webnovel

Perisytiharan Diraja

Editor: EndlessFantasy Translation

Satu hari selepas hujan lebat itu berhenti, Pekan Sempadan menjadi riuh sekali lagi. Boleh dikatakan semua penduduk pekan itu sedang berkumpul di dataran tengah pekan untuk menantikan pengumumkan Putera Roland yang heboh diperkatakan itu.

Pada hari sebelumnya, Roland mengeluarkan pengumuman rasmi yang mengatakan sesiapa yang menghadirkan diri ke dataran untuk mendengar perisytiharan akan diberikan semangkuk bubur dan separuh roti. Bila mendengar kemungkinan untuk makan percuma, mereka datang berduyun-duyun pada tengah hari itu. Lebih ramai orang yang datang hari ini berbanding bilangan yang datang untuk melihat banduan digantung sampai mati.

Semasa matahari tercacak atas kepala, Roland menaiki pentas kecil yang telah disediakan.

Jika Roland berkata dia tidak rasa gementar bila mahu bercakap depan orang ramai, itu satu penipuan besar. Dalam hayat sebelum ini, dia hanya menghadap skrin komputer. Walaupun semasa menghadiri mesyuarat, dia tidak perlu bercakap dan hanya menepuk tangan sahaja. Jadi ini kali pertama dia terpaksa berucap depan orang ramai.

Tetapi demi memastikan penduduk Pekan Sempadan tinggal di situ, dia mesti menguatkan diri. Dia mesti membuat kerahan besar-besaran.

Roland mengangkat tangan dan hiruk-pikuk orang ramai terus terhenti.

Dia sudah beberapa kali berlatih untuk melakukan ini dalam kamarnya. Tapi bila tiba saat yang sebenar, kerongkongnya tiba-tiba terasa kering. "Selamat sejahtera Beta ucapkan kepada rakyat jelata Beta. Beta Roland Wimbledon, putera keempat Kerajaan Graycastle. Beta mengumpulkan anda semua ke sini bagi membuat satu perisytiharan penting."

"Empat hari lalu, duta Kubu Longsong telah datang ke Pekan Sempadan untuk menuntut penghantaran bijih daripada kita. Namun runtuhan lombong yang berlaku baru-baru ini telah menjadi satu tragedi besar buat kita. Sehingga ke hari ini, kerja-kerja melombong masih tidak boleh diteruskan seperti biasa dan ini bermakna semasa suku tahun lepas, hasil yang kita dapat hanya bersamaan dengan hasil selama dua bulan sahaja dan bukan empat bulan.

"Beta menjelaskan keadaan kita kepada duta tersebut dan meminta beliau tetap membekalkan makanan kepada Pekan Sempadan untuk empat bulan dan kita akan lunaskan hutang hasil bijih untuk baki dua bulan lagi menjelang hujung musim sejuk ini. Namun beliau menolak dan enggan bertolak-ansur. Beliau tidak mahu membekalkan makanan yang mencukupi untuk kita, seperti yang terjadi dua tahun lalu."

Orang ramai mula bersuara tanda tidak puas hati. Sudah jelas kebuluran dua tahun lalu memberikan ingatan pahit kepada mereka.

"Malah kali ini, keadaan mungkin lebih teruk lagi. Ahli nujum Kerajaan Graycastle telah memaklum kepada Beta yang musim sejuk tahun ini mungkin lebih lama berbanding tahun-tahun sebelum ini dan Bulan Kunjungan Iblis pula mungkin akan berlarutan lebih lama daripada empat bulan. Ini bermaksud bekalan makanan kita akan habis dua bulan sebelum itu. Anda semua pernah kehilangan kawan, keluarga, dan anak-anak dua tahun lepas. Sanggupkah anda kehilangan sesiapa lagi tahun ini?

"Tidak, Tuanku! Tolong selamatkan kami, Tuanku!" Satu suara nyaring bergema dari belakang himpunan orang itu dan ia diikuti jerit-pekik orang lain. "Tolong kami, Tuanku!", "Selamatkan kami, Tuanku!"

