32 Ujian Kecenderungan Sihir (Bahagian 2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

'Ingat, apabila kamu mengambil ujian intipati spiritual, kamu mesti kuatkan diri. Tahan selama lama yang kamu mampu.' Doehring Cowart berkata dengan nada serius. 'Atuk tidak mahir tentang unsur angin, jadi kamu perlu masuk ke akademi ahli sihir. Dengan tarikan intipati unsur setinggi itu, rugi jika kamu tidak berlatih unsur angin.'

Linley juga amat memahami perkara ini.

"Sila masuk ke dalam formasi ajaib." Lelaki tua botak itu menggunakan perkataan 'sila' sewaktu memanggil Linley.

Malah, golongan bangsawan yang berada hampir dengan Linley juga memandangnya dengan pandangan yang berbeza. Seseorang yang mempunyai tarikan intipati unsur yang luar biasa bermaksud dia mampu menjana daya sihir dalam masa yang singkat. Masa selebihnya boleh digunakan mengumpul tenaga spiritual. Prospek masa depannya tidak terbatas.

Linley melangkah masuk ke formasi ajaib.

Formasi ajaib itu serta-merta memancarkan aura putih, dan kemudian mula merasai sesuatu tekanan ke atas semangatnya.

Sihir unsur cahaya – Luar biasa!

'Lemahnya. Jika dibandingkan dengan kehadiran luar biasa naga hitam setengah tahun lalu, ini langsung tak mencapai tahap itu. Linley cukup tenang yang membolehkan dia memikirkan semua itu.

Semakin lama masa berlalu, semakin kuat aura formasi ajaib itu, malah kehadiran luar biasa turut menjadi lebih kuat. Semua yang berada di dalam dewan besar itu menahan nafas kerana mereka yang menyaksikannya tahu pada masa akan datang, budak lelaki berpakaian sederhana ini akan menjadi seorang ahli sihir yang berkuasa.

"Ada sesiapa yang mengenali anak muda itu? Dari puak apakah dia?" Bangsawan di barisan hadapan saling berbisik sesama sendiri.

Jika mereka bersahabat baik dengan anak muda yang mempunyai potensi yang menakjubkan itu, pada masa akan datang, mereka akan memiliki sekutu yang cukup menggerunkan.

"Namanya Linley?" Beberapa orang perekrut akademi ahli sihir mengetahui namanya daripada pentadbir ujian.

Kumpulan perekrut akademi ahli sihir yang sebelum ini duduk dan tersenyum dan berlari beramai-ramai untuk menyaksikannya. Akademi ahli sihir mana yang tidak mahu merekrut anak muda genius sepertinya?

Berdiri keseorangan di dalam formasi ajaib, Linley terus melawan kehadiran menakjubkan itu.

Nafas Linley semakin memberat, pada masa itu, seluruh fikirannya kabur. Tekanan spiritual yang menekannya sekuat gunung dan kekuatannya masih terus meningkat. Tetapi Linley tetap bertahan…

'Lebih lama saya boleh bertahan, lebih baik akademi ahli sihir yang boleh saya sertai.' Linley mengetap giginya.

Dan apabila tekanan itu mencapai tahap tertentu, Linley akhirnya tidak dapat bertahan. Dia menjatuhkan sebelah lututnya, tangannya digenggam menjadi penumbuk di atas lantai.

Semua mata bertumpu ke arah lelaki tua botak itu.

Wajahnya naik merah kegembiraan, lelaki tua botak itu lalu mengumumkan dengan suara yang jelas, "Intipati spiritual, lapan belas kali ganda lebih kuat berbanding rakan seusia. Intipati spiritual yang tinggi, daya tarikan unsur yang luar biasa."

Ketika itu, semua perekrut ahli sihir berlumba-lumba mendekati. "Helo, Linley. Saya dari Akademi Ahli Sihir Lander (Lan'de). Akademi Ahli Sihir Lander benar-benar ingin kamu menyertai akademi kami. Jika kamu mendaftar dengan kami, yuran pendidikan adalah percuma dan setiap tahun kami akan beri kamu seribu syiling emas sebagai belanja sara hidup. Malah, kami akan menjemput ahli sihir yang berkemahiran tinggi untuk memberi kamu latihan persendirian."

"Linley, saya dari Akademi Welling (We'lin). Kami…"

Apabila orang ramai mengerumuni dan melayannya dengan baik, pada mulanya Linley terkejut tetapi di dalam hatinya, dia mengeluh kekaguman. Dalam sekelip mata, ramai perekrut mengetahui namanya. Ini benar-benar mengagumkan.

"Hadirin sekalian, sila kembali ke tempat duduk anda. Kami perlu meneruskan ujian ini." Lelaki tua botak itu berkata dengan nada yang ramah.

Dia mungkin sombong kepada orang kebanyakan, tetapi dia perlu bersopan apabila berhadapan para wakil daripada akademi ahli sihir yang terkemuka.

