webnovel

Wasiat

Awal-awal pagi lagi Marina sudah keluar dari pangsapurinya menuju ke pejabat. Sudah hampir tiga hari dia tidak menjenguk pejabatnya. Semuanya gara-gara kes pembunuhan ayahnya yang masih belum selesai. Masih banyak lagi perkara yang menghantui fikirannya. Kejadian semalam membuatkan dia runsing tentang keselamatan dirinya sendiri. Apatah lagi mayat ayahnya masih lagi di bawah pengawasan pakar forensik. Seeloknya, ia dikebumikan secepat mungkin. Ikutkan hati, mahu saja dia mengambil cuti selama dua minggu. Namun, dia tidak boleh meninggalkan komitmen kerjanya begitu sahaja. Mungkin, inilah yang dia warisi daripadanya ayahnya yang komited dan berdisplin dalam bekerja.

Tuk! Tuk! Tuk! Pintu pejabat Marina diketuk. Marina ketika itu sedang mengemas fail-fail yang bertaburan di atas mejanya.

"Masuk…." Marina memberi kebenaran. Seorang gadis muda dalam lingkungan dua puluhan masuk ke dalam. Dia adalah Suraya, pembantu Marina.

"Cik Marina. Saya bawakan kopi yang cik pesan tadi"

"Oh. Terima kasih ya Suraya"

"Sama-sama. No problem. Cik Marina, macam mana dengan 'kes' yang berlaku tu" Suraya teragak-agak untuk menyebut nama Doktor Adam Raufal. Takut kalau-kalau ianya mengganggu emosi Marina.

"Masih dalam siasatan Suraya." Ringkas Marina menjawab.

"Oh begitu." Kata Suraya. Dia menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham.

"Kalau boleh saya nak perkara ni diselesaikan secepat mungkin. Saya nak tahu siapa yang bertindak kejam membunuh Dr Adam" sambung Marina lagi. Dia meluahkan isi hatinya.

"Sabarlah ya cik. Kita sama-sama berdoa." Suraya cuba menenangkan Marina.

"Terima kasih Suraya…" ucap Marina sambil tersenyum.

"Baiklah cik saya keluar dulu ya. Ada kerja hendak disiapkan."

"Baiklah"

Suraya berlalu keluar dan Marina menyambung semula kerja-kerjanya. Tiba-tiba telefon pejabatnya berdering. Dia pantas menjawab panggilan itu.

"Hello" jawab Marina.

"Hello, ini Marina ke?" suara seorang lelaki kedengaran bertanyakan tentang dirinya. Marina seperti pernah mendengar suara itu, tetapi dia kurang pasti.

"Ya. Saya Marina. Siapa ni?"

"Saya Encik Murukesh, peguam Doktor Adam Raufal. Boleh saya jumpa dengan Cik Marina?"

"Oh! Encik Murukesh, ada perkara apa yang hendak dibincangkan?"

"Tentang wasiat ayah kamu" jelas Encik Murukesh.

"Encik Murukesh, boleh tak kalau kita jumpa minggu depan?" pinta Marina. Perkara ini dirasakannya terlalu awal untuk dibincangkan.

"Minggu depan? Em… saya benar-benar berharap dapat berjumpa dengan Marina hari ini. Mustahak. Selain daripada wasiat, saya ingin tunjukkan sesuatu kepada Marina. Saya rasa ia ada kena mengena dengan pembunuhan Doktor Adam Raufal."

"Apa benarkah?" soal Marina dengan penuh semangat.

"Benar…" jawab Encik Murukesh. "Cik Marina, saya tahu cik masih bersedih dan saya tahu cik masih belum bersedia untuk membincangkan tentang hal harta pusaka Doktor Adam Raufal. Tapi saya mahu tunjukkan sesuatu yang lebih penting lagi" jelas Encik Murukesh.

"Tak bolehkah kita bercakap melalui telefon sahaja" Marina memberi cadangan.

"Lebih baik kita bersemuka. Lebih senang" jawab Encik Murukesh. Marina memikirkan cadangan Encik Murukesh itu dan akhirnya dia memberi persetujuan.

"Em… Ok. Di mana?" tanya Marina.

"Di tempat kegemaran Marina, Menara Pelangi. Jam 4.30 petang" kata Encik Murukesh.

"Baiklah kita jumpa nanti ya"

"Terima kasih cik Marina" ucap Encik Murukesh. Dia menamatkan perbualannya dengan Marina.

Marina meletakkan gagang telefon dan menyambung kerjanya mengemas fail-fail di atas meja. Namun, fikirannya tetap menerawang memikirkan apa yang diberitahu oleh Encik Murukesh sebentar tadi. Dia sebenarnya kurang berminat untuk membincangkan tentang soal harta pusaka ayahnya. Terutama sekali di waktu-waktu begini. Orang ramai boleh membuat berbagai-bagai spekulasi ke atas dirinya. Lagipun, ayahnya baru sahaja meninggal dunia dan masih belum lagi selamat dikebumikan. Tidak manis membincangkan soal wasiat pada waktu begini. Namun, apabila Encik Murukesh menyebut tentang sesuatu yang berkaitan dengan pembunuhan ayahnya, dia bersetuju untuk bertemu dengan Encik Murukesh.