18 Sarapan dengan Theo

Nava terbangun pada pagi itu dalam keadaan yang senang dan gembira. Kerana dia sudah mempunyai rumah baru, Nava tidak perlu lagi tidur bertilamkan benda keras.

Nava tidak perlu lagi risau dirinya diganggu dengan orang gila atau dikejar anjing garang...

Nava bangun dan mengubah kedudukannya menjadi tempat duduk. Dia memandang bilik barunya. Beberapa minit kemudian, dia tersenyum.

"Hm, gembiranya ada rumah baru. Tak perlu saya risau cari tempat tidur lagi."

Ketika itulah, Nava teringat akan rumahnya di Kerajaan Langit. Tiba-tiba, hatinya terasa berat, seolah-olah ada sesuatu yang menyedihkan muncul di fikirannya.

Sebenarnya, Nava rindu dengan suasana rumahnya di Kerajaan Langit. Meskipun rumah barunya juga cantik dan selesa namun Nava lebih suka dengan rumahnya yang ada di Kerajaan Langit.

Nava mengeluh kecil dan memegang rantai Teardrop yang tersangkut di lehernya. "Tak mengapa. Bila saya sudah kumpulkan lima air mata keikhlasan, saya sudah boleh kembali ke Kerajaan Langit dan kembali menjadi malaikat."

Dengan tekad itu, Nava turun dari atas katil dan bergerak ke bilik mandi. Nava teringat jika manusia perlu mandi untuk kebersihan diri mereka. Nava sudah pernah melihat manusia yang tidak mandi dan bau badan mereka sangat meloyakan.

Nava tidak mahu manusia lain merasa geli untuk mendekati Nava jika bau badan Nava meloyakan, terlebih lagi jika manusia tersebut itu ialah orang yang harus dia tolong untuk mendapatkan air mata keikhlasan.

Usai mandi dan menyalin pakaian, Nava bergerak ke dapur untuk mencari sesuatu yang boleh mengisi perutnya.

Ketika dia sampai di dapur, Nava sangat terkejut ketika melihat ada dua orang malaikat di sana. Mereka ialah Tuan Karman dan Jaeden sendiri.

Jaeden menoleh ke pintu dapur bila melihat ada orang datang. Dia tersenyum melihat Nava sudah bangun, "Hai, Nava. Selamat pagi!"

Tuan Karman yang sedang memasak itu, menoleh ke arah Nava. "Selamat Pagi. Sila duduk dulu dan tunggu sehingga makanan siap dimasak."

Nava pula yang tercengang-cengang melihat mereka di dalam rumahnya. "Apa yang kamu dua buat di sini?"

Jaeden yang sedang memotong sebiji lobak merah itu, mengangkat pisaunya bersama dengan senyuman bangga. "Saya sedang tolong buatkan sarapan untuk kau. Saya tahu bagaimana susahnya hidup kau jadi manusia, jadi saya datang ke sini untuk tolong."

Nava tidak hairan jika Jaeden datang untuk menolongnya tapi dia merasa pelik kenapa Tuan Karman juga ada bersama Jaeden di dapur ini.

"Jadi, kenapa Tuan Karman datang ke sini? Ada apa-apa yang Tuan Karman perlu beritahu?"

Tuan Karman memandang semula ke arah Nava. Dia tersenyum kecil. "Jangan salah sangka, gadis kecil. Saya datang ke sini hanya untuk memerhati keadaan kamu selama kamu menjalani hukuman ini. Kerana Jaeden di sini mahu menolong kamu, jadi saya juga ikut membantu."

Nava tidak menyangka Tuan Karman akan menjawab seperti itu. Nava berfikir yang Tuan Karman tidak akan peduli dengannya lagi setelah Nava dibuang ke bumi untuk menjalani latihan. Rupanya Tuan Karman tidak seteruk apa yang dia sangkakan.

Nava tersenyum gembira ke arah dua orang malaikat itu. "Terima kasih."

"Saya cuma tak nak tengok sahabat saya ni mengalami kesusahan. Meskipun saya akan tolong kau, kau perlu lakukan perkara lain dengan tangan kau sendiri. Lagipun, ini ialah hukuman kau..."

Nava menjulingkan matanya ke atas kerana kata-kata Jaeden tadi. "Ya, saya tahu. Saya bukannya nak minta tolong dari kau untuk semua benda. Kalau saya kena tahu menipu, hukuman saya akan dipanjangkan..."

"Kalau tahu, tak apa..." Selepas itu, Jaeden terus ketawa terbahak-bahak.

Nava mencebik geram dengan sikap Jaeden.

Nava menoleh ke arah Tuan Karman yang sedang memasak. Wajahnya penuh dengan persoalan. Kerana tidak tahan dengan persoalan di mindanya, akhirnya Nava memberanikan diri untuk bertanya.

