47 Kecilnya Dunia (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Tsk, apa hebatnya Kumpulan Qing Yun. Langsung tidak layak disebut-sebut." Satu suara penuh nada menghina kedengaran daripada sisi Jun Wu Xie. Dia berpaling dan melihat pemuda kusut-masai itu bersungut sambil mengunyah daun buluh dan meletakkan kedua belah tangan di belakang kepalanya. Dia memandang keji terhadap orang ramai yang sedang mengagumi Bai Yun Xian.

Dia mengatakannya dengan perlahan, tetapi Jun Wu Xie telah mendengarnya.

Sewaktu pemuda itu terpandang Jun Wu Xie, dia tersengih dan ketawa dengan kuat. "Bukankah saya kata saya tidak berminat dengan ubat-ubatan? Pastilah saya juga tidak berminat dengan Kumpulan Qing Yun."

Pemuda itu cuba menjelaskan, tetapi Jun Wu Xie tidak mempedulikannya dan berlalu pergi.

Pemuda itu ketawa secara tidak berdaya dan tidak lagi berkata apa-apa.

"Apa yang kamu mahu tukarkan untuk 2 butir Permata Rohani dan sembilan butir Mutiara Timur ini?" Sebaik Mo Xuan Fei terlihat senyuman buah hatinya, dia membuat keputusan untuk membelanjakan wang demi Bai Yun Xian.

Sewaktu Mo Xuan Fei membawa Jun Wu Xie ke Bandar Hantu, dia tidak membelanjakan satu sen sekalipun. Mereka hanya berjalan-jalan sebentar sebelum pulang ke rumah.

Kini dengan Bai Yun Xian di sisinya, dia lebih pemurah.

Orang tua itu memandang Mo Xuan Fei, menghembus asap daripada paipnya dan berkata dengan bersahaja, " Saya cuma terima buat-ubatan."

Mo Xuan Fei sedikit terkejut.

Sebagai Putera Kedua negara ini, dia telah melihat pelbagai jenis barang berharga, dan dia juga dibenarkan untuk menggunakan sebahagian besar daripada barang-barang itu. Walau bagaimanapun, dari segi barangan perubatan serta ubat-ubatan, Kerajaan Qi tidak semaju negara lain dan ini kekurangan Mo Xuan Fei. Segala ubat-ubatan yang berharga dikunci di dalam bilik simpanan berasingan dan dia tidak dibenarkan memasukinya.

"Beta akan tukarkan barangan kamu dengan jed." Mo Xuan Fei tidak mahu air mukanya jatuh di hadapan Bai Yun Xian. Dengan bersahaja dia mengeluarkan sebuah jed yang halus buatannya, bersaiz sebesar tapak tangannya. Jed ini harta yang jarang ditemui. Mo Xuan Fei bertekad untuk membuatkan Bai Yun Xian kagum.

Malangnya, orang tua itu langsung tidak memandang jed itu dan terus menghisap paipnya.

Jelas sekali orang tua itu tidak berminat. Jika ini berlaku di Bandar Diraja, siapa yang berani menyinggung perasaan Mo Xuan Fei dan tidak memberi muka kepadanya? Seorang putera raja yang bermaruah mahu membeli barangan kamu, ini bermaksud dia menyedari kewujudan kamu dan itu sepatutnya sesuatu yang membanggakan. Kalau kamu tidak menurut kehendaknya, para pengawal akan merobohkan gerai dan penjual itu akan dipenjarakan.

Tetapi ini Bandar Hantu.

Walaupun bandar ini dibuka di bawah Bandar Diraja, ia tidak dimiliki Kerajaan Qi. Bandar ini dibuka dan diuruskan oleh seseorang yang penuh misteri. Orang itu menempatkan pengawal bertubuh sasa yang memakai topeng untuk menjaga keamanan di pasar itu. Tempat ini benar-benar unik dan tersembunyi daripada jalan utama, tetapi pengawal-pengawal ini tidak boleh dipandang ringan. Apa saja yang dijual, tiada siapa yang memantau. Tetapi jika ada yang menimbulkan kekacauan, pengawal-pengawal itu dengan pantas menghalau orang itu.

Ada juga orang yang mahu menipu telah dihalau serta dihalang daripada kembali ke Bandar Hantu. Polisi di sini sememangnya tidak bertoleransi terhadap pembuat kacau.

Pernah terjadi, anak Perdana Menteri dihalau keluar dan seluruh keluarganya dimalukan. Namun Perdana Menteri tidak berani berbuat apa-apa terhadap Bandar Hantu. Dia hanya mendiamkan diri dengan berpura-pura hal itu tidak pernah berlaku.

Sejak daripada itu, orang ramai sedar yang individual di sebalik Bandar Hantu ini pasti mempunyai latar belakang yang berkuasa dan tiada siapa berani membuat kecoh lagi.

Bagi Mo Xuan Fei pula, dia tidak tahu siapa di sebalik Bandar Hantu tetapi dia tahu dia tidak boleh menyinggung perasaan orang itu. Kalau dia berbuat begitu, dia mungkin menerima nasib yang sama seperti anak Perdana Menteri!

avataravatar
Next chapter