"Pagi semua! Nama saya Kishimoto Daisuke"
Pengenalan diri yang menarik perhatian semua. Ada yang sangka dia datang dari bandar, inginkan perubahan suasana. Ada yang mengira dia adalah seorang bekas samseng yang dibuang ke pekan terpencil ini untuk dibaiki kelakuannya. Sementara itu, Mizuki masih bingung mengapa pemuda yang ditemui di sekolah minggu lepas baru mendaftar masuk hari ini, di kelas yang sama pula. Macam ada kaitan dengan dirinya, sama ada dia suka atau tak. Tika Daisuke masih sibuk memperkenalkan dirinya, fikiran Mizuki masih sibuk menganalisa faktor utama kemasukan pemuda tersebut. Oleh kerana kejadian minggu lepas, dia masih berjaga-jaga dengan Daisuke. .
"-baik Kishimoto san, awak boleh pergi cari tempat duduk yang kosong. Sekolah ni tak ramai budak jadi ada banyak kosong"
Arah guru kelas. Sedang Mizuki leka, pengenalan Daisuke sudah tamat dan dia kini sedang berjalan ke arah Mizuki, membelah barisan pelajar di hadapan dan memandang ke arahnya.
Cemas otaknya memproses keadaan itu, memainkan berapa adegan yang mungkin berlaku sambil mencari jalan untuk menghadapinya. Sedar tak sedar, pemuda misteri itu sudahpun melepasinya. Dia terdiam membeku, hilang semua idea yang difikirkan dalam senario rekaannya tadi, fikirannya kosong, tidak mampu berbuat apa-apa, bernafas pun tidak.
Kemudian Daisuke mengambil tempat 3 meja ke kanan Mizuki. Terlalu jauh untuk dia cuba apa-apa, terlalu jauh macam dia tak kenal pun Mizuki. Jeling sikit pun tidak. Hanya seorang pelajar baru yang mencari tempat duduk sambil melayan pertanyaan rakan kelas barunya.
Selepas berapa sesi kelas yang normal, Mizuki meninggalkan kelas untuk bersendiri di bilik air.
'tak ada apa-apa jadi pun... memang betul kan dia yang minggu lepas tu? kalau dia belum berdaftar haritu kenapa dia berada di sekolah masa tu? Siap dengan uniform lagi.. lepas tu buat-buat tak kenal aku pulak?! Ke aku yang tak betul ni?? Pening aku dibuatnya...'
Simbahan air ke mukanya sedikit sebanyak membantu dia tenangkan fikiran
"rasa macam mimpi je semua ni.."
Dia berbisik sendiri. Tandas yang kosong itu membolehkan dia meluahkan perasaannya tanpa risau akan orang lain.
Setelah dia keluar dari situ, ekor matanya menangkap kelibat seseorang melintas.
"Bukankah itu...?"
Perhatiannya tertarik ke situ, dia mula mengekori kelibat itu ke merata tempat dalam sekolah.
"Kishimoto san! Aku dah agak dah, kau memang mencurigakan... Apa kau cuba buat kali ni?"
Bisiknya, sambil melangkah lembut tanpa bunyi, menjejaki pemuda itu. Tidak terlalu dekat tidak terlalu jauh. Misi itu membawanya ke merata tempat dalam bangunan itu. Bumbung sekolah, tempat biasa watak manga menghabiskan waktu rehat. Bilik rawatan, senario-senario aneh dan romantis banyak terjadi di sini dalam novel-novel yang dibacanya. Laman sekolah, tempat wajib kebanyakan citer cinta di mana cinta berputik di antara watak pencinta alam dengan watak garang namun dalam hati ada taman.
Pun begitu, itu semua bukanlah destinasi sebenar Daisuke. Mizuki masih bingung ke mana tujunya pemuda itu.
'mana sebenarnya dia nak pergi ni?'
Makin lama makin geram pula dia, arah tuju sasarannya itu terlalu rambang.
