1 Dewa Tarung Yang Diusir

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Klik klik, tap tap…

Sepasang tangan yang lincah menari merentasi papan kekunci dan tetikus, menghasilkan bunyi ketikan seakan rentak simfoni. Skrin komputer menyala dengan lampu yang terang dan musuh jatuh tersembam ke tanah sambil memercikkan darah.

"Hehe", Ye Qiu ketawa dan menaikkan tangannya untuk mengeluarkan puntung rokok yang tergantung pada pinggir mulutnya. Asap berwarna putih dan kelabu telahpun membentuk sulur paut yang panjang di udara, tetapi Ye Qiu tetap meneruskan tugasannya, mengayunkan tetikus dan menekan papan kekunci tanpa terganggu walau sedikit pun. Puntung rokok tadi dipadamkan dengan segera pada bekas abu yang berbentuk aneh di atas meja, dan tangan Ye Qiu pula pantas kembali ke papan kekunci. Baru sahaja dia hendak mengucapkan sepatah dua kata pada pihak lawannya, pintu biliknya ditolak dengan kuat.

Ye Qiu tidak memalingkan muka, seolah-olah dia sedang menantikan saat ini. Dia cuma bertanya, "Sudah tiba?"

"Sudah tiba," jawapan dari Su Mucheng teramat ringkas.

"Jom kita pergi!" Ye Qiu menolak pelawaan pihak lawannya untuk bertarung sekali lagi dan mengeluarkan kad daripada peranti log masuk Glory. Dia menuju ke arah pintu dan mengambil jaketnya daripada penyangkut baju sewaktu berjalan keluar.

Malam semakin gelap, tetapi lampu Kelab Excellent Era masih terang-benderang. Ye Qiu dan Su Mucheng meninggalkan bilik dan berjalan ke penghujung koridor. Di sini terletaknya bilik mesyuarat yang besar di mana sebuah skrin paparan digital hampir menutupi keseluruhan dinding di pintu masuknya. Ia menunjukkan kedudukan 'Pakatan Profesional Glory' dan pelbagai statistik teknikal.

Kedudukan: Pasukan Excellent Era, nombor 19 – tempat kedua dari belakang.

Sebagai sebuah pasukan harapan yang pernah memenangi kejuaraan sebanyak tiga kali berturut-turut di dalam liga, markah tersebut sangat menyakitkan untuk dilihat. Ia tergantung dengan terang dan ceria pada dinding, seolah-olah mengejek kesemua orang tanpa belas kasihan.

Tetapi suasana di dalam bilik tidak terasa tegang. Malahan, ia agak meriah. Ahli-ahli Excellent Era berkumpul di sekeliling seseorang bak bintang-bintang mengerumuni bulan. Kebanyakan daripada mereka tidak menyedari akan kehadiran Ye Qiu, dan mereka yang sedar pula memilih untuk berjalan melepasinya sambil menunjukkan ekspresi yang dingin dan mengejek.

Pengurus kelab tersebut turut menyedari akan kehadiran Ye Qiu dan serta-merta memalingkan kepalanya untuk bercakap, "Ye Qiu, kelab kita telah pun memutuskan bahawa Sun Xiang yang baru sahaja dipindahkan akan mengambil alih kedudukan kamu sebagai kapten. Mulai dari sekarang, Sun Xiang akan mengemudikan akaun One Autumn Leaf." Tanpa sebarang amaran, dia menyampaikan berita ini dengan tingkahlaku yang dingin sekali, seolah-olah sedang mencampakkan kertas tandas yang telah digunakan.

Su Mucheng cuba untuk berkata sesuatu, tetapi Ye Qiu menarik lengan bajunya dengan lembut. Dia tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala ke arahnya, memberi isyarat bahawa dia tidak terkejut.

"Abang Ye, maafkan saya, saya telah mengambil alih tempat kamu sebaik sahaja saya tiba." Sudut kiri meja mesyuarat merupakan tempat khas untuk kapten pasukan Excellent Era. Ia sepatutnya adalah tempat duduk kepunyaan Ye Qiu. Akan tetapi, Sun Xiang duduk di sana dengan selamba sewaktu mengeluarkan kata-kata ini, sedikit pun dia tidak memandang ke arah Ye Qiu. Ini bukanlah sikap jahil yang ditunjukkan olehnya, tetapi dia sengaja memilih untuk tidak mengendahkan kewujudan bekas kapten tersebut. Sebaliknya, pandangan matanya tertumpu pada tubuh Su Mucheng yang telah tiba bersama-sama dengan Ye Qiu.

