33 Buku Rahsia Latihan Darah Naga (Bahagian 1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Di pekan Wushan. Di dalam manor Baruch.

Hogg baru sahaja selesai makan tengah hari tidak lama lalu, kini sedang duduk santai di atas sofa sambil berehat membaca buku.

Dua kelibat tiba-tiba masuk ke dalam manor. Kelibat itu adalah Linley dan Hillman yang bergegas pulang dari kota Fenlai. Pada ketika itu, wajah kedua-duanya kelihatan sangat teruja. Linley mula menjerit dari jauh. "Ayah, saya sudah pulang!"

"Tuan Hogg." Hillman juga menyapa dengan teruja.

Hogg mengangkat kepalanya. Apabila melihat keterujaan di wajah Linley dan Hillman, dia dapat menjangka berita baik. Dia segera berdiri. Dia memandang Linley dan Hillman sambil bertanya dengan suara menggeletar, "Bagaimana keputusan ujian kecenderungan ahli sihir?"

Sudah terlalu lama puak Baruch berada di bawah. Puak purba ini memerlukan seorang ternama yang kuat untuk mengembalikan kegemilangannya!

"Tuan Hogg, Institut Ernst! Institut Ernst! Linley diterima masuk ke Institut Ernst!" Hillman berkata dengan bersemangat.

Hogg membatu. Pada waktu itu, Hogg merasakan seolah-olah oksigen tidak sampai ke otak kerana segalanya terasa kosong buat seketika.

"Ernst… Tuan?Tuan?" Hillman memanggil Hogg dua kali.

Hogg perlahan-lahan tersedar semula dan segera berjalan ke arah Linley dan Hillman. Dengan nada tidak percaya, Hogg berkata, "Ernst? Kamu kata Institut Ernst?" Mata Hogg tersembul keluar.

"Ayah, ini surat penerimaan dari Institut Ernst." Linley terus menyerahkan sampul surat penerimaan kepada bapanya. Hogg tergamam seketika, kemudian mengambil sampul merah itu dan mengeluarkan surat dari dalamnya. Dia membaca surat itu perlahan-lahan.

Beberapa nama ditulis dengan dakwat merah terang jelas kelihatan –"Institut Ernst", "Linley".

"Haha, hahahahaha! Nenek moyang puak Baruch, masih ada harapan buat puak kita!" Hogg tiba-tiba mendongak ke langit dan ketawa terbahak-bahak sehingga seluruh badannya terhenjut-henjut dan air mata mengalir keluar. "Masih ada harapan buat puak Baruch!"

Ketawanya yang lepas dan air matanya yang mengalir itu membuat Linley tergamam.

"Ayah…" Linley berkata dengan suara yang lembut, bimbang mengganggu bapanya.

Linley tidak pernah melihat bapanya bersikap sebegini dan air mata bapanya itu menggetarkan hatinya.

Penjaga rumah Hiri juga datang ke arah mereka. Dia juga terkejut dengan reaksi Hogg. Hiri tidak tahu apa yang telah berlaku.

Hogg menarik nafas panjang kemudian melihat Linley, matanya dipenuhi dengan keterujaan. "Bagus, bagus."

"Hillman, Pak Cik Hiri!" Hogg memandang mereka berdua. Malam ini, saya akan mengadakan jamuan. Cepat, uruskan semuanya! Malam ini, saya sangat gembira, sangat gembira. Mempunyai anak seperti Linley, walaupun saya mati, saya akan berdepan dengan nenek moyang Baruch dengan bangga."

"Baik, Tuan Hogg," serentak kedua-duanya menjawab.

"Decit decit!" Tiba-tiba, Tikus Bebayang kecil, Bebe, keluar dari baju Linley. Dia melompat ke atas bahu Linley dan memandang Hogg, mata kecilnya dipenuhi amarah.

Apabila mengesan emosi Tikus Bebayang kecil secara mental, Linley tidak tahu sama ada mahu ketawa ataupun menangis.

Rupa-rupanya, ia tertidur di dada Linley tetapi ketawa Hogg yang kuat telah membuatnya terjaga. Bayi Tikus Bebayang memang mengabiskan banyak masa dengan tidur dan tidak suka apabila sesuatu membuatnya terjaga. Pada ketika ini, dia menjadi berang.

"Tikus Bebayang. Makhluk ajaib, Tikus Bebayang?" Apabila melihat Tikus Bebayang kecil itu bersama Linley, wajah Hogg berubah secara dramatik.

"Ayah." Linley bimbang bapanya akan memukulnya, dia segera berkata, "Saya dan Tikus Bebayang kecil ini telah membuat pakatan pengikat jiwa."

Hogg terkejut besar. Dia termangu-mangu seketika seperti orang bodoh. "Kamu, kamu telah menundukkan dan menjinakkan makhluk ajaib Tikus Bebayang ini?"

Terdapat dua cara untuk menjinakkan makhluk ajaib 1) Menundukkannya secara paksa, dan 2) Menggunakan formasi ajaib pengikat jiwa.

Hogg tahu kekuatan fizikal Linley amat lemah. Dan Tikus Bebayang yang paling lemah memiliki kuasa tahap ketiga. Tambahan pula, Linley tidak mungkin dapat menyediakan formasi ajaib pengikat jiwa, jadi perkara ini mustahil berlaku.

