webnovel

Putera Mahkota Negara Yan (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Ketika Jun Wu Xie dan rakan-rakannya tiba di pintu masuk Kediaman Putera Mahkota, Lei Chen sudah pun berdiri di situ. Seorang Putera Mahkota yang datang sendiri untuk mengalu-alukan tetamunya menggambarkan dia sebagai seorang yang sederhana dan merendah diri.

Sebaik semua ahli kumpulan itu duduk di ruang jamuan, Lei Chen tersenyum dan berkata, "Demi meraikan kamu semua yang datang ke sini, saya mahu minum ucap selamat untuk kamu." Setelah selesai bercakap, Lei Chen mengangkat cawannya dan meneguk minumannya sehingga habis.

Selepas itu, dia duduk semula dan memandang Jun Wu Xie dengan sedikit kesal.

"Beta fikir sebab mengapa Adik Jun datang ke sini hari ini pasti berkaitan dengan khabar angin yang tersebar di seluruh bandar Ibu Negara, bukan?" Lei Chen bukannya bodoh. Dia tahu Jun Xie dan rakan-rakannya itu tidak akan datang ke kediamannya tanpa sebab.

[Pusingan ketiga Kejohanan Pertempuran Roh baru sahaja tamat hari ini. Sudah tiga kali Jun Xie berhadapan dengan lawan yang membatalkan pertempuran mereka. Tiba-tiba Jun Xie dilabel sebagai pengampu Lei Chen yang licik. Seseorang yang memiliki personaliti dingin dan gemar berdikari seperti Jun Xie tidak mungkin akan berasa gembira dengan situasi ini.]

"Betul," balas Jun Wu Xie tanpa perasaan.

Lei Chen tersenyum pahit dan membalas, "Beta perlu mengaku yang Beta telah tersilap pertimbangan dalam hal ini. Mulanya Beta bercadang mahu memudahkan sedikit kemaraan Adik Jun, tetapi sebaliknya Beta telah membawa begitu banyak masalah pada Adik Jun."

Sememangnya Lei Chen sendiri telah pergi berjumpa dengan para pelajar yang menjadi lawan Jun Xie. Dia sudah lama menyasarkan fakulti Pemulih Roh Akademi Zephyr, jadi sudah tentulah dia telah banyak mendengar tentang para pelajar fakulti itu. Menurut maklumat yang dikumpulnya, pelajar fakulti Pemulih Roh biasanya tidak begitu tekun dalam pertapaan harian kuasa rohani mereka. Sebahagian besar masa mereka dihabiskan untuk lebih fokus pada penghalusan Teknik Pemulihan Roh. Walaupun keputusan para pelajar Akademi Zephyr telah melangkaui jangkaan, usia Jun Xie masih muda dan dia juga merupakan pelajar dari fakulti Pemulih Roh. Selain itu, Lei Chen juga telah mendekati beberapa orang pemuda yang sebelum ini belajar di Akademi Zephyr dan bertanyakan pada mereka tentang Jun Xie.

Orang-orang itu telah memberitahu dia yang sebaik sahaja Jun Xie diterima masuk ke Akademi Zephyr, dia tidak pernah dilihat meluangkan masa untuk memupuk kuasa rohaninya. Sebaliknya, dia menghabiskan masanya untuk memperhalusi dan menambah baik Teknik Pemulihan Roh. Berdasarkan maklumat itu, Lei Chen membuat tanggapan bahawa kuasa rohani Jun Xie tidak begitu bagus.

Pada mulanya, Lei Chen tidaklah berniat mahu bertemu dengan orang-orang itu kerana lawan Jun Xie pada pusingan pertama adalah pelajar dari Akademi Pembunuh Naga. Lei Chen baru sahaja memalukan mereka dan fikirnya kalau dia pergi berbincang dengan mereka pun, Akademi Pembunuh Naga yang berstatus elit itu tak akan mempedulikan dia.

Namun begitu, tanpa disangka-sangka, Akademi Pembunuh Naga telah memilih untuk menarik diri pada hari perlawanan berlangsung. Lei Chen berasa gembira dengan kejutan yang berlaku tiba-tiba itu.

Lei Chen tidak tahu mengapa Lin Qi dari Akademi Pembunuh Naga itu memilih untuk menarik diri daripada pertempurannya dengan Jun Xie. Tetapi menggunakan kejadian itu sebagai asas, tentulah Lei Chen secara logiknya melakukan langkah seterusnya. Dia telah memberitahu Jun Xie dan pelajar lain dari Akademi Zephyr yang dia akan membantu mereka sedikit. Kebetulan pula Akademi Pembunuh Naga memilih untuk melepaskan peluang mereka selepas itu. Lei Chen tidak nampak apa-apa sebab mengapa dia tidak sepatutnya meneruskan tindakannya.

Jadi dia seterusnya telah pergi bertemu dengan lawan Jun Xie di pusingan kedua dan ketiga. Lei Chen menaburkan wang dan janji sebagai balasan untuk mereka menarik diri daripada perlawanan masing-masing.

Lagipun, peluang mereka untuk menang agak tipis jika mereka berdepan dengan lawan dari akademi yang ketika itu amat cemerlang. Memandangkan mereka tidak yakin akan mencapai kejayaan, mereka memilih untuk menerima tawaran Lei Chen yang akan memberikan mereka lebih banyak manfaat.

Semuanya berlaku mengikut jangkaan Lei Chen. Tetapi hari ini, salah seorang pemuda itu tiba-tiba muncul di jalanan dalam keadaan cedera parah. Khabar angin terus bertiup dan mengaitkan nama Lei Chen.

"Tak perlu minta maaf," kata Jun Wu Xie sambil memandang Lei Chen yang kelihatan kesal.

Namun Lei Chen menggelengkan kepala. "Kesilapan Beta telah melibatkan Adik Jun. Bukannya Beta meragui kuasa Adik Jun. Beta cuma mahu memberi sumbangan kecil sebagai bantuan. Harapnya Adik Jun tak akan salahkan Beta."

Jun Wu Xie perlahan-lahan menuang secawan wain. Dengan satu pusingan pergelangan tangannya, dia menolak cawan tersebut ke hadapan Lei Chen.