24 Siapakah Gerangannya?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Wang Tengfei kelihatan sangat teruja. Jika sesiapa melihatnya kini, mereka pasti akan terkejut. Tiada siapa yang pernah melihat riak wajahnya begitu.

Bagi orang lain, Wang Tengfei seorang insan terpilih. Riak wajahnya sentiasa tenang, senyumannya ramah dan penampilannya tampan, sempurna dari semua segi.

Namun pada saat ini, dia tidak dapat menyembunyikan keterujaannya. Dia telah merancang perkara ini selama bertahun-tahun dan telah menghabiskan terlalu banyak sumber hanya untuk sampai ke saat ini. Detik yang dinanti-nantikan selama ini. Akhirnya dia akan memiliki khazanah yang akan menjadi miliknya buat selama-lamanya. Hatinya membuak-buak dengan keterujaan melampau.

Salah satu sebab utama dia menyertai Sekta Reliance pada peringkat awal ialah demi mendapatkan khazanah ini.

Dia memasuki gua itu sepantas kilat. Sewaktu dia terlihat bangkai raksasa yang menakutkan itu, dia ketawa dan matanya bercahaya. Dia meluru ke arah ekor makhluk itu iaitu bahagian yang telah bertukar menjadi ular sawa Syaitan. Dia mencari-cari seketika, kemudian riak wajahnya menjadi keliru. Matanya terbeliak. Setelah melihat keseluruhan bangkai itu, tubuhnya kaku.

"Apa yang telah berlaku…? Tak mungkin. Khazanah itu hanya boleh diperolehi setelah ular sawa ini bersalin kulit. Itu satu-satunya masa yang selamat untuk masuk. Kenapa khazanah itu tiada di sini? Mustahil!" Pandangan kejam terpancar dan kepalanya dirasakan seperti berpusing. Dia menggeledah bangkai itu sekali lagi, mencari-cari tempat pedang itu tercacak keluar seperti dalam ingatannya. Sewaktu dia menjumpai kesan tempat tercacak itu, jelas sekali pedang itu telah dicabut. Tubuh Wang Tengfei mula menggigil dan api kemarahan tidak terduga telah muncul di dalam matanya. Dia melepaskan satu raungan yang telah menggegarkan seluruh gunung hitam itu.

Ketika itulah dia sedar yang kepala bangkai itu telah dibelah dua dan Teras Syaitannya telah dikeluarkan. Sewaktu dia melihat rangka itu sekilas, darahnya semakin mendidih.

Penampilannya menjadi ganas dengan api kemarahan. Dia meluru keluar, menyingsing lengan jubahnya dan berharap Titisan Darah di lengannya itu akan menunjukkan tindak balas. Namun, tiada apa-apa yang berlaku. Malah, Titisan Darah itu kelihatan seperti telah dilenyapkan!

Dia mencari di seluruh pelosok gunung hitam itu tetapi tidak berjumpa apa-apa.

Akhirnya, dia kembali dengan tangan kosong ke gua itu dan memandang bangkai makhluk itu. Dia menjerit sekali lagi dengan nyaring.

"Aku habiskan masa tiga tahun untuk mencari kitab purba itu. Tiga tahun tanpa ada masa untuk Pertapaan! Aku habiskan beratus ribu Batu Rohani sebelum aku jumpa petunjuk dari dua ratus tahun lalu yang membawa aku ke Naga Hujan Bersayap ini!" Tubuhnya menggigil dan wajahnya berkerut marah. Sebarang ketampanan pada dirinya telah lenyap, digantikan dengan kegilaan.

"Satu tahun masa dibazirkan dengan mencari di seluruh pelosok Negeri Zhao, di banjaran gunung-ganang dan hutan belantara. Aku pergi ke merata tempat, ke semua wilayah. Tindak balas Titisan Darah ini membawa aku ke mari!" Matanya merah menyala dan dia menggenggam penumbuknya dengan sangat marah. Sesiapa yang melihat keadaannya kini pasti akan jadi sangat terkejut.

"Demi khazanah ini, aku sanggup memulakan pengajian rohani aku di Sekta Reliance tak guna ini. Tak guna! Tak guna! Aku terpaksa bertahan selama hampir tiga tahun!" Hatinya sakit seperti ditusuk oleh pedang halimunan yang telah menghancurkan keangkuhannya hingga menjadi kepingan kecil. Dia sangat yakin dia akan berjaya hinggalah ke saat ini. Kini, dia telah gagal.

"Demi menyediakan jampi untuk mengekang naga itu, aku sudah habiskan kesemua Batu Rohani yang aku miliki! Aku telah guna beberapa pengaruh istimewa daripada Puak aku untuk merahsiakan maklumat tentang Naga Hujan Bersayap ini daripada pengetahuan orang ramai. Malah aku sanggup menolak bantuan orang Puak aku kerana aku mahu khazanah dan Warisan itu untuk menjadi titik permulaan sebenar latihan aku!"

