluar dari sarangnya untuk masa akan datang. Lagipun, Elit Istimewa mempunyai kepintaran mereka tersendiri.

"Cepat, cepat..." Shi Feng dengan tidak sabar melihat pada garisan muat turun.

Sepuluh saat kemudian, Peti Harta Karun Besi-Misteri telah terbuka.

Pada masa yang sama, satu ngauman penuh kemarahan datang dari arah hutan batu. Nampaknya muslihat Shi Feng telah terbongkar.

Melihat menerusi pandangan penduanya, Shi Feng dapat melihat Pahlawan Gunung Buas itu tidak lagi memberikan sebarang perhatian terhadap penduanya. Sebaliknya, dia terus berlari balik ke arah rumah stor kemnya.

Tanpa berlengah masa, Shi Feng segera menyimpan semua barang yang terdapat dalam Peti Harta Karun masuk ke dalam begnya. Dia kemudiannya kembali membuka Peti Gangsa pula.

Garisan muat turun Peti Harta Karun Gangsa berjalan dengan perlahan. Bagi Shi Feng, setiap saat berlalu dengan sangat perlahan.

Dalam pada itu, bunyi ngauman Pahlawan Gunung Buas semakin hampir...

Next chapter