webnovel

Topeng Kecantikan (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang susuk tubuh yang sedang merayu di kakinya itu, matanya kelihatan dingin. Dia kemudiannya menjawab tanpa belas kasihan.

"Muka itu bukannya milik kamu."

"TIDAK! Muka itu milik aku! Milik aku! Tolonglah kembalikan pada aku! Apa saja yang kau mahu, aku akan berikan! Aku akan ikut semua cakap kau! Tolonglah!" Ke Cang Ju merayu-rayu, air matanya bercampur dengan darah. Kulit mukanya semakin tercarik dan berdarah, ada daging yang terjuntai daripada cebisan kulit kecil kulit yang masih tinggal.

Jun Wu Xie berpusing sejurus sebelum Ke Cang Ju dapat menyentuh hujung bajunya dan berjalan pergi. Dia menuju ke arah Qiao Chu yang sedang terhuyung-hayang.

"Telan ni." Jun Wu Xie menghulurkan sebiji eliksir.

Qiao Chu memasukkan eliksir itu ke dalam mulutnya tanpa teragak-agak dan terus menelannya. Seketika kemudian kesakitan yang dirasainya akibat Asap Tunggal, mula lenyap. Selain wajahnya yang masih pucat, dia tidak mengalami sebarang ketidakselesaan lain.

"Kamu memang suka tergantung saja ya?" Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya dan memandang sekilas ke arah Hua Yao yang masih tergantung di dinding.

Hua Yao menutup matanya seketika dan bernafas perlahan-lahan. Kemudian dia melepaskan dirinya daripada belenggunya.

Sebaik dia mendarat di atas lantai, Jun Wu Xie mencampakkan sebiji eliksir kepadanya.

Hua Yao menelan eliksir itu tanpa berkata apa-apa. Serta-merta dia merasakan kesakitan di seluruh tubuhnya mula beransur hilang. Dia kemudiannya menarik keluar besi pancang yang ditusuk ke badannya sambil berkata kepada Jun Wu Xie, "Terima Kasih."

Selepas kesan racun itu hilang sepenuhnya, kedua-dua orang pemuda itu menghampiri Ke Cang Ju.

Ke Cang Ju terbaring di atas lantai. Badannya tersentak-sentak akibat kesakitan yang tidak tertanggung. Apabila dia melihat Hua Yao dan Qiao Chu yang telah pulih sepenuhnya daripada kesan racun setelah mengambil eliksir yang Jun Wu Xie berikan, matanya terbeliak kerana tidak percaya. Dia membuka mulutnya untuk mengatakan sesuatu, tetapi pada ketika itu, satu gelombang keperitan melanda tubuhnya. Kesakitan ini membuatkan dia tiba-tiba mengetap giginya lalu tergigit lidahnya sendiri!

Darah terpancut keluar daripada mulutnya dan kejutan yang dirasakan memuatkan dia tercungap-cungap, lalu darah itu masuk pula ke paru-parunya!

Dia mencakar-cakar leher dan dadanya, bergelut untuk bernafas dan semakin tersentak-sentak.

Ketiga-tiga orang pemuda itu hanya memandang dengan tenang, menyaksikan maut datang kepada Ke Cang Ju yang kejam itu, secara perlahan-lahan.

Sehingga ke saat akhir, mata Ke Cang Ju menunjukkan kekesalan dan kekecewaan...

Kalau Jun Wu Xie tidak membiarkan Ke Cang Ju melihat wajah yang sempurna dan tampan sebelum dia mati serta tidak mengurniakan impian hidupnya dalam waktu yang singkat itu, dia tidak akan memahami maksud kehilangan dan merasai kekesalan. Dia akhirnya berjaya mendapatkan wajah yang tampan selepas bertahun-tahun terseksa. Tetapi tanpa belas kasihan, wajah itu dirampas dan dimusnahkan sedikit demi sedikit di hadapan matanya sendiri…

Kalau dia tidak menikmati nikmat bahagia syurga, dia tidak akan mengetahui seksaan neraka.

Sepanjang kejadian ini, binatang hitam itu diam sahaja sambil menjilat-jilat kakinya.

[Cik masih lagi suka bergurau kasar, langsung tidak berubah...]

[Apa sahaja yang musuhnya paling sayangi dan hargai, itulah yang akan Cik musnahkan sedikit demi sedikit di hadapan mereka.]

[Cik memang sangat kejam!]

Ke Cang Ju mati dalam kekesalan dan kekecewaan. Dia mati dengan membawa bersama kemusnahan wajah impiannya. Wajahnya bukan saja sekadar hodoh, tetapi lebih buruk.

Qiao Chu merenung mayat Ke Cang Ju. Dia memandang Jun Wu Xie sambil menelan air liurnya dalam ketakutan.

"Xie Kecil, pil yang kamu namakan Topeng Kecantikan ini….kamu yang buat?" Pil ini amat menakutkan!

Membawa orang ke pinggir lubang kekecewaan yang dalam dan tidak memberikan mereka sebarang pilihan selain melompat masuk ke dalam lubang itu pastinya lebih kejam berbanding mengelar leher mereka begitu sahaja,

"Saya ada lagi kalau kamu berminat nak cuba." Jun Wu Xie berkata dengan bingung. Tetapi dia tidak kisah untuk berkongsi, dan menghulurkan pil itu kepada Qiao Chu.

Qiao Chu menjadi amat pucat dan menggelengkan kepalanya dengan kuat sehingga kelihatan hampir tercabut!