webnovel

Aku Di Dunia Elf

Kerana dibenci oleh sahabat baiknya sendiri, dia terbunuh dalam satu misi yang dirancang. Aubree ialah seorang assasin dan juga seorang tentera dengan kemampuan ilmu bela diri yang sangat tinggi dan sukar untuk dikalahkan. Kerana iri hati dengan kelebihan Aubree, Lucy yang sudah menjadi sahabat baik kepada Aubree sejak dari kecil sanggup berkomplot dengan musuh mereka untuk membunuh Aubree. Aubree terlahir kembali di sebuah dunia lain, dunia yang tidak pernah Aubree lihat. Dia terlahir semula di sebuah dunia yang dipanggil Dunia Elf. Dunia Elf? Siapa yang menyangka yang dia akan terlahir semula di badan seorang elf perempuan yang mempunyai nama yang sama dengan dia. Bezanya, elf perempuan ini adalah seorang yang lembap, bodoh dan sangat lemah. Di Dunia Elf, mereka memiliki elemen-elemen dunia dan ilmu bela diri. Elf paling lemah hanya mampu melakukan beberapa jenis ilmu bela diri tanpa elemen mereka... Tapi apa hal pula Elf yang satu ini tiada elemen dunia dan tiada ilmu bela diri. Aubree yang sangat mementingkan ilmu bela diri demi keselamatan diri, menjadi pening dengan badan baru ini. Badan baru ini sangat lemah, sangat-sangat lemah sehingga dia tidak mampu melakukan kerja lain selain menjadi pembantu rumah biasa... Dan pemilik sebelum ini meninggal hanya kerana tertelan roti---Tunggu, apa? Dunia, apa dah jadi? Memandangkan Aubree yang memiliki tubuh ini sekarang, dia berjanji kepada pemilik sebenar yang dia akan meneruskan hidup dan menukarkan sejarah kehidupan yang menyedihkan.

bbeatyybrr · Fantasy
Not enough ratings
93 Chs

Kebohongan Aubree

Setelah kejadian di tepi sungai, Issac juga membawa Aubree pergi ke tempat-tempat cantik yang lain dan Aubree juga menyukai semua tempat yang ditunjukkan oleh Issac.

Mereka kembali ke tempat penginapan setelah matahari hendak terbenam.

Aubree segera kembali ke biliknya untuk bersiap kerana tidak lama lagi, makan malam akan tiba. Aubree tidak mahu terlepas makan malam pada hari ini.

Ketika dia sedang bersiap untuk keluar dari bilik, Aubree ternampak mahkota bunga yang dibuat oleh Issac tadi terletak kemas di atas katilnya.

Perlahan-lahan, Aubree mendekati katil dan mencapai mahkota bunga itu. Aubree menatap mahkota itu dan senyuman kecil muncul di wajahnya ketika memikirkan kejadian di pergunungan yang ditumbuhi dengan tumbuhan berbunga.

TOK! TOK! TOK!

Aubree segera menoleh ke arah pintu setelah mendengar pintu diketuk dari luar. Dia menjadi gelabah sekejap dan mula bergegas mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan mahkota bunga tadi di tempat yang aman.

Aubree tidak mahu ada Elf yang melihat mahkota itu kerana dia tidak mahu menjawab apa-apa soalan berkaitan dengan soalan mereka.

Aubree mendekati almari pakaiannya dan membuka pintu almari itu. Aubree mencari kotak ataupun benda yang boleh menyembunyikan mahkota itu. Nasibnya sangat baik kerana Aubree menjumpai sebuah kotak di dasar almari itu.

Tanpa menunggu lama, Aubree terus mengambil mahkota yang diletakkan di atas katil tadi dan memasukkan mahkota itu di dalam kotak tadi.

"Audrey? Kau baik-baik saja?"

TOK! TOK! TOK!

"Urm, tunggu sekejap!"

Aubree segera memasukkan kembali kotak tadi ke dalam almari dan menutup pintu almari dengan rapat. Setelah itu, dia pun bergegas menuju ke pintu.

Saat dia membuka pintu, Aubree melihat Hansel yang berdiri di depannya dengan wajah yang risau. Mungkin Hensel berfikir ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Aubree kerana Aubree mengambil masa yang lama untuk membuka pintu.

