17 Teratai Putih Kecil (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dari mana datangnya benda ni?

Wajahnya lembut dan mata besarnya dipenuhi kesedihan. Dia melihat ke arah Jun Wu Xie seolah-olah gadis itu sudah melakukan kesalahan besar.

"Rasaksa!" Kucing hitam itu berteriak dengan kuat sambil merenung budak kecil itu.

"Saya bukan rasaksa!" Kata budak lelaki itu sambil bermain dengan jari-jarinya.

"Kamu siapa?" tanya Jun Wu Xie.

[Halau dia! Tidak syak lagi dia ni rasaksa!] Kucing hitam itu hampir menjadi kaku. Sejak mereka merentas ke dunia ini, pelbagai perkara pelik telah berlaku.

Sebaik budak lelaki itu mendengar kata-kata kucing itu yang dia perlu dihalau, dia terus menangis.

"Saya bukan rasaksa, kamu tak boleh halau saya! Saya ni roh berkontrak kamu! Roh berkontrak! Sampai hati kamu nak halau roh berkontrak kamu sendiri…" kata budak lelaki itu sambil menangis teresak-esak. Dia memandang Jun Wu Xie, air matanya mengalir dan tiba-tiba seluruh bilik itu dipenuhi haruman teratai yang kuat.

"Saya tak tahu pula roh berkontrak boleh bertukar rupa jadi manusia?" balas Jun Wu Xie dengan kasar, wajahnya yang cantik langsung tidak menunjukkan tanda-tanda dia sedang berlembut.

Budak lelaki itu membuka mulutnya, memandang Jun Wu Xie seolah-olah dia telah disalah anggap.

"Saya memang roh berkontrak awak, kalau tak percaya, saya boleh bertukar jadi bentuk yang lebih awak kenali." Dia kemudiannya berdiri perlahan-lahan, menyeka air matanya sebelum dia hilang tanpa kesan. Sekuntum teratai putih yang cantik terawang-awang di udara, menggantikan tempat budak itu.

"..." Jun Wu Xie tidak lagi tahu bagaimana hendak meluahkan rasa terkejutnya.

*Poof* Teratai putih itu hilang sekali lagi dan budak lelaki itu muncul semula di tempat yang sama.

Pada ketika itu, Jun Wu Xie terfikirkan ahli magis di dunianya yang terdahulu.

"Sekarang kamu percayakan saya tak?" Budak lelaki itu bersungguh-sungguh memerhatikan reaksi Jun Wu Xie.

Namun... dia juga sedar, dalam dunia roh sekalipun, dia berbeza dengan roh yang lain... tapi dia sememangnya... roh berkontrak!

Jun Wu Xie melihat ke arah "roh berkontrak" miliknya. Bentuk bunga teratai putih sukar diterima kerana inilah pertama kali dia mendengar tentang roh berkontrak berbentuk tumbuhan, malah boleh bertukar bentuk pula. Tetapi, melihatkan tangan dan kaki budak itu yang kecil, jangan kata hendak berlawan, kalau orang lain menumbuknya pun mungkin dia boleh terus mati.

"Nampaknya, ia masih tak berguna?" Jun Wu Xie bersungut dengan kuat, mukanya yang berkerut sedikit tidak menyembunyikan rasa tidak puas hatinya kerana roh ini bukan roh berkontrak yang ideal.

Jun Wu Xie termenung memikirkan nasib malangnya dan tidak perasan selepas dia mengucapkan kata-katanya dengan melulu, teratai kecil yang sememangnya sedang resah itu sekali lagi hampir menangis.

"Tolong jangan halau saya. Saya... saya berguna... saya memang berguna." Menyedari "kebencian" tuannya, teratai kecil itu tidak dapat menahan perasaannya, dia menghempaskan diri sambil berpaut pada kaki Jun Wu Xie dan air matanya mengalir laju.

"Saya sangat berguna, betul, jangan halau saya." Teratai kecil itu terus berpaut pada kaki Jun Wu Xie, takut dirinya ditolak oleh tuannya.

"Halau? Ke mana?" akhirnya Jun Wu Xie bersuara apabila kata-kata teratai kecil itu mengejutkan dia daripada keadaan bingung.

avataravatar
Next chapter