"Tuan Karman pandai memasak? Dari mana Tuan Karman belajar?"

"Saya tidak tahu memasak... Tapi saya cuma mengikuti panduan dalam alat ini untuk memasak. Lagipun, semua menu di dalam ini adalah ciptaan manusia dan saya rasa makanan ini sesuai untuk kamu yang sekarang ini juga adalah seorang manusia..." Dengan sekali hayunan tangan, sejenis telefon pintar muncul dalam bentuk cahaya kecil dan melayang-layang di sebelah bahu Tuan Karman.

Terkebil-kebil Nava memandang alat itu. Dia sudah melihat alat itu dipegang oleh Theo jadi dia tidak merasa kehairanan lagi.

"Oh, begitu kah?" balas Nava.

Tuan Karman mengambil sebuah pinggan kaca dan menuangkan nasi goreng yang dimasak tadi ke atas pinggan itu.

Tuan Karman pun meletakkan pinggan itu di atas meja. Nava yang belum duduk itu dengan pantas duduk di meja dan memandang nasi goreng itu dengan mulut penuh dengan air liur.

Perutnya terus terasa lapar melihat nasi goreng yang dimasak.

Jaeden memberikan sudu kepada Nava. Nava tidak menunggu lama dan segera memasukkan sesenduk nasi goreng itu ke dalam mulut.

"Wah, ini sangat sedap! Pandai Tuan Karman masak!" puji Nava sambil menunjukkan dua ibu jari ke arah Tuan Karman. Sementara mulutnya masih penuh dengan nasi goreng.

Tuan Karman tersenyum senang kerana Nava menyukai nasi goreng yang digoreng itu.

"Okey, lobak sudah siap dipotong..." Jaeden terus meletakkan lobak merah yang sudah siap dipotong ke atas kaunter memasak.

Tuan Karman bergerak semula ke bahagian memasak untuk memasak satu lagi lauk untuk Nava, iaitu telur goreng.

"Baik juga manusia yang sudah tolong berikan kau rumah ni. Bukan saja dia berikan kau rumah tapi juga ada sediakan bekalan makanan untuk kau. Beruntung kau jumpa dengan manusia yang baik itu," kata Jaeden, kembali duduk di depan Nava.

Nava yang hanya memikirkan tentang makanannya saat ini hanya mengerling ke arah Jaeden.

"Oh ya... Saya juga datang ke sini untuk beritahu kau, kalau kau boleh gunakan kuasa kau untuk benda-benda lain selain daripada tolong orang. Yang penting kau tidak gunakan untuk kejahatan..."

Nava mengangkat kepalanya ke arah Jaeden. "Maksud kau?"

"Maksud saya, kalau kau gunakan kuasa kau untuk benda-benda lain macam memasak, itu tidak mengapa. Selagi kau tidak gunakan kekuatan kau untuk kejahatan, kau masih boleh gunakan kekuatan kau," jawab Jaeden lagi.

"Betulkah? Saya boleh gunakan kekuatan saya ikut suka hati saya?" tanya Nava dengan wajah gembira.

"Dan tidak boleh ada manusia yang tahu atau nampak yang kamu ini mempunyai kekuatan. Jika tidak, kekuatan kamu akan menurun..." Suara Tuan Karman terdengar dari arah bahgian memasak.

"Oh..." Hanya itu jawapan yang keluar dari mulut Nava sebelum dia sambung makan lagi.

"Lepas ni, kau nak pergi periksa manusia yang kau kena tolong tu?" tanya Jaeden, memerhati Nava yang sedang menikmati sarapannya.

"Ya, sudah tentu. Dia ialah manusia pertama yang kena saya kena tolong. Kalau saya tidak pergi hari ini, saya nak buat apa lagi," balas Nava.

Jaeden mengangguk kecil.

Tidak lama kemudian, Tuan Karman pun mendekati meja itu lagi dan meletakkan pinggan berisi telur goreng bercampur dengan lobak merah di depan Nava.

Mata Nava bersinar gembira dan lantas memakan telur goreng itu.

"Hermm, sedapnya!!"

Tok! Tok! Tok!

Ketika Nava sedang menikmati makanannya, pintu depan rumah sewa itu diketuk dari luar.

Dengan wajah terkejut, Nava terus menoleh ke pintu. Dia memandang kembali ke arah Jaeden dan Tuan Karman. "Cepat, sembunyi! Ada orang datang!" katanya, panik.

Jaeden tergelak kecil kerana sikap Nava. "Kenapa kau nak panik? Manusia tidak boleh nampak malaikat lah, takkan kau lupa?"

Terus saja minda Nava teringat akan hal itu. Akhirnya, rasa panik tadi pun hilang begitu saja. "Oh..."

Kerana sudah tidak risau jika kehadiran Jaeden dan Tuan Karman tidak diketahui, Nava menuju ke pintu depan dengan wajah tenang.

