webnovel

Aku Di Dunia Elf

Kerana dibenci oleh sahabat baiknya sendiri, dia terbunuh dalam satu misi yang dirancang. Aubree ialah seorang assasin dan juga seorang tentera dengan kemampuan ilmu bela diri yang sangat tinggi dan sukar untuk dikalahkan. Kerana iri hati dengan kelebihan Aubree, Lucy yang sudah menjadi sahabat baik kepada Aubree sejak dari kecil sanggup berkomplot dengan musuh mereka untuk membunuh Aubree. Aubree terlahir kembali di sebuah dunia lain, dunia yang tidak pernah Aubree lihat. Dia terlahir semula di sebuah dunia yang dipanggil Dunia Elf. Dunia Elf? Siapa yang menyangka yang dia akan terlahir semula di badan seorang elf perempuan yang mempunyai nama yang sama dengan dia. Bezanya, elf perempuan ini adalah seorang yang lembap, bodoh dan sangat lemah. Di Dunia Elf, mereka memiliki elemen-elemen dunia dan ilmu bela diri. Elf paling lemah hanya mampu melakukan beberapa jenis ilmu bela diri tanpa elemen mereka... Tapi apa hal pula Elf yang satu ini tiada elemen dunia dan tiada ilmu bela diri. Aubree yang sangat mementingkan ilmu bela diri demi keselamatan diri, menjadi pening dengan badan baru ini. Badan baru ini sangat lemah, sangat-sangat lemah sehingga dia tidak mampu melakukan kerja lain selain menjadi pembantu rumah biasa... Dan pemilik sebelum ini meninggal hanya kerana tertelan roti---Tunggu, apa? Dunia, apa dah jadi? Memandangkan Aubree yang memiliki tubuh ini sekarang, dia berjanji kepada pemilik sebenar yang dia akan meneruskan hidup dan menukarkan sejarah kehidupan yang menyedihkan.

bbeatyybrr · Fantasy
Not enough ratings
93 Chs

Ramalan Yang Tertulis(1)

Hari untuk Issac, Kilan dan Katy untuk pulang sudah tiba tapi Aubree tidak menyertai yang lain untuk menghantar rombongan itu ke pintu portal. Aubree hanya berdiri di atas sebuah pergunungan luas yang hanya ditumbuhi dengan rumput menghijau dan memandang kumpulan Elf yang berdiri dekat dengan pintu portal.

Aubree boleh melihat kelibat Issac diantara kumpulan itu. Sebuah nafas yang panjang ditarik dengan perlahan-lahan.

Aubree tahu, ini bukan kali terakhir mereka akan berjumpa lagi tapi yang membuatkan Aubree merasa agak sayu bila memikirkan yang mereka mungkin tidak akan berjumpa dalam waktu yang lama.

Aubree yang berdiri di bawah terik matahari itu tidak menghiraukan rasa panasnya saat ini. Matanya masih tetap menatap ke arah kumpulan tadi.

Sementara itu, Issac yang sudah bersedia melintasi pintu portal itu memandang sekeliling untuk mencari kelibat Aubree tapi tidak melihat gadis itu di mana-mana. Tapi Issac tidak merasa kecewa.

Seolah-olah tahu di mana gadis itu berada, Issac menoleh ke arah pergunungan luas dan melihat sebuah kelibat walaupun agak kabur.

Senyuman kecil muncul di wajah Issac kerana tahu kalau kelibat itu adalah milik Aubree. 'Sampai juga lagi!'

Aubree tersenyum kecil, seakan-akan boleh mendengar ucapan selamat tinggal dari Issac tadi.

White menghampiri Aubree dari belakang. [Kenapa Yang Mulia tidak mahu turun ke sana dan ucapkan selamat tinggal kepada Putera itu dengan cara yang betul?]

Aubree diam untuk beberapa minit. Lalu, dia pun mula bercakap lagi. "Saya tidak tahu. Saya hanya ikut kata hati saya untuk tidak pergi ke sana dan melihat dia hilang dari sebalik pintu portal tu..."

White mendongak untuk memandang wajah Aubree sebelum Haiwan Sakti itu memandang ke arah kumpulan Elf di dekat pintu portal tersebut. [Yang Mulia merasa yang Yang Mulia tidak akan sanggup melihat Putera Pertama dari Kerajaan Timur itu pergi. Bukankah begitu, Yang Mulia?]

