webnovel

Tamparan Kedua (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Bai Yun Xian berdiri sambil menggigit bibirnya. Dia tidak mahu mengakui ketulenan Pil Embun Jed itu tetapi kini fakta itu sukar disangkal disebabkan oleh rancangan Jun Wu Xie.

Tapi bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Jun Wu Xie hanyalah Cik Muda Istana Lin, tak mungkin dia tahu resipi pembuatan Pil Embun Jed. Mustahil dia boleh memproses dan membuat pil itu!

Tambahan pula, dia mampu melakukannya dalam masa setengah hari sahaja! Sukar dipercayai yang dalam masa sesingkat itu Jun Wu Xie bukan hanya menghasilkan sebotol Pil Embun Jed tetapi DUA botol!

"Bilik relau kamu sudah lama dan usang. Masa saya perlukan untuk menghasilkan pil itu banyak terbazir." Jun Wu Xie merungut pada Mo Qian Yuan.

Oleh kerana bilik relau itu sudah lama tidak digunakan dan kebanyakan peralatan di situ tidak lagi berfungsi, Jun Wu Xie tidak dapat menghasilkan lima botol pil, sebaliknya hanya mampu menghasilkan dua botol.

Mo Qian Yuan menahan ketawanya mengingatkan kata-kata Bai Yun Xian yang pembuatan pil itu memerlukan masa tiga hingga lima hari. Jun Wu Xie pula membalas dengan menghasilkan dua botol dalam masa setengah hari. Sudahlah begitu, kini dia mengatakan bilik relau dan peralatan yang rosak telah melambatkan proses pembuatannya. Bukankah ini cara Jun Wu Xie memberitahu Bai Yun Xian yang dia mampu menghasilkan lebih banyak jika berada dalam keadaan yang lebih baik?

Teguran dalam diam dan rungutan Jun Wu Xie ini memberikan dua lagi tamparan ke muka Bai Yun Xian.

Sangat mengujakan! Seolah-olah dia dapat mendengar bunyi tamparan itu!

Mo Qian Yuan akhirnya faham kebencian Jun Wu Xie terhadap Pil Embun Jed.

Bai Yun Xian memuji-muji Pil Embun Jed yang dianggap sebagai permata. Di tangan Jun Wu Xie, pil itu bertukar menjadi batu-batu yang tidak berharga dan kata-kata pujian Bai Yun Xian itu dilemparkan kembali kepadanya.

"Jun Wu Xie, bagaimana kamu tahu resipi ubat Kumpulan Qing Yun!" Bai Yun Xian sangat marah kerana dia tidak pernah merasa begitu terhina.

Jun Wu Xie membalas dengan bersahaja, "Kamu perlukan resipi untuk buat pil ini? Kamu boleh tahu cara pembuatannya hanya dengan menghid baunya."

"….. " Hampir berbuih mulut Bai Yun Xian mendengarkan nada acuh tak acuh Jun Wu Xie itu.

Mo Xuan Fei yang perasan situasi itu sudah berada di luar kawalan, memegang bahu Bai Yun Xian.

"Kami cuma bergurau sahaja hari ini. Waktu sudah semakin lewat, kami perlu mengundur diri," kata Mo Xuan Fei secara tiba-tiba. Mereka sudah cukup berasa terhina dan berada lebih lama di situ hanya akan membuatkan mereka bertambah malu.

"Adinda tidak perlu tergesa-gesa. Cik Bai masih belum mengesahkan ketulenan pil itu." Mo Qian Yuan tidak mahu melepaskan Mo Xuan Fei dengan mudah.

Bai Yun Xian menjeling Jun Wu Xie, matanya menunjukkan dia mahu membunuh gadis itu.

Bai Yun Xian bersusah payah mahu meluahkan kata-katanya. Dengan perlahan dia menggumam, "Pil kamu itu...Pil Embun Jed."

Kata-kata itu nampaknya membuatkan dia menjadi tidak bertenaga. Kakinya berasa lemah dan dia mula terhuyung-hayang.

"Yun Xian!" Mo Xuan Fei terus memegang Bai Yun Xian. Kemudian dia berkata sambil mengetap giginya. "Kami tidak akan mengganggu Kakanda lagi. Yun Xian juga nampaknya tidak sihat. Kami akan datang lagi lain kali."

Tanpa menunggu jawapan daripada Mo Qian Yuan, Mo Xuan Fei bergegas keluar sambil memapah Bai Yun Xian.

Sida-sida yang membawa hadiah itu menjadi bingung. Mereka cepat-cepat mengekori Putera Kedua untuk menyerahkan batu permata yang mereka bawa.

Sebaik semua orang telah pergi dari situ, Mo Qian Yuan tidak dapat menahan dirinya lagi lalu ketawa terbahak-bahak.

"Jun Wu Xie, kamu benar-benar mengejutkan Beta. Penghinaan yang kamu berikan pada Adinda Beta dan Bai Yun Xian hari ini memang hebat! Kamu sengaja menyembunyikan perkara sebenar sejak dari mula lagi, dan mengumpan mereka untuk terus berlagak sebelum mendedahkan segalanya. Memang kejam! Ha ha ha."

Jun Wu Xie memandang Mo Qian Yuan yang sedang ketawa sekuat hatinya lalu dia berfikir.

Kejam? Saya tak fikir begitu.

Penghinaan yang mereka terima hari ini disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Buat jahat dibalas jahat.

"Tapi, tindakan kamu hari ini akan menimbulkan kemarahan mereka." Mo Qian Yuan memberikan amaran.

"Lambat laun akan jadi begini juga." Jun Wu Xie menundukkan pandangannya dan menyembunyikan sinar berbahaya yang muncul dalam matanya.