webnovel

Seorang Genius di Kalangan Orang Genius!

編輯: EndlessFantasy Translation

Pada ketika ini, Ling Lan tidak menduga yang pertempuran ini telah menarik minat Empat Kecil, dan dengan pujukan Empat Kecil, Ling Lan akan berada pada jalan yang bertentangan dengan rancangan asalnya. Dia akan bergerak lebih jauh daripada kehidupan yang stabil dan damai, ke kehidupan yang penuh dengan pembunuhan berdarah...

Tanpa menyedari pertempuran yang akan datang di masa depan, Ling Lan sabar menunggu Ling Qin untuk mengalahkan musuh terakhir. Ling Lan sangat berhati-hati. Sebelum dia memastikan keadaan selamat, dia terus menyembunyikan kehadirannya. Walaupun dia telah mempelajari beberapa kemahiran tempur dan telah terselamat daripada hutan purba, ini semua masih tidak mencukupi untuk dia menentang pembunuh yang berpengalaman ini.

Tambahan pula, mungkin jauh dari sini, di suatu tempat di luar radar Empat Kecil, mecha yang kuat sedang menunggu. Hanya menunggu Ling Lan mendedahkan dirinya.

Ling Lan tidak percaya yang dia ialah seorang pemenang dalam kehidupan. Dia bukannya seseorang yang boleh menunjukkan kekuasaan hanya dengan penampilannya sahaja dan dengan mudah dapat mengalahkan semua musuhnya dengan mudah. Dia juga bukan jenis watak utama wanita, yang dicintai oleh semua orang di sekelilingnya. Watak wanita yang akan membuatkan bunga berterbangan apabila dia muncul (macamlah sekarang dia boleh menjadi watak utama wanita), yang ketika berada dalam masalah, putera yang menawan akan datang sambil menunggang kuda, untuk menyelamatkannya...

Pada ketika itu, Empat Kecil tiba-tiba menjerit kerana terkejut, menyebabkan jantung Ling Lan berdegup kencang sekali lagi. 'Apa yang berlaku, Empat Kecil?'

Empat Kecil tidak menjawab, tetapi menunjukkan skrin paparannya kepada Ling Lan.

Pada skrin itu, dua mecha yang sedang mengelak serangan Empat Kecil, tiba-tiba dikelilingi oleh tiga kumpulan yang berbeza.

Kumpulan pertama, dan juga kumpulan yang kelihatan paling agresif, mempunyai jumlah anggota paling sedikit. Mereka terdiri daripada hanya empat mecha, tetapi memancarkan aura yang menakutkan, menguasai kumpulan lain sepenuhnya hanya dari segi kehadiran mereka.

Mecha mereka mempunyai penampilan luar yang aneh, lebih pendek kira-kira 50 hingga 60 cm daripada mecha lain, tetapi binaan badan mecha ini jelas lebih tebal dan lebih besar. Sendi mecha itu khususnya, sangat tebal sehingga tidak kelihatan cantik dan anggun. Tetapi mecha yang ganas dan canggih sebeginilah yang boleh menakutkan orang, memberi tekanan yang kuat pada musuh.

Mecha ini jelas telah menjalani prosedur pengukuhan pada setiap bahagiannya. Sama ada dari segi berat muatan senjata atau pertempuran, mecha ini pasti lebih baik daripada mecha standard berbentuk manusia yang lain. Sekilas pandang, sesiapa sahaja dapat mengatakan yang semua mecha ini adalah mesin membunuh. Cat badan mecha ini juga menunjukkan perkara yang sama. Semuanya tidak dicat warna putih seperti mecha pihak Persekutuan, tetapi sebaliknya dicat dengan warna merah, yang menunjukkan mecha ini ganas dan mempunyai keinginan untuk membunuh.

Jelas yang empat mecha ini telah bergegas ke sini selepas bertarung, kerana masih terdapat tanda-tanda pertempuran pada badan mecha ini. Mereka ialah pasukan 413. Ketika mereka mempunyai masalah mencari Ling Lan, tanpa berjaya dan tidak berdaya, suar isyarat Ling Qin telah memberi mereka arah tuju, dan akhirnya mereka berjaya sampai ke situ.