Sekali lagi Aubree hanya mendiamkan diri tapi dia sudah tidak menjawab kepada White lagi. Sebaliknya, dia mendongakkan kepalanya ke langit yang cerah dan terus menghela nafas panjang.

"Kalau takdir itu ada diantara kami, suatu hari nanti kami akan bertemu lagi. Saya tahu ini bukan perpisahan terakhir kami," balas Aubree dengan nada suara yang lembut.

[Yang Mulia percaya pada takdir?]

"Saya pernah dengar satu ungkapan, tentang; walau sejauh atau selama mana seseorang itu terpisah, jika dia adalah orang yang ditakdirkan untuk kita, suatu hari nanti mereka tetap akan kembali kepada kita," kata Aubree.

[Itu... Ungkapan yang cukup untuk membuatkan seseorang terkesan. Jadi, Yang Mulia percaya jika Yang Mulia mempunyai takdir bersama dengan Putera Issac?]

"Jika Raja Kegelapan masih belum belum dikalahkan, selama itulah jarak dan masa kami akan bertambah. Nak cakap pasal takdir, walaupun saya tidak percaya sangat dengan benda seperti ini tapi saya percaya setiap orang mempunyai takdir masing-masing."

Setelah Aubree berkata begitu, White tiada pilihan lain selain daripada mendiamkan diri saja.

Akhirnya, Aubree dan White pun berdiri diam di sana sambil menonton kumpulan Elf yang berada di dekat pintu portal. Ketika Issac dan yang lain melintasi pintu portal, Aubree yang sedari tadi diam saja akhirnya menghela nafas yang berat.

Dia tidak menyangka yang merenung seseorang pergi dan keluar dari pintu portal itu akan merasa begini berat.

Hanya setelah beberapa saat saja, Aubree sudah pun membawa White meninggalkan tempat itu.

Selepas kejadian di pintu portal itu, Aubree lebih banyak mendiamkan diri dan tinggal di dalam biliknya.

Della yang sedar dengan diri Aubree yang menjadi senyap itu, berusaha untuk membuatkan Aubree ceria atau gembira tapi setelah beberapa kali mencuba, Della akhirnya mengalah. Ini kerana Aubree hanya akan tersenyum atau gembira dengan semua celoteh Della tapi lama kemudian, dia akan diam dan termenung jauh lagi.

White juga tidak berbuat banyak dan hanya berbaring di lantai dalam bilik Aubree. Harimau Bertanduk itu hanya berbaring dan menutup matanya.

Aubree hanya keluar dari biliknya saat dia hendak pergi ke dewan makan. Tapi belum sempat dia tiba di dewan makan, dia dihalang oleh dua orang pembantu Elf. Aubree yang melihat pembantu Elf itu segera mengenali mereka kerana mereka ialah pembantu yang selalu berada di samping Meliani.

'Ah, bila saya fikir tentang Meliani... Baru saya sedar yang saya tidak melihat Meliani pun sejak saya dari malam perayaan tu. Mungkinkah dia sudah putus asa nak cari idea untuk kacau saya lagi? Tapi kenapa tiba-tiba pembantu dia datang cari saya ya?'

"Kamu berdua nak apa?" tanya Aubree dengan sikap tenang.

Dua orang pembantu Elf itu menundukkan badan mereka sebelum Elf yang di sebelah kiri bercakap. "Selamat malam, Yang Mulia... Puteri Meliani mahu Yang Mulia datang bersama kami ke bilik Puteri Meliani agar Puteri Meliani boleh mengajak Yang Mulia untuk makan malam dengan Yang Mulia."

Aubree sekadar memandang mereka tanpa berkata apa-apa. Sedangkan dalam hati, dia tidak habis fikir benda apa lagi yang Meliani hendak buat pada dia kali ini. 'Oh ya, Issac juga sudah tidak ada. Mungkin sekarang baru dia berani nak buat hal dengan saya. Apa-apa pun saya tidak takut dengan apa-apa benda yang dia nak buat pada saya...'

"Baiklah..." Soalan yang pendek diberikan dan Aubree terus berjalan di hadapan dua orang pembantu Elf itu. Kerana dia sudah pernah pergi ke kawasan bilik Meliani, dia tidak perlu pembantu Elf untuk menunjukkan jalan kepada dia lagi.

