2 Kawasan 3 Nombor 47

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Ceh, dia fikir dia siapa? Memaksanya bersara adalah demi kebaikannya sendiri. Apa lagi yang mampu dia lakukan?"

"Betul, betul. Sepandai mana pun dia, tak mungkin dia akan menyalahkan kelab kerana memaksanya bersara."

Ye Qiu dan Su Mucheng telahpun beredar. Semua yang lain di bilik mesyuarat telah pulih dari kejutan yang baru sahaja disaksikan dan mula mengejek Ye Qiu semula. Tetapi ekspresi wajah Sun Xian bercampur-baur. Dia tidak turut sama mengejek, sebaliknya menghampiri pengurus pasukan. "Saya tak faham. Kenapa dia terima syarat tersebut?"

"Dia tidak ada pilihan lain," kata pengurus kelab itu.

"Kenapa pula?"

"Kerana dia tidak mampu untuk membayar yuran denda," kata pengurus lagi.

"Bagaimanakah… Bagaimanakah itu boleh berlaku?" Sun Xiang tergamam. Ye Qiu telah berusaha keras sebagai seorang pemain profesional selama tujuh tahun dan berada di puncak kerjayanya. Sungguhpun dia menolak semua urusan perniagaan, gajinya tidak sepatutnya begitu rendah sehingga tidak mampu membayar yuran denda!

"Kamu tidak berasal dari generasi dia, jadi kamu takkan tahu. Pada peringkat awal pembentukan Pakatan, pemain profesional mereka langsung tidak sehebat sekarang ini. Pada masa itu, para pemain yang telah dipecat terpaksa menghadapi keadaan yang sukar. Kebanyakan masa muda mereka telah dihabiskan demi Glory, tetapi kesemuanya tidak cukup hebat dan kebanyakannya menghadapi masalah kewangan. Ye Qiu dianggap genius daripada era tersebut dan kami bergantung kepada pencapaiannya untuk sampai ke tahap ini sekarang. Malangnya, dia mempunyai ramai kawan yang terlibat dengan masalah tersebut."

"Maksud pengurus… kebanyakan hartanya telah diberikan kepada kawan-kawan tersebut?" mata Sun Xiang terbeliak.

"Betul."

"Jadi, jika dia perlukan wang, kenapa dia menolak sebarang aktiviti perniagaan?" tanya Sun Xiang.

"Tak ada seorang pun yang tahu akan sebabnya," kata pengurus tersebut.

"Bolehkah pengurus teka?" tanya Sun Xiang lagi.

"Mungkin ada kaitan dengan keluarganya," jawab pengurus.

"Eh?"

"Tak ada sesiapa yang mengetahui tentang keluarganya. Dia sendiri tidak pernah berkata apa-apa tentang itu. Ianya sungguh aneh, sebab itulah saya berfikiran sedemikian," tambah pengurus tersebut.

"Lelaki ini… ada banyak misteri padanya!" Sun Xiang menjulang kad One Autumn Leaf yang diberikan Ye Qiu. Dia tahu bahawa Ye Qiu telah mencipta akaun ini sebelum pembentukan Pakatan Profesional lagi. Ia digunakan sehingga sekarang, kad ini adalah salah satu akaun paling lama dalam Glory.

"Okay, cukuplah kita berbicara tentang dia. Bos agak sibuk hari ini dan tak dapat datang. Tetapi dia memberikan saya botol wain merah yang telah berusia ini untuk menyambut ketibaan kamu," pengurus berkata.

"Ha ha, terima kasih banyak! Dengan adanya saya, Excellent Era akan bersinar sekali lagi!" kata Sun Xiang dengan angkuhnya.

Ye Qiu beredar keluar.

Su Mucheng berdiri di hadapan pintu masuk kelab. Dia terus berdiri sehingga Ye Qiu hilang dari pandangan mata. Berkali-kali dia berpaling untuk melambaikan tangannya. Air mata telah lama jatuh berlinangan pada pipi Su Mucheng.

Ye Qiu cuma mengucapkan lapan patah perkataan: "Saya akan berehat setahun dan kembali selepas itu,"

Su Mucheng tidak berkata sepatah pun lagi. Dia hanya mengangguk kepalanya lagi dan lagi. Dia bukannya seorang anak gadis mentah, malahan sudahpun memikul pelbagai tanggungjawab secara bersendirian.

Kepingan salji berterbangan di udara. Musim sejuk ini dingin sekali.

"Eh, salji sudah turun?" kata Ye Qiu pada dirinya sendiri.

Apabila Ye Qiu meninggalkan kelab, dia tidak terfikir akan langkah seterusnya. Dia sudah terbiasa dengan gaya kehidupan yang tersendiri buat bertahun lamanya, dia belum lagi dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang datang secara tiba-tiba ini. Dia ingin berjalan sehingga pemikirannya lapang semula.

Malangnya, cuaca ini telah menghalang keinginannya. Salji turun dengan semakin lebat. Kepingan salji jatuh ke tubuhnya dan membasahi bahu. Kepingan ais turut terbentuk di kepalanya. Jika dia tidak berteduh, dia boleh mati!

Ye Qiu melihat ke kiri dan kanan dan ternampak sebuah kafe internet di tepi jalan. Sungguhpun sudah lewat malam, lampunya masih menyala dengan terang. Dengan pantas dia bergerak ke situ.

Kafe internet tersebut cantik dan selesa. Setelah masuk, Ye Qiu membuang kepingan salji di tubuhnya dan menuju ke meja sambutan tetamu.

