91 Tamparan Pertama (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Resipi Pil Embun Jed ialah resipi ekslusif dan rahsia yang dijaga rapi di dalam kumpulan Qing Yun. Hanya berdasarkan masa yang kamu gunakan untuk menghasilkan pil ini sahaja kamu sudah salah. Tiga hingga lima hari diperlukan untuk menghasilkan pil ini. Kamu hanya gunakan separuh hari saja dan kamu kata ini Pil Jed Embun? Kamu fikir saya ni budak-budak yang mudah ditipu?" Bai Yun Xian ketawa dingin. Dia langsung tidak percaya botol porselin itu mengandungi Pil Embun Jed.

Cara pembuatan pil ini unik dan hanya diketahui oleh Kumpulan Qing Yun. Orang lain tidak tahu pembuatan pil ini akan mengambil masa yang lama. Cik Muda dari Istana Lin ini pasti hanya mahu menipu mereka dan memasukkan pil biasa kemudian mendakwa isi kandungan botol ini ialah Pil Embun Jed. Tidak masuk akal untuk Bai Yun Xian membiarkan sahaja penghinaan ini diteruskan.

"Tiga hingga lima hari?" Jun Wu Xie memandang Bai Yun Xian seolah-olah mencabar dan merendah-rendahkannya.

Bai Yun Xian menyeringai.

"Apa kata kamu sahkan dulu baru cakap?"

Dia terlalu banyak bercakap, apa kata biarkan fakta saja yang menentukannya?

"Saya tak perlu buat begitu." Bai Yun Xian mencemuh sambil mengambil botol itu dengan niat mahu membalingnya.

Mo Qian Yuan cepat-cepat berdiri. Matanya kelihatan tegas sewaktu dia berkata, "Cik Bai, kenapa kamu terburu-buru? Kita cuma perlu sahkan kandungan botol ini. Melainkan Cik Bai sebenarnya risau tidak dapat mengenali Pil Embun Jed?" Mo Qian Yuan dalam diam menggenggam tangannya di sebalik lengan bajunya yang labuh. Selepas mendengar mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk menghasilkan Pil Embun Jed, fikirannya menjadi kacau-bilau.

Namun selepas melihat Jun Wu Xie tenang sahaja, dia tidak tahu mengapa hatinya turut menjadi tenang.

Ekspresi wajah Jun Wu Xie masih tidak berubah dan dia tidak terkesan langsung dengan kata-kata Bai Yun Xian.

Dia harus percaya pada Jun Wu Xie, Mo Qian Yuan berkata pada dirinya sendiri.

Kepercayaan Mo Qian Yuan yang tidak berbelah bahagi terhadap Jun Wu Xie telah menyebabkan dia bertindak. Soalan yang dia tanyakan tadi telah memaksa Bai Yun Xian untuk melakukan pengesahan.

Ya, memaksa.

"Apa maksud Tuanku?" Ekspresi wajah Bai Yun Xian menjadi semakin hodoh.

"Beta pasti Cik Bai mampu mengenali pil milik Kumpulan Qing Yun dengan mudah. Cik Bai juga rasional orangnya. Tidak kiralah pil yang Jun Wu Xie hasilkan itu ialah Pil Jed Embun atau tidak, kalau Cik Bai tidak mengesahkan perkara ini sendiri, kebolehan Cik Bai untuk memastikan ketulenan pil ini mungkin diragui. Mungkin orang lain fikir Cik Bai terburu-buru kerana mahu memusnahkan bukti?" Mo Qian Yuan sudah membuat keputusan dan dia bertekad untuk meneruskan tindakannya.

Bai Yun Xian tidak ada cara untuk menolak. Kalau dia tak sahkan ketulenan pil ini, bukankah imaginasi orang lain akan membuatkan mereka terfikirkan sesuatu yang melampau seperti itu?

"Tuanku begitu bertekad untuk melindungi Jun Wu Xie? Kalau begitu, Patik menurut perintah. Walau bagaimanapun, jika pil yang dibuatnya bukan Pil Embun Jed, Tuanku juga turut bersalah kerana memfitnah Kumpulan Qing Yun." Bai Yun Xian menjawab dengan ringkas dan kasar.

"Baiklah." Mo Qian Yuan mengetap giginya. Dia bersedia mempertaruhkan segala-galanya.

Mo Xuan Fei mencemuh dalam diam. Bukannya dia tidak memberikan jalan keluar pada Mo Qian Yuan. Kakandanya itu yang sengaja mencari nahas.

Tidak kira Putera Mahkota ada kuasa atau tidak, Maharaja dan Mo Xuan Fei tidak boleh menyentuhnya secara terang-terangan kerana mereka perlu menjaga reputasi mereka. Kini setelah dia sendiri yang mencari masalah dengan menyinggung Kumpulan Qing Yun, mereka tak perlu mengotorkan tangan mereka dan hanya perlu biarkan sahaja Kumpulan Qing Yun memusnahkan Mo Qian Yuan.

Mo Qian Yuan, kakanda memang sangat bodoh. Kakanda sanggup menyinggung perasaan Bai Yun Xian demi perempuan ini?

avataravatar
Next chapter