webnovel

Menjumpai Seorang Kenalan

Editor: EndlessFantasy Translation

Sementara semua orang mengucapkan tahniah kepada Ling Feilong, Ling Feilong pula menjeling ke arah salah satu penjuru bilik darjah, di mana Shi Feng berada. Matanya menyimpan rasa tidak puas hati terhadap Shi Feng apabila memandangnya.

Dia merupakan kebanggaan kelas, lebih-lebih lagi seorang selebriti masa depan. Namun, seorang pelajar lemah seperti Shi Feng langsung tidak berniat mengampunya?

Setelah puas diampu, Ling Feilong membenarkan rakan-rakannya pulang ke tempat duduk masing-masing.

"Terima kasih semua atas sokongan anda. Tolong senyap seketika. Saya hadir hari ini kerana ada hal yang saya ingin bincangkan," kata Ling Feilong.

Setelah mendengari ucapan Ling Feilong, kesemua mereka memasang telinga. Shi Feng masih tidak berminat terhadap isu Ling Feilong.

"Ia berkenaan perakuan sekolah." Ling Feilong berkata dengan tenang, "Semua orang tahu betapa taksubnya saya terhadap bertempur. Namun, markah saya di sekolah kurang memuaskan, dan hal ini telah mengganggu perakuan saya. Jadi, saya mengharapkan seseorang di sini untuk melepaskan tempatnya. Pihak sekolah telah pun bersetuju, jadi saya di sini untuk membincangkan hal ini dengan awak semua."

"Abang Long, ini cuma hal remeh. Ia cuma perakuan. Sebagai orang kebanggaan kelas, selagi Abang Long yang memintanya, pasti ada orang dalam kelas yang sanggup melepaskan tempatnya," kata seorang pelajar lelaki kaki bodek.

Walaupun kesemua pelajar dalam kelas bersetuju dengan kata-katanya, tiada pula sesiapa yang sanggup melepaskan perakuan mereka.

Realitinya, mencari pekerjaan terlalu sukar. Sekeping perakuan lebih bernilai berbanding latar belakang pembelajaran seseorang apabila bekerja dalam sesebuah syarikat besar. Jika mereka melepaskannya, apa sahaja yang boleh mereka buat kelak?

Bagi mereka yang dari awal tidak layak menerima perakuan pula, sudah tentu lebih mudah untuk berada dalam keadaan selamat. Mereka terus menjadi batu api dan mencucuk yang lain seolah-olah berdarah panas.

Air muka Ling Feilong muram sedikit apabila dia melihat tiada sesiapa yang mengambil ikhtiar.

"Memandangkan semua orang bertindak dengan cukup proaktif, tak cantiklah kalau saya yang memilih. Apa kata kita angkat tangan dan mengundi," cadang Ling Feilong sambil tersenyum.

"Idea yang bagus! Abang Feilong paling bijak!"

"Jadi, mari kita mengundi!"

Para lelaki berdarah panas semua berdiri satu persatu, air muka mereka semua menunjukkan keseronokan, keseronokan ke atas nasib malang orang lain.

Shi Feng, yang duduk di sebelah dinding, tiba-tiba ceria setelah melihat suasana ini.

Sial! Jadi mereka inilah yang mencuri perakuan aku!

Api dengki tercetus dalam hati Shi Feng. Betapa bodohnya dia dalam hayat lampaunya kerana benar-benar telah bekerjasama dengan Ling Feilong. Dalam hidup ini pula, jangan harap. Jika Ling Feilong ingin menyusahkannya dalam hidup ini, dia tidak mungkin dipersalahkan jika bertindak setimpal dengannya.

Mungkin ini sambungan pada hayat lampaunya, tetapi keputusan undian tidak berubah sama sekali. Para pelajar terus meletakkan Shi Feng atas 'takhta'.

"Rakanku Shi Feng, awak sungguh bertuah! Saya berasa sedikit iri hati!"

"Awak akan dijaga Abang Long dari sekarang; awak mesti bersyukur terhadap kami."

