webnovel

Projektil Balik yang Hebat?

編輯: EndlessFantasy Translation

Ling Lan perasan yang Empat Kecil sedang merajuk, tetapi perhatiannya ditumpukan pada kata-kata Empat Kecil. Cahaya plasma itu telah ditembak ke arah dua mecha itu, tetapi jarak lingkungan meriam plasma sangat pendek. Maksudnya, tidak mungkin peluru berpandu itu akan terkena mecha itu, melainkan...

Bukannya Ling Lan tidak mahu menggunakan meriam plasma di dalam kereta apung, tetapi maklumat yang diperolehnya daripada Empat Kecil mengenai meriam plasma menyebabkan niatnya terhenti. Meriam plasma mempunyai kedua-dua kelebihan dan kelemahan yang berbeza. Biasanya, kelemahannya boleh diabaikan selagi kelebihannya digunakan untuk mendapatkan kesan maksimum.

Malangnya, Ling Lan tidak dapat melakukannya sekarang. Kelebihan meriam plasma itu ialah kuasa serangan yang tinggi, dan kemungkinan untuk peluru itu meletup apabila terkena sasaran. Ini bermakna meriam ini akan menyebabkan kerosakan tertentu, kerana mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi berbanding persekitarannya. Ling Lan tidak berani melancarkan meriam plasma untuk membantu Ling Qin membunuh musuh kerana dia takut terdapat sebarang kesilapan yang mungkin akan berakhir dengan tragedi, iaitu dia secara tidak sengaja terbunuh Ling Qin dan bukannya musuh.

Sudah tentu, dia juga berkira-kira mahu menggunakan meriam untuk menyerang dua mecha yang jauh itu, namun kelemahan meriam plasma ialah jarak lingkungannya yang pendek. Kemungkinan tembakan itu hanya akan terbang separuh jalan sebelum kelajuannya berkurangan, jatuh ke atas tanah dan meletup begitu sahaja.

Kedua-dua ciri-ciri meriam plasma itu membuntukan Ling Lan. Walau bagaimanapun, sememangnya Ling Lan sudah bersedia dari segi mental untuk membiarkan Empat Kecil menggunakan meriam itu, sekiranya nyawa Ling Qin benar-benar terancam akibat serangan musuh.

Pada saat ini, Ling Lan telah mendapat gambaran tentang apa yang Empat Kecil cuba beritah padanya. Dia percaya yang Empat Kecil tidak akan melakukan apa-apa yang sia-sia. Memandangkan dia berani melepaskan tembakan meriam plasma, dia pasti telah menemui jalan untuk mengatasi kelemahannya. Mungkin kedua-dua A.I. kecil yang telah disebutkannya itu akan menyelesaikan masalah... Jika betul, maka Empat Kecil benar-benar hebat. Ling Lan semakin lega.

Empat Kecil mengesan perubahan dalam pemikiran Ling Lan, dan walaupun dia masih membelakangi Ling Lan, dia mula menggoyang-goyangkan punggungnya, seolah-olah gembira yang Ling Lan kini lega.

Ling Lan nampak reaksi Empat Kecil, dan tahu yang dia mesti telah meneka dengan betul. Oleh itu, dia cepat-cepat memuji, 'Empat Kecil, kamu memang yang terbaik.'

Selepas bertahun-tahun bersama dengan Empat Kecil, Ling Lan tahu tentang semua kerenahnya, dan tahu sangat betapa Empat Kecil sukakan pujian. Dengan hanya menggunakan ayat pendek ini, dia berjaya membuatkan Empat Kecil gembira sehingga matanya bersinar, dan lupa yang dia baru sahaja marah pada Ling Lan.

Empat Kecil kembali ke sisi Ling Lan, menepuk dada kecilnya sambil berkata dengan yakin, 'Bertenang, Bos, biar saya sahaja fokus pada dua mecha itu. Hehe, masih ada dua tembakan pada meriam plasma ini. Biar saya pasang A.I. kecil ini untuk mengendalikannya juga. Dengan cara ini, walaupun serangan kali ini dielakkan, kita masih boleh terus menyerang.'

Kata-kata Empat Kecil memberi sedikit keyakinan pada Ling Lan. Selagi mereka dapat mengalihkan perhatian dua mecha itu, Ling Qin akan mempunyai lebih banyak masa untuk menangani musuh tersebut dan ini akan meningkatkan peluang untuk dia kekal selamat.

Namun, Ling Lan memberi amaran pada Empat Kecil untuk tidak melepaskan tembakan plasma terakhir itu, kecuali perlu. Kadang kala, ancaman serangan ialah lebih berharga daripada serangan sebenar.