Su Mucheng sememangnya lebih memikat daripada Ye Qiu. Dia dikenali sebagai ahli Pakatan Profesional Glory yang paling jelita sekali. Jika dia terlibat dengan industri perfileman, teater, televisyen atau muzik sekalipun, dia tetap akan dianggap sebagai seorang jelitawan yang jarang ditemui.

Ahli-ahli Excellent Era yang melihatnya setiap hari pun masih tergamam apabila melihat akan ketibaan Su Mucheng. Tetapi mereka segera memulihkan tumpuan, kerana pada hari ini terdapatnya seseorang yang lebih berhak untuk mendapat perhatian dari mereka.

"Haha, Abang Xiang, dengan kata-kata tajam sebegitu, saya rasa pangkat tersebut memang sesuai dengan kamu," semua orang memberikan sepenuh perhatian apabila Sun Xiang mula berbicara.

"Betul! Maklumlah, sesetengah orang sudahpun tua dan ketinggalan zaman!"

"One Autumn Leaf sepatutnya terletak di bawah perintah Abang Xiang. Hanya dia yang mampu menunjukkan kekuatan sebenar Dewa Pertarungan."

Lelaki inilah subjek tumpuan semua orang – Sun Xiang, seorang pemain bijaksana yang dianggap sebagai generasi baru Pakatan Profesional Glory. Apabila dia menyertai liga pada musim lepas, Sun Xiang memenangi anugerah Pemain Baru Terbaik dengan statistik MVP. Musim ini, dia telah mengetuai pasukan Conquering Clouds yang bermutu rendah untuk mendapat tempat kelapan, dan mereka kini mempunyai harapan cerah untuk mara ke pusingan kalah mati. Tetapi sewaktu jendela perpindahan pertengahan musim, dia telahpun dipindahkan ke pasukan Excellent Era yang sedang di ambang keruntuhan. Sungguhpun persembahan Excellent Era sangat teruk pada musim ini, mereka mempunyai seorang watak yang dikenali sebagai Dewa Tarung Glory: Ahli Sihir Tarung One Autumn Leaf. 

Sun Xiang adalah seorang anak muda dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada Pakatan selama dua tahun, tetapi ahli-ahli Excellent Era telahpun mendekatinya tanpa sebarang rasa malu. malah menggelarkannya "Abang Long" mereka. Jelaslah mereka menginginkan Sun Xiang menjadi bakal ketua pasukan, dan dia menerima kata-kata manis mereka dengan senang hati. Sesudah waktu yang agak lama berlalu, barulah dia rela melihat ke arah Ye Qiu buat seketika, tetapi pandangan matanya dipenuhi kebencian.

"Ye Qiu, serahkan kad akaun One Autumn Leaf kepada Sun Xiang!" pengurus kelab berkata.

Sungguhpun Ye Qiu tidak terkejut sebelum ini, hatinya tetap terhiris pada saat tersebut. Ye Qiu, One Autumn Leaf, perhubungan di antara dua nama ini adalah jelas sekali. Nama tersebut diciptakan sewaktu dia menyertai dunia permainan atas talian bernama Glory buat pertama kali.

Sepuluh tahun. Akaun ini telah menemani Ye Qiu selama sepuluh tahun. Pada asalnya seorang budak mentah, dia telahpun menjadi pakar Buku Teks Glory; Ahli Sihir Tarung yang tidak ternama telahpun menjadi Dewa Tarung dalam Glory. Tetapi tujuh tahun dahulu, dia telah menandatangani kontrak perniagaan bersama kelab apabila menyertai kelompok profesional. Disebabkan itu, segala hak One Autumn Leaf telahpun berpindah ke tangan mereka. Ye Qiu sudah lama menyedari bahawa mereka bakal berpisah suatu hari nanti dan akhirnya,hari tersebut telahpun tiba.