"Kau baik-baik saja? Saya fikir ada sesuatu yang berlaku pada kau di dalam sana tadi," kata Hensel. Matanya diarahkan ke dalam bilik Aubree, mahu mencari sesuatu yang mencurigakan di dalam beg Aubree.

"Ah, ya. Saya baik-baik saja..." Aubree menunjukkan sengihannya yang terasa seperti dipaksa. "Kenapa kau datang ke sini?"

Hensel menumpukan renungannya terhadap Aubree lagi. "Della mahu saya datang ke sini untuk temankan kau pergi ke dewan makan bersama. Dia sudah pergi bersama dengan Dean..."

Aubree mengangguk. "Oh, yakah?"

Hensel tersenyum kecil sebagai tanda balasan kepada soalan singkat Aubree tadi. "Kalau kau sudah siap, mari kita pergi sekarang. Saya rasa kau juga sudah lapar. Saya tidak nampak kau seharian ini. Bila saya tanya Della ke mana kau pergi, Della juga tidak tahu kau ke mana."

Aubree sempat menutup pintu biliknya sebelum dia dan Hensel pun berjalan bersama-sama menuju ke dewan makan.

"Oh, saya cuma pergi berjalan-jalan di sekitar kawasan Menara Kristal ni saja. Sejak saya datang ke sini, tak pernah satu kali pun saya ada peluang meneroka tempat ni, jadi saya rasa hari ini adalah peluang yang baik untuk saya pergi," jawab Aubree sambil menggaru belakang lehernya yang tidak gatal.

Aubree merasa bersalah kerana harus membohongi Hansel tapi apakan daya, tidak mungkin dia Hensel beritahu Hensel tentang apa yang dia lalui hari ini.

"Oh, ya? Jadi kenapa kau tidak beritahu saya lebih awal? Saya boleh temankan kau meneroka tempat ini. Saya juga arif dengan setiap tempat di sini, mana yang sesuai untuk kau pergi dan tempat mana yang jadi larangan. Kalau kau bawa saya hari ini, tentu saya akan bawa kau melawat tempat yang paling indah di sini..."

Sekali lagi, Aubree menggaru belakang kepalanya dengan perasaan kekok. Dia kekok bukan kerana percakapan Hensel tapi kerana dia tahu yang semua tempat yang Hensel katakan itu adalah tempat yang Issac sudah tunjukkan kepada dia hari ini.

Lagipun, jika Aubree mahu meneroka tempat ini satu-persatu, Aubree juga tidak yakin kalau Hansel adalah pilihan pertama dia untuk diajak bersama.

Kerana tidak mahu memberitahu Hensel yang sebenarnya Aubree sudah tahu semua tempat yang Hansel katakan kepadanya, Aubree hanya mendiamkan diri tapi masih tetap mendengar semua celoteh Hensel.

Sampailah mereka di dewan makan, Aubree terus memandang sekeliling untuk mencari kelibat Issac. Ketika dia menyedari tindakannya, semuanya sudah terlambat kerana Aubree sudah pun menangkap kelibat Issac yang sedang duduk bersama dengan Kilan dan Katy beserta dengan beberapa orang Tentera Elf yang terkuat di sini.

Seperti tahu yang Aubree sedang mencari dia, Issac juga mengangkat wajah dan membalas pandangan Aubree. Senyuman kecil diberikan kepada gadis itu dan senyuman itu hanya Aubree saja yang nampak.

Wajah Aubree mula menjadi panas dan cepat-cepat Aubree memalingkan wajahnya ke tempat lain. Malunya bukan kepalang!

'Kenapa saya harus mencari dia pula? Hish, kalau saya tahu dia masih ada di dewan ini, saya tidak akan datang ke sini tadi! Uwu, malunya saya!'

"Ah, itu dia Della dan Dean sedang makan!" Hensel tidak sedar dengan perubahan wajah Aubree. Dia melihat Della dan sedang duduk bersama dan terus melaporkan kepada Aubree.

Tercengang-cengang Hensel saat Aubree melintasinya dengan cepat dan menuju ke kaunter makanan. Cepat-cepat dia menyusul di belakang Aubree. Hairan dia melihat perangai Aubree yang tergesa-gesa seolah-olah ingin melarikan diri dari sesuatu.

Issac yang melihat keadaan Aubree yang mula gelabah itu sekadar tersenyum dalam diam. Dia tidak menyangka pula yang gadis itu sudah mula menunjukkan sikap yang lain selain dari sikap dinginnya selama ini.