Ling Lan sedar yang walaupun bolt plasma itu mempunyai kuasa pemusnah yang kuat, bolt itu hanya boleh merosakkan alat perlindungan asas. Bagi mecha yang terdiri daripada pancalogam titanium super, jika peluru berpandu tidak meletup pada titik lemah, seperti kokpit mecha (walaupun bolt plasma masih tidak dapat memecahkan kokpit, serangannya akan menggoncang persekitaran dengan ganas dan mungkin mencederakan juruterbang di dalamnya), serangan itu tidak akan begitu berkesan.

Sementara itu, seperti yang Ling Lan jangkakan, mecha A dan mecha B belum menyerah kalah. Mereka cepat-cepat bersiap untuk menembak kereta apung itu. Namun, tanpa mereka jangka, sebelum mereka dapat menembak senapang penembak hendap, kereta apung itu telah berpaling dan melancarkan meriam plasmanya ke arah mereka.

Mecha A mengecam sambil mengejek, "Ish, dia fikir dia boleh serang kita begitu?"

Di dalam Persekutuan, selain daripada ahli tentera yang tidak berpengalaman, semua orang tahu tentang ciri-ciri meriam plasma. Kuasanya merupakan kelebihannya, manakala jarak serangan ialah kekelemahannya. Satu-satunya sebab meriam plasma tidak dibuang sepenuhnya oleh Persekutuan ialah kos pengeluarannya murah dan masih berguna dalam pertempuran jarak dekat. Ini menyebabkan meriam plasma kekal sebagai salah satu senjata utama ketenteraan persekutuan.

Namun, meriam plasma hanya menjadi ancaman pada askar biasa sahaja dan tidak berkesan pada pengendali mecha seperti mereka. Walaupun mereka terkena tembakan, selain daripada bergegar seketika disebabkan gelombang kejutan, peluru berpandu itu tidak akan mencederakan mereka.

Mecha B berfikiran sama seperti mecha A dan mengabaikan bolt plasma itu. Tembakan itu mungkin tidak akan sampai ke mereka! Cepat-cepat dia berkata, "Abaikan kedua-duanya, fokus untuk menjatuhkan kereta apung ini. Kita tidak mempunyai banyak masa lagi." Mengikut anggarannya, mereka hanya mempunyai masa paling lama, dua minit lagi. mereka tidak boleh membazirkan masa.

"Ya!" Mecha A tidak berani untuk mengatakan apa-apa lagi, menumpukan sepenuhnya pada pemicunya untuk menyerang kereta apung yang mengganggu mereka itu.

Tetapi selepas hanya beberapa tembakan, dia mendengar sistem mechanya mengeluarkan amaran kuat, "Awas! Awas! Serangan dikesan, kita telah menjadi sasaran! Serangan dalam 9, 8, 7... "

Pada skrinnya, titik bercahaya yang mewakili sumber serangan, mendekati mereka dengan cepat dan kelihatan seperti akan terkena mereka tidak lama lagi.

"Jahanam!" Mecha A hanya sempat menyumpah, kemudian menukar mechanya pada pergerakan mengelak. Mecha B juga mula melakukan tindakan yang sama.

"Bukankah itu hanya meriam plasma? Apa yang sedang berlaku?" Ketika mecha B mengelak, sumber serangan itu semakin dekat, dan dia dapat melihat dengan jelas pada skrinnya yang serangan itu ialah dua bolt plasma yang mereka telah abaikan sebelum ini. Dan salah satu bolt itu sedang menghala padanya.

Mecha A membuat pusingan lebih kurang 90 darjah, kerana dia fikir yang dia akan dapat mengelak bolt itu sepenuhnya dengan berbuat demikian. Walau bagaimanapun, dia segera mendapati yang bolt itu turut berpaling juga, menyebabkan dia menjerit kerana terkejut, "Bolt ini ikut saya! Ish, apa ni?"

Adakah bolt plasma mempunyai keupayaan penjejakan? Dan adakah jarak lingkungannya sejauh ini? Mecha A menjadi pening. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Mecha B juga menyedarinya. Pergerakan pengelakannya lebih laju daripada mecha A, bahkan melibatkan pengelakan laju yang tidak teratur (versi tahap rendah daripada pembentukan pengelakan laju). Secara logiknya, dia sepatutnya dapat mengelak beberapa bolt plasma dengan cara ini. Tetapi sekarang ini, tidak kira bagaimana dia mengelak sekalipun, bolt plasma itu mengikut setiap langkahnya. Ini tidak seperti bolt plasma biasa yang sekarang ini akan jatuh ke tanah dan meletup.

"Ini jelas bukan bolt plasma biasa!" Mecha B yang berpengalaman, membuat kesimpulan. "Ini mesti projektil balik yang diubahsuai. Pastikan kamu tidak terkena tembakan, atau kamu akan mati!"

Mecha B pasti yang peluru itu ialah projektil balik yang telah diubah suai untuk kelihatan seperti bolt plasma. Walaupun penampilannya tidak kelihatan seperti itu, pastinya ini ialah projektil balik yang hebat, yang lebih mahal dan berkuasa. Projektil ini ibarat mimpi ngeri bagi juruterbang mecha tahap rendah.

