webnovel

Pelajar Lemah dalam Bilik Darjah

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas mematikan panggilan, Shi Feng terus makan mi segeranya dan bergegas ke sekolah.

Sampai di jalan, Shi Feng akhirnya teringat akan peristiwa ini. Ia merupakan salah satu sebab mengapa ibu bapanya jatuh sakit tenat.

Dalam hayat lampaunya, Shi Feng dan Si Hitam telah menyertai Kesatuan Bayang-Bayang. Apabila Zhao Ruoxi memanggilnya untuk ke sekolah, dia memilih untuk bermain Kawasan Tuhan dan bukannya pergi ke sekolah. Dia menyertai Kesatuan Bayang-Bayang setelah bersusah-payah. Jika dia ingin naik pangkat dalam Bayang-Bayang, dia perlu berprestasi tinggi. Mana boleh dia memikirkan hal-hal remeh yang terjadi di bilik darjah?

Hasilnya, perakuan universitinya lenyap. Walaupun ia hanya perakuan, ia boleh membantu pelajar-pelajar mencari pekerjaan yang lebih baik. Tahap stres masyarakat terkini amat tinggi, dan pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah dicari. Perakuan sebegitu boleh menjadi batu loncatan untuk memasuki tahap-tahap tinggi sebuah syarikat.

Orang tua Shi Feng amat risau setelah mendengar tentang peristiwa ini.

Hal-hal sebegini juga memainkan peranan dalam mempengaruhi peningkatan stres mental pada ibu bapanya. Namun, ibu bapanya tidak pernah mendedahkannya kepada Shi Feng. Sebaliknya, mereka menggalakkannya. Mereka tidak ingin Shi Feng risau memikirkan hutang-hutang rumah tangga mereka. Hasilnya, mereka mengalami keletihan fizikal dan mental, dan jatuh sakit tenat setahun kemudian.

Dalam hidup ini, Shi Feng tidak ingin mengulangi bencana sebegitu, biarpun perakuan tersebut tidak berguna langsung baginya. Namun, dia juga ingin mengetahui sebab mengapa perakuannya ditolak.

Shi Feng dikira sebagai sederhana dari segi pemarkahan dalam kelas. Tiada masalah langsung untuknya mendapatkan perakuan tersebut. Dia tidak untung mahupun rugi daripadanya. Satu-satunya sebab yang boleh dia fikir, untuk situasi sebegini, adalah peristiwa yang berlaku hari ini.

Setelah memasuki universiti, Shi Feng menemui situasi yang sangat menarik.

Sekolahnya sesak. Terdapat bilangan pelajar yang luar biasa di universiti hari ini. Biasanya, bilangan orang yang ada di perkarangan sekolah tidak akan tinggi sebegini. Para pelajar biasanya akan mengulang kaji di perpustakaan atau berkumpul di luar untuk beriadah. Paling teruk sekalipun, mereka akan hanya duduk di asrama mereka dan bermain permainan. Bukan seperti sekarang, mereka biasanya tidak akan keluar untuk berjalan-jalan.

Apabila Shi Feng berjalan ke arah Blok Pelajaran 3, dia melihat bilik-bilik darjah yang biasanya kosong kini penuh dengan penghuni. Setiap bilik diisi penuh.

"Hari ini ada apa?" Shi Feng hairan.

Sebaik Shi Feng memasuki Bilik Darjah 401, dia boleh merasai suasananya sedikit pelik. Rakan-rakan sekelasnya semua mengalihkan pandangan ke arahnya, dengan air muka terperanjat. Shi Feng seolah-olah tidak wajar berada di sana, namun tetap ada di sana.

Para pelajar lelaki hanya menjeling Shi Feng. Mereka tidak menghiraukannya dan terus berborak.

Manakala, sebilangan pelajar perempuan yang berpakaian menawan memandang Shi Feng dengan air muka meluat. Akan tetapi, Shi Feng telah lama membiasakan diri dengan reaksi sebegini. Sebaik sahaja dia hendak berpusing untuk memandang mereka, mereka terus mengalihkan pandangan mereka.

