webnovel

Jawapan Tidak Terluah

Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila Roland kembali ke istana, hari sudah gelap dan salji kembali turun dengan lebat.

Dia masuk ke dalam kamar tidurnya dan menanggalkan jubah. Dia menepuk-nepuk bahagian leher jubah itu untuk membuang emping salji sebelum menggantungkannya di atas penyangkut di tepi pendiang api.

"Tuanku, Tuanku tak rasa perkara ini dikendalikan secara tergesa-gesa?"

Nightingale tiba-tiba muncul di hadapan putera itu.

"Nana, maksud awak?" Roland menuang ale untuk dirinya dan Nightingale. Walaupun minuman itu lebih pahit daripada bir yang dia biasa minum sebagai Cheng Yan dahulu, dia sudah mula dapat menerima rasanya.

Nightingale menyambut cawan yang dihulurkan Roland tetapi tidak minum. Dia hanya menanti jawapan putera itu.

"Bila lagi kalau bukan sekarang?" Roland menghabiskan airnya dalam sekali teguk sahaja dan menuang lagi. "Jika kita mahu menguatkan kuasa Nana sebelum Bulan Kunjungan Iblis, kita tidak boleh menyembunyikan identitinya sebagai ahli sihir. Dia boleh menyembuhkan kecederaan yang boleh membawa maut dengan lebih berkesan berbanding ubat herba tradisional atau kaedah pembekaman. Beta pasti rakyat jelata tentu akan sedar perkara ini."

"Mujurlah pekan kecil ini berada di luar sempadan Rantau Barat, jadi Gereja Inggeris tidak mempunyai pengaruh kuat ke atasnya. Kalau beta jadi mereka, beta pun tidak akan membelanjakan wang istana untuk memajukan tempat tandus ini," sambung Roland lagi. "Pekan ini tidak ada gereja kecil, dan para mubaligh sudah mengikut golongan bangsawan berhijrah ke Kubu Longsong lama dahulu. Apa pendapat awak tentang Pekan Sempadan sekarang? Ia ibarat pulau yang terasing dari dunia luar."

"Jadi… Tuanku sudah lama merancang semua ini?" tanya Nightingale.

Roland mengangguk. "Salji akan menimbus jalan menuju Kubu Longsong dan semua kapal yang berlabuh di jeti dikawal oleh beta. Kita ada sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memperbetulkan tanggapan orang ramai yang mengatakan semua ahli sihir jahat. Kalau kita hanya bergantung kepada berita mulut ke mulut, kesannya terhad. Jadi kita mesti serapkan pemikiran ini secara langsung, barulah kita boleh hapuskan kesalahfahaman itu."

Sebab itu dia benar-benar mahu Nana menyertainya. Dia mahu mencipta satu persona laksana Florence Nightingale dalam zaman ini.

Florence Nightingale seorang jururawat ternama yang berdedikasi menjaga askar tercedera semasa perang. Dengan usahanya, kadar kematian dikurangkan daripada 42% menjadi hanya 2%. Beliau diberi nama julukan Wanita dengan Pelita dan mengharumkan reputasi kerjaya kejururawatan.

Tapi kebolehan Nana jauh lebih ajaib. Menggunakan kuasa sakti, dia boleh menyembuhkan kecederaan parah dan memulihkan penyakit asalkan pesakit itu belum mati. Mungkin ini lebih berkesan untuk memberi semangat kepada angkatan tentera awam Pekan Sempadan berbanding mana-mana senjata.

Tambahan lagi, oleh sebab pangkat bangsawan bapanya sudah 'dilucutkan' dan dia berhubungan baik dengan pemburu serta petani, penduduk Pekan Sempadan semakin menyenangi bapa Nana. Malah Tigui Pine membenarkan anaknya bersekolah di sekolah Cikgu Karl. Bangsawan lain yang berkedudukan paling rendah sekalipun tidak akan sesekali membenarkan anak mereka bergaul dengan orang kebanyakan. Bagi mereka, orang kebanyakan itu sama tarafnya dengan haiwan.

"Adakah… adakah itu boleh berjaya?" Ahli sihir sekuat Nightingale pun tetap merasa gentar jika terpaksa berhadapan dengan kuku besi Gereja Inggeris.

"Kalau tak cuba, kita tak akan tahu."

Roland memang tidak mengharap seluruh pekan akan mengubah tanggapan mereka, tetapi sekurang-kurangnya dia mahu angkatan tentera awam yang dia tubuhkan itu dapat menerima ahli sihir. Kemudian dia akan bergantung kepada tentera-tentera tersebut yang berasal daripada rakyat biasa untuk memperbetulkan salah tanggapan rakyat jelata lain.

Tiga bulan pasti sudah cukup untuk mengubah banyak perkara.

Nightingale terdiam sebentar dan kemudian berkata perlahan, "Kenapa Tuanku bersusah-payah buat semua ini untuk ahli sihir?"

Untuk membawa kemodenan, menggenggam kuasa, menjadi raja, dan mengungguli Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta – sudah tentu itu semua jawapan yang tidak sesuai diluahkan pada waktu ini. Walaupun Roland seorang jurutera mekanikal pada hayat lalu, dia juga banyak bermain permainan GALGAME. Jadi dia boleh dikatakan berpengalaman dalam pertarungan zaman pertengahan. Pengalaman bermain permainan itu selama 20 tahun membuatkan Roland sedar dia sedang berhadapan satu soalan genting.