Jari-jemari Ye Qiu menggigil sedikit. Sebagai seorang pemain profesional, tangan yang stabil adalah kewajipan. Pemain veteran sepertinya mempunyai kekuatan mental yang besar dan tidak tertanding tetapi pada waktu ini, tangannya sedang menggigil. Di sudut tepi, Su Mucheng memalingkan wajahnya dan enggan melihat keadaan ini. Namun, dia tidak berdaya untuk membantu.

Bersaksikan pandangan kesemua orang yang gembira dengan nasib malang ini, kad akaun kelabu-putih One Autumn Leaf telahpun selamat diberikan kepada Sun Xiang.

Mata Sun Xiang bersinar dengan perasaan tamak dan teruja. Excellent Era telah mengalami kejatuhan yang teruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, tetapi dia berpindah ke pasukan ini dengan rela semata-mata kerana mereka mempunyai akaun yang termasyhur ini — One Autumn Leaf. Bekas pemilik One Autumn Leaf, Ye Qiu tidak berjaya untuk memberikan persembahan yang baik dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, dan dia sering bertengkar dengan kelabnya dan berdasarkan itu,Sun Xiang mempunyai keyakinan seratus-peratus untuk menggantikannya.

"Milikku!" Di saat dia menggenggam kad tersebut, Sun Xiang merasakan perasaan teruja yang teramat sangat. Tetapi apabila dia hendak menarik kad tersebut, dia terasa akan rintangan daripada kad tersebut.

Sun Xiang dapat merasakan ketidakrelaan Ye Qiu dan ketawa dengan bangga, "Lepaskanlah, Abang Ye. Lihatlah tangan kamu itu, menggigil seperti ini! Bagaimanakah tangan seperti itu hendak menunjukkan kekuatan Dewa Pertarungan? Serahkan sahaja pada saya! Saya akan pastikan gelaran Dewa Pertarungan sekali lagi bergema di seluruh alam Glory. Kamu pula? Bersaralah!"

Sepanjang waktu ini, Ye Qiu telah menunjukkan sikap endah tak endah, selain daripada ketidakrelaannya menyerahkan kad tersebut. Tetapi sebaik sahaja Sun Xiang mengeluarkan kata-kata penghinaan tersebut, dia perasan akan sinar cahaya yang datang dari mata Ye Qiu. Dan dengan penuh rasa terkejut, dia mendapati tangan Ye Qiu yang tadinya bergetar-getar sudahpun kembali stabil.

"Adakah kamu sukakan permainan ini?" Ye Qiu bertanya secara tiba-tiba, pandangan matanya tepat ke arah Sun Xiang.

"Apa?" Sun Xiang terperanjat.

"Jika kamu benar-benar sukakannya, tunjukkan sifat kegemilangan kamu, bukannya berlagak."

"Apa kamu kata? Apa kaitannya semua ini dengan kamu?" Sun Xiang hilang kawalan dengan tiba-tiba. Pada saat itu, dia tidak tahu mengapakah dia kelihatan lebih pendek berbanding Ye Qiu. Dia tidak ingin untuk dikalahkan oleh sikap pihak lawannya ini. Dia datang ke sini untuk menggantikan Ye Qiu. Dia datang untuk merampas Dewa Tarung One Autumn Leaf.

"Jaganya baik-baik." Baru sahaja Sun Xiang hendak menunjukkan sifat angkuhnya, Ye Qiu telahpun melepaskan kad akaun tersebut. Dia mengucapkan kata-kata tersebut dengan perlahan, lalu berpaling untuk beredar.

"Ye Qiu!" Pada saat ini, pengurus kelab tersebut tiba-tiba memanggil.

Ye Qiu berhenti dan mengiringkan kepalanya sedikit, mendengarkan kata-kata pengurus di belakangnya. "Kelab kita tidak ada kad akaun yang sesuai untuk diberikan kepada kamu sekarang. Buat masa ini, kamu boleh terus kekal sebagai teman pelatih!"

Teman pelatih… Seseorang yang telah membina dinasti dalam Pakatan, seorang pakar yang telahpun memenangi kesemua anugerah individu dalam Glory, telahpun jatuh ke tahap ini dan hanya layak menjadi seorang teman pelatih.

