Sewaktu membuka pintu hadapan pagi itu,kudapati hari baru terang-terang tanah.Masih kelam,tetapi burung-burung surah menyanyi seolah olah untuk mengingatkan kaumnya supaya segera bangun memburu rezeki.
Setelah turun ke pelantar,aku bergesa-gesa pula ke halaman, kemudian segera melangkah ke tebing sungai.Sebelum turun tangga,aku berdiri tegak memandang ke sebelah hilir.Tebing Lubuk Sengarat yang amat kucintai itu menganjur ke tengah sungai.Pokok merbau berdarah yang tinggi disitu tegak dan gagah menentang kesejukan pagi.
'Pagi ini akan kami dalamkan lagi kubu itu' fikirku lalu memandang pula ke sebelah hulu.Perahu-perahu kajang yang tertambat di Pangkalan Datuk Bahaman bergoyang perlahan-lahan ditolak air yang terus mengalir.
Kemudian,aku memandang pula ke seberang Pangkalan itu.Darahku tiba-tiba berderau.Empat buah perahu yang penuh papan dan atap nipah tertambat di tebing besetentang dengan dusun Datuk Panglima Raja Awang Ishak.
'Tentu ini perahu Inggeris yang dikatakan oleh Pak Long Abas semalam' fikirku lalu menggelongsor turun ke tepian.
Aku segera menggosok gigiku dengan batang selada yang sebesar jari kelengkeng.Seketika terjun ke dalam sungai yang sejuk,lalu mandi dan menggosok badanku dengan tangan.Kemudian,aku naik ke tepian dan mengelap badanku dengan kain cukim hitam.Selepas itu,aku naik semula ke atas tebing
Sebelum meninggalkan tebing sungai,aku memandang sekali lagi ke arah perahu Inggeris di seberang hulu itu.Tiga empat orang sedang bekerja ditebing itu,manakala tiga empat orang lagi sedang mengawal dengan senapang.Muncung senapang di halakan ke arah rumah Datuk Bahaman.
'Peranglah kali ini' fikirku.
Selepas sembahyang subuh dan sarapan,aku bersalin pakaian.Waktu itu mak dan ayah aku telah tiada.Aku tahu mereka telah turun ke sawah kerana menyudahkan kerja di sana.Saki-baki padi di sawah itu akan dituai oleh mereka.
'Kalau perang berlaku,akan musnahlah padi di sawah itu,' fikirku lagi.
Aku segera turun ke pelantar dan menutup pintu.Kemudian aku terus ke rumah Samad yang tidak jauh dengan rumahku.
Mak Long Esah tercegat di ambang pintu melihat aku datang.Dia menyuruh aku naik ke serambi,tetapi aku menolak.
"Pak Long telah pergi Datuk Panglima Raja," jelas Mak Long Esah kepadaku."Barangkali Datuk Panglima Raja belum tahu tanah dusunnya telah diceroboh oleh Inggeris!"
"Mulanya ayah hendak terus ke rumah Datuk Bahaman," jelas Samad ."Tapi ayah tidak sampai hati hendak menyusahkan orang kaya Semantan itu."
"Samad turun ke halaman,Kami bergerak cepat ke rumah Rahman.Kemudian kami bersama-sama ke rumah Awang Muhammad.Kami akan merunding dulu sebelum meneruskan kerja mengali kubu di Lubuk Sengarat itu.
"Kalau perang meletus," bisiku kepada Samad ."Kita mesti berjuang.Ayah dan emaku tidak menghalang.Katanya,kalau perang meletus,semua anak muda mesti memikul senjata.Anak-anak muda tidak harus mati di atas tilam."
"Ayah dan emaku juga telah memberi izin," jelas Samad."Mulanya emak aku tidak sependapat dengan ayah.Tapi setelah mendengar penerangan ayah,emak tidak menghalang lagi."
"Tidak engkau menceritakan kubu kita di Lubuk Sengarat itu?" soalku pula.