Roland gembira dia membuat keputusan yang tepat dengan mengupah beberapa pelakon untuk ucapan dia ini. Dia menaikkan kedua-dua tangannya untuk menenangkan orang ramai. "Ya, Beta takkan tinggalkan rakyat jelata Beta. Tidak seorang pun akan ditinggalkan. Adakah anda tahu, nilai sebenar bijih kita adalah jauh lebih tinggi berbanding gandum dan roti yang diberikan Kubu Longsong kepada kita? Sebelum ini kita tukarkan hasil bijih kita selama dua bulan hanya untuk mendapatkan makanan yang mencukupi selama setengah tahun. Namun kini Beta telah menjual bijih kita kepada saudagar di Bandar Raya Willow dan kapal mereka akan tiba ke Pekan Sempadan tidak lama lagi. Kapal itu akan membawa roti, keju, wain berempah, dan daging kering. Makanan yang cukup untuk semua orang sepanjang musim sejuk!"

Sorakan penduduk memenuhi udara di dataran pekan itu.

"Namun begitu, ini bermaksud tamatnya hubungan kita dengan Kubu Longsong dan mereka tidak akan menerima kita berhijrah ke sana lagi. Kita mesti melalui musim sejuk tahun ini di Pekan Sempadan. Tetapi seperti yang kita semua dapat lihat, ada tembok kota yang tinggi sedang dibina di bahagian barat Pekan Sempadan. Beta ingin memaklumkan anda semua yang anda tidak perlu risaukan ancaman daripada haiwan iblis. Mereka tidak jauh bezanya daripada haiwan liar lain dalam hutan kita. Walaupun mereka dikatakan besar dan kuat, mereka tidak akan mampu melalui tembok kota kita dan hanya akan menjadi sasaran mudah untuk dibunuh."

"Beta menyeru agar anda semua membuat pilihan sekarang. Pilih antara dua. Sama ada mahu menyorok seperti pengecut di Kubu Longsong dan mati kebuluran atau patuh pada titah Beta dan lindungilah Pekan Sempadan hingga ke titis darah terakhir demi melindungi kaum keluarga dan anak-anak kita. Beta bersumpah, jika anda semua bertahan sehingga Bulan Kunjungan Iblis berakhir, semua orang yang membantu dalam pembinaan tembok kota itu akan diberi ganjaran 25 keping perak. Dan sesiapa yang mengorbankan nyawanya demi tujuan mulia ini, keluarga mendiang akan diberi pampasan lima syiling emas!"

"Kami bersama Tuanku!" Selepas seorang pelakon upahan Roland melaungkan kata-kata itu, ia disahut dan diulangi penduduk pekan yang lain. Mereka akan berjuang sehabis-habisnya. Roland mengambil peluang ini dengan turun padang untuk mengagihkan bubur dan roti kepada mereka semua. Dia tidak menyangka semua orang akan bersetuju untuk tinggal di sini. Mulanya dia berfikir jika hanya separuh daripada penduduk pekan tinggal bersama dia, dia sudah boleh menghalang gerombolan makhluk iblis itu datang menyerang.

*******************

Petrov tidak tahu langsung Putera Roland telah memfitnah dirinya. Semasa dia pulang ke Kubu Longsong dan bersidang dengan kesemua ahli Enam Keluarga Besar itu, dia memberitahu mereka tentang usul Putera Roland. Dia disambut dengan hilai tawa.

"Jadi maksud awak, si putera hingusan itu mahu putuskan hubungan dengan kita? Dia ada hati mahu bina tembok kota sebelum musim sejuk? Saya tak tahu sama ada mahu mengagumi keberanian dia atau mengetawakan kebodohan dia."

"Keberanian Raja Wimbledon dari Graycastle memang tidak perlu diperkatakan lagi. Tapi tentang anak dia ini… Ini bukan berani namanya, tapi bodoh!"

