RESAH gelisah Zenia sejak dia terlihat Shafiz melangkah masuk ke pejabatnya setengah jam yang lalu. Tiba-tiba sahaja keberaniannya tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dia tiada pilihan. Sampai bila dia mahu terus berlari? Jika boleh, dia mahu selesaikan hal ini secepat mungkin supaya keadaan akan kembali seperti sedia kala.
Dengan kekuatan yang masih tertinggal dia mula menyusun langkah menuju ke bilik sebelah. Nafas ditarik dalam lalu dihembus lagi selepas langkah betul-betul sudah berada di hadapan pintu masuk pejabat Shafiz yang terbuka luas. Dia mengetuk daun pintu beberapa kali.
"Masuk!" Shafiz mempelawa masuk tanpa mengangkat wajah.
"Saya menganggu awak ke?"
Shafiz memandang ke arah pintu pejabatnya. Bila melihat Zenia yang sedang berdiri di muka pintu, dia kembali menatap skrin komputer. Rasa terkilan dan sakit hatinya pada wanita itu masih terasa sehingga kni. Dia tidak menyangka, Zenia sanggup bertindak kasar terhadap Shadrina yang tidak bersalah itu hanya kerana cemburu buta.
Tanpa menunggu jawapan dari Shafiz, Zenia melangkah masuk ke dalam pejabat itu lalu pintu pejabat itu ditutup. Dia tidak mahu perbualan di antara dia dan Shafiz didengari oleh staf lain.
Shafiz menjeling perlakuan Zenia itu, sekilas. Dia tahu, sebentar lagi pasti Zenia akan merayu-rayu kepadanya.
"Walaupun awak rasa kehadiran saya ni menganggu, saya tetap perlu bertemu dengan awak untuk..."
"Duduklah," pintas Shafiz bila melihat Zenia berbicara dalam keadaan berdiri. Walaupun hatinya masih marahkan wanita itu, dia tetap cuba bersikap profesional dan bertimbang rasa.
Zenia manarik lagi nafas lalu dihembus perlahan. Mengeletar tubuhnya.
"Saya nak minta maaf fasal hal semalam. Saya tahu semuanya silap saya. Saya terlalu ikutkan perasaan. Disebabkan cemburu, saya tak boleh terima andai ada wanita lain cuba dekati awak sebab..." sayu nada suara Zenia tatkala mengaku kesalahannya. Namun, kata-katanya tersekat. Terasa sukar pula mahu meneruskan bicaranya yang terputus itu.
"Pada zaman serba moden ni, perumpamaan perigi cari timba dah tak laku. Sekarang ni zaman siapa cepat dia dapat tau?"
Kata-kata emaknya suatu ketika dahulu tiba-tiba kedengaran di hujung pendengarannya. Persis pita kaset yang diulang-ulang.
Shafiz memandang Zenia dengan kedua-dua keningnya terangkat. Dia terus menanti kata-kata Zenia yang seterusnya.
"Saya cintakan awak Shaf." Dengan sekali lafaz, Zenia meluahkan rasa isi hatinya.
Shafiz mengeluh halus lalu kompter ribanya diabaikan. Tebakannya mengena. Ternyata punca sebenar kenapa Zenia bertindak melulu semalam adalah disebabkan cemburu.
"Nia, sebelum ni dah berulang-ulang kali saya bagi tahu awak yang saya hanya anggap awak sebagai kawan biasa, kan?"
Zenia mengangkat wajahnya – memandang Shafiz.
"Tak kan tak ada peluang untuk saya menjadi kekasih dan... suri di dalam hidup awak?"
Shafiz mengeluh halus lalu menyandarkan tubuhnya pada kerusi.
"Memang tak ada peluang atau ruang untuk awak di dalam hati saya, Nia. Saya dah anggap awak sebagai kawan baik saya. Saya lebih selesa macam tu. Dan, saya rasa saya pernah bagi tahu awak yang saya dah jumpa wanita idaman saya, kan?" Shafiz cuba menjelaskan.
"Maksud awak, Shadrina?"
Shafiz angguk.
"Perempuan kampung tu?" tanya Zenia lagi. Kali ini nada suaranya mula meninggi tanpa dia sedari. Entah mengapa, bila nama Shadrina mula disebut-sebut, pasti jiwanya dilanda rasa amarah tanpa dia sedar.
Terjentik hati Shafiz bila Zenia mengelarkan Shadrina sebagai 'perempuan kampung'. "So?"
"Saya yakin, fasal perempuan kampung tu lah awak tolak cinta saya, kan?"
Shafiz tersengih sinis sambil mematikan komputer ribanya. Dia ada temu janji di luar. Malas dia mahu melayan kerenah Zenia.