Sedang dia sibuk mengagak pelan Daisuke, pemuda itu tiba-tiba toleh ke belakang, macam tahu-tahu saja akan kehadirannya, cepat-cepat gadis itu bersembunyi di balik dinding. Pemuda itu hanya memandang tanpa berkata apa-apa, tepat di lokasi Mizuki bersembunyi namun tidak berubah riak mukanya.
'Di-dia tak nampak aku kan...?'
Setelah lama sedikit keadaan sunyi, dia terdengar langkah Daisuke kembali menuruni tangga dan kembali mengekori jejaka itu.
'Mana. Dia. Nak. Pergi. Ni. Sebenarnya??'
Mizuki mula berasa jengkel dalam meneka arah tuju jejaka itu setelah sudah melawati beberapa lokasi di bangunan sekolah itu. Mereka tiba di kafeteria di mana Daisuke akhirnya berhenti dan tampak gembira sahaja menjumpai tempat itu, bersorak kecil. Terlalu gembira nampaknya.
"Dia ni... selama ni dia sesat cari kantin je ke...?"
Sehinggalah loceng pun berbunyi menandakan tamat waktu rehat. Masa yang sepatutnya dihabiskan untuk makan tengah hari mereka telah habiskan dengan merayau di seluruh sekolah, sesat.
Tamatnya waktu sekolah, pelajar Hokubu pun mula mengambil kasut mereka di lokar untuk bergerak pulang, namun kelihatan seorang pelajar perempuan yang mengeluh sendiri di lokarnya
"Tak boleh jadi ni, lagi aku ekori dia lagi pening aku... lepas habis sekolah pun dia masih berjalan tak tentu hala keliling sekolah, tak faham aku perangai dia ni..."
Memandangkan siasatannya tidak membuahkan sebarang hasil, dia mula berputus asa. Dalam banyak-banyak sangkaannya yang di luar kotak mengenai Daisuke, hanya satu sahaja teori yang munasabah dan yang paling membosankan juga
"... Mungkin, dia merayau merata sekolah harini kerana dia hanya cuba biasakan diri dengan bangunan ni...?"
Jawapan yang kurang menarik namun paling masuk akal. Terasa agak bodoh apabila dia tidak mencapai kesimpulan itu lebih awal, mungkin dia sendiri mengharapkan sesuatu yang lebih luar biasa. Sesuatu di luar norma zaman sekolahnya yang hambar.
'mungkin aku je yang fikir lebih-lebih... mungkin aku yang tak betul sebenarnya..? Aku je ke yang nampak bukan-bukan minggu lepas tu...?'
Mizuki pun hampir berputus asa cuba meneliti semula maklumat-maklumat yang dikumpulnya dan cuba berfikir dengan lebih jelas. Waktu sekolah pun hampir tamat dan dia tidak mahu mengulang kejadian minggu lepas.
Dalam perjalanan pulang, dia ternampak Daisuke di pintu sekolah.
"Apa-apa jelah, Kishimoto san..."
cuba menghiraukan pemuda itu. Namun makin dia berjalan pergi, makin dia perasan pemuda itu tidak berganjak dari situ langsung. Pemuda itu memandang ke arah... sesuatu. Mizuki mengikut arah pandangannya namun hanya nampak pantai berbatu di depan sekolah beserta pintu masuk sekolah. Sedar tak sedar langkahnya sudah terhenti, bingung dengan tingkah laku jejaka misteri itu.
"Dia... tengah menikmati pemandangan ke apa...? Kenapa dia berdiri sorang-sorang macam tu...?"
Makin lama dia pandang, makin bingung Mizuki. Tak lama kemudian, saki baki pelajar lain yang masih di sekolah pun sudah mula pulang, pelajar-pelajar yang mengikuti aktiviti kelab atau sukan selepas sekolah. Tinggal mereka berdua sahaja.
"Biar betul dia ni! Apa benda dia buat kat situ? Dah sejam ni!"