Kumpulan kedua ialah kumpulan yang terdiri daripada enam mecha. Penampilan mereka mirip dengan mecha biasa milik pihak Persekutuan. Cuma terdapat sedikit penyesuaian. Mecha ini berwana putih biru dan bukannya putih sepenuhya seperti mecha Persekutuan. Sesiapa yang mempunyai pemahaman tentang mecha Persekutuan akan mengetahui yang mecha ini ialah mecha peringkat kapten, yang merupakan satu peringkat lebih tinggi daripada mecha standard. Nampaknya pasukan ini ialah dari pihak ketenteraan persekutuan.

Dan kumpulan terakhir ialah pasukan yang terdiri daripada lima mecha standard, dan dicat dengan warna kelabu gelap yang menandakan mereka ialah tentera persendirian. Pihak Persekutuan mempunyai persetujuan dengan keluarga-kelaurga elit, yang membenarkan mereka mempunyai angkatan tentera persendirian, tetapi mecha mereka hanya boleh menjadi mecha standard yang paling asas, dan warna mecha itu mestilah kelabu gelap. Satu-satunya cara untuk membezakan di antara angkatan-angkatan persendirian, ialah logo yang dicat pada plat dada mecha.

Logo di plat dada pasukan mecha ini ialah milik keluarga Ling. Logo berbentuk seekor burung phoenix berapi, terang dan menarik perhatian. Pasukan ini ialah golongan yang setia pada keluarga Ling, pasukan mecha yang bertanggungjawab di atas keselamatan Ling Lan.

Burung phoenix adalah salah satu totem spiritual orang Cina kuno, dan keluarga Ling percaya yang mereka dari keturunan dewa-burung phoenix berapi. Oleh itu, mereka memilih burung phoenix berapi sebagai lambang keluarga mereka.

Apabila Ling Lan mengetahui kisah di sebalik lambang keluarganya, dia hampir tidak dapat berhenti ketawa. Siapa sangka yang sepuluh ribu tahun di masa hadapan, di era yang berteknologi maju, mitos dan legenda yang tidak berasas seperti ini masih wujud? Apa yang dia boleh katakan ialah kecintaan dan sikap obsesi manusia dengan konsep dewa ialah terlalu mendalam.

Namun, haiwan ini hanya dipanggil burung phoenix berapi dalam Persekutuan Cina dan negara bersekutunya. Di negara-negara neutral atau negara-negara musuh, haiwan ini sering disebut sebagai 'burung tidak mati', dan sejak ayah Ling Ling, Ling Xiao, telah menjadi pengendali kelas-dewa, haiwan ini telah digelar 'burung mati'. Dapat dilihat betapa bencinya pihak musuh pada mereka.

Ketiga-tiga kumpulan itu saling bertembung serentak dan dengan cepat menjadi saling berhati-hati sesama sendiri. Walau bagaimanapun, pasukan keluarga Ling semakin mendekati tentera Persekutuan, seolah-olah mahu bersatu dengan mereka, untuk menentang pasukan yang mempunyai empat mecha yang menakutkan itu.

Ling Lan mengerutkan dahinya, bertanya pada Empat Kecil, 'Empat Kecil, bolehkah kamu zum lebih dekat, dan menggodam sistem komunikasi mereka?'

"Zum boleh, tetapi saya tidak boleh menggodam sistem komunikasi mereka. Kuasa spiritual kamu tidak cukup untuk penggodaman jarak jauh." Kata-kata Empat Kecil kedengaran seperti mengejek, dan digabungkan pula dengan jelingan Empat Kecil yang ditujukan pada Ling Lan, maka ada satu sahaja kesimpulan. Dia sedang dipandang rendah oleh Empat Kecil.

Semenjak Ling Lan mendapati yang badannya mungkin akan dirosakkan oleh kuasa spiritualnya jika kuasa itu menjadi terlalu banyak untuk ditampung, Ling Lan sangat berhati-hati dengan kuasa spiritualnya. Dia tidak melupakan penderitaan berhari-hari yang telah dia alami sepanjang hidupnya. Itulah sebabnya, dalam kehidupan ini, Ling Lan tidak berani untuk meningkatkan kuasa spiritualnya sendiri, takut yang dia akan melampaui batas dan akhirnya menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki pada badannya.