"Rakan sekelasku Shi Feng, awak sudah sampai. Cari tempat duduk. Bila rakan kita Ling Feilong tiba, kehadiran kelas akan penuh." Air muka ketua kelas, Zhao Ruoxi tenang apabila bercakap dengan Shi Feng, seolah-olah semuanya demi formaliti semata-mata.

Namun, Shi Feng dapat merasai sedikit harapan dalam mata Zhao Ruoxi apabila dia berpaling untuk memandangnya. Namun, harapan tersebut bukan tertuju padanya, tetapi mungkin terhadap Ling Feilong yang diperkatakan tadi.

"Baiklah." Shi Feng mengangguk, dan memilih salah satu penjuru untuk duduk. Shi Feng terus melupakan hajatnya untuk memulakan perbualan dengan rakan sekelasnya apabila memandang air muka mereka.

Dalam situasi sebegini, Shi Feng hanya mampu senyum sinis. Dalam hayat lampaunya, dia benar-benar telah gagal menjadi seorang manusia yang berguna…

Namun, tiada apa yang boleh dibuat. Demi menjimat wang, dia tidak pernah menyertai mana-mana kumpulan pelajar mahupun acara kelas. Dia telah lama menjadi seorang hantu dalam kelas. Dalam mata rakan-rakannya, Shi Feng mungkin dipandang sebagai pemalu.

"Kenapa orang ni ada di sini?"

"Tentu ketua kelas yang bagi tahu. Tak sangka dia betul-betul datang."

"Dia cuma pelajar lemah dalam kelas. Tengok pun boleh buat aku marah. Tengok mata liciknya. Biar betul dia jatuh hati pada gadis ni? Jijik."

Para pelajar dalam kelas tersebut mula mengumpat Shi Feng. Mereka amat terkejut akan kehadiran Shi Feng. Biasanya mana mungkin Shi Feng turut serta dalam mana-mana acara, tetapi sekarang dia muncul pula. Rasa meluat mereka terhadap Shi Feng jelas pada kata-kata mereka. Nada mereka juga menunjukkan pandangan hina mereka terhadapnya. Sebabnya, Shi Feng lemah. Dia juga sering dibuli pelajar dari kelas lain. Lebih-lebih lagi, dia merupakan pelajar lemah yang sentiasa terlalu miskin untuk menyertai lawatan sambil belajar dengan rakan sekelasnya. Dapat satu kelas dengannya pun boleh menimbulkan rasa malu.

Walaupun suara mereka perlahan, Shi Feng masih boleh mendengar mereka dengan jelas. Kebarangkaliannya mereka sengaja berbuat begitu.

Belajar merupakan perkara kedua utama di mata semua orang. Yang penting, badan yang lasak. Manakan tidak, zaman sekarang berlatih badan amat dititikberatkan. Namun, badan Shi Feng yang lemah tidak sepadan dengan zaman sekarang. Jadi, memang dia menjadi orang luar dalam kelas.

Walau bagaimanapun, Shi Feng hanya mentertawakan situasi yang dialaminya. Dia tidak lagi seorang budak, jadi mengapa dia harus marah kerana perangai budak-budak ini? Kini, hatinya hanya merisaukan hal-hal mengenai perakuan tersebut.

Tidak lama kemudian, seorang pemuda sasa memasuki bilik darjah. Tingginya 1.9 meter.

Inilah Ling Feilong.

Seingat Shi Feng, Ling Feilong adalah seorang yang amat licik. Setelah dia menerima ijazahnya, dia berjaya menawan hati puteri sebuah syarikat besar. Tiga tahun kemudian, dia menjadi CEO syarikat tersebut. Namun, oleh sebab pengaruh dunia maya terhadap dunia nyata semakin menguat, Ling Feilong telah melabur dalam Kawasan Tuhan juga. Pada ketika itu, dia mencari Shi Feng, rakan sekelasnya, dengan niat untuk bekerjasama dalam Kawasan Tuhan.

Pada ketika itu, Shi Feng merupakan Kapten Kesatuan Bayang-Bayang. Dia juga Ketua Kesatuan Bayang-Bayang. Bayang-Bayang pada waktu itu dipandang sebagai kelas kedua. Namun, ia masih menguasai sebuah bandar besar dengan jumlah penduduk seramai lima ratus ribu orang.

