webnovel

Wanita Gila Itu

編輯: EndlessFantasy Translation

Memandu kereta yang begitu menarik perhatian mempunyai beberapa kelebihan, antaranya terdapat ramai orang awam untuk mereka bertanyakan jalan.

Dengan bantuan orang ramai, mereka tiba di kediaman orang yang dicari dengan cepat.

Tempat yang dicari mereka ialah rumah satu tingkat dengan cat yang mula menggelupas dan sudut rumah yang hangus. Sebaik sahaja turun daripada kereta, Xinghe dan Xia Zhi terdengar suara pergaduhan datang dari dalam.

Sepasang suami isteri pertengahan umur sedang memarahi seorang lelaki yang bertubuh besar dengan teruk.

"Minggu lepas, kamu cakap kamu akan bayar minggu ini. Sekarang, kamu cakap kamu nak bayar minggu depan pula! Tak habis-habis minggu depan. Jadi, kalau kamu tak bayar sekarang, kami akan heret kamu ke balai polis!"

Kata-kata ini datang daripada lelaki pertengahan umur itu. Tubuhnya kecil tetapi apabila dia memaki maki, dia berlagak kuat. Air liurnya bersemburan ke merata tempat kerana dia terlalu fokus memarahi lelaki itu.

Isterinya menyambung, "Ya, kalau kamu masih tidak mahu memulangkan duit itu, kami akan pergi ke balai polis dengan segera! Jangan fikir kamu boleh lari daripada hutang ini dengan mudah semata-mata kamu tiada duit, itu mustahil. Saya tidak kira apa pun yang kamu nak buat tapi kamu mesti bayar!"

Lelaki itu merendahkan maruahnya dan merayu, "Percayalah, saya tidak akan lari daripada hutang ini. Saya pasti akan pulangkan duit itu pada kamu minggu depan."

"Tak boleh! Kami mesti dapatkan duit itu hari ini juga sebab kamu akan cakap benda yang sama minggu depan!"

" Betul itu. Kalau kamu tak bayar hari ini, kami akan heret kamu dan adik kamu yang gila itu ke balai polis!"

Perkataan 'gila' telah menyinggung perasaan lelaki itu.

Sebelum ini lelaki itu menahan kesabarannya. Tetapi sekarang matanya dipenuhi kemarahan apabila dia membalas, "Adik saya tak gila, dia tak gila!"

Pasangan pertengahan umur itu tidak terkesan sedikit pun.

Wanita itu membalas dengan sinis, "Kalau dia tak gila, habis apa? Semua orang di sini tahu dia gila. Orang gila patut tinggal di hospital sakit jiwa, bukan di tempat awam dan mewujudkan masalah pada orang lain. Kalau bukan disebabkan dia, rumah saya tak kan terbakar. Tengok saja tempat ini! Saya sewakan rumah ini pada kamu sebab saya baik hati, tapi macam mana kamu balas budi baik saya? Kamu hampir buat rumah ini terbakar! Kalaulah dari awal saya tahu adik kamu itu ada masalah mental, saya tak kan sewakan rumah ini pada kamu."

"Adik saya tak gila," Lelaki itu memberikan tekanan pada setiap perkataan. Hanya itu yang mampu dilakukannya.

Dia memang bersalah kerana berhutang. Jadi dia hanya mampu menjawab dengan lemah apabila mereka berdua terus menerus menghina dia dan adiknya.

Sejujurnya dia tidak kesah dengan semua hinaan yang dilemparkan padanya, tetapi dia tidak boleh menahan perasaan apabila mereka menghina adiknya kerana adiknya merupakan ahli keluarga dan kawan paling rapat baginya.

Tetapi dia hanya mampu membantah dengan lemah. Memandangkan lelaki itu hanya menjawab dengan lembik, pasangan suami isteri itu terus melontarkan hinaan demi hinaan.

Suara mereka makin lama semakin tinggi sehingga ia akhirnya menembusi ke bahagian dalam rumah.

"Ah—" kedengaran suara seorang wanita yang ngeri dari dalam.

Lelaki itu serta merta berlari masuk ke dalam rumah.

Pasangan suami isteri itu tidak akan membiarkan dia pergi begitu sahaja. Mereka sudah lama hilang sabar dengan perempuan gila itu. Jadi, mereka menjadi semakin marah apabila mendengarkan jeritan nyaringnya itu.

"Xiao Mo, kamu bawa keluar perempuan gila itu keluar sekarang! Kami nak ambil balik rumah ini dan kamu akan ikut kami ke balai polis sekarang juga!" Lelaki pertengahan umur itu menggulung lengan bajunya, dia akan mengheret mereka keluar secara paksa jika perlu.

"Berapa banyak dia berhutang dengan kamu?" Tanya seorang lelaki dengan lembut dari arah belakangnya.

Pasangan suami isteri itu berpaling dan melihat sebuah kereta Ferrari yang bersinar-sinar.