"Yalah, dia tak ada tukang batu pun. Dia hanya kumpulkan bongkah-bongkah batu dan lumurkan lumpur di tengah-tengahnya. Tembok itu mesti akan runtuh nanti, tengok sajalah."

"Tak apa, tak apa. Ada baiknya juga. Kalau dia terpaksa lari ke Kubu Longsong sudahnya, maknanya dia terpaksa menyerahkan nasib pada kita. Kalau dia mati di Pekan Sempadan, kita sudah tak perlu hadapi kebodohan ini lagi."

"Apa pendapat awak pula, Petrov?" Pemerintah Kubu Longsong tiba-tiba menyoal dia.

Petrov tersentak dari lamunan dan termanggu sebentar. Dia tidak sangka Duke Ryan bertanyakan pendapatnya. "Uh, sebenarnya pada mulanya saya ingin teruskan perjanjian monopoli kita. Dan kalau kita boleh beli dengan harga 30% lebih murah daripada harga pasaran, ia berbaloi untuk kita. Tetapi…" Petrov menyusun hujahnya dengan pantas. "Baginda Putera Roland tidak mahu Kubu Longsong menjadi orang tengah perdagangan bijih ini sahaja. Baginda mahu menjual bijih itu pada harga 50% lebih murah daripada harga pasaran, jadi Baginda akan meningkatkan penghasilan bijih. Bila Baginda dapat gandakan penghasilan bijih, pendapatan kita akan lebih meningkat. Baginda juga mahu menjual barangan logam. Ia mendapat permintaan tinggi di mana-mana pun dan selalu laris terjual. Namun… bukan ini perkara pokoknya."

"Jadi apa perkara pokoknya?"

"Kalau baginda memang boleh mempertahankan Pekan Sempadan, ini bermanfaat pada Kubu Longsong. Kita tidak perlu habiskan begitu banyak tenaga untuk melawan makhluk iblis dan ini menjimatkan perbelanjaan kita untuk perang. Tambahan lagi, kawasan tanah antara Kubu Longsong dan Pekan Sempadan akan jatuh ke tangan kita. Kita boleh jadikannya tanah pertanian atau luaskan penempatan kita di sana dan ini akan mengurangkan kesesakan dalam kubu ini." Petrov menyampaikan hujahnya satu-persatu. "Lagipun Putera Roland takkan boleh tinggal di Pekan Sempadan selamanya. Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta hanya berkuat kuasa selama lima tahun sahaja. Selepas itu kita akan mendapat Pekan Sempadan yang lebih maju dan makmur. Kubu Longsong bakal menjadi negeri ketiga terbesar dalam kerajaan ini jika kita dapat bergabung dengan Pekan Sempadan. Oleh itu, saya nasihatkan…" Petrov mencuri pandang Duke itu lalu meneruskan kata-katanya dengan berhati-hati, "Kubu Longsong menghantar tenaga buruh untuk membina tembok kota itu dan mengerah lebih ramai pengawal untuk menjaga Pekan Sempadan."

"Bagus," kata Duke itu sambil tersenyum. "Tapi apa yang awak cakap itu hanya daripada segi perdagangan sahaja dan semua faedah itu hanya manfaat ekonomi semata-mata."

Kemudian Duke itu berdiri, memandang tiap-tiap muka yang ada di persidangan itu dan suaranya bertukar menjadi lebih rendah dan mengancam. "Saya sampai ke kedudukan setinggi ini bukan kerana manfaat ekonomi semata-mata. Kenapa saya harus bersabar dengan seseorang yang sangat mudah melawan? Kalau kita tidak menurut peraturan, kita mesti dihukum, habis cerita. Tidak kiralah jika Pekan Sempadan makmur atau tidak. Pokoknya, Pekan Sempadan adalah bidang kuasa saya dan tiada siapa boleh mencabar kuasa saya. Tiada siapa, walau Putera Roland sekalipun."