webnovel

Bidadari Bersayap Malaikat

Kerana sebuah kemalangan, nyawa seorang gadis dan anak kecil melayang. Adilkah jika ada yang harus disalahkan atas kemalangan yang langsung tidak dipinta? Syifa - dia dihukum dan dibenci atas kematian insan yang disayanginya. Namun meski harus meredah luka untuk menagih kemaafan, dia rela. Biarpun Syifa tahu dirinya dikahwini oleh Nukman hanya kerana sebuah dendam dan kebencian, dia tidak pernah merungut. Baginya pelangi akan bersinar apabila tiba masanya. Biar dia menjadi pengubat lara di hati Nukman sehingga lelaki itu bisa untuk hidup bahagia. Nukman - menghukum insan yang menyebabkan kemalangan itu terjadi adalah sebuah kewajiban baginya. Dia tidak akan merasa tenang jika membiarkan Syifa hidup bahagia. Kerana Syifa, janjinya kepada Aidid untuk menjaga Qaliff dengan baik tidak mampu dipenuhinya. Lantas Syifa menjadi tempat dia melempiaskan amarah dan dendam agar dia tidak perlu terus menanggung beban rasa bersalah terhadap Aidid dan Dania. Namun Nukman akhirnya mengalah, hatinya sudah lama ditakluki Syifa. Saat hati Syifa sudah pun dihancurkannya, baru dia tahu bahawa gadis itulah yang pernah menyelamatkan nyawanya suatu waktu dahulu. Syifa sanggup menelan duka demi melihat jiwanya bahagia. Nukman baru sedar - hakikatnya Syifa adalah seorang bidadari bersayap malaikat yang tidak pernah dikenalinya dengan mata hatinya selama ini. Saat ikatan cinta itu ingin dibina semula dengan sesungguhnya, hati Syifa sudah pun serik dengan permainan cinta Nukman. Bahagia yang diharapkan tidak akan pernah menjelma. Baginya biarlah dia menderita untuk sejuta tahun lagi seandainya penderitaan itu yang dapat membayar harga luka di hati Nukman. Dan seandainya nyawa sahaja yang bisa menjadi ganti nyawa Qaliff, dia rela nyawanya digadaikan. Biarpun itu bermakna nyawa yang bercambah dalam rahimnya harus terkorban sama!

theartimpacts · Urban
Not enough ratings
2 Chs

BAB 2

"Kita dah sampai." Suara Que kedengaran selepas sepuluh minit menunggang motorsikal. Syifa terus turun daripada motor itu. Topi keledarnya dibuka dan diserahkan kepada Que.

Tapi waktu itu baru dia perasan yang dirinya sedang berada di hadapan sebuah bangunan lama, bukannya tempat berlatih Taekwando mereka seperti biasa. Padahal tadi Que menawarkan upah supaya dia menemani lelaki itu berlatih Taekwando. Syifa menelan liur. Dia dapat merasakan yang dirinya sudah dibohongi oleh lelaki itu. Apatah lagi kerana suasana di situ begitu lengang dan sepi.

"Que, kenapa kau bawa aku pergi sini? Tadi kau kata nak upah aku untuk temankan kau berlatih Taekwando je, kan??" Syifa menyoal Que.

Tapi Que hanya menyengih. Sengihan yang kelihatan seram di mata Syifa. Waktu itu tiba-tiba Que merentap bahunya dengan kasar. Tubuhnya pula ditarik sehingga masuk ke dalam bangunan tersebut. Syifa mahu menendang lutut Que, namun lelaki itu lebih pantas menahan tendangannya.

"Que!!!" Syifa menjerit. Namun Que buat tidak peduli.

"Ikut aku!" Bahu Syifa tetap juga direntap.

Syifa berusaha keras menolak pelukan Que, namun tenaganya seolah-olah tiada. Que, ahli Taekwando yang sudah kerap menjuarai pertandingan di sekolah mereka. Apalah kudratnya untuk melawan tenaga lelaki itu. Sampai sahaja di satu sudut di dalam kawasan bangunan itu, Que terus menolak kasar tubuhnya sehingga terjatuh ke atas lantai. Tubuh Syifa diseret ke arah sebuah sudut yang agak tersorok.