"Dia memuji kita," jelas Samad."Tempat itu tempat genting.Kalau hendak membunuh Inggeris dan mata-matanya,disitulah tempat yang paling baik."
Aku mengangguk.
Akhirnya,kami sampai dirumah Rahman. Daripada emak Rahman,kami tahu bahawa Rahman telah keluar lebih awal daripada kami.Mungkin dia ke rumah Datuk Bahaman.
Kami melangkah ke rumah Datuk Bahaman pula.Di pertengahan jalan kami terserempak pula dengan Pak Long Abas yang beriringan dengan Datuk Panglima Raja menghala ke rumah Datuk Bahaman.Kami tiada pilihan lain,terus mengikut mereka dari belakang.
Di serambi rumah Datuk Bahaman, Rahman sedang berbincang sesuatu perkara dengan Awang Muhammad.Datuk Bahaman belum keluar lagi Dia hanya keluar ke serambi itu apabila Pak Long Abas dan Datuk Panglima Raja Awang Ishak sampai.
"Inggeris menceroboh Semantan, Datuk!" kata Panglima Raja Awang Ishak dengan suara tinggi."Dusun durian saya menjadi tempat mereka bertapak.Mereka sedang mengali kubu panjang di tepi tebing itu.Mata-mata Inggeris berkawal menghalakan bedil ke rumah Datuk ini.Mungkin selepas ini mereka akan membina sebuah rumah pasung pula.Telahan Datuk itu memang betul."
Datuk Bahaman mengangguk-angguk.
"Mereka hendak pasung siapa di sini?" tanya Datuk Panglima Raja Awang Ishak melepaskan kemarahan.
Waktu itu Mat Lela masuk ke serambi.Dia duduk jauh sedikit dengan Datuk Bahaman.
"Inggeris biadab!" sebut Datuk Bahaman.
"orang Inggeris yang datang ini tentu Syres.Dia hendak menakut-nakutkan kita.Dulu Inggeris bawa tukang sihir ke Pekan.Tukang sihir itu bermain silap mata.Kemudian dia bersyarah panjang.Katanya dia seorang pahlawan.Dia pernah menentang Inggeris.Tapi tidak menang.Lebih baik jangan menentang Inggeris.Bekerjasama saja dengan Inggeris, sudah!"
"Saya fikir lebih baik kita bertindak, Datuk," kata Pak Long Abas."Mereka sudah melampau.Datuk tak payah pergi ke seberang .Izinkan kami berempat mengamuk di sana.Cukup.Dengan seramai itu,saya yakin kita akan musnahkan mereka."
"Sabar, Abas," bisik Datuk Bahaman.
"Masih mahu sabar?" cabar Datuk Panglima Raja Awang Ishak.
"Persiapan kita belum cukup lagi," kata Datuk Bahaman lembut."Baru semalam kita mengali kubu di tepi sungai.Kubu-kubu itu belum pun siap lagi,kalau kita usik Inggeris ini bermakna kita akan berperang lama.Mungkin sebulan,setahun atau sepuluh tahun,atau seratus tahun."
"Jadi kita hendak biarkan saja mereka menceroboh tanah air kita?" Pak Long Abas melenting lagi.
"Perperangan ini akan membabitkan Sultan kita," jelas Datuk Bahaman dengan suara rendah."Kita tidak mahu Sultan menerima nasib seperti Sultan Perak dahulu."Baginda telah dibuang negeri ke sesebuah pulau di Lautan Hindi.Kita tidak perlu ikutkan hati panas sahaja, Yang perlu ialah kemenangan abadi.Kita mahu kemerdekaan sejati dan kekal."
"Jadi, apa gunanya Datuk apikan semangat kami di masjid semalam?" ungkit Datuk Panglima Raja Awang Ishak.