"Kawasan 3 Nombor 47." Gadis muda di meja sambutan tersebut memberitahunya tentang komputer yang kosong. Dia menghulurkan kad untuk menyalakan komputer tersebut, tetapi Ye Qiu telahpun beredar. Gadis muda tersebut tidak hairan sedikit pun kerana perkara sebegini sering berlaku. Dia menyimpan kad pengenalan Ye Qiu kerana dia tahu lelaki itu pasti akan kembali untuk mendapatkannya.

Kawasan 3 Nombor 47, Ye Qiu mengikut papan tanda sambil mencari. Kafe internet ini besar. Terdapat banyak komputer dan juga tingkat kedua. Kawasan 3… Ye Qiu terlihat nombor kawasan tertera di siling. Nampaknya dia tidak perlu ke tingkat dua.

Apabila dia menemui nombor 47, Ye Qiu terkejut. Nampaknya stesen komputer ini sudahpun ditakluki oleh seorang wanita. Bukan itu sahaja, dia juga sedang bermain Glory dan sedang bertarung di dalam Arena. Pergerakannya yang ganas menyebabkan ikatan rambutnya bergoyang-goyang dengan kencang.

Gadis tersebut sedang mengawal watak Launcher. Ye Qiu hilang fokus seketika. Dia hampir menyangka bahawa Su Mucheng yang sedang duduk di situ.

Tetapi dengan cepat dia menyedari ia bukanlah Su Mucheng. Ini kerana Su Mucheng adalah gadis yang sentiasa berpewatakan tenang dan lembut. Sungguhpun ketika sedang bermain mod 'Player Kill' yang memberikan tekanan tinggi, dia akan tetap sentiasa tersenyum.

Ye Qiu seringkali terpesona melihat senyuman gadis tersebut apabila dia mengalahkan pihak lawannya dan membuatkan tubuh meletup berkecai. Kemudiannya, dia akan meminta maaf dengan sopan, sehingga tubuh Ye Qiu terasa seakan bergetar-getar memikirkannya.

Gadis di hadapannya ini pula, penampilannya juga cantik dan lembut. Tetapi, dia dipenuhi kemarahan dan hampir sahaja merosakkan papan kekuncinya akibat bertarung dengan sepenuh hati. Ye Qiu terasa seolah-olah penampilannya dari hujung rambut ke hujung kaki hanyalah perangkap semata-mata.

"Semangat membunuhnya terlalu menakutkan. Sayangnya…" Ye Qiu dapat melihat skrin dengan jelas. Dia sedar gadis tersebut bakal berada dalam keadaan yang teruk. Seperti dijangka, pihak lawannya mengambil kesempatan ketika dia melakukan kesilapan. Dengan dua pukulan sahaja, nyawa watak gadis tersebut hilang semua.

"JAHANAM!" Ye Qiu terdengar ngauman kemarahan gadis tersebut. Dia menghentak kuat papan kekunci, serta-merta memadamkan permainan.

Ye Qiu ragu-ragu sama ada dia masih mahukan stesen tersebut ataupun tidak. Gadis tersebut memandang ke arahnya. Sambil bangun dengan marah, dia bertanya: "Nak pakai komputer ke?"

Ye Qiu mengangguk.

"Jadi tunggu apa lagi, duduklah!" Gadis tersebut terus beredar.

Ye Qiu menggeleng-gelengkan kepalanya melihatkan sifat panas baran gadis itu dan akhirnya mengambil tempatnya

Chen Guo kecewa, teramat kecewa. Dia telahpun bertarung sebanyak 52 kali di dalam 'Arena' dan tidak menang walau sekali pun. Dia tidak ingin percaya bahawa semua ini sememangnya berlaku.

Chen Guo mengusap-usap 'Chasing Haze' di dalam poketnya. Akaunnya sebenarnya boleh tahan. Di antara pemain-pemain bertaraf biasa, akaunnya boleh dianggap kuat dan tahap kemahirannya tidak rendah. Dia telah bermain Glory selama lima tahun. Akaun pihak lawannya tidak sekuat dia, tetapi dia masih gagal untuk menang sekali pun dalam 52 pertarungan.

"Dia seorang pakar," rumus Chen Guo.

Chen Guo masih lagi sedang berfikir apabila kedengaran satu suara menganggunya.

"Bos, kamu masih belum log keluar lagi. Kenapa pula lelaki itu yang bermain menggunakan akaun kamu?"

Chen Guo memusingkan kepalanya dan melihat. Alamak!

Degupan jantung Chen Guo hampir terhenti sewaktu dia berlari ke arah komputer tersebut. Disebabkan populariti Glory, peranti log masuk adalah merupakan aksesori wajib untuk komputer di kebanyakan kafe internet. Kad akaun seseorang hanya perlu dimasukkan ke dalam peranti tersebut untuk mula bermain, dan ianya juga harus dicabut setelah selesai.

Setiap kad disambungkan kepada satu akaun sahaja. Memandangkan kad yang hilang boleh dilaporkan, kecurian kad tidak pernah berlaku. Tetapi, jika seseorang terleka dan lupa untuk log keluar di tempat umum sebegini, dia boleh kehilangan wang dan peralatan dalam permainan itu sendiri! Chen Guo terlalu kecewa selepas kalah 52 kali berturut-turut tadi dan tidak memberikan perhatian kepada kadnya. Dia terlupa yang dia tidak log keluar, sebaliknya hanya menukar skrinnya ke halaman utama komputer.

Chen Guo bergegas. Seperti yang dijangka, lelaki yang ditemuinya tadi sedang bermain menggunakan akaun milik Chen Guo. Tetapi dia tidak mencuri sebarang peralatan, sebaliknya sedang asyik bertarung di dalam 'Arena'!

Chen Guo baru sahaja hendak naik marah, apabila terteranya sebuah perkataan besar pada permukaan skrin.

avataravatar
Next chapter