Semakin penat, Mizuki mula berasa geram dengan keanehan Daisuke. Namun itu menjadi pendorong dia untuk lebih tekad memerhati jejaka itu, berkelip pun tidak.
"Dia masih... berdiri di situ dari tadi..."
Setelah hampir 2 jam berdiri menghendap Daisuke, kesabarannya hampir luput. Tambahan pula, dia sentiasa dalam keadaan berwaspada terhadap pergerakan pemuda itu. Namun itu yang membuatkan dia lebih penat menunggu lama.
"Dia hanya... tercangak di situ... MENCURIGAKAN!!!"
Terus berkobar semangatnya, bertekad untuk tetap memantau pemuda itu tanpa menyerah kalah walaupun tiada perubahan dari tadi.
Kononnya lah, tetapi sedar-sedar
"dia... hilang...?"
Tanpa disangka-sangka, betul-betul depan mata Mizuki. Namun gadis itu sendiri tiada ingatan sejak bila hal itu terjadi, atau masa bila yang jejaka itu lesap dari situ dalam apa-apa cara sekalipun. Ibaratnya memori di mana perkara itu berlaku hilang dari ingatannya, sedar-sedar saja dah lesap.
"Tapi macam mana? Aku tak pernah-"
Belum sempat dia menyuarakan kekeliruan,
"Yo! Apa yang awak perhati tu, khusyuk betul"
Suara Daisuke memeranjatkan dia dari belakang.
"HUWAWAWA!! KISHIMOTO SAN?!!"
Terperanjat dengan kemunculan Daisuke selepas baru saja lesap dari pandangannya sesaat lepas, Mizuki spontan melompat dari situ. Namun kemudian masih berlagak selamba.
"Tak-Takde apa-apa lah! Saja lepak sini. Awak tu buat apa dekat sini? Dah lewat dah ni"
Walaupun baru tadi sahaja Daisuke nampak dia terpelanting 5 kaki ke belakang, tertawa kecil jejaka itu.
"Oh saya baru saja nak pulang, saja tengok-tengok kawasan nak ingat jalan. Tapi tiba-tiba saya terserempak dengan pengintip seekor, mengintai sorang pelajar ni..."
Jelasnya, cerita dia ada yang padan dengan memori Mizuki sepanjang hari ini, ada juga yang tidak.
Namun, bunyinya macam dia bercakap tentang Mizuki di hujung ayatnya. Jadi gadis itu cuba mempertahankan tindakan pengintip yang disebutkan Daisuke sambil berpura-pura seperti ia tiada kaitan dengan dirinya.
"Hmm camtu rupanya... M-mungkin pengintip tu sebenarnya nak berkawan saja kot, yelah awak kan baru masuk, mungkin mereka malu sikit.."
O-ouh, macam tu..."
Mengangguk sahaja Daisuke, macam tak faham pun ada.
"Tak apalah yang tu.."
Mengambil kesempatan dalam pertemuan itu, Mizuki memulakan siasatan
"Minggu lepas awak tak ada dekat sini lepas tamat sesi sekolah kan?"
Agak keliru Daisuke
"Huh? Minggu lepas?"
Namun masih melayan soalan dia
"lepas waktu sekolah.. sekarang la kan? Apa aku buat minggu lepas ya...hmmm..."
Berfikir panjang. Menyemak pangkalan memori dalam kepalanya namun mungkin dia berfikir terlalu banyak tentang soalan ini, sampai kerut dahinya. Hampir berasap otaknya terlalu fokus memikirkan soalan tersebut. Melihat dia terlalu sukar menjawab soalan itu, Mizuki yang bertanya pula rasa bersalah.
'Macam.. susah sangat je dia nak jawab...'
Mizuki mula ragu-ragu dengan tindakannya sendiri, tiba-tiba sahaja mengajukan soalan tersebut. Mungkin dia benar-benar tiada kaitan. Mungkin kejadian minggu lepas itu tak pernah terjadi pun. Mungkin dia saja yang terbayang bukan-bukan.