"Siapa? Siapa yang curi khazanah aku?" Tubuhnya menggigil kuat, kepalanya berdengung dan darahnya menggelegak. Dia sudah serahkan segala-galanya, tetapi orang lain yang telah mendapat manfaatnya. Dia meludahkan segumpal darah pada jubah putihnya, mengakibatkan jubahnya kotor dengan warna merah darah.

Ibarat seorang lelaki di dunia fana yang telah membayar wang hantaran perkahwinan, membeli rumah agam yang dihias mewah, bertemu dengan pengantin perempuan paling cantik dan mengatur jamuan perkahwinan besar-besaran serta menjemput kesemua rakan dan keluarga. Kemudian, di hadapan semua orang yang penuh harapan, dia menaiki pelamin perkahwinan dan melihat pengantin perempuannya yang anggun, wajah malu-malu di sebalik kain layah merahnya, kemudian dia menyingkap kain layah itu dan…

Tiba-tiba, dia mendapati dirinya sendiri telah bertukar menjadi orang lain. Semua benda yang dimilikinya telah dinikmati oleh orang lain. Malah, maruahnya juga telah dirampas!

"Siapa yang ambil pedang Pertapaan kuno aku?" Wang Tengfei sekali lagi menjerit kesedihan. Kemudian dia meludahkan segumpal darah lagi. Dia terhuyung-hayang beberapa langkah ke belakang. Wajahnya pucat dan matanya menyala dengan api kemarahan. Dia tidak boleh menerimanya langsung. Dia tidak pernah gagal sebelum ini. Ditambah pula dengan keangkuhannya, ini telah menyebabkan hatinya meluap-luap marah kerana dihina.

"Siapa yang curi khazanah yang aku mahu guna untuk mencela dunia Pertapaan?" Sewaktu dia terfikir tentang harga yang telah dibayar untuk tiba ke saat ini, dia meludahkan lagi segumpal darah. Jubahnya kini hampir merah sepenuhnya ketika dia terhuyung-hayang ke belakang.

"Kau bukan sahaja curi khazanah itu. Kau curi Teras Syaitan itu sekali. Tanpa benda itu, aku tidak boleh capai peringkat ketujuh! Siapa kau? Siapa kau yang merampas masa depan aku! Itu khazanah aku. Itu Teras Syaitan aku!" Perasaan marah masih boleh dilihat di wajahnya sambil dia meneruskan lagi pencariannya tetapi tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Raungan kesedihan Wang Tengfei telah sampai ke telinga Meng Hao sewaktu dia sedang berlari menyelamatkan nyawanya. Matanya bersinar keterujaan dan dia berlari dengan lebih pantas lagi.

"Aku kaya. Benar-benar kaya." Jantungnya berdegup kencang. Mulutnya terasa kering dan kelajuannya ditingkatkan sehingga melampaui had kepantasannya sebelum ini. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk tiba ke Gua Dewa di Gunung Selatan.

Dia mengagak yang khazanah yang diambilnya itu sangat penting bagi Wang Tengfei. Memandangkan dia boleh dikatakan telah mencurinya, dia tidak boleh mengumumkan kewujudan khazanah itu secara terbuka. Dia mahu menyembunyikan dirinya sejauh mungkin, tetapi kalau dia berbuat demikian, itu hanya akan menarik perhatian orang pada dirinya. Sebaliknya, dia patut mendedahkan dirinya dengan penuh berani dan yakin dengan keadilan berada di pihaknya.

Dia menjilat bibirnya dan matanya bersinar. Walaupun Si Gempal masih mempunyai manuskrip jed yang membuka Gua Dewa itu, Meng Hao masih ada satu lagi manuskrip jed yang Kakak Xu beri padanya dan dia tahu yang manuskrip itu juga boleh membuka pintu gua. Kalau hanya ada sebuah kunci sahaja, masakan Kakak Xu boleh membuka pintu gua sewaktu dia duduk mengira Batu Rohaninya tempoh hari?

Sewaktu dia memasuki Gua Dewa, dia tidak nampak kelibat Si Gempal pun. Pada awalnya, dia sangat bimbang. Tetapi kemudian dia sedar yang walaupun pada zahirnya Si Gempal kelihatan dungu, sebenarnya Si Gempal agak bijak dan tidak akan beri peluang orang lain mempergunakannya. Tanpa berlengah lagi, dia duduk bersila dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian, dia mengeluarkan beg sakti emas itu. Dia menjadi semakin gembira sewaktu melihatnya dan ketika membukanya, dia mula mengomel sendirian.

"Beg ini sangat besar. Macam boleh simpan... Apa?" Sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya, tubuhnya terpaku dan dia menarik nafas sekali lagi. Ketika dia melihat beg sakti itu, mindanya menjadi kosong dan kemudiannya berdengung.