"Sabar, Panglima," Datuk Bahaman tersinggung."Saya bukan mengatakan kita tidak akan mengangkat senjata.Saya mahu menceroboh kampung halaman kita.Kita punya maruah.Kita tidak akan membiarkan melakukan percerobohan sewenang-wenangnya.Tapi kita mahukan hasilnya.Apa gunanya kita berjuang kalau untuk kalah?Dalam soal besar seperti ini,kita tidak boleh bertindak mengikut perasaan.Sebaliknya, Kita mesti menggunakan akal."
"Betul kata ayah itu," Mat Lela bersuara."Kalau berjuang ikutkan perasaan,kita akan kecundang!Tapi kalau kita ikut akal kita pasti menang!"
"Inggeris tidaklah kuat.Mereka tidak ramai.Mata-mata Inggeris yang mengawal mereka itu hanya orang upahan.Mereka tidak akan berjuang bermati-matian." Datuk Panglima Raja Awang memberikan buah fikiran.
Saya tahu perasaan engkau, Panglima," pujuk Datuk Bahaman."Kalau Panglima rasa terhina atas tindakan Inggeris ini,saya sebagai ketua di sini lebih-lebih lagi.Saya terhina kerana Syres tidak menemuinya saya sebelum menggali kubu dan mendirikan rumah pasung.Tapi akan menghadap Sultan dahulu.Saya tetap akan menentang Inggeris.Tengoklah. Ya,sekali Bahaman menentang, Bahaman akan terus menentang dan tidak akan sesekali undur .Inilah sumpah saya, Panglima."
"Datuk Panglima Raja Awang Ishak tunduk."Jika demikian kata Datuk,saya tetap di belakang Datuk!"
"Terima Kasih!"
Datuk panglima Raja dan Pak Long Abas turun dari rumah Datuk Bahaman.Mereka sudah mengerti.Kami berempat saling berpandangan sesama sendiri.
sebaik-baik sahaja kami hendak turun, Datuk Bahaman bertanya kepada kami, "Dimanakah kamu berempat membina kubu?"
"Di pangkal merbau berdarah di tebing Lubuk Sengarat ,Datuk," jelas Samad ragu-ragu.
"Di Lubuk Sengarat?"Datuk Bahaman membulatkan mata.Disitu kamu membina kubu?"
"Kami mengangguk serentak.
"Bijak!Bijak!Bijak!" puji Datuk Bahaman.
"Kuharap kalian akan menjadi contoh kepada anak-anak muda belasan tahun yang lain."
Kami gembira mendengar pujian itu.
"Hari ini kata Pak Cik Hassan Tahmid,tak ada kerja saya di rumah Datuk," sebut Rahman memandang Datuk Bahaman."Boleh saya ikut mereka ke Lubuk Sengarat?"
"Mengapa tidak?" balas Datuk Bahaman.
"Membina kubu itu pun satu kerja juga.Kita sekarang sudah masuk Zaman Perang."
Rahman tersenyum girang.
"Oh, ya.Selain membina kubu disitu,kalian siapkan juga bambu runcing sebanyak mungkin." arah Datuk Bahaman."Bambu runcing lebih berguna dalam perperangan di tempat begitu.Keris dan lembing sukar untuk digunakan."
Kami mengangguk.
"Lagi pun keris dan lembing tidak dapat menembusi kulit orang yang mengamalkan ilmu runcing dapat menembusi apa-apa sahaja."
Kami mengangguk lagi.
Semasa kami bercakap dengan Datuk Bahaman,Mat Lela memerhatikan kami dari jauh.Ketika kami hendak turun,dia cepat-cepat menjabat dan menggoncang tangan kami berulang-ulang tanpa sebarang kata yang diucapkan kepada kami.
Semasa pergi ke Lubuk Sengarat,kami ikut jalan ditepi tebing sungai sambil memandang ke seberang.Mata-mata Inggeris sedang sibuk mengali kubu panjang di atas tebing.Kubu itu menghadap ke rumah Datuk Bahaman.Mereka mengugat Lubuk Terua.Mereka seolah-olah meminta lawan.