webnovel

Membuka Keranda (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie tidak dapat menghentikan Jun Xian daripada menyentuh Jed Roh itu, Jari-jarinya menyentuh permukaan yang dingin dan licin dan wajah Jun Xian berkerut. Dia...tidak merasakan apa-apa yang luar biasa.

"Wu Xie, apa yang terjadi pada kamu? Tolong jangan takutkan kami." Jun Qing memegang Jun Wu Xie dengan erat, matanya penuh perasaan bimbang. Sewaktu Jun Wu Xie terkesan oleh Jed Roh tadi, binatang hitam itu juga menunjukkan tanda-tanda terseksa. Sehingga kini, binatang hitam itu masih tercungap-cungap sambil terbaring di atas tanah. Dalam masa yang singkat, Jun Wu Xie dan binatang hitam itu nampaknya cedera parah dan keadaan mereka agak teruk.

Wu Xie dan roh berkontraknya menerima serangan secara serentak. Keadaan ini agak membimbangkan.

"Saya tak apa-apa." Jun Wu Xie menggeleng-geleng kepalanya untuk menghilangkan rasa pening. Dia cuba untuk fokus pada tugasannya. Seksaan yang kuasa itu kenakan ke atasnya tadi tidak menyebabkan kesakitan pada badannya, tapi amat merupakan serangan ke atas rohnya. Jun Wu Xie bersusah-payah berdiri dan memandang Jun Xian.

"Datuk tak apa-apa?" Dia memandang tangan datuknya yang masih lagi menyentuh Jed Roh.

Jun Xian berpusing dan berjalan menuju cucunya, melepaskan pegangan pada Jed Roh..

"Sudah tentulah datuk tak apa-apa, kamu rasa lebih sihat?"

Jun Wu Xie mengangguk tetapi berasa hairan. Sewaktu dia menyentuh Jed Roh tadi, rohnya telah diserang dengan kuat. Namun melihat keadaan Jun Xian, dia nampaknya langsung tidak terkesan. Apakah yang menyebabkan keadaan ini?

"Meowww." Binatang hitam itu merangkak ke arah Jun Wu Xie selepas melihat tuannya cuba berdiri. Binatang hitam itu menundukkan kepala sambil merintih meminta simpati, meleset-lesetkan kepalanya pada tangan Jun Wu Xie.

[Teruk betul tadi. Saya ingatkan tak perlu tempuh keadaan yang sama sekali lagi.]

Binatang hitam itu berasa murung dan melankolik.

Jun Wu Xie terkejut. Dia tunduk memandang binatang hitam itu dan bertanya, "Sekali lagi?"

Binatang hitam itu mengangguk.

"Meow"

[Beginilah keadaannya sewaktu roh saya terpisah dari jasad saya, sebelum bergabung dengan Cik.]

Setelah mendengar penjelasan binatang hitam itu, barulah Jun Wu Xie faham apa yang mereka alami tadi. Kalau tekaannya betul, Jed Roh itu mampu menarik keluar roh seseorang, tetapi kemampuan ini terbatas.

Dia bukanlah roh asal yang menghuni tubuh ini, jadi rohnya tidak begitu stabil dan lengkap. Roh Jun Xian pula sudah lengkap di dalam tubuh badannya sendiri, jadi Jed Roh tidak ada kesan terhadap dia.

Kepingan Jed Roh ini mampu menyerap roh yang tidak lengkap dan tidak stabil. Jun Wu Xie langsung tidak menyukainya.

Tetapi, kebolehan Jed Roh menyerap roh yang tidak stabil tidak menjelaskan kenapa tubuh badan Jun Gu tidak mereput.

Mungkinkah Jed Roh ini menyimpan lebih banyak rahsia?

Wajah Jun Wu Xie berkerut dengan bingung. Dia yakin tubuh Jun Gu berada dalam keadaan baik itu pasti ada kena mengena dengan Jed Roh. Kalau Jed Roh dikeluarkan, pasti badan Jun Gu akan mereput dengan cepat.

Merenung tubuh badan Jun Gu yang masih elok di dalam keranda itu, Jun Wu Xie menjadi berat hati untuk mengganggu ketenangan ayahnya.

"Datuk, saya ada perkara mahu dibincangkan." Jun Wu Xie berjalan ke arah Jun Xian.

"Saya tak mahu serahkan Jed Roh kepada Kumpulan Qing Yun. Lagipun, badan ayah saya mungkin berada dalam keadaan baik ini disebabkan oleh Jed Roh. Kalau kita keluarkan jed itu, saya bimbang…." Jun Wu Xie tidak perlu menghabiskan kata-katanya, Jun Xian faham akibat yang akan berlaku.

Sesuatu yang dapat memelihara tubuh badan orang mati dengan sempurna selama satu dekad, pastinya sesuatu yang luar biasa.

Kalau Jun Xian tidak melihat tubuh badan Jun Gu yang terpelihara dengan sempurna, dia mungkin akan tetap berikan Jed Roh. Tetapi melihatkan wajah tenang anak sulung kesayangannya itu, dia tidak sampai hati mahu merosakkannya..