'macam tak patut saja... aku libatkan dia dalam benda mengarut ni...'
Akhirnya Mizuki mengalah, tak mahu panjangkan isu itu.
"F-Fikir balik... lupakan jelah... pasal tu..."
Dia batalkan siasatannya, tak mahu serabutkan kepala budak baru itu.
"sebenarnya tak ada apa-apa pun, hehe... Awak patut pulang sekarang, dekat sini bahaya sikit malam-malam"
"O-ouh.." tak sempat dia respon kepada semua kata-kata Mizuki, gadis itu pun nampak tergesa-gesa hendak beredar
"Ok baik, jumpa lagi!"
Sekejap sahaja dah hilang gadis itu dari pandangannya, tak sempat dia nak cakap apa-apa. Mungkin hanya beranggapan gadis itu memang kekok membuat kawan baru, terhibur dia dibuatnya.
Matahari pun sudah mula ditelan senja, hari semakin gelap, namun di luar pagar sekolah itu kelihatan Mizuki terhuyung-hayang berjalan pulang
"Aduh.. apa la aku buat ni... Kacau budak baru tu pula.. mesti dia ingat aku pelik nanti!"
Mula menyesali perbuatannya
"M-Macam mana kalau..?"
dia mula risau
"Budak tu cerita dekat semua orang esok?? Nanti bukan takat dia sorang, semua orang akan fikir aku ni pelik!! Silap-silap kena cap pengendap!! ARRGGHHH!!"
Dia mengusutkan kepalanya, serabut memikirkan kemungkinan yang akan datang. Mungkin tangannya boleh mengorek keluar fikiran itu dari kepalanya. Kalau dilihat dari jauh memang nampak macam gadis tengah kacau memikirkan masalah cinta.
Namun tak lama kemudian, Mizuki ternampak kelibat seseorang melintas bertentangan dari arahnya, melalui pagar sekolah yang baru sahaja ditinggalkannya sebentar tadi. Menuju ke sekolah.
"Budak perempuan tu... dia nak pergi sekolah ke? Waktu-waktu macam ni?"
Sepatutnya tiada siapa ada sebab untuk menuju ke sekolah kerana sesi sekolah sudah lama tamat.
'dia pakai uniform sekolah aku tapi tak pernah nampak pun. Budak baru juga ke?'
Namun dia sendiri pun dah malas fikir panjang-panjang
"Mungkin dia tertinggal barang kot"
tidak menghiraukan perkara itu.
Namun kemudian langkahnya terhenti, teringat semula kejadian minggu lepas
'nanti- pergi sekolah waktu macam ni..? Bahaya ni!'
Dia berpatah balik, mungkin kerana rasa bertanggungjawab, atau mungkin takut menyalahkan diri sendiri kelak.
"Aku kena halang dia!"
Biarpun mungkin hanya khayalan dia sahaja, bila terfikir yang dia boleh elakkan perkara itu dari terjadi kepada orang lain, dia serta merta bertindak.
Mizuki bergegas, harap-harap sempat menghalang pelajar itu masuk ke dalam bangunan sekolah.
'mungkin dia budak baru, belum tahu pasal khabar angin tu, kalau dia masuk sekolah sekarang, takut nanti dia pun kena macam aku jugak!'
Bertekad menyelamatkan perempuan itu dari menderita nasib yang sama, nasib yang tak patut dilalui sesiapa pun lagi-lagi budak yang baru mengenali persekitaran sekolah baru.
Perempuan itu semakin hampir, hanya di balik selekoh lokar kasut tidak jauh darinya.
'masih sempat ni, lepas ni aku bawa dia keluar dari sini terus'
fikirnya, merangka pelan, namun dia leka dan gagal mengagak jarak sebenar antara dia dan perempuan itu. Sebaik sahaja berpusing di selekoh tersebut dia langsung bertembung.
"HATI HATI!!!"