"Que!! Lepas!!" Syifa menjerit lagi. Tapi hanya seketika. Que cepat-cepat menekupkan tapak tangannya pada mulut gadis itu. Que tahu dia perlu bertindak pantas. Selepas memastikan keadaan di sekelilingnya benar-benar selamat untuk dia memenuhi kehendaknya itu, tubuh Syifa terus ditindih.

"Que… Jangan.. Tolong…Jangan buat aku macam ni…" Suara Syifa lemah bercampur tangisan. Jantungnya berdetak laju. Tubuhnya pula menggigil ketakutan. Tidak menduga, lelaki yang dianggapnya sebagai kawan itu sanggup ingin merentap maruahnya sebegini.

"Diam!! Aku nak kau Syifa… Aku sukakan kau.. Dah lama aku pendam perasaan aku ni." Que berusaha menutup mulut Syifa kerana tangisan wanita itu semakin kuat. Syifa pula tidak berputus asa. Kepalanya digeleng. Dada Que cuba ditolak. Tapi tangannya turut dikunci dalam genggaman Que. Bahagian hadapan bajunya juga sudah direntap oleh Que sehingga terkoyak.

Que berusaha melemahkan pergerakan perempuan tersebut. Syifa pejamkan mata serapat-rapatnya kerana keadaannya semakin lemah. Dia benci untuk melihat muka Que. Dia jijik dengan lelaki itu! Cuma tangisannya sahaja yang pecah berderai. Saat Syifa benar-benar sudah pasrah, tiba-tiba ada seorang lelaki muncul di situ. Lelaki itu menendang tubuh Que dengan kuat daripada belakang.

'Zarif.' Cuma nama itu yang terdetik di hati Syifa kerana sebelum ini sudah beberapa kali Zarif menasihatinya agar tidak berkawan dengan Que lagi. Mungkin Zarif yang mengekori dirinya kerana risau, begitulah duga Syifa. Tubuh Que pula terpelanting ke tepi apabila disepak dengan begitu kuat. Seorang lelaki yang disangkakan Zarif tadi, kini berdiri tegak di hadapan Syifa. Syifa terpempan.

Lelaki itu bukan Zarif. Malah dia yakin, dia tidak pernah mengenali atau melihat lelaki itu sebelum ini. Lelaki itu turut memandangnya. Buat seketika, mereka berdua saling berbalas renungan. Syifa kaku. Merasakan jantungnya yang berdegup dengan lebih pantas berbanding tadi. Ada suatu perasaan halus yang menyusup masuk ke dalam kolam hatinya tika merenung anak mata lelaki itu.

Daripada hujung rambut sehingga ke hujung dagu lelaki itu yang sedikit terbelah, Syifa amati lama. Dia memerhatikan setiap inci wajah lelaki tersebut. Dia mahu mengingati iras muka penyelamatnya itu sehingga ke hujung nyawanya. Namun lamunan wanita itu terus terhenti saat lelaki itu mendekatinya. Lelaki itu membuka jaket hitamnya. Tubuh Syifa yang dingin kerana sedikit terdedah sudah pun disarungkan dengan jaket hitam tersebut.

Syifa terharu dengan cara lelaki itu. Malah bahagian dadanya yang hampir terdedah tadi langsung tidak dipandang oleh lelaki tersebut. Sikap lelaki itu berbeza jauh dengan Que mahupun mana-mana lelaki yang pernah dikenalinya. Kolam matanya berair tiba-tiba. Dia tersentuh dengan bantuan lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu. Maruah yang hampir dirobek oleh Que, akhirnya diselamatkan dan ditutup kemas oleh lelaki di hadapannya itu.

'Gedebuk!' Tiba-tiba belakang kepala lelaki itu dipukul oleh Que dengan benda keras yang dicapai entah daripada mana. Muka lelaki itu yang tadinya tenang terus berkerut seribu. Belakang kepalanya dipegang dengan badan yang sedikit membongkok, menandakan sedang menahan kesakitan.

Syifa cemas bercampur bimbang melihatnya. Apabila lelaki itu berpaling untuk memandang ke arah Que, Syifa dapat melihat belakang telinga lelaki itu yang berdarah akibat dipukul tadi. Dadanya semakin diasak rasa bersalah. Hanya kerana mahu menyelamatkan dirinya, lelaki itu tercedera.