Sun Xiang amat tertarik dengan aturan ini, dan serta-merta dia ketawa kuat. "Dengan tahap kemahiran Abang Ye, membantu untuk latihan takkan menjadi masalah. Hanya kamu yang layak untuk menjadi teman pelatih nombor satu Pakatan Profesional Glory!"

"Haha." Ye Qiu ketawa mendengarkan ejekan tersebut. Dia berpaling menghadap pengurus. "Teman latihan? Saya rasa tidak perlu. Batalkan kontrak itu!"

"Batalkan kontrak? Adakah kamu ingin membatalkan kontrak?" Pengurus tersebut kelihatan seperti dia sedang memikirkannya dengan serius.

"Betul. Saya minta untuk membatalkan kontrak tersebut."

"Jangan terburu-buru!" Su Mucheng serta-merta bergegas untuk menghentikan Ye Qiu. Pakatan mempunyai peraturannya sendiri. Selain daripada alasan khas sewaktu tempoh kontrak, sesiapa yang ingin membatalkan kontraknya perlu membayar yuran denda. Ye Qiu dan Excellent Era masih mempunyai baki setahun setengah dalam kontrak mereka. Jika dia ingin memaksa pembatalan kontrak, kerugiannya pasti besar. Selain itu, Su Mucheng khuatir akan pemergian Ye Qiu sendiri.

"Ketua masih belum tiba, tunggulah akan kehadiran dia sebelum kamu sambung berbicara!" Su Mucheng berharap yang Ye Qiu akan bertenang.

Ye Qiu telah lama sedar akan ejekan yang terbentuk di penjuru bibir pengurus. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya ke arah Su Mucheng dan ketawa. "Mucheng, kamu tak fahamkah? Pemergian saya adalah objektif utama ketua. Saya tidak lagi berharga buat kelab ini. Saya hanya merugikan wang mereka sahaja."

"Tidak, bagaimanakah kamu boleh dianggap sebagai seorang yang merugikan? Kekuatan kamu tidak kalah pada sesiapapun," kata Su Mucheng

"Ini bukan sahaja tentang kekuatan. Ini adalah perniagaan." Kata Ye Qiu. "Saya pula? Saya tidak pernah mempunyai sebarang nilai dalam perniagaan ini."

"Kamu sepatutnya ada nilai tersendiri. Tetapi kamu yang memilih untuk menggadaikannya." Pengurus mencelah dengan dingin pada waktu ini.

"Betul, inilah pilihan saya," kata Ye Qiu. Pakatan Profesional Glory yang sekarang ini sedang berkembang, penaja datang dengan banyaknya. Pemain bertaraf selebriti dalam Glory semestinya diinginkan untuk tujuan iklan atau tajaan. Tetapi walaupun Ye Qiu adalah pemain berkelas tinggi, dia telah menolak semua tawaran pengiklanan. Malah dia juga menolak untuk menghadiri wawancara atau sidang akhbar. Dia seperti seorang netizen tua, melindungi identiti sebenarnya dengan berhati-hati di dalam dunia realiti maya.

Kelabnya sangat tidak gembira akan perkara ini. Pada pandangan mereka, dia ibarat gunung emas, tetapi mereka tidak dapat menggali sedikitpun keuntungan daripadanya. Mereka hanya mampu bersabar kerana kekuatannya teramat hebat dan dia telah berjaya membantu kelab mencapai kegemilangan dan kemasyhuran. Tetapi apabila pencapaiannya merosot, segalanya hanyalah tinggal sejarah.

"Pengkomersilan oleh Pakatan telah membenarkan kita untuk terus hidup, tetapi sekarang…" Ye Qiu tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. Dia juga tidak tahu sama ada perkara yang berlaku ini adalah baik ataupun buruk. Pakatan sekarang ini penuh dengan sifat tamak. Perkara yang difikirkan setiap ketua Pakatan hanyalah cara untuk mengeksploitasikan pasukan supaya keuntungan dapat diperoleh. Berbekalkan rasa cintanya terhadap permainan video dan berusaha tanpa mengenal erti penat demi mencapai kegemilangan, Ye Qiu teramat menghargai memorinya sewaktu bersama dengan Pakatan yang dahulu. Tetapi sekarang, Pakatan hanya mementingkan keuntungan.

