webnovel

Bidadari Bersayap Malaikat

Kerana sebuah kemalangan, nyawa seorang gadis dan anak kecil melayang. Adilkah jika ada yang harus disalahkan atas kemalangan yang langsung tidak dipinta? Syifa - dia dihukum dan dibenci atas kematian insan yang disayanginya. Namun meski harus meredah luka untuk menagih kemaafan, dia rela. Biarpun Syifa tahu dirinya dikahwini oleh Nukman hanya kerana sebuah dendam dan kebencian, dia tidak pernah merungut. Baginya pelangi akan bersinar apabila tiba masanya. Biar dia menjadi pengubat lara di hati Nukman sehingga lelaki itu bisa untuk hidup bahagia. Nukman - menghukum insan yang menyebabkan kemalangan itu terjadi adalah sebuah kewajiban baginya. Dia tidak akan merasa tenang jika membiarkan Syifa hidup bahagia. Kerana Syifa, janjinya kepada Aidid untuk menjaga Qaliff dengan baik tidak mampu dipenuhinya. Lantas Syifa menjadi tempat dia melempiaskan amarah dan dendam agar dia tidak perlu terus menanggung beban rasa bersalah terhadap Aidid dan Dania. Namun Nukman akhirnya mengalah, hatinya sudah lama ditakluki Syifa. Saat hati Syifa sudah pun dihancurkannya, baru dia tahu bahawa gadis itulah yang pernah menyelamatkan nyawanya suatu waktu dahulu. Syifa sanggup menelan duka demi melihat jiwanya bahagia. Nukman baru sedar - hakikatnya Syifa adalah seorang bidadari bersayap malaikat yang tidak pernah dikenalinya dengan mata hatinya selama ini. Saat ikatan cinta itu ingin dibina semula dengan sesungguhnya, hati Syifa sudah pun serik dengan permainan cinta Nukman. Bahagia yang diharapkan tidak akan pernah menjelma. Baginya biarlah dia menderita untuk sejuta tahun lagi seandainya penderitaan itu yang dapat membayar harga luka di hati Nukman. Dan seandainya nyawa sahaja yang bisa menjadi ganti nyawa Qaliff, dia rela nyawanya digadaikan. Biarpun itu bermakna nyawa yang bercambah dalam rahimnya harus terkorban sama!

theartimpacts · Urban
Not enough ratings
2 Chs

PROLOG : YANG DILIHAT TAK SEMUANYA BETUL, YANG DIDENGAR TAK SELALUNYA BENAR

"Jomlah temankan aku. Kali ini aku bayar seratus ringgit. Kau nak?" Pinta Que entah buat kali yang ke berapa. Kerusi plastik ditarik sebelum dia melabuhkan punggungnya di situ. Bibirnya tersenyum. Memandang si gadis yang turut duduk di sisinya. Gadis itu tidak mengendahkan langsung bicaranya. Sebaliknya hanya tertunduk memandang skrin telefon bimbitnya. Ralit berbalas mesej.

"Cepatlah! Selalunya bukan kata seratus ringgit, kalau aku bagi lima puluh ringgit je pun, kau ikut aku." Desak si jejaka itu lagi. Bahunya pula sengaja dilagakan dengan bahu gadis itu. Apabila dia mendekat, si gadis itu akhirnya merengus. Bahu lelaki itu ditolaknya kasar. Dahinya pula sedikit berkerut.

"Kau cari orang lainlah. Aku tak ada mood." Bidas Syifa Haura. Sambi itu rambut perangnya yang terurai panjang ke belakang, dia rapikan lembut. Rosak rambutnya akibat ditiup angin petang di warung Pak Abu itu. Warung itu terletak betul-betul di sebelah padang permainan yang agak luas, sebab itu berangin je. Que pula merengus pendek. Namun masih tidak berputus asa.

