webnovel

Tamparan Berturut-turut - Bentuk Kedua (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Fan Jin mengangguk dan terus meneliti kecederaan pemuda itu. Mungkin kesakitan yang dialami akibat luka-lukanya itu yang membuatkan pemuda tersebut memegang lengan Fan Jin begitu kuat sehingga berasa sakit.

Namun, sebaik Fan Jin menundukkan pandangannya untuk memeriksa kecederaan pemuda itu, mata pemuda itu memancarkan niat membunuh. Para pelajar lain yang tadinya bergelimpangan di atas tanah dan mengerang kesakitan, tiba-tiba berdiri sambil mengeluarkan pisau belati yang mereka sembunyikan. Mereka semua serentak meluru ke arah Fan Jin!

Fan Jin mengesan bahaya dan mahu melompat untuk mengelak. Tetapi dia mendapati tangannya dipegang kuat oleh pemuda yang dipangkunya tadi. Dia memandang wajah pemuda itu dan terlihat yang mata pemuda tersebut tidak lagi kelihatan takut dan berputus harap, tetapi sebaliknya dipenuhi niat membunuh.

"Senior Fan, pada tahun hadapan, hari ini akan menjadi hari peringatan kematian kamu. Semoga tenang di sana!" Badan pemuda itu disandarkan sedikit ke belakang sambil dia ketawa kejam dan mendedahkan tangannya yang kelihatan berlumuran darah. Pada tangan itu terdapat sarung tangan yang terbuka pada bahagian jari. Sarung tangan itu bercahaya dengan tenaga rohani.

Fan Jin menarik nafas kerana terkejut. Pemuda itu pastinya pengguna roh senjata dan sarung tangan itu ialah roh berkontraknya. Fan Jin yang tidak menyedari apa-apa tadi mendapati dirinya dipegang dengan kuat dan dia tidak dapat melepaskan diri!

Sementara itu, penyerang-penyerang lain merapati Fan Jin dari pelbagai arah dengan pantas dan tersusun. Pemuda yang memegang Fan Jin itu tiba-tiba merasakan tangannya hanya menggenggam udara. Sebaik tersedar, dia mendapati Fan Jin sudah hilang dari pandangannya dan semua jari-jari pada tangannya sudah dipotong sehingga putus! Darah merah memancut keluar dari luka di tangannya yang sudah tidak berjari!

"AARGH!" Satu raungan yang membingitkan muncul dari pemuda tersebut. Sambil memegang tangannya, dia rebah ke atas tanah.

Satu lintasan cahaya sepantas kilas sampai di sisi Jun Wu Xie. Sewaktu pergerakan yang kabur itu mula berhenti dan kelihatan jelas, muncul wajah Fei Yan yang sedang tersengih. Tangannya masih memegang Fan Jin yang sedang tergamam.

Fan Jin menunjukkan perasaan terkejut. Mindanya masih belum pulih daripada menyaksikan kejadian yang telah berlaku dalam sekelip mata tadi.

Pemuda yang telah dipotong semua jarinya itu masih meraung kesakitan dan pemuda-pemuda lain yang tadinya meluru untuk menyerang Fan Jin, kini hanya berdiri dalam kekeliruan. Lebih dua puluh orang pemuda yang baru sebentar tadi mengerang kesakitan, kini berdiri tegak. Wajah mereka kelihatan berwaspada sambil mereka merenung Fan Jin yang berdiri di belakang Jun Xie.

"Apa….. apa yang sedang berlaku ni?" Fan Jin bertanya sambil merenung pemuda-pemuda yang kelihatan sihat sahaja itu. Walaupun dia agak lambat berfikir, dia masih menyedari yang para pemuda ini tidak tercedera. Mereka hanya sengaja menyapu darah ke badan mereka.

"Jelaslah yang ini hanya perangkap," kata Qiao Chu sambil berjalan ke sisi Fan Jin. Dia menepuk-nepuk bahu Fan Jin lalu berkata, "Saya ingatkan kamu dah tahu dan cuma berpura-pura. Nampaknya kamu memang tak sedar langsung, ya?"

"Apa….. sedar tentang apa?" Fikiran Fan Jin begitu keliru dan dia tidak memahami keseluruhan situasi yang berlaku ini.

"Mereka tak perlu diselamatkan pun. Semua orang ini berkumpul di sini untuk membunuh kamu." Qiao Chu menerangkan kepada Fan Jin.

"Apa!?" Wajah Fan Jin terus menjadi pucat. Ketika itu barulah dia sedar yang kumpulan lebih dua puluh orang pemuda ini sedang mendekati mereka. Roh-roh berkontrak milik kumpulan pemuda ini sudah diseru dan semuanya sedang mengancam Fan Jin.

"Fan Jin, jangan mimpilah kamu dapat keluar dari Hutan Roh Pertempuran hidup-hidup hari ini. Kalau kamu tak mahu ahli kumpulan kamu menerima nasib malang yang sama, menyerah diri sajalah pada kami," kata ketua kumpulan pemuda ini. Matanya memandang Fan Jin dengan kekejaman yang tidak disembunyikan.