Su Mucheng tidak berkata apa-apa lagi. Dia telah memilih untuk bersama dengan Ye Qiu dalam melalui jalan yang sama; dia juga adalah seorang veteran yang telah menyaksikan semua ini. Matanya bergenang dengan air mata. Dia sedar bahawa Ye Qiu benar-benar ingin pergi, dan menghalangnya hanya akan menambahkan kesakitan buatnya.

"Jika begini hakikatnya, saya…"

"Tak perlu," Ye Qiu tersenyum, mengganggu kata-kata Su Mucheng. Dia tahu apakah yang ingin dikatakannya, jadi dia sendiri berkata, "Jangan risau, saya belum putus harapan lagi. Saya pasti akan kembali."

"Boleh tahan. Inilah Ye Qiu yang penuh keazaman, Ye Qiu yang saya kenali. Jadi mari kita bincangkan tentang yuran denda! Jujurnya, memandangkan kamu telah bersama kami buat masa yang lama dan telah memberikan sumbangan yang besar, kami tidak akan memaksa. Jika benar kamu ingin pergi, mari kita semua duduk berbincang tentang butiran pembatalan kontrak. Macam mana?"

"Beritahu saya secara jujur. Apa syaratnya?" Tanya Ye Qiu.

"Syaratnya mudah sahaja: umumkan persaraan kamu," kata pengurus tersebut.

"Persaraan! Itu yang kamu panggil tidak memaksa?" Su Mucheng bengang. Usia Ye Qiu mencecah 25 pada tahun ini. Untuk pemain profesional dalam persaingan e-sukan, usia ini sudah dianggap tua, dan bersara pada usia tersebut tidaklah menghairankan. Tetapi Ye Qiu sudah menyatakan dengan jelas yang dia tidak ingin berhenti. Syarat pengurus Excellent Era tersebut ternyata bertujuan untuk menentang niatnya itu.

Pemain profesional yang bersara tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan. Walaupun mereka boleh memilih untuk kembali bersaing, Pakatan Profesional Glory mempunyai peraturan yang menyatakan seorang pemain profesional hanya boleh kembali selepas tempoh setahun. Ini adalah demi menghalang seseorang dari bersara semata-mata untuk bertukar pasukan.

Ye Qiu sudahpun berada di umur kemuncak kariernya. Setiap hari adalah cukup berharga, tetapi kini, mereka mahu dia membazirkan tempoh setahun pula. Selepas setahun, jika dia ingin kembali lagi, dia secara tentunya akan lebih berumur dan akan membazirkan peluang untuk bersaing dalam pertandingan yang sengit demi mengekalkan tahap kemahirannya. Walaupun dia masih mempunyai kemasyhurannya yang terdahulu, belum tentu ada pasukan yang sanggup menerimanya. Tambahan pula, Ye Qiu mempunyai satu kelemahan besar — dia enggan terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan dengan perniagaan.

Ia kedengaran seperti satu syarat yang tidak boleh diterima sama sekali, tetapi Ye Qiu hanya mengangguk. "Saya setuju."

"Awak gilakah??" Teriak Su Mucheng.

"Saya sudah berusaha keras selama bertahun-tahun, apalah yang teruk sangat jika saya dapat berehat selama setahun?" Senyum Ye Qiu.

"Apa… apa yang kamu fikirkan?" Su Mucheng tidak mengerti.

"Tak ada apa," Ye Qiu memalingkan kepalanya. Pengurus telahpun menyerahkan dokumen kepadanya. Ye Qiu melihatnya dan ketawa. Sebenarnya, mereka sudah bersedia sejak dulu lagi! Sedang dia memikirkan tentang perkara ini, Ye Qiu meletakkan pen ke atas kertas dan menandatangani namanya dengan tangkas.

Namun, sebaik sahaja dia hendak beredar…

Untuk kali terakhir, Ye Qiu merenung akan tempat yang telah dia habiskan tempoh tujuh tahun lamanya. Dia tidak mengucapkan sebarang kata-kata selamat tinggal dan hanya beredar dengan senyap.

"Saya akan hantar kamu," Su Mucheng adalah satu-satunya orang yang mengikut di belakangnya.

avataravatar
Next chapter