Oleh itu, tidak kira betapa banyak kali Empat Kecil merayu, Ling Lan tidak pernah menggunakan mata kehormatan untuk menebus apa-apa yang berkaitan dengan latihan kuasa spiritual di dalam ruang mindanya. Namun begitu, pada usia enam tahun, kuasa spiritual Ling Lan sudah berada di puncak peringkat-4. Melalui penekanan yang tepat, dia akan melepasi peringkat-4 untuk memasuki peringkat-5.

Sebenarnya, peningkatan sebanyak tiga peringkat pada kuasa spiritual Ling Lan sejak kelahirannya bukanlah kerana bakatnya dalam kuasa spiritual, atau kerana kuasa ini berkembang terlalu cepat. Sejak awal lagi, Empat Kecil telah mengunci dua peringkat kuasa spiritual Ling Lan. Tetapi kini, apabila badan Ling Lan perlahan-lahan membesar dan bertambah kuat, Empat Kecil sedikit demi sedikit membuka kunci kuasa spiritualnya.

Masalah kuasa spiritualnya diselesaikan dengan cepat kerana ketekunan Ling Lan dalam mengamalkan senaman Qi.

Sebenarnya, kuasa spiritual Ling Lan sejak hari lahirnya ialah di peringkat-4. Maklumat yang Lan Luofeng, Ling Qin, dan pihak ketenteraan terima sebenarnya palsu. Maklumat yang dimanipulasi oleh Empat Kecil.

Sebab itulah, semasa penilaian Ling Lan ketika dia masih lagi bayi, peranti penilaian telah memberikan amaran. Selain peranti penilaian penggunaan ketenteraan yang mampu menilai kuasa lebih tinggi, peranti penilaian untuk kegunaan awam hanya mampu menahan kuasa spiritual peringkat-3,

Mengapa peranti penilaian awam mempunyai tetapan sedemikian? Ini kerana, tanpa penjagaan khas, bayi dengan kuasa spiritual peringkat-4 pasti akan mati dalam rahim. Badan mereka tidak dapat menahan kuasa spiritual itu. Mustahil untuk seorang bayi dengan kuasa spiritual peringkat-4 dilahirkan secara semula jadi tanpa sokongan teknologi canggih. Sudah tentulah kemampuan Ling Lan membesar dengan baik dalam badan Lan Luofeng ialah disebabkan oleh bantuan Empat Kecil. Seperti yang disebutkan, Empat Kecil telah mengunci kuasa spiritual Ling Lan yang berlebihan.

Walau bagaimanapun, kejayaan dan kegagalan perlu dipertimbangkan dengan sama rata. Apabila Empat Kecil menemui keupayaan alat penilaian untuk mengukur kuasa spiritual, dia telah mengeluarkan semua kuasa spiritual Ling Lan kerana dia ingin tahu tentang peringkat kuasa Ling Lan. Tanpa diduga, ini hampir berakhir dengan masalah kerana peranti itu hampir meletup. Sekiranya bukan kerana refleks pantas Empat Kecil, yang dengan cepat menurunkan kuasa spiritual Ling Lan ke peringkat-2, hasilnya akan menjadi begitu buruk.

Sebenarnya, badan Ling Lan pada saat dia lahir dapat menampung kuasa spiritual peringkat-3, walaupun badannya akan menjadi sedikit lemah. Walau bagaimanapun, atas sebab mengutamakan keselamatan, Empat Kecil telah menetapkan kuasa spiritual Ling Lan di peringkat-2.

Walau apa sekalipun, Ling Lan tidak membazirkan masa selama enam tahun ini. Semakin masa berlalu, kuasa spiritual Ling Lan telah berkembang sehingga ke puncak peringkat-4. Tidak lama lagi, gabungan semua usahanya akan membolehkan dia naik ke peringkat-5 tahun ini.

Jika pihak ketenteraan persekutuan mendapat tahu yang seorang kanak-kanak berusia enam tahun telah berjaya mencapai kuasa spiritual peringkat-5, sedangkan kebanyakan lelaki dewasa tidak dapat mencapainya, mereka pasti akan terkejut. Dia pasti disambut sebagai seorang genius di kalangan orang genius, dari segi kuasa spiritual.