webnovel

Gunung Suci (Bahagian I)

Editor: EndlessFantasy Translation

Cara menyedari ahli sihir yang mendukungnya sedang bernafas kencang.

"Suruh orang lain ganti!" jerit Cara dengan kuat. "Leaf! Kamu dukung saya!"

Perjalanan merentasi Banjaran Puncak Langit yang sejuk sangat memenatkan, lebih-lebih lagi sewaktu musim dingin bersalji. Setiap hari, kesemua 42 orang ahli sihir itu perlu mencari tempat perlindungan yang sesuai selepas berjalan sebentar untuk memulihkan tenaga azimat mereka bagi membantu memanaskan badan mereka pada waktu malam.

"Baik, Pembimbing yang Dihormati." Seorang ahli sihir bertinggung di hadapan Cara. Cara menyeru seekor ular iblis keluar untuk menjalar mengelilingi lengan ahli sihir itu dan menarik badan Cara ke dalam dukungan ahli sihir itu. Cara menyedari tangan ahli sihir itu menggeletar sedikit.

'Tak guna, Nightingale!' Cara berfikir dengan sakit hati. Jika Nightingale tidak degil dan menerima belas kasihannya, dia tidak perlu menyusahkan saudara-saudaranya sekarang. Ini masa genting dalam pencarian mereka untuk Gunung Suci, jadi Cara tidak berani mengambil sebarang risiko.

Tetapi apa balasan dia dapat? Sudahlah pengkhianat itu berjaya melarikan diri, dia sempat menikam pula Cara tanpa berfikir dua kali. Ini balasan untuk kebaikan hatinya! Kemarahan Cara mula membuak-buak. Nightingale membuat tulang belakangnya cedera. Walaupun Leaf cepat-cepat menyembuhkan lukanya dengan daun herba, bahagian bawah tubuh Cara sudah lumpuh dan kakinya sudah tiada deria rasa langsung.

'Tunggulah sampai saya tiba ke Gunung Suci. Saya akan kumpulkan lebih ramai ahli sihir dan saya akan cincang-cincang kamu!' sumpah Cara dalam hati.

"Pembimbing yang dihormati, ada makhluk iblis di hadapan kita."

Scarlett, ahli sihir yang bertanggungjawab untuk menyiasat keadaan, memberi laporan kepada Cara. Scarlett boleh melihat menembusi sebarang halangan, samaran, dan perangkap. Tiada apa tersembunyi daripada penglihatannya. Pada masa yang sama, dia boleh melihat objek bergerak pantas dengan jelas. Dia pernah menepis anak panah Perajurit Agama semasa mereka bersemuka dengan tentera Gereja Inggeris itu dahulu.

"Letak saya di bawah. Leaf, pergi bantu mereka."

Ahli sihir itu mengangguk sambil melutut dan meletakkan Cara di atas batu. Tangannya menampan tubuh Cara semasa dia diturunkan. Cara dapat merasakan kesejukan menikam tapak tangannya. Dia mendengus dalam hati, 'kenapa tak sapu-sapu dulu salji ini sebelum letakkan saya ke bawah?'

Tetapi kata-kata itu tidak terkeluar dari mulutnya. Leaf anggota berharga dalam persatuan mereka. Wendy dan sikap lemah-lembutnya memikat ahli sihir untuk berkumpul dan menubuhkan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, tetapi Leaf menjadikan mereka berani untuk mengikut Wendy. Tanpa kebolehan Leaf, tentu lebih ramai ahli sihir sudah mati dalam perjalanan akibat diburu gereja.

Apabila memikirkan Wendy, hati Cara rasa disiat-siat. Dia tidak sangka Wendy, yang menubuhkan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir bersama Cara, sampai hati mengkhianati Cara untuk mengikut Nightingale.

Walaupun semasa Wendy bangun membantah Cara, Cara tidak pernah ada niat mahu membunuh Wendy. Bisa yang dikeluarkan Ular Sakti "Racun" sangat menyakitkan dan akan memberi kesan serta-merta, tetapi tidak akan menyebabkan kematian. Bisa itu boleh dikeluarkan sekiranya Ular Sakti "Penawar" mematuk dia. Dia hanya mahu mengajar Wendy. Jika tidak diberikan "Penawar", bisa itu akan merebak sehingga ke kepalanya dan tidak boleh disembuhkan lagi. Nightingale membuat keputusan yang salah dengan melarikan Wendy. Tanpa patukan "Penawar", Wendy tidak akan dapat hidup lebih daripada sehari.

Mungkin dia setia kepada saudaranya kerana dia tiada pilihan lain mengenangkan sejarahnya dahulu sebagai rahib gereja?

Tentang pengkhianat kedua pula, Lightning, Cara tidak begitu endah tentang dia. Dia baru sahaja memasuki Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir dan kemampuan dia ialah terbang. Dia sentiasa mengutarakan pendapat bercanggah dalam pencarian Gunung Suci, malah pernah mempersoalkan Kitab Suci secara terbuka. Jika bukan kerana prinsip Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, sudah lama Cara bunuh gadis bermulut becok itu dan mencampakkan mayatnya ke dalam salji.