"Linley. Institut Ernst berbesar hati ingin mempelawa kamu menjadi salah seorang pelajar kami." Dari jauh, kedengaran satu suara dan apabila dia mula bercakap, seluruh dewan menjadi sunyi. Lelaki tua botak itu turut berhenti bercakap.

Linley berpaling.

Seorang lelaki pertengahan umur berjubah putih berjalan ke arahnya. Dia berkata sambil tersenyum, "Daya tarikan unsur yang luar biasa, intipati spiritual yang tinggi dan memiliki dua unsur. Linley, institut kami sangat mengalu-alukan kehadiran kamu. Adakah kamu sudi menyertai Institut Ernst?"

Hillman yang berada berhampiran tergamam kerana terkejut. Dia segera berlari mendapatkan Linley, sangat teruja sehingga tangannya menggeletar.

Institut Ernst?

Memasuki akademi ahli sihir nombor satu di benua Yulan, Institut Ernst? Apakah maksudnya?

Ini bererti sejurus selepas tamat pengajian, walaupun dia hanya pelajar sederhana, dengan mudah dia boleh menjadi earl di mana-mana kerajaan berhampiran. Jika dia seorang pelajar cemerlang, keempat-empat empayar besar sangat mengalu-alukan dirinya.

Di seluruh benua Yulan yang luas, setiap tahun Institut Ernst hanya menerima lebih kurang 100 orang pelajar sahaja!

Seratus pelajar setiap tahun. Apakah maksudnya?

Setiap pelajar yang diterima ke dalam Institut Ernst boleh dikatakan genius!

"Linley, terima pelawaan beliau." Hillman berkata teruja.

Linley juga berasa sangat teruja tetapi fikirannya sangat jelas, dan luarannya juga kelihatan sangat tenang. Linley cukup faham jika dia menyertai Institut Ernst diikuti bimbingan Doehring Cowart, tidak akan terlalu sukar baginya untuk menjadi ahli sihir tahap ketujuh atau kelapan hanya dalam beberapa dekad.

Puaknya akan terkenal semula.

"Tuan, dengan besar hatinya saya menerima tawaran memasuki Insitut Ernst." Linley berkata dengan penuh sopan.

Terkejut dengan ketenangan Linley, lelaki berjubah putih itu tersenyum. "Linley, saya akan memaklumkan Institut tentang butiran biografi kamu. Apabila tiba masanya, bawa bukti pengenalan diri kamu ke institut dan ambil ujian kolerasi sekali lagi. Kemudian, kamu akan menjadi pelajar rasmi institut kami."

Tidak guna jika kamu cuba menggunakan orang lain untuk mengambil ujian bagi pihak kamu kerana setiap akademi tetap akan menjalankan ujian sandaran.

"Setiap tahun akademik dibahagikan kepada dua semester. Semester pertama bermula pada 09 Februari. Pastikan kamu tiba di institut pada 09 Februari dan kamu tak akan alami apa-apa masalah. Ini bukti pengenalan diri kamu. Ia juga merupakan bukti kemasukan kamu." Lelaki berjubah putih itu mengeluarkan sampul berwarna merah daripada jubahnya.

Sebenarnya, sebaik sahaja mengetahui keputusan ujian Linley, dia telah merekod semua butir Linley ke dalam kertas kerja di dalam sampul tersebut. Lelaki berjubah putih itu yakin tanpa sedikit pun keraguan tiada seorang pun yang akan menolak tawaran daripada Institut Ernst!

"Terima kasih." Linley menerima sampul tersebut.

Linley tidak menunjukkan keterujaannya tetapi Hillman sebaliknya. Pelajar Institut Ernst. Siapakah dalam kalangan mereka yang tidak akan dihormati? Pencapaian masa depan Linley sudah boleh diramalkan.

"Pak Cik Hillman, mari pergi." Linley memasukkan sampul merah itu ke dalam bajunya dan meninggalkan dewan utama itu bersama Hillman.

Walaupun sesak, semua orang yang berada di dalam dewan, daripada orang biasa kepada bangsawan, semuanya memberikan laluan kepada Linley untuk bergerak. Malah bangsawan yang memandang rendah kepadanya sekarang tersenyum ramah kepadanya. Sikap mereka sangat bagus.

Ini contoh mudah status seorang pelajar Institut Ernst!

Disaksikan para bangsawan, orang biasa dan pegawai gereja, Linley dan Hillman meninggalkan katedral.

"Decittt!" Selepas keluar dari katedral, Tikus Bebayang kecil menjerit kuat, mengesan keterujaan Linley.

Kini barulah Linley membiar keterujaan terpancar di wajahnya. Dia menggenggam tangannya buku lima, matanya bersinar penuh tenaga. Menoleh ke arah Hillman, dengan pantas dia berkata, "Pak Cik Hillman, mari pulang, ayuh kita pulang! Pulang ke pekan Wushan! Saya mahu beritahu berita ini kepada ayah saya!"

avataravatar
Next chapter