webnovel

Akhirnya Kamu Merindui Saya? (6)

Editor: EndlessFantasy Translation

Di bawah cahaya bulan yang lembut itu, mereka berdua saling berpandangan. Qiao Chu sedang mengunyah kepingan daging kering sambil duduk di sebelah unggun api. Semakin dia memerhatikan mereka berdua, semakin dia berasa keliru.

Mereka berdua kekal dalam posisi itu dalam tempoh masa yang panjang. Malah Jun Wu Xie juga nampaknya sudah tertidur.

Walaupun dia tidak ada adik beradik, Qiao Chu tertanya-tanya mengapa dia merasakan cara pasangan adik-beradik ini berinteraksi di antara satu sama lain agak pelik?

Abang mana yang akan memegang tangan adiknya begitu lama dan sering menunjukkan ekspresi wajah penuh kasih sayang?

"Tak sama… tak sama langsung…" Qiao Chu menggumam perlahan.

Fei Yan menjeling Qiao Chu kemudian menghulurkan kaki arnab panggang di hadapan muka Qiao Chu untuk menghalang matanya yang sedang menghendap pasangan itu.

"Apa?" Qiao Chu kembali tersedar. Matanya tertumpu pada kaki arnab panggang yang panas dan berbau lazat itu sebelum berpaling dan bertanya pada Fei Yan.

Fei Yan membuat muka menyampah.

"Kalau kamu terus merenung mereka, nanti mata kamu akan terjojol keluar."

Wajah Qiao Chu menjadi kemerah-merahan. Dia terbatuk beberapa kali dengan kekok.

Fei Yan terlihat wajah Qiao Chu yang merah itu lalu bertanya dengan nakal, "Saya tertanya-tanya ni, kenapa agaknya kamu asyik sangat merenung mereka? Jangan-jangan kamu ada niat lain terhadap Jun Xie? Kamu merenung mereka sebab cemburu ya?"

Mata Qiao Chu terbeliak kerana terkejut dan dia merenung Fei Yan. Wajahnya bertukar daripada warna merah menjadi pucat lesi dan dia menggeleng bersungguh-sunguh.

"Kamu tak sedar ke kalau kamu merepek macam ni, saya boleh mati!? Macam mana saya boleh menyimpan perasaan pada Jun Xie? Hati saya ni masih suci, tahu!? Jangan samakan saya dengan pemikiran kamu yang kotor tu!"

Sudah tentulah dia cuma menganggap Jun Wu Xie sebagai "teman seperjuangan". Kalau dia ada menyimpan niat lain terhadap Jun Wu Xie, pasti dia akan kehilangan nyawanya, bukan? Jun Wu Xie itu sudahlah begitu kejam dan ganas, abangnya yang muncul tiba-tiba itu juga mampu menghancurkan Qiao Chu dengan jari kelengkengnya sahaja!

Dia amat menghargai nyawanya, jadi dia tidak akan melibatkan diri dengan pasangan adik-beradik yang sangat pelik tu!

"Kalau betul kamu tak ada niat lain, nah. Berikan mereka kaki arnab ni." Fei Yan tersengih nakal. Jelas sekali dia merancang untuk mengenakan Qiao Chu.

Qiao Chu menjeling Fei Yan yang terus berkata, "Kalau kamu tak bawa kaki arnab ini pada mereka, mesti kamu ada rasa bersalah."

Qiao Chu merasakan dia mahu mencekik-cekik sahaja budak tak guna ini.

"Saya akan bawakan pada mereka. Kamu ingat saya takut ke!?" Qiao Chu mengambil kaki arnab panggang itu lalu berdiri dengan marah. Dia mula berjalan ke arah Jun Wu Xie.

Fei Yan dan Rong Ruo saling bertukar pandangan nakal.

Hua Yao yang duduk di sisi lain unggun api itu hanya mampu menggelengkan kepala.

Qiao Chu baru sahaja sampai separuh jalan sebelum dia berhenti seketika. Kemudian dia menyambung semula perjalanan sehingga sampai pada Jun Wu Xie dan Jun Wu Yao.

Jun Wu Yao mengangkat kepalanya. Matanya kelihatan mesra sewaktu dia memandang Qiao Chu.

Ekspresi wajah Jun Wu Yao sememangnya kelihatan ramah, tetapi entah mengapa Qiao Chu berasa seram sejuk.

"Emm… ini untuk kamu berdua makan… sekarang. Kamu belum makan apa-apa lagi." Qiao Chu tergagap-gagap kerana ketakutan. Dia merenung Jun Wu Yao sambil menangis di dalam hatinya.

Jun Wu Yao tersenyum kecil lalu membalas, "Terima kasih."

Qiao Chu menjadi kaku. Senyuman Jun Wu Yao langsung tidak kelihatan ganas. Malah Qiao Chu sebagai seorang lelaki juga merasakan senyuman itu amat menawan. Ketakutan yang selama ini mencengkam hatinya mula lenyap dibawa angin disebabkan senyuman tersebut.

Abang Wu Xie… mungkin tidak begitu menakutkan seperti yang dia bayangkan...

Inilah yang Qiao Chu fikirkan.

"Tak perlu berterima kasih…" Qiao Chu yang sememangnya lemah dengan orang-orang yang cantik mula tersengih. Dia terus berpusing untuk kembali pada rakan-rakannya.

Dia terus terlupa tentang betapa menakutkannya Jun Wu Yao sebelum ini.

Jun Wu Yao memegang kaki arnab panggang itu dan menghulurkannya ke mulut Jun Wu Xie.