webnovel

Catatan Malim Gunung

Aku dah tak ingat berapa lama naik gunung. Aku harap aku sempat mencatitkan segala memori indah aku ketika aku masih hidup. Ada banyak perkara yang dipelajari ingin dikongsi bersama. Supaya pembelajaran melalui pengalaman ini dapat dihayati oleh yang lainnya yang bergelar pendaki. Semoga ilmu ini tidak hilang ditenggelam dek zaman. Insyallah.

nkamri · Realistic
Not enough ratings
20 Chs

Puasa

Gunung Chante terletak di Gopeng, Perak. Trip pada kali ini merupakan trip terbuka yang julung kalinya aku anjurkan selepas trip rintis rentis bersama sahabat-sahabat di Gopeng.

Penerimaan terhadap trip ini agak sendu. Boleh di bilang dengan jari berapa orang sahaja yang berani mendaftarkan penyertaan mereka. Al-maklum tempat yang jarang-jarang pendaki dengari, perkongsian dalam talian masih tidak meluas dan tiada ranking daripada pendaki lain.

"Uncle dari mana?", tanya aku pada salah seorang peserta.

"Johor", jawapnya.

Mendengar jawapan daripada mulut beliau, aku terus tabik spring dengan Uncle Chris (bukan nama sebenar). Umur dia dah lebih separuh abad, pandu kereta Mercedes lama sorang-sorang pulak tu daripada Johor ke Gopeng semata-mata nak daki gunung yang tak berapa nak tinggi ni.

"Perjalanan ke gunung ni tak lama. Kita naik powil separuh jalan, lepas tu kita trekking ikut jalan balak."

"Harap masing-masing bawa air dan bekalan makanan yang secukupnya."

Aku periksa semua peserta punya kelengkapan dan aku dapati seorang peserta seperti tidak cukup persediaan. Aku lihat pada Uncle Chris yang berdiri tegak berlenggang dan memakai kasut getah potongan pejabat.

"Uncle tak bawa apa-apa ke? Air cukup ke 500ml? Nasi tapau takda? Lampu? First-aid?"

"Tak jauh kan? Takpa saya sudah biasa.", balas Uncle Chris.

Sungguh aku tak mengenali Uncle Chris ni. Inilah kali pertama beliau menyertai trip yang aku anjurkan. Biasanya kalau orang muda aku akan berpesan dengan keras untuk bawa semua persediaan mendaki yang wajib.

Aku melihat sisi kiri dan kanan aku. Setelah berpuas hati dengan sidekick aku yang mantap dan padu, aku membiarkan sahaja keputusan Uncle Chris untuk jalan berlenggang.

"Takpa. Walau apa pun terjadi, Jinggo dan Mondok sudah memadai dan cukup dengan persediaan bantuan.", bicaraku dalam hati.

Maka perjalanan kami pun diteruskan dengan menaiki powil yang dipandu oleh Ken, sahabat River Guide disana. Harapan kami adalah menjejakkan kaki ke puncak Gunung Chante dengan jayanya. Perjalanan awal kami dimulakan dengan mendaki laluan balak lama yang dah rosak dan licin.

Aku lihat pergerakan Uncle Chris agak bagus. Beliau mampu untuk bersaing dengan langkah orang muda. Sentiasa berada di belakang jurupandu. Bila trek perlu ditebas, beliau mundur ke belakang memberikan laluan kepada orang muda menebas di hadapan. Letih mendaki trek yang curam, kami berhenti rehat di kawasan yang lapang dan teduh untuk melepaskan lelah.

"Uncle. Jom makan."

Aku pelawa makanan dan minuman kepada Uncle Chris.

"Takpa. Terima kasih. Saya boleh lagi."

Uncle Chris menolak dengan baik. Jarang-jarang aku lihat orang menolak pelawaan makan dan minum ketika berehat semasa mendaki gunung.

"Marilah Uncle Chris. Tak baik tolak rezeki.", desak kami.

Akhirnya, beliau akur dan mengambil botol minuman yang disuakan berulang kali.

"Apa rahsia uncle boleh tahan minum dan makan?", tanya kami.

"Saya biasa puasa. Kamu (Muslim) pun biasa puasa kan? Itu bagus untuk kesihatan."

Terkesima semua mendengar. Memang betul apa yang dikatakan. Jika kita sudah biasa dengan amalan berpuasa, fizikal dan mental akan jadi lebih sihat dan kuat.

Pernah beberapa tahun kebelakangan aku turun di lapangan ketika bulan puasa. Gunung Tahan, Gunung Datuk, Gunung Angsi dan beberapa tempat lagi. Dugaan sangat besar namun kalau kena dengan caranya memang boleh dilakukan tanpa 'tuang' puasa anda.

Selain itu, amalan berpuasa juga dapat mempertingkatkan ketahanan badan untuk bekerja dengan kadar air dan karbohidrat yang minima. Jangan pelik juga jika melihat seseorang itu mampu mendaki gunung atau berlari pada jarak jauh tanpa minum atau makan pada kadar biasa. Sebenarnya badan mereka telah dilatih untuk bertahan dalam keadaan tersebut.