webnovel

Jed Penenang Roh (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Jed Penenang Roh? Bukan Jed Roh?" Jun Wu Xie memandang Teratai Kecil. Nama yang disebutnya tadi ada tambahan satu perkataan.

Mata Teratai Kecil yang besar dan kelihatan naif itu terkebil-kebil, "Apa tu Jed Roh? Tak pernah dengar pula. Saya ada lihat gambar Jed Penenang Roh sewaktu di Dunia Roh dan rupa jed itu sama seperti jed ini. Di dalam jed itu ada tenaga roh dari Dunia Roh."

"Tenaga roh tu apa pula?" Jun Wu Xie semakin keliru. Teratai Kecil menggunakan terlalu banyak perkataan yang hanya wujud dalam Dunia Roh.

Teratai Kecil memandang ekspresi wajah Jun Wu Xie yang bingung dan dia tersenyum megah. Dia melompat turun ke tanah dan meletakkan tangannya yang kecil ke belakang, "Nampaknya Tuan tak banyak tahu tentang bidang kerohanian. Baiklah, biar saya terangkan perlahan-lahan."

"Tenaga roh ialah kekuatan yang diperoleh roh berkontrak selepas menjalani latihan dan pertapaan. Roh berkontrak sebenarnya berbentuk roh dan kekuatan kami membentuk sebahagian daripada roh kami. Jed Penenang Roh ialah satu daripada tujuh harta berharga Dunia Roh dan mempunyai kebolehan untuk melindungi dan memulihkan roh. Jika suatu roh itu sukar dikawal, kuasa Jed Penenang Roh akan membuatkan roh itu perlahan-lahan tenang dan mengembalikan terasnya. Tapi...saya tak pernah lihat Jed Penenang Roh ini. Saya dengar tujuh harta Dunia Roh hilang dalam satu peperangan. Hanya gambar tujuh harta ini saja yang tinggal. Pemerintah Dunia Roh sudah menghantar keluar banyak roh berkontrak untuk mengesan lokasi tujuh harta itu."

Selepas penjelasan panjang lebar ini, Teratai Kecil begitu bangga dengan pencapaiannya. Dia tersengih memandang Jun Wu Xie.

"Saya tak sangka akan jadi begitu bertuah dan dapat menemui Jed Penenang Roh. Kalau saya bawa pulang Jed Penenang Roh ini ke Dunia Roh, saya akan mendapat ganjaran lumayan." Teratai Kecil begitu gembira bercakap dengan dirinya sendiri tanpa menyedari pandangan Jun Wu Xie yang semakin tajam.

Roh berkontrak kecil yang dungu, dengan seronoknya mengatakan mahu bawa pulang harta milik tuannya, di depan tuannya.

Tidak ada cara lagi untuk menerangkan keadaan ini selain mengatakan dia sedang menempah maut.

[Cik, boleh saya penyekkan dia sekarang?] Mata kucing hitam kecil itu merenung tajam ke arah Teratai Kecil yang berlagak comel.

Akhirnya Teratai Kecil sedar dan dia cepat-cepat menyembunyikan senyumannya dan tersipu-sipu memandang kucing hitam kecil itu.

"Kamu….. Kamu jangan dekat….."

[Kamu ni memang bebal, ya? Saya akan biarkan saja kalau kamu ni roh tak guna. Tapi kamu menginginkan artifak berharga milik Cik. Betul-betul tak mengenang budi. Tak ada gunanya biarkan kamu hidup, baik saya makan kamu saja!] Kucing hitam kecil itu sudah membaham satu roh berkontrak sebelum ini. Kucing itu menjilat-jilat taringnya dengan penuh harapan.

Bunga dungu ini semakin berani!

Teratai Kecil terpaku dan memandang kosong pada kucing hitam kecil itu. Seketika kemudian butiran air mata sebesar kacang mengalir di wajahnya. Dia rebah di kaki Jun Wu Xie dan meraung. Tangannya yang kecil memegang hujung baju Jun Wu Xie untuk mengelap hidungnya sambil dia teresak-esak cuba menjelaskan. "Saya…. Saya tak bermaksud begitu. Saya….tak akan ambil barang Tuan! Saya….maksudkan….selepas Tuan mati nanti, saya akan bawa pulang Jed Penenang Roh."

Dia bunga yang jujur, dan tak akan mencuri daripada tuannya!

Wajah Jun Wu Xie semakin gelap.

Daripada niat mahu mencuri barang tuannya, si bunga dungu ini baru meningkatkan kesalahan kepada mengutuk tuannya supaya mati awal….

Kucing hitam kecil itu menajamkan kukunya dan melompat menerkam si bunga dungu.

Pada ketika itu, haruman bunga teratai semerbak di dalam bilik itu, diikuti dengan jeritan Teratai Kecil yang kesakitan.

Jun Wu Xie menggosok-gosok pelipisnya sambil memandang kelibat kucing hitam dan bunga teratai itu.

Bolehkah dia menemui jawapan yang dia cari?