webnovel

Menjelmanya Awan Ribut (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Beberapa orang pengikut Puncak Awan Biru meluru masuk dengan pantas. Tetapi sebelum mereka boleh menyentuh walau hujung baju Jun Wu Xie sekalipun, Qiao Chu sepantas kilat merempuh dan melompat ke arah mereka. Satu hayunan kuat kakinya yang panjang itu membuatkan mereka semua terpelanting ke udara!

Serangan ganas Qiao Chu membuatkan orang-orang di dalam dewan itu naik gila!

Kedua-dua orang pengikut yang "Ke Cang Ju" bawa ini sangat berani dan mengakibatkan kekecohan besar!

Seorang telah mendedahkan rahsia yang dikongsi oleh Qin Yue dan "Ke Cang Ju" pada khalayak ramai tanpa gentar manakala seorang lagi telah menyerang pengikut-pengikut Puncak Awan Biru sehingga menyebabkan mereka tercampak ke luar dewan!

Tanpa dapat disangkal lagi, Qiao Chu ialah pengikut pertama yang berani bertempur di dalam dewan Pemerintah!

Pada ketika itu kemarahan Qin Yue meledak! Dia berdiri dengan marah dan jarinya menggeletar sewaktu menunjuk ke arah "Ke Cang Ju". Dia menjerit, "Ke Cang Ju! Apa niat dua orang samseng ini? Kau tak hormat aku sebagai Pemerintah!"

Pemberontakan!

Dia sudah memberontak!

Mungkin Ke Cang Ju selama ini bersikap angkuh, tetapi dia masih lagi ada perasaan hormat kepada Qin Yue dan tahu untuk tidak melampaui batas. Tapi kini, "Ke Cang Ju" sudah membawa dua orang pengikutnya yang mencabar kuasa Qin Yue terang-terangan. Dia tidak dapat lagi menahan perasaan marahnya!

Apa yang Qin Yue mahu lakukan pada ketika itu hanyalah mencekik "Ke Cang Ju" sehingga mati!

"Ke Cang Ju" sedang duduk dengan tenang di tepi dewan, memandang Qin Yue yang sedang berang. Dia kemudiannya berkata dengan bersahaja, "Tuan Pemerintah, kemarahan Tuan ini tidak berasas. Cuma beberapa orang pengikut Tuan saja dicampak keluar dari sini. Tuan begitu murah hati dengan pengikut puncak-puncak lain sebelum ini, apalah sangat kalau beberapa orang pengikut Puncak Awan Biru dicederakan. Lagipun seperti yang diarahkan, pengikut Tuan sendiri dikecualikan daripada menguji racun itu dan hanya terseksa kerana ditendang sahaja. Ini bukan hal yang besar, bukan?" Kalau "Ke Cang Ju" tidak berkata apa-apa, Tuan Tua lain mungkin tidak menjadi semakin marah. Namun kata-kata itu memberitahu mereka yang Qin Yue mempunyai mentaliti pentingkan diri dalam hal berkaitan pengikutnya sendiri.

Kamu mahu membalas dendam bagi pihak anak kamu dan perlu mengorbankan pengikut Kumpulan Qing Yun. Kemudian kamu menyasarkan pengikut dari pelbagai puncak tetapi pengikut kamu sendiri terselamat dari bahaya.

Pengikut puncak-puncak lain dibunuh, tubuh badan mereka dimusnahkan dan Qin Yue langsung tidak terkesan. Pengikut Puncak Awan Biru ditendang sekali saja, dia sudah meradang. Ini yang dikatakan tidak berat sebelah?

Tuan Tua Kumpulan Qing Yun agak kenal dengan personaliti Qin Yue. Mereka tahu dia ini memang seorang yang hipokrit. Namun kata-kata "Ke Cang Ju" yang menjadi batu api itu membuatkan mata Tuan Tua lain terbeliak kerana terkejut.

Jadi Qin Yue membenarkan saja tindakan Ke Cang Ju itu bukan saja untuk membalas dendam demi Qin Yu Yan, tetapi juga sebagai alasan untuk merendah-rendahkan kedudukan Tuan Tua?

Tanggapan itu mula bercambah di minda Tuan Tua lain. Perasaan tidak puas hati mereka terhadap Qin Yue tiba-tiba berkembang menjadi keraguan dan mereka menjadi semakin berwaspada.

Wajah Qin Yue menjadi pucat dan dia merenung "Ke Cang Ju".Lelaki ini pasti sudah hilang akal! Kata-katanya itu hanya akan memburukkan lagi situasi ini!

Sambil mengetap giginya, Qin Yue tetap lagi tidak berani mengasak dan mendesak "Ke Cang Ju" kerana lelaki itu masih memegang bukti yang boleh menjatuhkan dia dari tampuk pemerintahannya.

Qin Yue tidak pernah berada di dalam situasi yang tidak selesa begini. Ke Cang Ju yang sebelum ini membantu dia merampas kedudukan Pemerintah Kumpulan Qing Yun, hari ini bertukar menjadi ancaman yang paling dibencinya, tetapi tidak boleh disentuh!

Sambil menarik nafas dalam, Qin Yue menahan kemarahan di dalam hatinya sehingga matanya menjadi merah. Akhirnya dia berkata, "Tuan Tua Ke, kedua-dua orang pengikut kamu ini bersikap biadab di hadapan Pemerintah. Menurut peraturan Kumpulan Qing Yun, mereka perlu dihukum."

Kalau dia tak boleh sentuh Ke Cang Ju, dia akan membunuh pengikut-pengikut lelaki itu untuk menenangkan kemarahannya! Semua ini demi membalas perbuatan Ke Cang Ju.

"Ke Cang Ju" mengangkat keningnya dan memandang Jun Xie yang sedang duduk dengan diam. Bibir "Ke Cang Ju" menguntum senyuman.

"Pemerintah Qin, Tuan benar-benar pasti mahu menjalankan hukuman itu?" Nampaknya Qin Yue tidak dapat menahan dirinya lagi.