Semua pelajar mula mengucapkan tahniah kepada Shi Feng seolah-olah dia baru memenangi loteri lima juta Kredit.

"Rakanku, Shi Feng, terima kasih, sungguh. Nanti lepas sekolah, mari ikut saya pergi minum di Bar Daun Maple," Ling Feilong senyum sinis. Dia langsung tidak memandang Shi Feng. Tiada sedikit pun rasa terhutang budi pada nadanya, hanya penghinaan. Berikutan itu, dia melihat para pelajar yang lain, dan berkata, "Sudah tentu yang lain juga dijemput. Mari kita berseronok hari ini."

"Tunggu sekejap," kata Shi Feng tiba-tiba.

Tiba-tiba, semua orang mengalihkan perhatian terhadap Shi Feng. Jika Shi Feng tidak bersuara dengan aktif, mereka tentu sudah lama melupakannya.

"Boleh saya tahu kalau Shi Feng mahu berkata apa-apa?" Ling Feilong memandang Shi Feng, sambil tersenyum.

"Saya tak akan setuju. Jadi kenapa awak semua berseronok tiba-tiba?" Shi Feng menjeling Ling Feilong, dan berkata, "Kalau ada sesiapa yang berhajat melepaskan perakuan mereka, bagi sajalah. Apapun terjadi, saya tak akan melepaskan perakuan saya. Kalau tiada hal lain, saya minta diri dulu."

Tiba-tiba, seluruh bilik darjah menjadi senyap. Tiada sesiapapun yang boleh menyangka Shi Feng, yang sentiasa dibuli pelajar kelas lain, benar-benar telah memberontak terhadap Ling Feilong. Pertunjukannya kini sangat luar biasa. Tak takutkah Shi Feng akan balasan dendam Ling Feilong?

Ling Feilong juga terkejut, bukan kerana tindakan Shi Feng, tetapi kerana kebodohan Shi Feng.

Ingat dia senang-senang boleh menahan perakuannya dengan hanya berkata-kata?

Keputusan ini telah dicapai melalui undian seluruh bilik darjah. Tiada maknanya jika Shi Feng membantah. Tiba masanya, universiti masih akan memberinya perakuan. Walaupun keputusannya tidak dapat diubah, Shi Feng masih memilih untuk menentangnya buta-buta.

Bodohkah Shi Feng ini? Gilakah dia?

Sebaik sahaja Ling Feilong hendak mengambil tindakan, suara yang tidak sabar memanggil dari luar pintu.

"Adik Long, belum habis ke? Abang Zhang tak suka menunggu."

Seorang pemuda tinggi berambut perang memasuki bilik. Di belakangnya terdapat seorang gadis menawan yang berpakaian seksi dan mencolok mata. Mereka berdua menyebabkan iri hati pelajar lelaki yang lain.

Shi Feng menjeling, dan menyedari orang ini sebenarnya seorang 'kenalan'.

Pemuda tinggi berambut perang ini kebetulannya ialah Harimau Berapi. Nama sebenarnya ialah Zhou Yuhu, dan dia merupakan pelajar universiti tahun keempat, hampir sama seperti Shi Feng. Orang ini mempunyai bakat yang menakjubkan, dan dia berjaya memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan tempur universitinya kali ini. Manakala, perempuan yang memukau di sisinya juga merupakan kenalan Shi Feng. Namanya Qin Shuyu, dan dia merupakan rakan sekelas Shi Feng semasa sekolah menengah dahulu; dia juga merupakan kesayangan rakan sekelasnya ketika itu.

Shi Feng betul-betul buta semasa zaman lampaunya. Muda dan mentah, dia sebenarnya benar-benar tertarik oleh Qin Shuyu, sehingga berani meluahkan rasa cintanya kepadanya. Akan tetapi, sudah tentu dia ditolak. Setelah memasuki universiti, Qin Shuyu telah menjadi teman wanita Zhou Yuhu. Qin Shuyu juga pernah memberitahu Zhou Yuhu tentang luahan hati Shi Feng. Hasilnya, Shi Feng kerap 'dikerjakan' oleh para pelajar dari kelas lain. Setelah Shi Feng menyertai Bayang-Bayang, dia kerap dihantar untuk menjalankan pelbagai tugas yang tidak masuk akal, lantas membantutkan pertumbuhannya dalam Kawasan Tuhan.