Jika sebelum ini Issac menatap ke arah Aubree, sama ada dia akan mengabaikan dia atau membuat muka buruk terhadap Issac. Lagi teruk jika gadis itu menjelirkan lidahnya kepada Issac.

Tapi sekarang...

Issac tergeleng-geleng kecil walaupun bibirnya masih menunjukkan segaris senyuman.

Sebaik saja Aubree mendapatkan makanannya, dia berjalan dengan pantas menghampiri meja tempat Della dan Dean duduk. Dia segera melabuhkan punggungnya di sebelah Della dan mula memasukkan makanan di dalam piringnya ke dalam mulut.

Della dan Dean pun berhenti bercerita dan mereka memandang Aubree yang makan macam orang kelaparan yang tidak makan selama enam bulan.

Hensel yang baru tiba itu juga memandang Aubree dengan wajah tercengang. Melihat Aubree makan macam orang lapar, dia pun yakin yang Aubree mesti tidak makan sejak tengah hari kerana asyik meneroka kawasan Menara Kristal ini.

Hensel duduk di depan Aubree. "Hei, Audrey. Jangan makan gelojoh sangat. Nanti kau tercekik. Saya tahu kau mesti lapar memandangkan kau tidak kembali ke sini untuk makan tengah hari..."

Aubree berhenti menyuap makanan ke dalam mulutnya. "..."

"Oh yalah, Audrey... Kau ke mana seharian ni? Kenapa saya tidak nampak kau di mana-mana?" tanya Della kepada Aubree.

Aubree memang sengaja tidak mahu memberitahu Della tentang perjanjian dia dan Issac hari ini. Dia tidak mahu Della terus mengusik dia dengan menggunakan hal ini.

"Dia cakap yang dia berjalan-jalan di sekitar kawasan Menara Kristal ni sebab sejak datang ke sini, dia hanya tahu berlatih saja," Hensel pula yang tolong menjawab untuk Aubree.

Aubree, "..."

Della terus memandang Aubree dengan wajah bengang. "Kau pergi melawat tempat-tempat di tempat ini tapi tidak bawa saya? Sampai hati kau! Saya dengar tempat-tempat di sini sangat cantik dan menarik. Kenapa kau tidak ajak saya sekali?"

Sekali lagi, Aubree menjadi terkelu. "..."

'Takkan saya nak cakap yang sebenarnya hari ini saya ada perjanjian dengan Issac untuk pergi bersama-sama dalam temu janji— Eh, bukan! Bersama-sama dalam ekspedisi meneroka ni? Tak mungkin saya akan beritahu mereka bertiga ni benda yang sebenarnya berlaku?'

"Manalah saya tahu kalau saya akan pergi ke tempat-tempat tu. Lagipun saya cuma nak berjalan-jalan di sekitar kawasan ni saja, tahu-tahu saya sudah masuk jauh lebih dalam," kata Aubree, berbohong dengan wajah selamba.

'Nasib baik tiada yang nampak Issac yang sebenarnya bawa saya terbang tadi. Kalau tidak, saya pun tidak tahu macam mana nak jelaskan perkara ni pada dorang...'

Della mengecilkan matanya menatap Aubree. Mungkin maksud pandangan itu adalah dia masih tidak berpuas hati dengan perlakuan Aubree tidak mengajak dia pergi atau Della tidak percaya dengan kebohongannya itu.

"Kalau kau nak melawat sangat tempat-tempat menarik yang ada di sini, saya boleh ajak kau. Lagipun, saya arif dengan kawasan di sini. Kalau cuma korang berdua saja yang pergi, alamat nanti sesatlah jawapannya," balas Dean pula kepada Della.

Della terus mengalihkan perhatiannya kepada lelaki itu. Senyuman gembira menghiasi wajahnya. "Betulkah?"

Dean mengangguk dengan wajah serius. Sekadar bawa mereka berjalan-jalan, bukannya ada maksud lain pun.

"Baik!" Diani sangat gembira dengan jawapan sehingga dia terlupa pula dengan perasaan geramnya kepada Aubree tadi.

Aubree yang sedari tadi tidak dapat menyampuk perbualan mereka bertiga hanya memandang mereka dengan wajah tercengang. "..."