'Yalah, bila saya akan dapat pembantu Elf? Sampai sekarang saya belum dapat pembantu Elf macam Meliani. Sekarang saya sudah lulus ujian pertama, bukankah sepatutnya Ahli Sihir Yang Tertua perlu sediakan pembantu untuk saya? Tidak mungkin saya jadikan Della itu pembantu saya sebab jelas-jelas dia itu ialah kawan saya sendiri. Hmm, nampaknya saya kena laporkan hal ni kepada Ahli Sihir Yang Tertua.'

Ketika Aubree habis bercakap dengan dirinya sendiri, dia tiba di depan pintu bilik Meliani. Dia pun berhenti dan memandang pintu yang terbuat dari batang kayu yang berkualiti tinggi itu.

Salah seorang dari dua orang pembantu Elf tadi terus mengetuk pintu. Suara yang lembut datang dari dalam bilik itu untuk menyuruh mereka masuk.

Pembantu yang mengetuk pintu tadi segera membuka pintu dan masuk ke dalam bilik. Aubree dan pembantu Elf yang kedua pula masuk kemudian.

Sebaik saja tiba di depan Meliani, pembantu tadi menundukkan badannya. "Yang Mulia, Puteri Audrey sudah tiba."

Meliani hanya melirik ke arah pembantu Elf itu dengan pandangan tidak kisah sebelum mengayunkan dua jari kanan untuk menyuruh para pembantu Elf itu pergi dari sana.

Kedua pembantu Elf tadi menunduk untuk kali terakhir sebelum mereka keluar dari bilik itu dan menutup pintu.

Kini tinggallah Aubree bersama dengan Meliani di bilik yang sunyi ini.

Meliani yang sedang duduk di kerusi kayu dengan gaya elegan itu mengerling ke arah Aubree yang masih berdiri di tempat dia berhenti tadi. Kedua tangannya digerakkan secara lembut untuk mengusap rambutnya yang panjang. Di atas meja pula ada minuman yang disediakan untuk dua orang.

Keadaan yang dilihat oleh Aubree saat ini ternampak sangat memukau. Jika ada lelaki Elf yang berada di ruangan ini melihat situasi ini akan terus terpukau dengan Meliani dan akan terus jatuh cinta.

'Yang baiknya, saya ialah seorang perempuan!' bisik Aubree dalam hati dengan perasaan yang lega.

"Kau tidak mahu duduk dulu? Dalam masa beberapa saat, makan malam akan tiba di sini. Saya juga sudah mengarahkan pembantu untuk membawa masakan kegemaran kau," kata Meliani dengan lembut.

Tapi walaupun Meliani bercakap dengan lembut begitu, Aubree masih boleh melihat anak mata Meliani yang bersinar dingin, seolah-olah suara lembut tadi hanyalah sekadar lakonan dari Meliani untuk bercakap dengan Aubree.

Hujung bibir Aubree ternaik sedikit tapi matanya langsung tidak menunjukkan yang dia sebenarnya tersenyum.

"Tak mengapa, saya boleh makan malam di dewan makan..."

'Kau ingat, kau saja yang boleh berlakon baik macam ni? Kita tengok siapa yang boleh bertahan sampai akhir!'

Meliani tersenyum kecil. Gerakan tangannya mengusap rambut masih diteruskan. "Kenapa bersusah-payah pergi ke dewan makan lagi kalau saya sudah jemput kau untuk makan malam di sini? Lagipun sudah lama saya tidak makan malam bersama dengan kau. Sebagai kawan dan pemilik Kristal Kehidupan itu, kita patut luangkan masa bersama agar nanti kita boleh bekerjasama dengan baik. Bukankah begitu, Yang Mulia Puteri Audrey?"

Hujung bibir Aubree terjongket-jongket ke atas, jelas menunjukkan yang dia agak panas hati mendengar kata-kata Meliani itu.

'Siapa yang nak meluangkan masa dengan kau? Kau yang dari awal cari hal dengan saya, apasal pula saya yang disalahkan sebab tidak mahu meluangkan masa bersama dia? Pui, dasar perempuan bermuka dua!'

Mahu tidak mahu, Aubree memaksakan dirinya untuk duduk di meja yang sama dengan Meliani. Dia dudu di kerusi kayu yang bertentangan dengan Meliani sebab dia tidak sanggup duduk di sebelah Meliani.

Meliani tahu kenapa Aubree memilih duduk jauh dari dia tapi dia sekadar buat tidak tahu. Pandangannya dialihkan ke arah tangannya yang masih mengusap rambutnya.