"Abang Hu, kenapa awak datang sini? Saya akan terus beredar selepas saya selesaikan urusan saya di sini." Apabila Ling Feilong ternampak orang yang tiba, dia menghampirinya dengan penuh hormat dan senyuman.

"Berapa lama lagi? Aku bukannya ada banyak masa untuk buang," Zhou Yuhu mengerut dahinya, dan bercakap dengan tidak sabar. Dia telah diasingkan daripada tugas-tugasnya sebagai Ketua Pasukan hari ini, semuanya kerana watak Ye Feng itu, dan dia baru sahaja naik ke Tahap 2. Setelah itu, dia juga telah dimaki oleh Abang Zhang. Peristiwa-peristiwa ini telah menyebabkan hatinya menjadi betul-betul jengkel.

"Dua, tiga minit cukuplah." Balas Ling Feilong. Dia berpandangan mengajar Shi Feng cara-cara menjadi manusia bukanlah satu masalah besar.

"Bagus, kalau macam tu, cepatlah," suruh Zhou Yuhu.

Kini, pandangan mata Qin Shuyu jatuh pada Shi Feng. Air mukanya tiba-tiba bertukar menjadi masam. Dia tidak menganggap Shi Feng secara baik langsung. Dia bukannya ada wang atau kuasa. Tiada sedikit pun rasa keselamatan atau kekuatan daripadanya. Apabila dibandingkan dengan Zhou Yuhu, beza antara mereka berdua seperti langit dan bumi. Berani Shi Feng meluahkan perasaannya terhadapnya tanpa memikirkan harga dirinya. Dia berasa dihina, dan hasilnya, dia telah diejek perempuan lain.

Melihat kejijikan pada muka Qin Shuyu, Zhao Yuhu mencapai dagunya dengan tangan kuatnya, dan berkata dengan nada mengusik, "Sayang, saya kerjakan dia terus ya, kalau tak nanti dia tunjuk muka pada awak lagi."

Qin Shuyu senyum sedikit sambil mengangguk, tanpa niat untuk menghalang Zhou Yuhu.

"Hei budak, sini kau," Zhou Yuhu menuding jari ke arah Shi Feng, dan meraung dengan kuat.

Semua orang terkejut melihat gaya Zhou Yuhu yang memaksa. Siapa sebenarnya Zhou Yuhu? Dia berkedudukan ketiga dalam pertandingan tempur sekolah. Dia jauh lebih kuat berbanding Ling Feilong yang berkedudukan kesembilan. Sekali tumbukan daripadanya cukup untuk menghantar seseorang ke hospital selama sebulan.

Ling Feilong memang sudah memahami situasi di depannya sekarang; Zhou Yuhu rasa terganggu oleh Shi Feng dan ingin mengerjakannya. Pada asalnya, dia juga mahu mengajar Shi Feng dan menunjukkan kekuatannya kepada seluruh kelasnya. Jika dia membelasah Shi Feng sekarang, bukan sahaja dia membantu diri sendiri, tetapi juga menuntut pertolongan Zhou Yuhu kelak; sambil menyelam minum air. Justeru, Ling Feilong mengambil satu langkah ke hadapan dan menawarkan dirinya," Abang Hu, tak payah awak ambil tindakan. Dari awal saya memang nak ajar budak ni. Bagi saya tiga puluh saat."

"Adik Long, jadi ini rupanya isu yang awak nak selesaikan dari dulu ya?" Zhou Yuhu memandang Shi Feng dengan hina. Dia menjilat bibirnya, dan berkata dengan senyuman dingin, "Biar aku sahaja buat. Aku pun nak longgarkan tulang aku sikit."

Setelah berkata begitu, Zhou Yuhu menghampiri Shi Feng dengan senyuman dinginnya.