Berlaga. Amaran yang terlewat.
Dentum kuat bergema di dalam ruang itu. Terjatuh kedua-dua mereka ke lantai.
"Aduh duh duh... Apa ni...?"
Perempuan itu menggosok pinggulnya, mengaduh sakit.
"Ahhh maaf, tapi awak tak boleh ada dekat sini sekarang, tempat ni-"
Belum sempat dia menerangkan niatnya, Mizuki terganggu dengan penampilan perempuan tersebut. Lebih tepat lagi, apa yang tak ditampilkan oleh perempuan itu. Sedang perempuan itu sibuk mengurut belakangnya, sebahagian besar anggotanya hilang tak kelihatan, bagaikan dipancung namun tiada isi di dalamnya, bukan saja darah, kulit pun tak ada, kosong, cangkerang puaka berbentuk manusia. Ditutup dengan kabus berhantu yang terbocor keluar dari anggotanya, sekali sekala bahagian yang dilitupi kabus itu tenggelam dan timbul semula seperti ilusi. Mengingatkan dia pada salju yang dilihatnya dalam ruang putih bersama Daisuke dulu.
'Dia... Bukan orang?! Hantu!'
Mizuki mula cemas, menangkup kepalanya bagaikan cuba mengurut sakit kepalanya seperti tempoh hari. Tindak balas otaknya untuk melindungi dirinya dari realiti dunia luar. Biasanya dia mampu menipu dirinya dari situasi begini walaupun kepalanya akan mula sakit sewaktu proses itu namun bukan kali ini, keadaan ini terlalu ketara untuk diselindung lagi. Dia harus menghadap realiti barunya. Tak boleh menjangka apa ancaman yang akan datang dari hantu ini, otaknya memerlukan sepenuh perhatian.
'Aku akan kena serang macam sebelum ni ke? Macam mana aku nak lari ni? Macam mana aku lepas sebelum ni?'
Ligat akalnya mengerah idea untuk keluar dari bahaya ini. Namun tidak kira betapa banyak idea yang timbul, tubuhnya masih tertanam ke lantai koridor tersebut, tidak mampu bergerak.
Sedang Mizuki dikerumuni ketakutan daripada pertembungan mereka, gadis berhantu tersebut masih tak sedar tentangnya
"Ow ow.. sakit la tahu tak.."
Ujarnya menoleh ke Mizuki. Sekarang baru dia nampak betapa takutnya Mizuki, tercungap-cungap melihat dirinya. Perempuan itu memerhati tubuhnya dan baru sedar ciri-ciri hantunya kini jelas terpampang depan Mizuki, menggerunkannya.
"GAH! bukan bukan, maaf! Saya tak berniat nak takutkan awak! Saya boleh terangkan!"
Sekarang dia pula yang cemas, tapi sebab lain. Suaranya yang kuat dan tergopoh-gapah cuba menjelaskan situasi itu lebih menambah kejutan Mizuki
"Aw-Awak boleh bertenang sekarang! Tak perlu takut! Bukannya saya nak rasuk awak ke apa!!"
Terhinjut Mizuki mendengar ayat tersebut. Lagi cemas perempuan berhantu itu apabila keadaan semakin tidak terkawal
"HUWAWAWA SA-SAYA TAK BERMAKSUD MACAM TU!! JANGAN TAKUT! JANGAN TAKUT! macam mana aku nak tenangkan dia ni???"
perlahan saja suaranya di hujung ayat itu namun masih didengari Mizuki.
Kenyataannya itu menarik perhatian Mizuki, kali ini dia yakin
'Dia pun... sama terkejut macam aku... memang dia betul-betul tak berniat apa-apakan aku ke...?'
Melihat gadis ghaib itu masih cemas kerana bimbang dia menakutkan Mizuki, jadi Mizuki mengatasi perasaan takutnya dan cuba membuktikan yang dia baik-baik sahaja.
"Eh tak tak saya OK saja! Cuma... tula saya ada pengalaman buruk sikit dengan h-hantu sebelum ni, itu je!"