"Nak aku bawa kau pergi balai polis?! Bangunan ni ada CCTV kau tahu tak?!" Jerkah Nukman dengan suaranya yang lantang. Que tersentak dan mula ketakutan. Dia tidak tahu yang hakikatnya Nukman cuma berbohong untuk menakut-nakutkannya. Tanpa menunggu lama, Que terus melarikan dirinya. Nukman pula mendekati Syifa semula. Namun pandangannya begitu tajam menikam wajah gadis itu.

"Seronok dengan seratus ringgit, dilayan macam ni?" Tiba-tiba ada sindiran pedas keluar daripada mulut lelaki itu. Pandangannya penuh dengan ekspressi hinaan. Langsung tiada reaksi simpati daripada roman wajahnya. Semakin lama, kebengisan lelaki itu semakin terserlah di mata Syifa. Tadi Syifa terlalu asyik dengan perasaannya yang tersentuh sehingga tidak perasan akan tampang sebenar lelaki itu. Kini baru dia perasan betapa jijiknya cara pandangan lelaki itu kepada dirinya. Dia tertanya-tanya makna di sebalik pandangan itu.

"Menyesal aku selamatkan kau! Aku ingatkan perempuan mana yang menjerit minta tolong tadi." Nukman membebel sambil menggeleng kepala. Teringatkan kejadian di warung tadi. Dia menyangkakan Syifa memang sudah bersetuju untuk menyerahkan tubuh dengan bayaran seratus ringgit, sebab itulah dia menyesal. Kalaulah dia tahu gadis itu yang sedang menjerit, dia langsung tidak akan masuk ke dalam bangunan itu. Apatah lagi mahu menyelamatkan perempuan tersebut.

"Terima kasih." Syifa tetap juga mengucapkan kata itu kerana baginya dia sudah terhutang budi dengan Nukman. Mukanya pula sedikit tertunduk. Malu dengan cara lelaki itu memandang rendah kepada dirinya. Dia merapatkan jaket hitam yang Nukman sarungkan pada tubuhnya tadi. Nukman langsung tidak membalas kata-katanya lagi. Sebaliknya lelaki itu sudah menghubungi teksi. Tidak lama kemudian, teksi itu sampai tepat-tepat di hadapan pintu besar gudang tersebut.

"Aku tahu perangai perempuan macam kau ni macam mana. So aku rasa benda yang berlaku tadi tak memberikan apa-apa kesan pun kat kau, kan? Jadi kau balik sendiri ya. Ni, ambil. Jangan nanti kau sanggup offer body kat pemandu teksi tu hanya sebab nak bayar tambang je." Perli Nukman lagi sambil menyerahkan sekeping kertas not seratus ke dalam genggaman Syifa. Muka Syifa mula terasa panas. Separuh hatinya bengang dengan tuduhan lelaki itu. Namun tiada apa yang mampu dikeluarkan daripada mulutnya.

"Berapa umur kau?" Tanya Nukman. Syifa diam cuma. Teragak-agak untuk menjawabnya memandangkan dia sedar yang saat ini dirinya sedang dipandang serong oleh lelaki itu. Namun apabila renungan lelaki itu terus tertancap padanya lama, dia memaksa juga bibirnya untuk menuturkan kata.

"Tingkatan lima." Balas Syifa perlahan. Nukman terkejut mendengarnya. Matanya sedikit membuntang.

"Muda-muda lagi dah buat hal. Kau ni memang tak pandai menjaga maruah diri ya? Mak bapak atau cikgu kat sekolah tak pernah ajar kau ke? Atau masa kelas Pendidikan Islam, kau tidur?" Ejek Nukman terus. Apabila anak mata gadis itu hanya tertunduk dengan bibir yang masih terkatup rapat, Nukman sekadar menggeleng kepala.

Selepas itu dia terus berpaling sebelum melangkah pergi meninggalkan bangunan tersebut. Tika itu barulah Syifa mampu mengangkat kepalanya semula. Keluhan beratnya tercetus. Mungkin, dia memang layak dipandang serong oleh lelaki itu. Dia yang bodoh kerana mudah tergoda dengan tawaran Que sedangkan sebelum ini Zarif pernah menasihatinya agar menjauhi lelaki itu.

'Padan muka kau Syifa.' Getus hatinya.