"Bagusnya! Bagusnya! Aku benar-benar kaya!" Tangannya menggigil sewaktu memegang erat beg sakti itu. Dia memerlukan beberapa ketika untuk mewaraskan kembali fikirannya. Dia mengeluarkan sebiji Batu Rohani dengan tangan yang menggeletar.

Batu Rohani di dalam beg itu tidak sama seperti Batu Rohaninya yang lain. Batu itu sebesar sebatang jari dan tenaga Rohani yang berpusar di dalamnya tidak padat. Tetapi batu itu juga mengandungi kabut aneh yang berolak di dalamnya dan jumlah batu itu pula... di dalam beg sakti itu terdapat lebih dua ribu Batu Rohani!

Dia tidak pernah melihat kekayaan sebanyak ini dalam hidupnya sehingga dia tidak dapat bernafas buat seketika. Tubuhnya menggigil dan dia merenung kosong. Selain daripada Batu Rohani, terdapat beberapa pasang pakaian dan pelbagai benda lain.

Peluh mula memercik di dahi Meng Hao. Gua Dewa itu bukanlah panas, tetapi tubuhnya terasa seperti sedang membara. Setelah beberapa ketika, dia mula ketawa, gelak ketawa yang penuh keriangan.

"Semua Batu Rohani ini aneh. Besar tetapi tenaga rohaninya biasa sahaja. Tetapi jumlahnya… hahahaha…" Setelah beberapa ketika, dia sudah dapat mengawal dirinya. Dia mengeluarkan satu lagi benda yang diperolehinya iaitu Teras Syaitan yang sudah reput sambil menjilat bibirnya. Matanya bersinar kuat sewaktu melihatnya. Dia menarik nafas dalam.

"Haiwan Syaitan raksasa itu telah mati selama bertahun-tahun. Hinggakan ekornya bertukar menjadi ular sawa Syaitan. Pasti haiwan ini sangat berkuasa ketika masih hidup. Dan Teras Syaitannya…" Pernafasan Meng Hao semakin tidak teratur sewaktu melihat Teras yang kering dan keras itu. Dia mengeluarkan cermin tembaganya dengan niat untuk membuat beberapa salinan.

Baru sahaja dia mengeluarkannya dan sebelum sempat dia meletakkan Teras Syaitan itu pada permukaannya, cermin itu tiba-tiba sahaja mula menjadi sangat panas sehingga hampir melecurkan tangan Meng Hao. Satu kuasa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar telah meletus keluar dari cermin itu menuju ke arah Teras Syaitan itu.

Satu bunyi letupan kedengaran sewaktu tangan Meng Hao dihentam serangan halimunan itu. Dalam sekelip mata, satu lagi kuasa halimunan ditembak keluar dari cermin tembaga itu ke arah Teras Syaitan itu. Seolah-olah Teras Syaitan itu dengan tiba-tiba telah bertukar menjadi makhluk Syaitan berbulu panjang dan cermin tembaga itu naik gila dengan keinginan untuk memusnahkannya.

Meng Hao tergamam. Dia mengambil cermin itu dengan serta-merta tanpa mempedulikan kesakitannya dan memasukkan cermin itu kembali ke dalam beg saktinya. Teras Syaitan itu terjatuh ke tanah dengan satu bunyi yang kuat. Kini, beberapa retakan kecil boleh dilihat di permukaan teras itu yang kering.

"Tak guna. Ini Teras Syaitan, bukan haiwan Syaitan berbulu." Dengan rasa kesakitan, Meng Hao mengutip Teras itu secepat mungkin.

Nasib baik Teras Syaitan reput itu mempunyai lapisan luar yang keras. Serangan ganas cermin tembaga itu telah merosakkan permukaannya. Kini ada satu lubang kecil yang berkilauan muncul di atas permukaan itu dan bau tenaga rohani pekat berasap keluar darinya. Bau itu mengisi seluruh ruang udara Gua Dewa itu dan membuatkan mata Meng Hao bersinar girang. Memandangkan tindak balas ganas cermin tembaga itu, dia tidak berani lagi untuk cuba menyalinnya. Dia teragak-agak untuk seketika dan kemudian menyimpan teras itu.

Setelah mengambil satu lagi nafas panjang, dia mengeluarkan pemerolehan ketiganya iaitu sebilah pedang kuno kecil. Dia memegang pedang itu sambil tersenyum.

"Pedang ini sangat tajam hingga boleh menikam ular sawa Syaitan dan mampu membelah dua kepala syaitan raksasa itu. Ini pasti pedang istimewa." Dia melihat pedang kecil yang dipegangnya. Pedang ini hanya diperbuat daripada kayu dan bukan emas atau besi. Di permukaannya terdapat garisan samar berwarna emas yang mungkin ada ciri kuasa ajaib. Walaupun pedang ini kelihatan kuno, tetapi hanya memikirkan tentang pedang terbang kayu dan ketajaman yang menakjubkan sudah membuatkan Meng Hao sangat teruja.

avataravatar
Next chapter