Qiao Chu dan yang lain-lain mengetap gigi. Tangan mereka menggenggam penumbuk dengan kuat, tetapi tetap tidak berkata apa-apa.
Mereka sudah banyak kali dikeji begini. Tak ada apa yang boleh mereka lakukan selain menahan diri dan menerima saja penghinaan itu.
"Tolong beri kami tempoh masa beberapa hari lagi." Rong Ruo akhirnya merayu dengan suara yang ramah.
Siapa sangka ketua kumpulan pemuda itu tiba-tiba meludah ke muka Rong Ruo! "Kalau kami beri masa sebulan pun, kamu semua tak akan dapat beri walau satu sen sekalipun! Keluar dari Akademi Phoenix! Kami tak mahu pengemis macam kamu di sini!"
Pada ketika itu raut wajah mereka berempat mula berubah. Qiao Chu mula berasa tegang dan dia melangkah ke hadapan dengan kemarahan yang tidak terbendung. Namun begitu, dia baru saja mengambil satu langkah apabila Rong Ruo memegang bahunya lalu menggelengkan kepala.
"Oh? Apa tu? Kamu mahu pukul saya, bukan?" Pemuda itu merenung Qiao Chu. Wajahnya penuh cemuhan dan kebencian.
Pemuda itu terfikirkan kembali mengenangkan perbuatannya ini yang sudah dilakukan berkali-kali. Setiap kali juga pengemis-pengemis Sayap Timur ini tidak berani membalas.
Qiao Chu menggenggam penumbuknya begitu kuat sehingga tapak tangannya berdarah. Kalau tak kerana arahan yang diberikan oleh Yan Bu Gui, dia sudah membelasah muka yang sedang tersenyum sinis itu.
Malangnya, sebelum ketua pemuda itu dapat menikmati sorakan rakan-rakannya, satu tumbukan padu kena tepat pada mukanya lalu dia tiba-tiba terpelanting ke udara!
Semua mata di situ tertumpu pada orang yang telah melepaskan tumbukan berkenaan.
Jun Wu Xie masih lagi sedang memegang kucing hitam kecil yang tidak sedarkan diri itu dengan pada sebelah tangannya. Manakala sebelah lagi pula terhulur ke hadapan. Wajahnya yang bersahaja itu tidak menunjukkan sebarang perasaan. Namun matanya membara dengan niat membunuh yang dingin!
"Xie Kecil….." Kemarahan Qiao Chu terus lenyap ibarat belon yang meleper. Dia merenung Jun Xie, lidahnya kelu. Perasaannya bercampur-baur.
Pemuda yang telah melayang tadi cepat-cepat dibantu untuk bangun oleh rakan-rakannya yang lain. Dia mengerang kesakitan sambil memegang mukanya yang bengkak. Matanya merenung marah pada Jun Wu Xie.
"Pengemis macam kamu ni berani pukul saya!? Kamu ni dah puas hidup agaknya! Kamu semua, belasah dia!" Ketua pemuda itu menjerit dengan berang dan semua pemuda lain di sekelilingnya menerkam Jun Wu Xie.
Mata Jun Wu Xie mengecil dengan penuh bahaya dan dia meletakkan kucing hitam kecil itu ke tangan Hua yao. Badannya yang lincah itu tiba-tiba bercahaya dengan warna jingga yang terang dan dia terus meluru masuk ke tengah-tengah kerumunan pemuda yang mahu menyerangnya!
Pemuda-pemuda yang mempunyai badan yang lebih besar menyangkakan mereka dengan mudahnya boleh mengalahkan budak tak guna yang bertubuh kecil ini. Sebab itulah mereka menyerang melulu tanpa takut. Sewaktu cahaya jingga itu tiba-tiba muncul pada badan budak tak guna itu, mata pemuda-pemuda tersebut jelas kelihatan terkejut!
APA?
Budak tak guna tu ada roh tahap jingga?
Sudah terlalu lewat untuk mereka berhenti menyerang. Satu cahaya jingga memancar dalam kalangan mereka dan pemuda-pemuda tersebut tiba-tiba rebah dan cedera parah!
Kejadian ini berlaku dalam sekelip mata sahaja tetapi pemuda-pemuda yang baru saja tadi menunjukkan keangkuhan kebencian kini semuanya bergelimpangan di atas tanah. Mereka mengalirkan air mata dan mengerang kesakitan. Kemarahan dan kesombongan di wajah ketua pemuda itu mula lenyap dan matanya terbeliak ketakutan meamndang Jun Wu Xie yang sedang menghampirinya.
"Kamu…. Kamu nak apa!? Saya….. Saya ni ketua pelajar di Sayap Selatan….. Kalau kamu berani mengapa-apakan saya….."
'BAM!"
Sebelum pemuda itu dapat menghabiskan kata-katanya, Jun Wu Xie menumbuk mukanya sekali lagi. Jun Wu Xie mencengkam kolar baju pemuda itu dengan sebelah lagi tangannya sebelum pemuda itu dihentam kuasa yang kuat!
Sambil kolar bajunya dipegang dengan kuat dan kepalanya pusing akibat tumbukan Jun Wu Xie tadi, pemuda itu mahu membantah. Tetapi tumbukan ganas Jun Wu Xie sudah pun sampai ke mukanya. Tumbukan tanpa belas kasihan itu membuatkan mukanya yang sememangnya hodoh itu menjadi bengkak dan herot-berot serta berlumuran darah.
Pemuda-pemuda lain tidak berani bergerak dan hanya berdiri terpegun. Mereka kelihatan terkejut dan menjadi kelu, memandang serangan Jun Wu Xie dengan mulut yang ternganga.
Kejam! Terlalu kejam!
Hentikan dia! Kalau tidak, ada orang yang akan mati nanti!