webnovel

Negara Yan (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

Mata mereka terpegun memandang wajah tampan tidak tercela milik lelaki yang melangkah keluar dari kereta kuda itu. Susuk tubuhnya yang tinggi lampai, pergerakannya yang sopan serta sedikit senyuman nakal di wajahnya yang luar biasa tampan itu membuatkan jantung setiap orang di situ terhenti sedetik.

Matanya yang dikecilkan sedikit itu ibarat wain memabukkan yang memukau mereka. Dia merenung tepat ke dalam kereta kuda itu. Seorang remaja yang halus rupa parasnya mengikut keluar di belakang lelaki itu. Remaja itu kelihatan seperti berusia dalam lingkungan empat belas atau lima belas tahun. Wajahnya boleh tahan tampan, namun tetap tidak setanding dengan lelaki yang keluar dari kereta kuda itu sebelumnya.

Lelaki yang keluar dulu tadi tersenyum dan menghulurkan tangan pada remaja itu untuk membantunya turun dari kereta kuda. Setiap pergerakan tangan dan langkah lelaki itu kelihatan begitu mengagumkan.

Seindah lukisan…

Ada beberapa orang pemuda yang keluar dari kereta-kereta kuda itu seorang demi seorang. Mereka kelihatan lebih tua sedikit berbanding remaja tadi, tetapi setiap seorang tetap kelihatan sangat tampan dan menawan. Walaupun masih tidak setanding dengan lelaki pertama tadi, mereka masih memiliki kecantikan yang menawan. Malah ada seorang gadis yang cantik dalam kalangan mereka!

Akademi Zephyr telah mendapat keputusan yang agak baik dalam Kejohanan Pertempuran Roh tahun lepas. Sebab itulah mereka agak banyak menarik perhatian akademi lain. Tetapi para pelajar lain menyedari bahawa para peserta dari Akademi Zephyr itu semuanya tidak mereka kenali.

"Mereka ni… dari Akademi Zephyr?" Para pemuda yang sedang mengintai-intai itu menelan air liur setelah terpandang gadis cantik di dalam kumpulan kecil itu!

Tahun lepas juga Akademi Zephyr memiliki peserta perempuan. Seingat mereka, gadis itu juga amat jelita. Namun jika dibandingkan dengan si cantik manis di hadapan mereka sekarang, kecantikan peserta perempuan yang ada di minda mereka sebelum ini tiba-tiba lenyap.

"Tengoklah panji pada kereta kuda mereka. Pasti mereka datang dari Akademi Zephyr." Para pelajar yang berkumpul untuk melihat Akademi Zephyr dimalukan, kini tidak mampu berkata apa-apa. Tanpa memikirkan aspek lain sekali pun, rupa paras mereka yang tampan sudah pun mampu menghancurkan mereka. Kenyataan ini langsung tidak dapat disangkal.

Mereka memahami kewujudan orang-orang yang cantik. Tetapi mereka langsung tidak dapat memahami kejelitaan yang mencapai tahap mengagumkan dan mampu menghancurkan hati!

Sejumlah sepuluh orang keluar dari lima buah kereta kuda Akademi Zephyr. Selepas kerumunan pelajar itu terlihat dua orang lelaki yang dingin dan tegas yang muncul paling akhir sekali, kereta-kereta kuda itu terus berlalu. Mereka tidak terlihat ada orang lain lagi muncul. Hal ini sekali lagi membuatkan mata-mata yang sedang mengintai itu menjadi begitu keliru.

"Kenapa ada sepuluh orang saja dari Akademi Zephyr?" Para pemuda ini kebingungan dan langsung tidak dapat memahaminya. Setiap akademi yang menyertai Kejohanan Pertempuran Roh diberikan sepuluh tempat. Tetapi hanya ada sejumlah sepuluh orang dari Akademi Zephyr. Tiga orang daripada mereka kelihatan seperti sudah melepasi usia remaja. Nampaknya ketiga-tiga orang ini bukannya hadir untuk menyertai Kejohanan Pertempuran Roh.

Dalam kalangan tujuh orang yang tinggal, mereka terlihat Fan Jin berada dalam kalangan ahli kumpulan itu.

Selepas kekecohan besar yang menggemparkan Akademi Zephyr itu reda, Fan Jin bukan lagi merupakan pelajar Akademi Zephyr. Dia telah menggalas tanggungjawab sebagai Guru Besar. Mereka tidak rasa yang dia masih layak untuk menyertai Kejohanan Pertempuran Roh.

Kalau betul apa yang mereka lihat, hanya ada enam orang dari Akademi Zephyr yang menyertai kejohanan ini?

Ada seorang remaja bertubuh kecil molek dalam kalangan mereka. Dia nampaknya masih terlalu muda dan kelihatan lemah serta kurus. Bolehkah remaja sekecil ini mewakili Akademi Zephyr di Kejohanan Pertempuran Roh?

Pada saat itu, satu kesimpulan terbentuk serentak di minda para pelajar yang sedang memerhati itu.

Akademi Zephyr sudah begitu merosot. Mereka tidak dapat mencari sepuluh orang untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh dan hanya mampu mengumpulkan enam orang pelajar ini. Walaupun semuanya luar biasa cantik serta tampan, kejohanan ini memerlukan kekuatan dan bukannya rupa paras.

Hampir semua orang terus membuat anggapan yang Akademi Zephyr sudah berputus asa sebelum Kejohanan Pertempuran Roh itu bermula lagi.

Melihat orang-orang dari Akademi Zephyr sudah masuk ke rumah tumpangan, para pemuda yang memerhatikan mereka tadi terus berpaling. Sepantas api yang marak, berita tentang apa yang mereka lihat itu terus tersebar.