Memandangkan mereka pernah satu kelas, Shi Feng setuju akan cadangan Ling Feilong. Kemudian, walaupun Bayang-Bayang memperoleh sebilangan wang yang besar daripada kolaborasi, Ling Feilong mendapat lebih banyak. Pada masa yang sama, Ling Feilong melatih beberapa kenalan yang kuat. Selepas itu, dia berjaya menarik hati sebuah Kesatuan kelas pertama, dan meninggalkan Bayang-Bayang.

Semua orang memandang apabila Ling Feilong memasuki bilik darjah. Para pelajar lelaki semua berdiri, menunjukkan rasa hormat mereka terhadapnya. Manakala para pelajar perempuan yang cantik memandangnya dengan pandangan bermaksud. Air muka tenang Zhao Ruoxi pun mengalami perubahan. Shi Feng mempunyai banyak pengalaman dengan perempuan dalam hayat lampaunya, jadi dia dapat melihat Zhao Ruoxi agak berminat dengan Ling Feilong.

"Kenapa ni?" Shi Feng keliru akan situasi terkini. Pelajar lain tidak mengapa, tetapi Zhao Ruoxi merupakan ketua kelas. Dia mempunyai personaliti tenang, muka bujur, badan langsing, dan status keluarganya juga bagus. Biasanya, para pelajar lelaki kelas lain dapat dilihat mengejarnya. Namun, tiada sesiapapun antara mereka dapat menarik pandangannya. Jadi, ada apa dengan Ling Feilong sehingga boleh menarik minatnya?

Mungkinkah telah dijodohkan untuk Ling Feilong menjadi watak utama dalam hidup, seorang yang dikasihi dan disenangi semua?

"Duduk semua." Seperti ketua, Ling Feilong berjalan dengan bersahaja ke podium. Dia berkata dengan penuh rasa syukur, "Terima kasih kerana hadir untuk mengucap tahniah kepada saya. Saya tidak mungkin berada di sini jika bukan kerana sokongan anda semua."

"Abang Feilong, awak terlalu rendah diri. Lebih lima ribu orang masuk pertandingan tempur sekolah, tetapi awak berjaya masuk sepuluh teratas. Awak kebanggaan kelas kita. Awak kini ada hak untuk memasuki pertandingan tempur Bandar Jin Hai tanpa perlu melepasi peringkat pemilihan. Orang biasa pasti tak mampu. Jangan lupakan kami lepas awak sudah menjadi pakar seni bela diri kelak."

"Betul tu, Abang Feilong. Kami tak sabar tengok awak muncul juara."

Para pelajar kelas menghujaninya dengan ungkapan tahniah. Ada juga segelintir pelajar perempuan yang memikirkan untuk menawarkan diri mereka kepadanya.

Shi Feng pula terkecuali.

Dia betul-betul hairan. Pada asalnya, dia ingat ada peristiwa besar yang berlaku, tetapi rupa-rupanya pertandingan tempur sekolah baru sahaja tamat. Mereka hanya ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada Ling Feilong kerana dapat menyertai pertandingan tempur tersebut.

Jika sebelumnya, Shi Feng mungkin cemburu akan Ling Feilong. Manakan tidak, pertandingan tempur sangat popular. Mereka yang dapat menyertainya lebih disanjungi daripada seorang selebriti. Hal ini kerana menyertainya amat sukar. Sistem pemilihannya amat ketat; tiga hingga empat orang yang dipilih daripada sepuluh ribu pun dilihat baik. Jika mereka ini bertempur dengan baik, mereka mungkin ditawar kontrak untuk menjadi jurucakap syarikat besar. Dengan iklan-iklan selebriti yang bakal ditawarkan, tentu mudah untuk mengumpul kekayaan. Masa depan mereka tentu cerah.

Namun, dengan popularti Kawasan Tuhan yang semakin meningkat, orang mula menjadi lebih ketagih akan perlawanan dan peperangan dalam permainan tersebut. Manakan tidak, mengalami satu perlawanan tetap merupakan pengalaman yang terbaik. Ketiadaan bahaya berlawan dalam perlawanan dalam permainan hanya menjadikannya lebih seronok. Hasilnya, ramai pakar menjadi idola pemain di Kawasan Tuhan.

Next chapter