"Awak jumpa saya nak minta maaf, kan? Tapi, dalam masa yang sama awak masih ulang kesilapan yang sama. Apa-apa pun, saya dah banyak kali bagi tahu awak sebelum ni yang saya hanya anggap awak hanya sebagai kawan aje. Tak lebih dari itu. Jadi, saya harap selepas ni awak dan mak awak tak terus mendesak emak saya untuk menyatukan kita. Dan untuk pengetahuan awak, mungkin dalam masa terdekat ni saya akan melamar Rin untuk jadi kekasih dan isteri saya. Saya harap awak dapat terima kenyataan ni," berjela Shafiz menjelaskan sambil bersiap-siap untuk keluar.
"What?" Zenia terkejut. Begitu mudah Shafiz membuat keputusan. Dia merasakan keputusan Shafiz itu tidak adil untuknya.
"Saya ada appoinment dengan client dekat luar. Saya harap awak jelas dengan penjelasan saya. Assalamualaikum," pesan dan pamit Shafiz lalu meninggalkan pejabat itu.
Berderai hati Zenia selepas mendengar kata-kata penolakan dari Shafiz itu. Cintanya ditolak secara sindiran yang begitu menghunus kalbunya! Selepas memastikan Shafiz sudah meninggalkan pejabat itu, dengan rasa geram yang sudah tidak mampu ditahan, dia melangkah menuju ke arah meja Shadrina. Air mata yang menitis membasai pipinya diseka sehingga kering.
"Hey perempuan kampung!" pekik Zenia.
Shadrina terkejut lalu berpaling memandang ke arah suara yang menyeru namanya itu. Dengan tiba-tiba pipinya terus ditampar sekuat hati sehingga membuatkan wajahnya terpaling ke kiri.
Fiza yang ada di mejanya terkejut melihat apa yang berlaku. Terlopong mulutnya. Terkedu seribu bahasa. Apa yang berlaku benar-benar tidak di duga.
Peipi Shadrina terasa pedih. Perlahan-lahan dia mengusap pipinya yang sudah berubah merah.
"Dasar perempuan tak sedar diri! Harap aje bertudung, tapi sanggup main cara kotor nak dapatkan lelaki. Dasar wanita murahan! Sanggup kau gadai maruah diri kau sebab nak dampingi lelaki kaya? Kau ingat, semua orang akan tertipu dengan helah muslimah kau, ni? Mungkin Shaf boleh tertipu. Tapi bukan aku!" maki Zenia, lantang sekali suaranya.
Fiza terlopong. Masdiana, jurutera kedua di Shaf Engineering Sdn. Bhd. turut keluar dari pejabatnya selepas mendengar kekecohan yang berlaku.
"Dasar perempuan hipokrit. Guna tudung dengan baju kurung lusuh kau ni untuk pikat lelaki. Kau ingat aku respect perempuan macam kau? Harap aje sopan santun, tapi guna ilmu hitam untuk guna-gunakan Shaf!" Zenia menuduh lagi dengan satu tuduhan yang cukup berat melibatkan maruah Shadrina di hadapan Fiza dan Masdiana.
Lama Shadrina memandang Zenia. Jika semalam dia masih boleh terima lagi dia dihina di tempat tertutup. Tapi, bila hinaan itu dihambur di hadapan Fiza dan Masdiana, sabarnya sudah tidak mampu ditahan. Ketabahannya sudah tidak mampu dibendung lagi.
"Kau ni memang dasar wanita murahan!" cemuh Zenia lagi.
Pang!
Terpaling wajah Zenia ke kanan. Satu tamparan kuat tidak disangka-sangka menghinggap ke pipinya. Dia berpaling ke arah Shadrina sambil memegang pipinya yang terasa kebas.
"Kau lempang aku? Kurang ajar!" Zenia tidak puas hati lalu menapar lagi pipi Shadrina sekuat hati.
Shadrina sudah tidak mampu bersabar lagi. Dia membalas semula penampar itu lebih kuat berbanding tadi sehingga Zenia hilang imbangan badan. Mujurlah Zenia dapat mengawal tubuhnya dari rebah ke lantai.
"Cik Zenia, saya tak kisah kalau Cik Zenia nak kata saya perempuan kampung atau perempuan kolot. Tapi, jangan sesekali Cik Zenia menuduh saya sebagai perempuan murahan yang guna ilmu hitam untuk memikat lelaki. Saya pun ada maruah, Cik Zenia. Cik Zenia jangan ingat, saya diam semalam, saya seorang wanita yang lemah. Saya tetap manusia yang punya hati dan perasaan. Faham?"
Selepas menghamburkan apa yang terbuku di hatinya, Shadrina terus melangkah meninggalkan mejanya menuju ke tandas.