Projektil balik yang hebat ialah sejenis artileri yang mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi dan dilengkapi dengan kemampuan pengesanan. Kuasanya tidak boleh dibandingkan dengan bolt plasma. Jika terkena tembakan, mecha yang biasa berkemungkinan akan dihancurkan, tetapi beberapa mecha tahap yang lebih tinggi mungkin masih dapat menahan serangannya.

Semua juruterbang mecha menjadi takut sejak senjata ini dicipta, dan kini senjata ini dianggap sebagai salah satu artileri yang paling menyusahkan bagi juruterbang mecha. Nama lainnya ialah 'pembunuh orang baru'.

Ini kerana projektil balik mempunyai pengesanan yang sangat hebat. Apabila projektil ini mengunci sasaran, tidak berguna bagi pengendali mecha untuk mengelaknya. Namun, ada pengecualian bagi pengendali peringkat tinggi, yang boleh melancarkan pergerakan yang sangat maju, menggunakan persekitaran pengendali mecha, sehingga menyebabkan peluru berpandu itu meletup akibat terkena benda lain. Walau bagaimanapun, kemahiran ini bukanlah sesuatu yang boleh dikendalikan oleh pengendali mecha biasa. Oleh itu, projectile balik ini dianggap sebagai salah satu senjata yang paling dibenci di kalangan juruterbang mecha tahap rendah. Ramai tentera baru mengalami kegagalan kerana projektil ini, dan dari situlah projektil ini mendapat gelarannya sebagai 'pembunuh orang baru'.

Oleh itu, apabila mecha A dan mecha B mula mengesyaki yang bolt itu ialah projektil balik, mereka tidak lagi memikirkan tentang kereta apung itu. Sekarang, mereka hanya mempunyai satu matlamat, mencari cara untuk mengelak peluru berpandu ini.

Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Sebelum ini, mereka tidak begitu risau. Kali ini, demi menyembunyikan identiti mereka, mereka telah diberikan mecha standard biasa untuk operasi ini. Mecha ini tidak dapat menahan serangan projektil balik.

Berbalik pada Ling Lan, dia bingung melihat dua mecha itu melompat ke sana sini untuk mengelakkan bolt plasma itu. Sedangkan walaupun bolt itu mengenai mereka, selagi tidak terkena kokpit, kesannya tidaklah begitu teruk. Kenapa kedua-dua mecha itu sangat takut?

Ling Lan tidak tahu yang pengubahsuaian Empat Kecil secara tidak sengaja telah menyebabkan pihak lawan menganggap bolt itu ialah projektil balik yang menakutkan. Ini menyebabkan mereka bertindak balas sebegitu secara berhati-hati. Ling Lan sekali lagi berasa lega, dia dibantu untuk menyelesaikan ancaman terbesarnya, pada saat yang penting ini.

'Hore!' Melihatkan bagaimana bolt plasma yang diubahsuai itu memaksa dua mecha itu berlari dalam bulatan, Empat Kecil mengangkat tangannya tanda kemenangan.

Ling Lan tersenyum sedikit, dan dia tidak lagi tegang seperti sebelum ini. Dia telah menjadi lebih tenang sejak masalah yang paling mendesak itu telah diselesaikan. 'Empat Kecil, saya berterima kasih pada kamu.' Ling Lan berkata sepenuh hatinya. Jika tidak kerana Empat Kecil, Ling Qin mungkin sedang dalam bahaya. Dan sekarang, Ling Qin mempunyai lebih banyak masa untuk memastikan dia boleh menamatkan dua musuh terakhir di hadapannya.

'Bos, kenapa kamu berterima kasih pada saya? Bukankah saya pengikut kamu? Ini ialah tugas pengikut untuk membantu bos mereka.' Empat Kecil bingung. Bukankah novel yang dia baca mengatakan tugas seorang pengikut ialah menyokong bos dalam segala hal, tidak kira sama ada untuk menerima hukuman bagi jenayah yang dilakukan bosnya atau hanya membantu melegakan kebimbangan mereka?

Tambahan pula, dia mendapati yang dia sangat menyukai pertempuran yang sengit. Memandang bolt yang diprogramkannya untuk mengejar mecha musuh, moodnya menjadi sangat baik. Empat Kecil merasakan yang dia dilahirkan untuk terlibat dalam pertempuran. Walaupun dia agak bahagia membantu Ling Lan mendapatkan wang beberapa tahun kebelakangan ini, kehebatan yang dirasainya sekarang, benar-benar membuatkan dia teruja.

Pada ketika itu juga, Empat Kecil membuat keputusan. Di masa hadapan, dia mesti mencari lebih banyak peluang untuk bosnya menghadapi pertempuran. Hal ini sangat menggembirakannya.