Sebaik saja Nava membuka pintu, dia melihat wajah Theo yang tampan itu sedang berdiri di depan Nava.

Nava terkaku sekejap di tempat dia berdiri. Lama matanya memandang wajah tampan milik lelaki dingin itu.

Di belakang lelaki itu ialah Dion. Dion tersenyum ke arah Nava dan berkata, "Selamat pagi, Nava."

"Ingat kau masih tidur sebab lama sangat buka pintu..."

"Ah, oh..." Nava yahg masih tidak tahu hendak mengatakan apa itu hanya membuka mulutnya saja.

Theo memandang Nava dari atas ke bawah. "Kau sudah bersiap? Kalau begitu, mari kita pergi sarapan..."

"Oh... Saya sedang bersarapan... Jadi mungkin saya tidak akan dapat ikut kau..." Nava masih lagi teringat akan nasi goreng yang dimasak oleh Tuan Karman tadi dan belum lagi dihabiskan. Kalau dia ikut Theo pergi bersarapan di tempat lain, jadi nasi goreng itu hendak dibuat apa?

Kening kanan Theo terangkat ke atas setelah mendengar jawapan Nava. "Kau pandai memasak?"

Soalan itu membuatkan Nava sekali lagi terkedu. "Ah... Saya..."

'Boleh tak kalau saya cakap kalau Tuan Karman yang masak nasi goreng itu? Tapi kalau saya cerita, nanti lelaki ni tanya siapa Tuan Karman dan banyak lagi soalan lain...'

"Jawab saja ya. Dia tidak akan tahu kau menipu!" kata Jaeden. Dia sudah pun muncul di belakang Nava sambil menyandarkan bahunya di dinding.

Nava menjeling ke arah Jaeden. 'Tsk, nama saja malaikat. Tapi suruh saya menipu pula! Malaikat macam apa dia ni?'

Tapi demi menyelamatkan keadaan, Nava terpaksa juga mengikuti cadangan Jaeden.

"Ya, saya... Saya boleh memasak. Saya boleh memasak..."

Theo memandang Nava yang bersikap gelabah di depannya. 'Kenapa dia perlu bersikap gelabah macam tu? Saya bukannya tanya soalan macam polis atau detektif...'

"Kalau macam tu, mari kita sarapan sama-sama..."

Tanpa menunggu Nava menjawab, Theo terus berjalan melintasi Nava dan masuk ke dalam rumah.

"Huh? Eh, nanti!"

Kini, Nava menjadi cemas kerana Theo berkata yang dia ingin bersarapan bersamanya. Masalahnya, Tuan Karman hanya memasak nasi goreng yang cukup hanya untuk dia seorang.

Kalau Theo juga ikut bersarapan dengan Nava, Nava hendak mendapatkan nasi goreng itu dari mana? Takkan Nava perlu masak sedangkan dia tidak tahu bagaimana nak memasak.

Kalau menggunakan kekuatannya sendiri, mungkin boleh... Tapi tidak mungkin Nava menggunakan kekuatannya di depan Theo dan Dion. Itu cari masalah namanya!

Nava tidak sempat pun menahan Theo daripada memasuki kawasan dapur. Ketika Nava tersedar dari lamunannya sendiri dan mengejar Theo, lelaki itu sudah pun duduk di atas meja.

"Theo, saya belum..."

Kata-kata Nava terhenti bila dia melihat ada sebuah mangkuk besar berisi masih goreng yang masih panas terhidang di meja makan. Cukup untuk tiga orang!

Selain itu, ada juga lauk sampingan lain seperti telur goreng dan sosej dimasak sos di samping mangkuk berisi nasi goreng tadi.

'Ini... Bila masa ini ada di sini?'

Nava terus memandang ke arah Jaeden dan Tuan Karman yang sedang berdiri di sudut dapur. Mereka berdua hanya tersenyum ke arah Nava sambil Jaeden menaikkan kedua ibu jarinya terhadap Nava.

Nava tidak tahu hendak menangis atau ketawa dalam keadaan seperti ini. Meskipun dia berterima kasih kerana mereka membantu Nava, Nava masih merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.

Theo memandang Nava yang masih berdiri dan tidak menghabiskan ayatnya tadi. "Kau masih nak berdiri? Kau tidak mahu duduk dan makan bersama?"

Dion pula sudah pun mengambil pinggan dan memberikan nasi goreng untuk Theo.

Nava yang masih lagi kebingungan itu hanya mampu duduk dan mengikuti mereka makan bersama.

Nava melirik ke arah Theo yang sedang makan dengan tenang walaupun wajahnya masih terlukis riak dingin. 'Yalah, saya lupa pula... Kenapa dia tiba-tiba datang ke sini? Apa urusan dia datang ke sini, ya? Tidak mungkin dia hanya datang ke sini hanya untuk bersarapan dengan saya...?'

avataravatar