webnovel

Seni Pembunuhan (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Maharaja menggeletar ketakutan sambil merenung Jun Wu Xie. Baginda kini sedar, apabila Jun Wu Xie membunuh, dia melakukannya dengan cukup kejam. Dia juga mempunyai alasan yang kukuh bagi hukuman bunuh itu dan tidak boleh dipertikaikan!

Sorakan dari orang ramai menjadi semakin kuat dan mereka menjadi begitu bersemangat. Kedudukan Tentera Rui Lin di dalam hati mereka semakin tinggi.

Mereka lebih terkejut melihat Jun Wu Xie yang dahulunya selalu dikritik. Kini dia sudah menjadi seorang gadis muda yang berkeyakinan dan berkuasa. Khabar angin negatif yang tersebar sebelum ini, semuanya lenyap pada malam ini.

Memang dia layak menjadi waris Keluarga Jun. Sangat berkuasa dalam usia yang muda!

Cahaya bulan yang malap menyinari Jun Wu Xie dan menjadikan dia kelihatan begitu mempesonakan. Mereka yang melihatnya memikirkan betapa bodohnya Mo Xuan Fei kerana menolak gadis yang memukau seperti ini.

Jun Wu Xie memerhatikan mereka semua dalam diam. Matanya melihat reaksi mereka.

Reputasi Istana Lin dibina oleh Jun Xian sendiri. Datuknya, ayahnya dan pak ciknya telah berusaha sepanjang hidup mereka untuk mengekalkan martabat Istana Lin.

Dia tidak akan benarkan reputasi Istana Lin tercemar!

Walaupun dia mahu memaksa Maharaja turun takhta, dia akan melakukannya atas sebab keadilan dan menambahkan kemegahan Istana Lin.

Jun Wu Xie mahu Maharaja menyaksikan orang-orang kanan baginda dibunuh dan baginda tidak berdaya menghentikannya. Manakala nama dan martabat Istana Lin akan meningkat naik di seluruh negara! Siapa yang menentang Istana Lin akan dibunuh!

Membunuh seseorang itu tidak semestinya membawa kutukan. Kemegahan juga boleh dicapai, selagi pembunuhan itu dilakukan atas alasan yang kukuh.

"Ayahanda akan biarkan Jun Wu Xie meneruskan kekejaman ini?" Wajah Mo Xuan Fei kemerahan kerana marah. Sudahlah dia terpaksa melihat datuknya dihukum bunuh, kesalahan datuknya juga didedahkan kepada orang ramai!

Maharaja menjadi pucat lesi. Baginda tidak menyangka gadis muda ini begitu teliti dalam perancangannya dan mengambil kira setiap perkara, walau sekecil mana sekalipun. Sejak dia muncul di Pintu Pagar Istana, setiap tindakannya dilakukan dengan teliti sehingga Maharaja terpaksa menelan sahaja kemarahan baginda. Apa yang paling menyakitkan hati ialah, baginda masih lagi tidak dapat mencari alasan untuk mematahkan hujah Jun Wu Xie!

Jun Wu Xie memberikan justifikasi ke atas pembunuhan Wu Wang dan Wei Qun Hua. Pertamanya, Istana Lin telah diberi arahan oleh Maharaja sendiri. Keduanya, dia telah mendedahkan segala kesalahan yang mereka berdua lakukan.

Kedua-dua sebab ini sangat sukar untuk disangkal dan menjadi perisai yang kuat untuk Jun Wu Xie.

Walaupun Maharaja mahu sahaja menyiat-nyiat kulit Jun Wu Xie di situ juga, tidak ada apa yang boleh baginda lakukan tanpa menimbulkan kemarahan rakyat jelata.

Baginda belum pernah lagi mengalami kekalahan seperti ini sejak menaiki takhta. Penindasan ke atas saingan baginda dan Istana Lin telah diterbalikkan dengan kemunculan Jun Wu Xie!

Maharaja memerah otak untuk mencari jalan bagi menangani masalah ini. Baginda tahu, Jun Wu Xie tidak akan berhenti setakat di sini sahaja.

"Arahkan Jun Xian dibunuh." Maharaja memberikan arahan kepada sida-sida senior di sisi baginda, sambil mengetapkan gigi. Sida-sida itu bergerak pergi.

Dengan kematian Jun Xian, Jun Wu Xie tidak ada apa-apa lagi yang mahu diperjuangkan malam ini!

Sebaik berita kematian Jun Xian diumumkan pagi nanti, Istana Lin akan musnah!

Beta hanya perlu bertahan malam ini. Selepas ini beta akan menghancurkan Jun Wu Xie!

Maharaja berasa amat marah, sedangkan Jun Wu Xie baru saja mahu memulakan langkahnya!

Lebih ramai pegawai diheret masuk oleh Tentera Rui Lin. Mereka semua diikat ketat dan melutut di dalam satu barisan di hadapan Pintu Pagar Istana.