webnovel

Bandar Chan Lin (5)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tuan Embek Embek? Fan Zhuo semakin keliru.

"Tunggu," kata Jun Wu Xie secara tiba-tiba setelah mengeluarkan batu-batu roh miliknya. Sambil diperhatikan oleh Qiao Chu dan yang lain, dia menghulurkan tangannya dan memilih beberapa biji batu roh tahap tinggi.

"Saya nak yang ni."

Batu roh tahap tinggi jarang dapat ditemui dan Jun Wu Xie tidak mahu menukarkan batu-batu roh ini dengan duit. Lebih baik batu-batu ini digunakan untuk menempa cincin cincin baru untuk roh berkontrak mereka, ataupun dibawa pulang untuk diberikan kepada Tentera Rui Lin.

Tidak ada seorang pun dalam kumpulan itu yang membantah tindakan Jun Wu Xie. Mereka membiarkan Jun Wu Xie memilih-milih dari timbunan itu dengan perlahan-lahan, malah turut membantu memilih beberapa biji untuk diletakkan di hadapan Jun Wu Xie.

Tak ada sesiapa pun yang ambil peduli untuk bertanyakan kepada untuk apa batu-batu ini akan digunakan.

Jun Wu Xie mengambil beberapa biji batu yang mereka telah pilih dari timbunan itu dan menyerahkannya kepada Qiao Chu dan yang lain.

Mata Qiao Chu terkelip-kelip. Dia bingung dengan tindakan Jun Wu Xie lalu bertanya, "Jun Xie. Kamu buat apa ni?"

Bukankah dia baru memilih batu-batu ini tadi? Kenapa pula dia memulangkannya?

"Cincin," kata Jun Wu Xie sambil memandang cincin di jari Qiao Chu yang menghubungkan dia dengan roh berkontraknya.

Akhirnya barulah Qiao Chu faham. Walaupun cincin yang mereka pakai itu dibentuk oleh roh berkontrak mereka sendiri, ada cara khas yang boleh digunakan untuk menambah baik keadaan cincin-cincin itu. Bahagian paling penting untuk mencapai kejayaan ini ialah meletakkan batu roh pada cincin berkontrak mereka. Ini akan dapat meningkatkan kuasa roh berkontrak tersebut. Cara ini telah wujud sejak turun-temurun.

Selain memilih batu roh yang sesuai, menempa semula cincin roh memerlukan tukang yang berkemahiran tinggi untuk menjalankan proses menempa. Ini membolehkan kuasa roh berkontrak itu ditingkatkan sepenuhnya melalui penambahan batu roh tersebut.

Tempaan cincin roh biasanya dilakukan oleh tukang emas biasa. Walaupun kemahiran mereka tidak terlalu tinggi, kesannya masih lagi cukup mengagumkan.

Bukannya Qiao Chu dan yang lain tidak pernah terfikir untuk melakukannya sebelum ini, tetapi mereka sering kesempitan wang. Sebelum mereka bertemu Orang Kaya Jun Wu Xie ini, mereka tak mampu untuk membeli pakaian untuk diri sendiri, apatah lagi mahu menempa cincin roh. Mungkin mereka ada cara untuk mendapatkan batu-batu roh, namun kos meletakkan batu-batu roh ini ke dalam cincin roh mereka terlalu tinggi dan melebihi kemampuan mereka. Jadi sewaktu mendapatkan batu-batu roh ini, perkara pertama yang terlintas di minda mereka ialah untuk menjual batu-batu ini untuk mendapatkan duit. Sekali pun mereka tidak terfikir untuk menggunakan sendiri batu-batu roh ini.

Cara pemikiran mereka sudah menjadi tabiat dan mereka mengabaikan keperluan diri sendiri.

Tetapi idea ini tidak terlepas dari pemikiran Jun Wu Xie.

Dalam keadaan mereka yang tidak mempunyai wang ini, tentulah kos menempa cincin-cincin ini sekali lagi perlu ditanggung oleh Jun Wu Xie.

"Erm….. Perlu ke kita gunakan tempoh masa ini untuk mencari orang yang boleh menempa cincin-cincin ini untuk kita?" Qiao Chu amat berterima kasih. Tetapi memandangkan mereka sudah sangat rapat, dia berasa agak kekok. Dia bimbang dia akan kelihatan seperti lembut hati kerana menyatakan rasa berterima kasihnya itu.

Jun Wu Xie mengangguk.

Kekuatan yang akan diberikan oleh batu-batu roh gred tinggi ini terlalu hebat, jadi bekalannya sering habis di pasaran. Namun begitu, satu-satunya hal yang Jun Wu Xie amat kesali ialah dia tidak dapat menemui batu roh gred Penjaga.

Kuasa batu roh gred Penjaga itu sahaja sudah cukup memberikan kesan ketara pada penambahbaikan cincin roh mereka.

"Kalau kamu perlukan orang untuk menempa cincin roh, mungkin saya boleh bantu." Fan Zhuo yang selama ini diam sahaja, tiba-tiba bersuara sambil tersenyum berseri-seri.

"Hah? Fan Zhuo, kamu ada caranya?" tanya Qiao Chu sambil memandang Fan Zhuo.

Fan Zhuo tersenyum lembut lalu mengangguk.

"Kalau kamu yakin, saya boleh tempa cincin-cincin roh untuk kamu semua. Apa pendapat kamu?"

Sebaik Fan Zhuo selesai berkata-kata, Qiao Chu dan yang lain tiba-tiba merenungnya dengan mata terbeliak. Mereka berasa hairan.

Dia kata dia boleh tempa cincin-cincin roh kami? Bukannya cari orang lain untuk melakukannya?

"Fan Zhuo! Kamu tahu cara menempa cincin roh?" tanya Qiao Chu sambil menelan air liurnya. Dia memandang susuk tubuh Fan Zhuo yang kurus itu.

Tangan dan kaki yang kurus kering itu mampu mengangkat tukul?