webnovel

Gerombolan

Editor: EndlessFantasy Translation

Roland penuh bersemangat untuk menyambung menjelaskan tentang rancangannya bagi mewujudkan pasaran tetap, tetapi tiba-tiba percakapannya diganggu dengan bunyi semboyan.

Ini agak aneh kerana semboyan amaran hanya akan dibunyikan sekiranya pasukan peronda tidak mampu menghadapi musuh yang mereka temui.

Roland dan Carter berpandangan sekejap sebelum meluru ke laman belakang istana bersama-sama. Roland menaiki kuda yang sudah disediakan para pengawal dan memecut ke tembok kota bersama Carter dan orang-orangnya.

Apabila mereka sampai ke tingkat atas tembok kota, angkatan awam sudah berada di posisi masing-masing. Roland lega apabila melihat barisan senapang batu sudah diaturkan sepanjang tembok. Ada juga gunanya ganjaran telur itu.

Roland memandang ke arah barat laut dan dia melihat segerombolan makhluk iblis menghampiri Pekan Sempadan. Roland mengagak ada lebih kurang 20 ekor makhluk iblis.

Kapak Besi berlari dari kedudukannya tadi ke arah Roland. Dia memberi tabik dan mula memberi laporan, "Tuanku, ada sesuatu yang aneh dengan makhluk iblis itu."

"Aneh? Maksud awak, mereka biasanya tidak datang secara berkumpulan?"

"Tidak, Tuanku." Kapak Besi mula menjelaskan. "Haiwan yang hidup dalam kawanan akan sentiasa mencari kawanan. Contohnya serigala. Sifat semula jadi mereka tidak boleh diubah. Namun makhluk iblis ini bukan haiwan biasa, dan mereka tidak biasanya bertindak dalam kawanan begini. Malah ada pemburu pernah melihat mereka saling bergaduh."

Makhluk iblis selalunya haiwan yang telah bermutasi. Mereka ada naluri memburu yang membuak-buak, mudah meradang, dan tidak pandai mengelak daripada risiko. Boleh dikatakan akal mereka jauh lebih rendah berbanding haiwan biasa.

Roland membuat pemerhatian teliti dan dia mendapati ada pelbagai bentuk serta saiz makhluk iblis, termasuklah serigala iblis dan kerbau iblis. Bagi Roland, ini tidak bermaksud mereka sedar akan faedah bertindak dalam kawanan.

Ini sebenarnya membuktikan perangkap dan jerat yang dipasang Kapak Besi berkesan. Semua makhluk iblis yang berkeliaran sendirian perlahan-lahan berkumpul bersama-sama makhluk iblis lain apabila mereka mendekati tembok kota itu.

Van'er begitu gementar sehingga tapak tangannya berpeluh dan dia asyik terlepas pegangan lembingnya. Dia memastikan semua orang tidak melihatnya dan dia senyap-senyap mengelap tapak tangannya di atas bajunya.

Pemburu yang dipertanggungjawabkan untuk tugas pemerhatian sering menasihati, "Bertenang dan tarik nafas dalam-dalam." Van'er menuruti nasihat pemburu itu. Namun dia masih tidak dapat mengurangkan rasa gementarnya. Dia asyik teringat semua khabar angin tentang kebengisan makhluk iblis itu yang telah didengari sejak sepuluh tahun lepas selama dia tinggal di Rantau Barat. Sejak Bulan Kunjungan Iblis bermula, Skuad Pemburu sudah membunuh segelintir makhluk iblis yang merayau berhampiran tembok kota itu, dan ini sedikit-sebanyak mengurangkan ketakutan Van'er terhadap haiwan-haiwan itu. Dia menyangka dia sudah cukup berani untuk melawan mereka. Rupanya sangkaannya salah sama sekali.

Walau bagaimanapun, dia telah dipilih oleh Putera Roland sendiri untuk menjadi Timbalan Komander Skuad Lembing, jadi Van'er memaksa dirinya untuk bertenang dan menunjukkan wajah seorang pengawal bersenjata yang berani.

Gerombolan makhluk iblis itu semakin mendekati Van'er dan dia mula dapat mengenal pasti haiwan-haiwan itu. Haiwan yang mengepalai gerombolan itu kelihatan seperti seekor kerbau iblis, dengan dua tanduk hitam berkilat dan setiap satunya setebal lengan Van'er. Bulunya tebal seperti jubah menyelaputi seluruh tubuhnya. Apabila kerbau iblis itu sudah hampir sedekat 70 meter dari tembok kota, Van'er dapat merasakan gegaran tanah akibat hentakan kakinya. Dia membasahkan bibirnya yang kering dan menunggu arahan "tikam" daripada pemburu.

Tiba-tiba satu bunyi kuat kedengaran.

Makhluk iblis itu tidak memperlahankan larian mereka, sebaliknya terus memecut sehingga bertembung dinding tembok kota itu, lalu menyebabkan kepala mereka pecah, otak bersepai dan darah hitam memercik membasahi tembok itu.

