webnovel

2.7

Matahari pagi tadi begitu cerah tapi tak diduga hari tiba-tiba mendung pula. Awan hitam berarak laju menandakan tidak lama lagi akan turun hujan. Angin yang bertiup juga terasa sejuk menyentuh kulit.

Litany mendongak ke langit. Tidak lagi terlihat sang mentari yang bersinar terang di sana. Sesekali terdengar juga bunyi guruh.

Kebetulan kala ini dia berdiri di dekat penghadang teras. Tiba-tiba dia teringat tadi Hana ada menyidai kain di belakang rumah. Baru sebentar tadi Hana keluar, katanya ada urusan penting. Tidak diberitahu pula dia kemana Hana akan pergi. Haziq dan Ardan pula sudah lama berangkat ke kampus. Alwiz pula tidak tahu kemana. Dan dia belum mengangkat jemuran.

Bila terasa ada rintik-rintik hujan yang jatuh ke atas permukaan kulit dengan pantas Litany keluar dari kamarnya.

Anak tangga yang sepatutnya banyak bertingkat-tingkat itu apabila dilalui oleh kaki laju Litany ianya jadi singkat sesingkat singkatnya. Mentang-mentang lah waktu sekolah dulu dia selalu juara lari pecut. Dulu tu okay aje atas trek, ni tak, dia lari dekat tangga. Hah kalau jatuh kang siapa susah.

Sampai sahaja di belakang rumah dia terus memungut semua kain yang dijemur tak bersisa. Cepat-cepat kembali Litany masuk ke dalam rumah. Takut kain itu basah dek hujan. Nanti dengan dia sekali basah pula.

"Fyuuh nasib aje sempat" lega rasanya bila dia sudah memasukkan kesemua baju yang diambilnya tadi di ampaian sudah selamat masuk ke dalam raga pakaian.

Litany keluar dari kamar Hana. Saat ingin menaiki tangga untuk kembali semula ke kamarnya, tiba-tiba dia terpandang sekilas bayangan dari arah ruang tamu. Litany mengerutkan dahinya. Lembaga itu kelihatan terhendap-hendap mencari sesuatu di dalam laci dua aras di ruang tamu.

Dengan nafas tertahan, Litany berjalan terjengket-jengket. Tapi entah mana silapnya dia melangkah, kakinya tiba-tiba terperosok ke arah celah-celah kaki meja sudut yang berada berhampiran dengannya.

Dia hampir terjatuh tapi mujurlah tangannya sempat mencapai sesuatu. Gerakan pantasnya mengakibatkan pot kaca di atas meja jatuh. Pot kaca itu jatuh berdenting dan pecah berkecai. Litany kaku melihat serpihan kaca yang merata-rata.

Mata bundar itu menyipit mencari-cari kelibat hitam yang dilihatnya sebentar tadi. Sebaik sahaja dia melihat lembaga itu memusingkan tubuh ke arahnya, Litany terasa lembik longlai.

Penatnya tadi berlari masih belum hilang kini keberaniannya pula yang mula pudar sepantas kilat.

Wajah lembaga itu tidak jelas kerana lampu di ruangan itu belum dinyalakan dan kebetulan saat ini mendung. Ruangan di situ juga adalah alah satu kawasan yang tidak terlalu mendapat banyak cahaya matahari jadi wajar jika mendung maka keadaannya akan bertambah suram.

Litany tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Dia memandang ke arah lembaga itu dengan wajah resah. Apabila lembaga itu menghampiri nya sedikit demi sedikit, kegelisahan hatinya sudah tidak tertanggung lagi.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi beberapa tapak kaki bergegas ke suatu arah. Litany menoleh. Namun sepantas kilat lembaga itu tiba-tiba meluruh ke arah Litany lalu menariknya pergi. Dia terkejut. Belum sempat dia mahu menjerit, mulutnya ditekup agak kuat sehingga di hampir kelemasan.

Lembaga itu menariknya ke arah bilik stor di bawah tangga. Pintu bilik stor itu dibuka. Dia merasakan satu tangan yang kekar dan kuat seperti besi menolak tubuh kecilnya ke dalam. Litany cuba meronta, namun tenaganya tak sebanding dengan tenaga lembaga itu yang terus menyeretnya. Entah kenapa perasaan takut seperti saat ini macam pernah dia rasai.

Pintu bilik stor itu dikatup rapat. Litany masih tidak mampu menjerit. Mulutnya masih dikatup tapak tangan lembaga di hadapannya. Dia memberanikan diri memandang lembaga itu, tapi keadaan yang agak gelap membuatkan dia sukar mahu mengecam wajah di hadapannya.

"Apa yang pecah tadi tu?" Suatu suara wanita menjengah di pendengaran Litany.

Suara bibik Sarah! Pasti wanita itu mendengar bunyi kaca yang pecah berderai itu.

"Sarah jangan pijak dekat sini. Ada serpihan pecahan kaca" suara Hadi pula muncul.

"Macamana pulak boleh ada pecahan kaca kat sini? Ini mesti tikus-tikus yang banyak sangat berkeliaran dekat rumah ni" rungut bibik Sarah.

Suara Hadi tidak lagi kedengaran. Hanya tapak kaki lelaki itu sahaja yang terus melangkah ke merata tempat. Sekejap di situ, sekejap ke sini. Litany tahu Hadi tentunya tak semudah itu menerima kata-kata isterinya. Sudah menjadi rutin lelaki tua itu untuk menjaga rumah dan keluarga yang diamanahkan oleh Dato' Arsen.

"Pintu masih berkunci. Tingkap pun sama. Agaknya betul kata kamu Sarah, mungkin tikus-tikus tu yang buat pecah pot ni" komen Hadi setelah beberapa ketika.

"Sarah bersihkan sekejap bang. Esok kalau Puan Hana nampak atau terpijak kaca ni dek Haziq, Ardan ataupun Tany, kasihan pulak mereka tu," ujar Sarah.

Hadi hanya mengangguk. Dia membantu isterinya mengemaskan saki-baki kaca itu tanpa sedikit pun menyedari, ada dua kelibat tubuh sedang berada di dalam bilik stor kecil di bawah tangga.

____

____

____

Okky guys nak bagi tahu ni...ni last chpt nov ni kat web ni...next chpt nanti sya akan update dekat Watt oky. Mungkin lebih kepada nak pindahkan citer ni kat Watt ^~^.

Klw dah update...nnti aku bagi tahu korang eh >=<

Tapi blm tahu bila nak update lh. Oky tunggu aje k.