Dia cuba memadam mukanya yang jelas trauma dengan kehadiran gadis puaka itu sejak tadi dan berusaha untuk senyum.
Senyuman yang tawar timbul dari riak wajah gadis itu
"Terima kasih, saya faham awak cuba sedapkan hati saya..."
Namun sejurus itu dia kembali monyok,
"Tapi sebenarnya, itu memang reaksi yang biasa saya dapat dari manusia lain"
Dia tetap mengalah dengan takdirnya walaupun Mizuki sudah tidak takut dengan dia, pengalamannya bertemu manusia setelah sekian lama membentuk dirinya yang sekarang. Pengalamannya yang akan datang pun belum tentu akan sama seperti pertembungannya dengan Mizuki kali ini.
"Bila dah rupa macam ni, mak ayah pun tentu takkan..."
Bisiknya sendiri. Namun cukup kuat untuk didengari Mizuki.
Sementara itu, ada yang mengintai perbualan mereka dari jauh, sesuatu mendekati mereka dari kegelapan malam. Kedua mereka masih terduduk di atas lantai, tempat yang sama mereka bertembung dan terjatuh, namun sekarang mereka tampak lebih mesra bersama. Berbual tanpa menghiraukan suasana sekeliling mereka. Mizuki mendengar sahaja gadis itu bercerita tentang hidupnya, sekali sekala dia akan tertawa dan menutup wajahnya dengan sebelah tangan tanda sopan. Buat masa ini dengan Mizuki yang menjadi pendengar setia, dia boleh melupakan kepahitan hidupnya yang lepas dan hanya menceritakan saat gembiranya, berkongsi kebahagiaan dengan seseorang.
Tiba-tiba, bayang sesuatu yang pantas menjunam ke tengah-tengah di antara dia dan gadis itu, turut mencantas lengan gadis berkenaan.
Dia meraung kesakitan.
Mizuki tidak punya masa pun untuk bertindak, sekejap dia sedang bergelak ketawa dengan perempuan itu, sekejap lagi gadis itu sudah meraung kesakitan kerana kehilangan tangannya. Di tengah-tengah antara dia dan gadis itu, tertanam di dalam dinding sebelahnya, adalah sebilah pisau, bersama... sesuatu yang bersambung dengannya, atau dilontarkan bersamanya.
Matanya menjejaki arah datangnya pisau tersebut, mendorong pandangannya ke arah bayang malam, kearah sudut kaki lima itu yang terlalu gelap untuk nampak apa-apa. Seorang jejaka timbul dari kegelapan itu, jejaka yang dikenalinya, namun ada yang tak kena dengannya
"A-ah cis! tersasar pulak.."
Katanya sedang bayang kegelapan malam masih menyelimuti separuh tubuhnya
"Tapi takpe, yang satu lagi punya mesti kena!"
Umumnya, mengancam.
Mizuki memandang dengan gerun, dia mula berpeluh. Baru saja dia pulih dari pengalaman menakutkan tadi, kini dia berhadapan dengan ancaman baharu. Jantungnya yang baru sahaja kembali ke rentak asal kini kembali kencang, dia sendiri pun boleh rasa degupan rancak jantungnya. Cemas.
Daisuke mengacukan pisau ke arah mereka, pisau yang serupa dengan pisau yang terbenam ke dinding tepi mereka, dialah penyerang berkenaan. Walaupun setelah seharian mengekorinya, lelaki di hadapannya ini sekarang tampak lebih berbahaya. Daisuke kali ini lebih mengancam berbanding lelaki yang menyeranginya minggu lepas. Dia semacam pemangsa yang mengekori mangsanya, pemburu yang menikmati buruannya, pembunuh. Nada suaranya juga berubah, bukan lagi pelajar baru yang terlebih mesra, ini suara yang didengarinya saat dia di ambang kematian minggu lalu.
"Yuh! Engkau lagi!"