Dua makhluk iblis berbentuk serigala muncul dari belakang bukit. Ahli-ahli sihir itu sudah cukup handal menangani mereka. Ahli-ahli sihir yang tidak boleh bertarung bergerak ke belakang. Leaf menyeru kuasanya dahulu dan menyebabkan rumpai tumbuh pantas. Dedaun hijau tiba-tiba menembusi tanah bersalji dan melingkari kaki makhluk iblis itu. Seorang lagi ahli sihir, Windseeker, mengeringkan udara di sekeliling serigala iblis itu. Kedua-dua makhluk itu terus kelemasan. Mereka tersungkur ke tanah dengan badan terketar-ketar dan mulut berbuih-buih.

'Inilah kuasa ahli sihir', fikir Cara dalam hati. Orang biasa yang sekadar bergantung kepada pedang sudah tentu akan kehilangan nyawa jika berhadapan dengan dua serigala iblis itu. Sebenarnya ahli sihir dengan kuasa sakti dilimpahkan rahmat oleh dewa-dewi. Jika bukan kerana Batu Pembalasan Tuhan… tidak, ia sepatutnya dipanggil batu neraka! Berani gereja mempergunakan batu itu untuk mengekang kuasa mereka?' Cara meludah marah ke tanah.

"Pembimbing yang Dihormati, mari saya angkat." Leaf mendapatkan Cara semula.

"Suruh orang lain." Cara mengeluh. "Kamu sudah penat."

Mereka meneruskan perjalanan. Menjelang tengah hari, salji kurang lebat. Stone, yang bertanggungjawab untuk mencari tempat bermalam, telah menemui satu tempat terlindung daripada angin. Mereka memutuskan untuk berehat di sini dan makan untuk memulihkan tenaga mereka.

Stone cepat-cepat menukarkan tanah sekeliling mereka. Salji mencair lalu mendedahkan tanah yang subur. Tanah seakan-akan hidup, menggembur dan berkocak-kocak, sehingga menjadi rata dan kering. Setiap ahli sihir menjalankan tugas mereka dan tidak lama kemudian, satu periuk bubur sudah ditanak. Salji dipanaskan di dalam cawan, dicampurkan dengan herba ditumbuhkan Leaf, dan kemudian timbul bau kuat harum semerbak.

"Serahkan semua azimat kepada Shino!" laung seorang anak gadis dengan rambut merah menyala seperti api marak. Kebolehannya juga berkaitan dengan api. Dia boleh menyuntikkan suhu ke dalam sesebuah objek yang membuatkannya bersinar untuk masa lama. Semua Azimat Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, Matawang Gunung Suci, dihasilkan oleh dia seorang.

Kebolehan ini mungkin kelihatan tidak penting tetapi ia sangat membantu Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir semasa perjalanan mereka merentasi Banjaran Puncak Langit. Jika mereka tiada objek yang dapat menyimpan haba, tubuh mereka akan menjadi sejuk dengan pantas dan mereka akan jatuh tidak sedarkan diri lalu ditimbus salji tebal.

Selepas memakan bubur, ahli-ahli sihir itu berkemas dan meneruskan perjalanan. Menurut perhitungan Cara, Gerbang Neraka yang diperkatakan itu sebenarnya kunci ke Gunung Suci. Gereja sengaja memberinya nama menakutkan untuk mengelakkan ahli sihir sampai ke Gunung Suci. Menurut rekod dalam kitab-kitab lama, mereka mesti melalui tiga Gerbang Batu, dan gerbang terakhir terletak di Rantau Orang Gasar. Gerbang Batu selalunya tersembunyi bawah tanah dan akan hanya timbul di permukaan bumi apabila Bulan Berdarah muncul di langit.

Mereka sudah meninggalkan perkampungan sementara mereka dan meredah Banjaran Puncak Langit selama kira-kira setengah bulan. Tidak lama lagi mereka akan keluar dari banjaran ini dan memasuki Kawasan Liar. Kebelakangan ini sudah semakin banyak makhluk iblis muncul dengan kerap.

"Tengok! Tengok! Apa itu?" Tiba-tiba seorang ahli sihir menjerit takut.

Cara mendongak dan lidahnya terus menjadi kelu.

Ada sebuah kota di langit!

Langit masih suram dengan salji yang turun serta awan berarak rendah. Namun di sebalik awan, ada bayang sebuah kota yang tersergam.

Cara tidak pernah melihat bangunan-bangunan seperti itu. Ia kelihatan seperti menara gereja tetapi ada banyak dan terletak bersebelahan! Jika tompok-tompok hitam itu adalah tingkap, maknanya menara itu tentu setinggi lebih 300 meter! Sudah pasti ini bukan ciptaan manusia! Malah menara gereja tertinggi di Katedral Hermes sekalipun hanya setinggi 50 meter!

Jadi jika manusia tidak mungkin membinanya, hanya ada satu kemungkinan lain, kota itu dibina oleh dewa-dewi!

Cara begitu teruja, jantungnya terasa seperti mahu melompat keluar dari dadanya.

Dia sudah jumpa Gunung Suci!