Sebelum Van'er sempat menarik nafas, dua ekor serigala iblis menerkam.

"Tikam!"

Sebaik sahaja mendengar arahan pemburu itu, Van'er menghunus lembingnya dan cuba menikam dua ekor serigala itu walaupun dia tidak sampai. Semua latihan mereka sia-sia sahaja. Ada yang terus mencampak lembing mereka ke tepi semasa serigala itu menerkam, ada pula yang lambat menghunus selepas mendengar arahan.

Akibatnya hanya seekor serigala iblis berjaya ditolak, manakala seekor lagi berjaya mendarat di atas tembok kota.

"Kekal dalam kedudukan!" pemburu itu melaung kuat.

Walaupun Van'er tidak tahu dari mana serigala iblis itu akan menyerang, amaran Kapak Besi masih terpahat dalam ingatannya. Katanya, jika kita alihkan tumpuan kepada benda di belakang kita, bahaya mungkin akan datang dari hadapan kita. Jadi matanya hanya terpaku kepada serigala yang sedang mara di hadapannya sambil menggenggam lembingnya dengan erat.

Sudah jelas Skuad Pemburu jauh lebih berpengalaman berbanding Skuad Lembing.

Sebelum serigala iblis itu jatuh, pemburu sudah menghunus parang ke arah makhluk iblis itu. Kapak Besi lincah bergerak dan terus menerpa serigala itu, lalu menghayun pangkal senjatanya ke perut haiwan itu sehingga haiwan itu tercampak beberapa meter ke udara.

Makhluk iblis jauh lebih kuat dan berketahanan tinggi berbanding haiwan biasa. Serangan seperti itu tidak memberi kesan berpanjangan. Selepas ia tercampak jatuh, ia bingkas bangun kembali dan menyeringai sambil menunjukkan taringnya yang tajam.

Kapak Besi mengacu senapang batunya ke arah kepala haiwan itu.

Bunyi tembakan meletus dengan kuat!

Tengkorak makhluk iblis itu berkecai dan tubuhnya sempat berundur beberapa langkah sebelum tumbang.

"Haiwan tak guna itu sudah mati. Awak mesti terus kekalkan posisi."

"Aduh, perut saya!" kedengaran seseorang meraung kesakitan.

Van'er sempat menjeling dari ekor matanya dan melihat salah seorang ahli angkatan tentera awam itu terduduk di sebelah dinding tembok dengan tangan berlumuran darah.

"Usus dia terkeluar!"

"Serigala iblis tadi sempat mencakar dia!"

"Tolong saya…"

"Tak guna! Cepat balut lukanya dengan kain!"

Keadaan terus menjadi huru-hara. Beberapa ekor khinzir iblis berbulu kasar sempat menerkam tembok kota tetapi terkena panahan busur silang para pemburu.

"Semua orang bertenang!" Roland menjerit kuat. Dia mendapati dirinya dihalang Nightingale yang baru sahaja muncul entah dari mana. "Awak semua sudah lupa latihan kita sekiranya ada orang cedera? Ikut saja latihan!"

Kata-kata putera itu membuat Van'er teringat kepada tugasnya. Sebagai Timbalan Komander Skuad Lembing bagi pasukan pertahanan tembok kota, dia mesti mengaturkan operasi menyelamat sekiranya ada kecederaan.

Dia melaungkan nama dua ahli pasukannya dan berkata, "Bawa dia ke hospital cepat!"

Tetapi jika mengikut pengalamannya, mustahil lelaki itu akan selamat. Namun Putera Roland tetap menegaskan agar semua peraturan dipatuhi, lebih-lebih lagi oleh ahli angkatan tentera awam.

Setelah orang cedera itu dibawa pergi, keadaan jadi jauh lebih teratur. Gerombolan makhluk iblis masih menyerang bertalu-talu, tetapi kebanyakan berjaya ditumpaskan oleh pasukan di atas tembok kota.

Skuad Pemburu menembak seekor demi seekor makhluk iblis dan akhirnya Van'er menarik nafas panjang. Dia merasakan seolah-olah semua tenaganya habis digunakan walaupun pertarungan mereka baru berlangsung selama setengah jam.

Pada saat itu, pemburu yang sedang berkawal di menara pemerhatian tembok kota melaung lagi, "Oh Tuhan! Apa itu…"

Van'er turut melihatnya.

Walaupun ia jauh dari tembok kota, saiznya kelihatan besar berdasarkan bayang-bayangnya. Van'er pasti ia lebih besar daripada sepuluh ekor lembu.

Hanya Kapak Besi dapat mengecam makhluk itu serta-merta.

Nafasnya terasa seperti tersekat. Tidak syak lagi, itulah makhluk iblis kacukan yang bakal membawa masalah besar kepada mereka.