"Jadi, adakah kau sudah merasa puas dan gembira selama beberapa hari ini?" tanya Meliani secara tiba-tiba.

Aubree yang sejak awal semasa duduk di sana dan lebih memilih merenung meja itu, menggerakkan bebola mata untuk memandang Meliani.

"Apa maksud kau?"

Senyuman manis tapi penuh dengan maksud sinis muncul di wajah Meliani.

Nasib baik Aubree sudah biasa wajah wanita bermuka dua ini, kalau tidak tentu dia sudah meremang bulu roma jika melihat senyuman itu.

"Saya tahu sejak awal Issac datang ke sini bukan sebab dia hendak melawat saya, walaupun itu yang dia tulis di dalam surat yang dia hantar kepada saya. Dalam erti kata lain, Issac cuma gunakan saya sengaja alasan untuk berjumpa dengan kau."

Aubree hanya diam saja. Dari awal sejak dia mencurigai kedatangan Issac ke sini, dia sudah dapat meneka yang Issac menggunakan Meliani sebagai alasannya untuk berjumpa dengan Aubree.

"Kau mahu dengar sebuah cerita?" Meliani berkata dengan suara yang penuh kelembutan.

Tapi suara yang lembut itu juga yang membuatkan bulu roma Aubree naik.

Aubree tidak menjawab. Dia hanya duduk di sana macam patung dan memerhati Meliani.

"Suatu masa dulu, ada seorang Elf perempuan yang lahir dari keluarga yang boleh dikira keluarga bangsawan. Kerana paras rupanya yang cantik dan sikapnya yang murah hati, semua Elf memuji dia. Suatu hari, ketika dia melawat sebuah Kerajaan Elf semasa hari jadinya, dia tidak sengaja bertembung dengan seorang Elf lelaki yang tercedera.

Kerana merasa kesian dengan Elf lelaki itu, Elf perempuan tadi menolong dia dan menjaga dia sehingga lelaki itu sembuh.

Sejak dari hari itu, hubungan diantara mereka berdua menjadi rapat dan takdir diantara mereka berdua mula tertulis untuk menjadi sebuah pasangan yang abadi..."

Wajah Aubree berubah menjadi seribu kerutan sebaik saja ayat terakhir itu disebut oleh Meliani.

Aubree sudah tahu jika cerita yang disebut oleh Meliani saat ini adalah cerita mengenai bagaimana Meliani boleh terjumpa dengan Issac untuk pertama kali.

"Kerana takdir itu sudah tertulis di ramalan dari para ahli sihir, akhirnya ahli keluarga dari bela pihak ini bersetuju untuk menyatukan mereka dalam ikatan perkahwinan tapi hanya setelah si Elf perempuan tadi mencapai umur ditentukan, iaitu pada umur 20 tahun."

Usai mengatakan kata-kata itu, Meliani mendongakkan kepalanya dan memandang ke arah Aubree dengan senyuman sinis menghiasi wajahnya. "Saya yakin kau tahu siapa yang saya maksudkan?"

Aubree melirik ke arah Meliani dengan wajah acuh tak acuh. "Oh, maksud kau... Kau sengaja mengarang cerita tentang bagaimana kau dan Issac boleh berjumpa?"

Senyuman di wajah Meliani terus hilang digantikan dengan wajah yang dingin. "Ini adalah ramalan dari para ahli sihir yang sudah beribu tahun menjaga Kristal Kehidupan ini. Saya ialah adalah penjaga kepada Kristal Kehidupan yang pertama dan kerana ramalan mengatakan yang dengan menyatukan saya dan Issac akan dapat memberikan kekuatan besar dalam peperangan melawan Raja Kegelapan."

"Tidakkah kau rasa apa yang kau cakap itu tidak terlalu dibuat-buat?" tanya Aubree dengan suara sinis.

Entah kenapa saat ini, dia merasakan dirinya sudah dikuasai perasaan marah.

Meliani tersenyum lagi tapi kali ini senyuman itu mengandungi racun, yang perlahan masuk ke minda Aubree dan membuatkan darah Aubree membuak-buak.

"Kau nak cakap ramalan yang diberitahu oleh para leluhur ahli sihir adalah benda yang dibuat-buat? Heh, kau memang Elf yang tidak sedar diri, beraninya kau menentang ramalan yang sudah tertulis?"

Yup, Meliani memang jahat...

bbeatyybrrcreators' thoughts