Dia memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan sebelum berkata, "Beta dah pernah beritahu dulu, Pekan Sempadan tidak peduli tentang latar belakang awak. Beta harap satu hari nanti, ahli sihir boleh hidup bebas sama seperti rakyat jelata lain dalam kerajaan beta."

Kali ini Nightingale membisu dengan lebih lama. Hanya bunyi gemeretak kayu api di pendiangan memecah kesunyian antara mereka. Dari tepi, tubuhnya diserlahkan Di bawah cahaya api itu, susuk tubuh Nightingale kelihatan cantik seolah satu potret menawan.

Apabila Nightingale membuka mulutnya, Roland merasakan seolah-olah masa yang terhenti tadi kembali berjalan semula. "Tetapi sebenarnya Tuanku tidak perlu buat begini." Suaranya kedengaran perlahan dan dingin. "Ampunkan patik, patik sudah berbohong kepada Tuanku… Saudara-saudara patik dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir sudah lama merayau tanpa arah tujuan. Mereka tidak mengharapkan banyak perkara. Mereka sudah cukup berpuas hati jika ada tempat yang boleh dijadikan tempat tinggal, walaupun terpaksa berkurung di dalam istana."

"Tapi apa bezanya itu dengan penjara?" Roland menggelengkan kepalanya. Tiba-tiba dia baru faham maksud sebenar Nightingale. Matanya terpaku kepada gadis itu. "Sebentar… Jadi maksud awak, sekarang awak mahu benarkan mereka datang ke sini?"

Nightingale mengeluh dan mengelak pandangan mata putera itu. "Tapi kalau Tuanku buat begitu, Tuanku akan menjadikan Gereja Inggeris sebagai musuh Tuanku."

"Mereka sudah melampaui batas," kata Roland acuh tak acuh. "Apabila hak ketuhanan raja semakin digembar-gemburkan, lambat-laun tentu akan ada kemelut antara negara dan gereja. Bagi Pekan Sempadan pula, asalkan kita boleh mengharungi masa tiga bulan ini, gereja tidak akan boleh buat apa-apa kepada kita. Kita sudah lama dipinggirkan daripada mereka. Biskop sendiri tidak akan dapat mengheret keseluruhan Perajurit Agama merentasi Kerajaan Graycastle untuk menahan Beta. Ayahanda beta tidak akan biarkan perkara itu terjadi. Itu akan dikira sebagai pengkhianatan besar terhadap baginda."

"..."

Selepas Nightingale tunduk dan meninggalkan kamar Roland, Roland berbaring di atas katilnya dan menghela nafas lega.

Dia tidak memberitahu Nightingale perkara sebenar, iaitu gereja itu sendiri terletak begitu jauh dan dengan kelajuan komunikasi di dunia ini, mereka tentu tidak akan dapat memberi jawapan sehingga awal musim panas nanti. Sudahlah jaraknya jauh, mereka juga mesti berhati-hati kerana ini melibatkan seorang putera diraja, jadi mungkin mereka hanya akan menghantar utusan untuk menyiasat keadaan.

Perjalanan pergi dan balik ini akan mengambil masa separuh tahun. Menjelang masa itu, Roland yakin dia sudah berjaya memutuskan ikatan dengan mereka.

Jadi ancaman terbesar Roland bukannya Gereja Inggeris, tetapi ahli sihir itu sendiri.

Hanya Roland seorang yang maklum tentang perkara ini.

Walaupun kini golongan ahli sihir sedang ditindas, keadaan ini tidak akan berlarutan selamanya. Ahli sihir tidak bergantung kepada keturunan darah semata-mata, tetapi pembangkitan rawak jadi ini bermaksud ahli sihir bukan kaum yang boleh dihapuskan, sebaliknya mereka akan bertambah ramai kelak.

Gereja Inggeris hanya bergantung kepada Batu Pembalasan Tuhan sebagai kelebihan mereka menentang ahli sihir tetapi ia cuma boleh digunakan untuk menyeimbangkan kekuatan gereja dengan kuasa sakti ahli sihir. Namun begitu, kebangkitan ahli sihir memberi mereka pelbagai kuasa berbeza. Ciri-ciri luaran, kebijaksanaan, malah rupa mereka sendiri jauh lebih hebat berbanding orang biasa.

Mereka boleh dikatakan sebagai "Kaum Manusia Baru".

Lebih perit penindasan yang mereka hadapi, lebih hebat penentangan mereka nanti. Katakan ahli sihir mula memberontak dan merusuh, apa kesannya nanti ke atas Kerajaan Graycastle? Kebencian yang disemai Gereja Inggeris yang dahulunya tidak mampu dikawal boleh berpindah menjadi kebencian terhadap kerajaan dan para penduduknya.

Roland tidak ingin melihat ini terjadi.

Jadi dia perlu memulakan langkah pertama di Pekan Sempadan. Dia mesti mewujudkan cara hidup yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak dan membuktikan kebaikan cara ini kepada seluruh Kerajaan Graycastle, malah mungkin ke seluruh negara itu sendiri.

Dia mahu membina dunia yang boleh didiami ahli sihir dan manusia biasa dengan aman.