webnovel

Tamparan Berturut-turut - Bentuk Keempat (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Demi menyelamatkan dirinya dan membalas dendam terhadap Ning Xin, Lu Wei Jie tidak teragak-agak untuk mendedahkan segala-galanya yang dia tahu.

"Kenapa pula dia mahu buat begitu?" Long Qi masih berkerut. Dia tidak faham kenapa persetujuan untuk bekerjasama boleh bertukar menjadi seperti ini. Mengapa gadis muda yang menjengkelkan itu mahu membunuh mereka?

Lu Wei Jie melihat ada peluang untuk digunakannya lalu cepat-cepat berkata, "Seseorang seperti Ning Xin sudah biasa dimanjakan dan kehendaknya sentiasa dituruti. Dia fikir seluruh dunia ini perlu tunduk pada godaannya. Hanya dia sahaja yang boleh hilang sabar dan mengamuk tetapi orang lain tidak boleh menentangnya. Dia sedar yang Tuan serta orang-orang Tuan mempunyai kuasa yang hebat sehingga dapat mengalahkan Binatang Roh gred tinggi dengan mudah. Sebab itulah dia berniat mahu memenangi hati Tuan dan membuat Tuan berpihak padanya. Tapi Tuan pula berkali-kali tidak mengendahkan dia dan membuatkan dia berasa amat terhina. Apabila dia menyedari yang mustahil untuk dia memikat hati Tuan, dia membuat merancang...merancang…."

"Merancang apa?"

"Merancang untuk menggunakan Binatang Roh Gred Penjaga untuk membunuh kamu semua. Tindakan ini boleh memuaskan perasaan marahnya. Selain itu, selepas Binatang Roh itu berlalu pergi, kumpulan kami boleh merompak barang-barang kumpulan Tuan. Ning Xin kata lelaki-lelaki misteri seperti kamu semua pasti memiliki barangan berharga. Dia tahu yang Binatang Roh Gred Penjaga agak berakal dan tidak akan makan manusia. Jadi dia menarik kami untuk menyertai rancangan jahatnya itu." Lu Wei Jie meneliti ekspresi wajah Long Qi dengan jantung yang berdebar-debar. Dia amat takut memikirkan jika dia tersalah cakap dan memusnahkan dirinya sendiri.

Long Qi tidak berkata apa-apa tetapi berpaling memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie menjeling sekilas pada Fan Jin yang kelihatan pucat.

Setiap patah perkataan yang Lu Wei Jie luahkan mula membongkar lapisan demi lapisan kepura-puraan yang menyelubungi Ning Xin. Topeng yang dipakainya, bersandiwara seolah-olah dia tidak terlibat dalam sebarang konflik, hancur berkecai akibat pendedahan mengejutkan dari Lu Wei Jie. Kebenaran yang tidak dapat disangkal lagi, mula terbongkar di hadapan Fan Jin.

Tidak kiralah betapa dia enggan mempercayainya, kebenaran itu tetap berdiri teguh di hadapannya.

"Kamu dah dengar semuanya dengan jelas?" tanya Jun Wu Xie dengan dingin.

Fan Jin menggigil mendengarkan soalan itu dan dia mengangkat kepalanya. Wajahnya pucat lesi. Lama dia berdiri kaku sebelum akhirnya menganggukkan kepala dengan tidak berdaya.

Jun Wu Xie berpaling semula. Mungkin ada baiknya Fan Jin dipaksa untuk sedar yang Ning Xin itu bukan lagi adik perempuan yang baik dan patuh seperti yang dia kenali sewaktu mereka masih kecil dahulu. Sekurang-kurangnya tidak perlulah Jun Wu Xie berdepan dengan sikap lembut hati Fan Jin yang mungkin menyukarkan pembalasan dendamnya sebaik mereka kembali ke Akademi Zephyr.

Jun Wu Xie tidak mahu lagi melihat situasi yang sama berlaku pada Mo Qian Yuan, berlaku pula pada Fan Jin disebabkan dia mahu berbelas kasihan.

Mungkin Fan Jin orang yang baik dan adil tetapi dia juga perlu bersikap tegas.

"Jeneral Long, memandangkan mereka ini para pelajar Akademi Zephyr, mungkin ada baiknya kamu biarkan pihak akademi yang menguruskan mereka. Saya percaya Akademi Zephyr akan memberikan jawapan yang memuaskan untuk hal ini." Jun Wu Xie mengubah keputusannya dan berkata dengan serius pada Long Qi.

Long Qi agak terkejut. Dia terlihat pandangan mata pelajar-pelajar akademi itu padanya lalu menyedari niat di sebalik kata-kata Jun Wu Xie.

Nampaknya Cik Muda masih belum mahu mendedahkan identitinya.

"Kalau begitu, saya terima keputusannya. Tetapi hal ini tidak boleh diuruskan sambil lewa. Kami harap pihak Akademi Zephyr boleh menguruskannya dengan baik." Setelah berkhidmat beberapa lama dengan Jun Wu Xie, Long Qi pantas dapat memahami niat Cik Mudanya yang tidak diungkapkan.

Pasti Cik Muda masih mahu menggunakan pemuda-pemuda ini. Menyelamatkan nyawa mereka ketika ini tidak bermaksud yang pelajar-pelajar ini akan terlepas begitu sahaja. Apabila tiba saatnya, mereka tidak boleh mengelak daripada dihukum!

"Baiklah, saya akan pastikannya." Fan Jin mengeluh lega lalu memberikan jaminannya.

"Kalau begitu, panggil guru-guru kamu ke sini. Saya tahu kamu ini pelajar-pelajar Akademi Zephyr yang sedang menyertai Perburuan Roh dan kamu ada membawa bersama suar amaran," kata Long Qi dengan wajah yang serius.