"Benar, Ayah, saya telah menjinakkannya." Linley berkata dengan nada yang serius.

Hogg merasakan anaknya itu berubah secara mendadak, berubah sepenuhnya!

"Tuan Hogg, Linley benar-benar telah menjinakkan Tikus Bebayang itu. Saya sendiri menyaksikannya. Tikus Bebayang kecil ini juga penyebab mengapa beberapa hari lepas Linley kerap menangkap haiwan liar untuk memberi 'haiwan belaan' comel ini makan di halaman belakang," jelas Hillman.

"Dia memberi makan 'haiwan belaan' ini?" Hogg berfikir seketika, kemudian memandang Linley tidak percaya. "Makhluk ajaib Tikus Bebayang. Ini haiwan comel yang kamu beritahu ayah kamu memberinya makan di halaman belakang?"

Linley menangguk jujur.

Hogg tidak tahu sama ada mahu ketawa ataupun menangis. 'Haiwan belaan comel' yang dia maksudkan sebenarnya ialah makhluk ajaib?

Walaupun Hogg mempunyai pelbagai pertanyaan bagaimana Linley membuat pakatan pengikat jiwa dengan Tikus Bebayang kecil ini, Hogg tidak bimbang memikirkannya. Kini, dia berasa sangat gembira.

"Baiklah, cukup dengan topik itu. Pak Cik Hiri, Hillman, arahkan beberapa pengawal untuk mula menguruskan jamuan tersebut sekarang. Malam ini, saya akan mengadakan jamuan besar." Hogg ketawa dengan kuat. Kini, ketawanya kedengaran kuat dan lepas.

Linley memandang bapanya. Seingat dia, dia tidak pernah melihat bapanya segembira ini.

Malam itu.

Suasana di manor Baruch sangat riuh. Lebih sepuluh orang pengawal peribadi serta keluarga mereka juga turut dijemput. Lima meja penuh dengan tetamu berada di halaman utama manor, dan manor Baruch dipenuhi dengan gelak ketawa dan keriangan.

"Sedap, sedap." Si kecil Wharton mengambil ini, mengambil itu, dan makan dengan berselera.

"Tuan Muda Linley, tahniah kerana diterima masuk ke Institut Ernst. Pada masa akan datang, Tuan Muda Linley pasti menjadi seorang ahli sihir yang hebat dan berkuasa." Pengawal puak Baruch ketawa sambil mengajukan ucap selamat buat Linley dengan sopan.

Di dalam jamuan itu, Linley menjadi tarikan utama.

Apabila mendengar berita Linley diterima masuk ke dalam Institut Ernst, semua yang hadir menjadi sangat teruja. Semua orang tahu penerimaan masuk ke dalam Institut Ernst bererti menerima masa depan yang baik. Suatu hari nanti, Linley pasti tidak lagi akan terkongkong di pekan kecil Wushan.

"Abang, semua orang mengucapkan selamat kepada abang. Saya pun mahu." Si kecil Wharton menyambar gelas jusnya.

Melihatkan tangan berminyak si kecil Wharton, Linley tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis. Tetapi dia masih juga mengangkat gelas jusnya dan menyentuhnya ke gelas di tangan Wharton.

"Mari, kita kan adik beradik." Linley tersengih sambil mengangkat gelasnya.

Pada lewat malam, di dewan pusaka keluarga Baruch. Linley berseorangan bersama bapanya.

Pintu dewan pusaka itu tertutup dan beberapa barisan lilin dipasang di keseluruhan dewan, menjadikan dewan hangat. Pada masa ini, Hogg sedang memandang ke arah batu roh yang terletak di tengah-tengah dewan. Dengan suara rendah dia berkata, "Linley, selepas kelahiran Pahlawan Berdarah Naga yang kelima, puak kita mulai lemah dari generasi ke generasi sehingga barang pusaka keluarga kita turut dijual. Setiap kali Ayah memikirkannya, Ayah berasa sangat malu. Kita puak bangsawan Berdarah Naga!"

Linley berdiri di belakangnya diam tidak berkutik.

Dia juga turut berasa malu.

Puak purba yang wujud sejak lima ribu tahun lalu. Puak Pahlawan Berdarah Naga. Linley berasa bangga di dalam hatinya. Tetapi mereka kehilangan barangan pusaka milik puak mereka.

"Linley." Hogg berpaling dan melihat ke arah Linley dengan wajah suram. "Mulai hari ini dan hari akan datang, Ayah tak akan melayan kamu seperti kanak-kanak lagi. Ayah akan memandang kamu sebagai tunggak paling kukuh masa depan puak Baruch kita! Harapan masa depan puak kita kini bergantung kepada kamu!"

"Baik, Ayah." Linley mengangguk yakin.

"Tunggu sekejap. Ayah ingin mengambil sesuatu." Hogg tiba-tiba berpaling dan memasuki bilik rahsia di sebelah dewan pusaka. Tidak lama kemudian, dia kembali dengan sebuah buku tebal di tangannya. "Linley, ambil buku ini dan baca. Hafal kesemuanya."

"Apakah ini…?"

Linley memandang curiga ke arah buku tebal yang baru sahaja diterimanya. Tiada sebarang perkataan di kulit hadapannya tetapi apabila dia membukanya, terdapat lima perkataan bersaiz besar yang tertulis di atasnya – Buku Rahsia Latihan Darah Naga.

avataravatar
Next chapter