Zenia pula terus menahan geram sambil mengusap pipinya yang mula terasa pedih. Nampaknya, musuhnya itu sudah berani melawan! Niat hatinya ingin memalukan Shadrina tidak menjadi. Sebaliknya, dia pula dimalukan di hadapan Fiza dan Masdiana.
"Apa tengok-tegok? Buat kerjalah!" bentak Zenia bengang pada Fiza dan Masdiana lalu dia terus melangkah semula menuju ke pejabatnya.
Fiza dan Masdiana sudah mengigit jari ketakutkan. Drama pergaduhan tadi benar-benar mengejutkan. Siapa sangka, Shadrina yang lemah lembut itu kasar juga orangnya bila marah. Tapi, jika mereka berada di tempat Shadrina pun, sudah pasti mereka akan melakukan perkara yang sama.
Masdiana kembali ke pejabatnya tanpa bersuara. Fiza pula kembali menyambung kerjanya. Nampaknya, selepas ini akan ada perang masam muka di pejabat ini.
# # # #
JAM di pergelangan tangannya di pandang sekilas. Waktu sekarang sudah menunjukkan pukul 5.15 petang. Dia sudah terlewat. Dia berharap insan yang ingin dia ditemui masih belum pulang. Enjin kereta dimatikan lalu dia terus melangkah laju menuju ke pejabatnya di aras dua.
Sampai sahaja, daun pintu pejabatnya ditolak ke dalam. Kelihatan Fiza sedang berkemas-kemas untuk pulang. Kemudian dia memandang ke arah pejabat Masdiana dan Zenia. Sudah gelap. Nampaknya jurutera dan akuntannya sudah pulang.
"Fiza, Rin mana?" tanya Shafiz dalam mengah.
Fiza yang sedang menunduk di bawah meja mencari tas tangannya mengangkat wajah memandang Shafiz.
"Rin? Dia dah balik. Tepat pukul lima tadi dia terus balik," jawab Fiza.
Shafiz melihat jam tangannya lagi. Dia berharap dia masih sempat bertemu dengan gadis itu.
"Oh okey, thanks Fiza," ucap Shafiz lalu tergesa-gesa dia meninggalkan pejabat itu.
Fiza berkerut dahi. Hairan melihat perilaku aneh ketuanya itu.
Sampai di bawah, tergesa-gesa Shafiz melangkah masuk ke dalam kereta. Tidak sampai seminit, kereta yang dipandunya sudah keluar dari kotak parkir. Destinasi yang dituju sudah pasti pondok menunggu bas yang berhampiran. Dia berharap Shadrina masih ada di sana.
"Rin, tunggulah saya," keluh Shafiz sambil cuba meredakan rasa resahnya.
Semalam, dia tidak sempat menghantar Shadrina pulang kerana wanita itu tidak menunggunya. Semuanya disebabkan Zenia. Jika tidak, pasti Shadrina tidak akan cuba melarikan diri darinya.
"Nasib baik dia ada lagi," keluh Shafiz bila melihat Shadrina masih ada di pondok bas.
Berhenti sahaja kereta, cermin tingkap di turunkan.
"Rin! Masuk!" suruh Shafiz pada Shadrina.
Shadrina serba salah dan cuba berpura-pura tidak mengenali Sahfiz. Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dia tidak mahu menambah bara yang tersimpan di hati Zenia.
Shafiz tidak mahu mengalah. Dia memarkir kenderaannya berhampiran dengan pondok menunggu bas itu. Apa pun yang berlaku dia perlu bersemuka dengan Shadrina.
Melihatkan Shafiz mula melangkah menghampiri pondok menunggu bas itu, Shadrina terus sahaja memandang ke arah barat. Mengharap bas yang selalu dinaiki akan muncul. Dia tidak mahu menimbulkan masalah lagi. Disebabkan dia, hubungan baik di antara Zenia dan ketuanya itu berantakkan. Andai kehadirannya di syarikat itu mengundang sakit hati, dia lebih rela berhenti dan terus menjual kuih muih di kampung.
"Rin, saya hantar awak balik ya? Ada perkara penting saya nak bincang dengan awak," pinta Shafiz penuh pengharapan.
Shadrina mengeluh kecewa bila bas yang dinanti masih tidak kelihatan.
"Rin... please, beri ruang untuk kita berbincang," rayu Shafiz, bersungguh-sungguh.
"Saya rasa tak ada apa nak dibincangkan lagi."
"Rin... please, kenapa semua ni boleh berlaku?"
Shadrina mengeluh halus sambil membetulkan sangkutan beg di bahunya. Mujurlah tiada sesiapa di pondok bas itu ketika ini. Jika tidak, pasti mereka akan jadi perhatian.
"Baik Encik Shafiz balik. Tak tentu fasal ada juga yang sakit hati nanti. Saya tak nak jadi mangsa amukan lagi."