"Jomlah… Ringan-ringan je hari ni. Aku takkan minta lebih. Aku dah biasa dengan kau, tak sama macam orang lain." Pinta si lelaki itu lagi. Garis-garis kedutan sudah terpamer di dahi Syifa. Rimas apabila Que tidak habis-habis mendesaknya. Tadi Quehanya memujuknya untuk menemani lelaki itu minum di warung Pak Abu sahaja. Tapi sekarang, lain pula yang dipintanya.

"Babe…" Si lelaki itu menyigung lembut siku Syifa. Tanda masih tidak jemu merayu. Syifa melepaskan nafas berat. Dia termenung buat beberapa detik. Seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Ringan-ringan je?" Tanyanya selepas beberapa detik dibiarkan berlalu.

"Yup. Aku takkan buat lebih daripada batas sepatutnya. Jangan risau." Que mengangkat tangan seolah-olah berikrar. Syifa berat hati. Namun memikirkan upah yang bakal diterimanya, akhirnya dia menganggukkan kepala.

"Ringan-ringan je ya?! Kalau lebih, bayar pun kena lebih." Syifa memberikan amaran. Que akur. Gembira kerana akhirnya Syifa memenuhi permintaannya itu. Selang dua buah meja daripada meja yang diduduki oleh Syifa dan Que, Nukman Aisy galak menjadi pemerhati dan pendengar. Kepalanya digeleng. Tidak menyangka hanya kerana nilai sekecil seratus ringgit, seorang gadis sanggup menjual badan sendiri. Betapa kecilnya nilai kemuliaan diri wanita pada zaman ini.

"Menungkan apa tu?" Sampuk Aidid yang baru muncul selepas membayar harga makanan tadi. Nukman terus memalingkan muka. Memandang Aidid yang kini berdiri di hadapannya.

"Tak ada apa-apa pun. Kau dah bayar ke?" Malas dia mahu membicarakan perkara yang tidak penting. Hanya ragam manusia sekeliling yang mencuri perhatiannya tadi.

"Dah."

"Berapa?"

"Seratus ringgit. Kau nak bayar ke?" Sakat Aidid. Lalu dia tergelak sendiri sambil melangkah menuju ke kereta Volkswagen Passat B8 biru miliknya. Nukman mencebikkan bibir. Tahu abangnya hanya bergurau. Tidak mungkin dua cawan teh tarik dan dua pinggan roti canai di warung Pak Abu itu berharga seratus ringgit. Namun dalam masa yang sama dia terus bungkam. Teringatkan betapa murahnya harga seorang gadis hanya kerana nilai yang sama.

"Kau yakin ke nak kahwin dengan Kak Nia?" Tanya Nukman ketika berada di dalam kereta. Aidid terdiam seketika. Dia yakin jika dia tidak memberikan jawapan pun, Nukman sudah tahu keputusannya.

"Dia sakit, Did. Kau pun tahu yang mungkin nyawa dia dah tak panjang." Tambah Nukman apabila abangnya hanya membisu.

"Cinta bukan tentang seberapa lama kita dapat bersama dengan orang yang kita cintai, Nukman. Tapi cinta adalah menghargai setiap detik waktu yang kita miliki dengan si dia." Jawab Aidid pula. Nukman menghela nafas berat. Dia mengagumi kasih sayang abangnya yang tulus buat Dania. Namun dalam masa yang sama dia seperti tidak bersetuju mendengarnya.

"Ayah dan Ibu pun tak pernah halang hubungan aku dengan Nia. Kau doakan yang terbaik untuk aku dan bakal kakak ipar kau ya?" Aidid tersenyum seraya menyigung lembut lengan adiknya. Nukman hanya menganggukkan kepala. Jika Tan Sri Razali dan Puan Sri Iris sendiri sudah bersetuju dan akur dengan kehendak Aidid, siapalah dia untuk menjadi penentang keputusan abangnya itu? Doanya, semoga Aidid dan Dania dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan sehingga ke anak cucu.

Adakah wujud pembaca dari Malaysia di website ini? Cuba komen sikit.

theartimpactscreators' thoughts