Walaupun perit untuk dia meluahkan kata-kata itu, dia terpaksa tabahkan hati demi kebaikan bersama. Biarlah dia yang terluka, asalkan insan di sekelilingnya bahagia.
"Rin, saya tahu disebabkan saya, awak jadi mangsa. Saya dekati awak bukan disebabkan sesiapa. Tiada sesiapa yang paksa saya. Saya dekati awak sebab saya sukakan awak." Satu pengakuan jujur Shafiz luahkan. Dia sanggup mengabaikan egoisnya demi hatinya.
Shadrina terdiam seketika selepas mendengar pengakuan Shafiz yang di selang-selikan dengan bunyi bising kenderaan yang sesak di hadapan mereka. Terkejut dia bila mendengar pengakuan itu. Pengakuan yang dia harap-harapkan selama ini!
"Baik Encik Shafiz kembalilah pada Cik Zenia. Rasanya dia lebih layak untuk Encik Shafiz. Saya ni hanya perempuan kampung, kolot!"
"Rin, saya rasa awak dah salah sangka. Saya dengan Zenia hanya kawan baik aje sejak di bangku sekolah lagi. Saya pun dah berkali-kali bagi tahu dia yang saya hanya anggap dia hanya sebagai kawan. Tak lebih dari itu. Tapi..."
"Tapi dia terlalu mencintai Encik Shafiz. Dia sanggup buat apa sahaja untuk dapatkan Encik Shafiz termasuk mengusir penghalang cinta dia," tintas Shadrina, pantas.
"Saya tak tahu nak buat macam mana lagi, Rin. Dah orang sukakan saya, cintakan saya. Tak kan saya nak buat dia bencikan saya? Apa yang pasti, sejak awal-awal lagi saya dah berkali-kali maklumkan pada dia yang saya anggap dia tak lebih dari seroang kawan. Tapi, dia tetap nak cintakan saya. Salah saya juga ke?"
Shadrina terdiam untuk seketika.
"Tapi Encik Shafiz boleh beri peluang pada cinta dia."
"Rin..." Shafiz memintas kata-kata Shadrina lalu melangkah menghampiri Shadrina. Dia berdiri betul-betul di hadapan wanita yang sudah dia cintai sepenuh hati itu. Dia perlu meraih perhatian dan kepercayaan Shadrina sepenuhnya.
"Soal hati dan perasaan, tak boleh dipaksa-paksa, Rin. Saya tak cintakan dia. Jadi, biarlah saya hantar awak balik. Kita berbual di dalam kereta, ya?" rayu Shafiz lagi.
Shadrina mengeluh halus lalu berpaling ke arah lain.
"Maafkan saya Encik Shafiz. Mulai dari hari ni, saya tak boleh terima pelawaan Encik Shafiz lagi. Sekarang ni, dah ada orang kampung yang bercakap tentang saya, tetang kita. Ada yang bawa cerita yang saya ni bekerja di bandar untuk memikat lelaki kaya. Saya tak nak maruah saya tercemar disebabkan fitnah."
Shafiz mendesah. Nampaknya, bukan masalah Zenia sahaja yang sedang melanda hidup wanita di hadapannya itu.
"Baik Encik Shafiz balik. Saya takut, Cik Zenia ternampak kita berdua dekat sini. Semakin teruk pula jadinya nanti."
"Rin, saya tak cintakan Zenia. Sama ada awak percaya atau tidak, saya memang tak pernah cintakan Zenia. Orang yang saya cinta sekarang ni adalah awak, Rin. Saya rancang mahu melamar awak jadi kekasih dan isteri saya sekali gus dalam masa terdekat. Tapi, bila dah jadi macam ni, saya perlu juga luahkan isi hati saya secepat ni. Di tepi jalan macam ni. Saya cintakan awak Rin. Demi mengelak fitnah dari orang kampung awak, saya rasa lebih baik kita berkahwin secepat mungkin. Kerana saya dapat rasa yang awak turut cintakan saya, kan?"
Walaupun tidak seromantik yang diharapkan, dia terpaksa meluahkan. Dia mahu Shadrina percayakannya. Jika dibiarkan hal ini terus berlanjutan, dia bimbang andai Shadrina semakin menjauhinya.
Shadrina tergamam. Tidak tahu untuk berkata apa. Terasa dunianya terhenti seketika. Mindanya juga membeku. Ikutkan hati, dia senang dan bahagia dengan lamaran itu walaupun lamaran itu diluahkan di tepi jalan. Tapi, dia tidak boleh memikirkan tentang dirinya sahaja. Dia perlu memikirkan kesan jangka panjang atas lamaran ini. Buat seketika, dia di dalam dilema. Menerima atau menolak?